Friday, April 03, 2009

Malaysia & Jawatan Setiausaha Parlimen

Di kemuncak pengaruh sekumpulan anak muda yang dikepalai Sang Menantu, dimensi politik Malaysia telah menyaksikan jawatan setiausaha parlimen bagi 26 kementerian dimansuhkan.

Alasan mengapa jadi begitu?

Mengikut madah-madah rasmi ketika itu, sebabnya ialah Perdana Menteri mahukan satu "kerajaan yang kecil" atau dalam Inggeris-nya "the wish for a small government."

Tetapi saya yakin dalam masyarakat barat, khususnya di Amerika Syarikat di mana penggunaan nya begitu popular, ungkapan "small government" atau kerajaan yang kecil itu bukanlah bermaksud sedikit bilangan menteri dan kementerian seperti yang difahami oleh Sang Menantu dan konco-konconya.

Apa juga sebab jawatan setiausaha parlimen kementerian dimansuhkan, kesannya terhadap UMNO adalah cukup mudah lagi jelas -- Perdana Menteri ketika itu telah mensia-siakan peluang untuk mengikat dan merantai kesetiaan 26 orang lagi politikus Barisan Nasional, khususnya dari kalangan UMNO, kepada beliau secara peribadi.

Collateral damage (kerosakan sampingan) hasil perbuatan ini ialah terkipasnya satu rasa tidak puas hati yang tidak terluah di kalangan pembesar UMNO dan Barisan Nasional, yang membawa kepada politik dalaman yang melemahkan. Mudah cakap UMNO dan Barisan Nasional dirundung rasa kesetiaan -- orang PAS kelui 'walaq' -- yang tidak dihargai.

Saya yakin Perdana Menteri baru Malaysia tidak punya menantu yang tidak sabar hendak jadi menteri, hatta perdana menteri. Yakni tidak punyai menantu yang melihat senario dirinya dijawatan setiausaha parlimen sebagai satu penghinaan, dan pendakian seterusnya ke jawatan timbalan menteri satu siksaan. Kerana itu saya hampir pasti Perdana Menteri baru Malaysia akan mewujudkan semula jawatan setiausaha parlimen kementerian.

No comments: