Wednesday, May 09, 2007

Apa Ada Pada Sukhoi? – (3)


Pembacaan Sejarah Melayu akan menyakinkan tuan/puan tentang tiga perkara [i].

Pertama, Melayu adalah bangsa yang romantis. Gemar akan nama-nama dan intonasi (sebutan) indah. Sebagai contoh, dalam apa cerita raja-raja Melayu sekali pun, merangkaikan nama Wan Empok dan Wan Malini [ii]. Kedua, sejak dari zaman Tok Kadok, Temasek tidak pernah lekang dari menyebok dan menyusahkan politik orang Melayu. Ketiga, sejarah Melayu tidak pernah sunyi dari petualang, tali barut asing, yakni pengkhianat bangsa [iii]. Itu cerita 1,000 tahun dahulu, di zaman antah berantah dan Hikayat Raja-raja Pasai.

Mungkin 1,000 tahun akan datang, di zaman kebanyakan Melayu sudah kembali kepada agama nenek moyang mereka [iv] setelah kes Lina Joy diputuskan, dalam bab Hikayat Raja-raja Ijok [v], nama-nama romantis yang bakal dirakam ialah Siti Scorpene dan Nik Sukhoi, dengan penyebok dalam politik Melayu ialah Singapork melalui tali barut asing yang kita semua kini sudah tahu tapi malas nak sebut.

Wallahu ‘alam bissawab. (Bila dah malam susah nak jawab).


Begitulah sub-teks kepada cerita Sukhoi ini [1]. Dan seterusnya sebelum pergi lebih lanjut, ada moleknya jika kita ringkaskan poin-poin penting dari perbincangan sebelum ini.

  • Singapura sebagai negara-pelanggan (client state) Amerika Syarikat tiba-tiba mendapati Malaysia yang selama ini dipandangnya hina dalam semua aspek sudah ke hadapan dengan pembelian Sukhoi [2].

  • Australia yang tidak pernah senang dengan Indonesia (negara yang banyak menanda tangani pakatan pertahanan dengan Malaysia, khususnya dalam aspek perkongsian alat ganti ketenteraan) mendapati Sukhoi menggugat, bakal menulis semula perenggan tentang kesetaraan strategik rantau Asia Tenggara [3]. And by extension, Australia tidak senang dengan Malaysia kerana akan memiliki Sukhoi sama seperti Indonesia.

Ringkasan di atas memberi konteks kepada beberapa misteri yang sedang berlaku dalam berita politik tanah air.

Sebagai contoh, sehebat-hebat Tun Mahathir. Sebijak-bijak Si Menantu. Seramai-ramai sumber dalaman Raja Petra. Semuanya tidak tahu siapa pemilik sebenar sebuah rumah mewah bernilai RM60 juta di Australia Barat [4a], [4b]. Rumah “Orang Itu,” tidak [5]. Rumah Si Ipar pun, tidak [6]. Terkini khabarnya, rumah Si Biras pula [7].

Tetapi di dalam konteks di atas, yang kalau di superimpose dengan konteks perkahwinan sebagai jalan menjalin ikatan antara kerajaan, keluarga, politik dsb. Dalam konteks ufti dan bunga mas sebagai balasan bagi satu negara tidak menyerang negara yang berbudi.

Dalam konteks menghadiahkan istana hinggap dan kunci ibu kota, rumah mewah di Australia itu boleh dilihat sebagai sebuah “safe house” – rumah selamat [8], [9], [10] – hadiah John Howard kepada “Orang Itu.” Dengan harapan, supaya jangan sampai Sukhoi Malaysia merewang sampai ke sana, ya, kerana Australia pun kampung halaman "Orang Itu" juga.

Juga dalam konteks ringkasan di atas pembaca akan mendapat satu natijah tentang hati budi Tun Mahathir.

Setentunya, pembelian Sukhoi bukanlah hasil pemikiran dan usaha Najib (dan Razak Baginda). Dalam hal Sukhoi peranan Najib adalah tidak lebih dari seorang pak pacak istana, yang khabarnya gemar menggatal dengan inang-inang, serta dayang-dayang berbelakang lentik.

Pemilikan Sukhoi ialah karya Tun Mahathir [11]. Pembelian Sukhoi adalah urusan G-to-G [12]. Urusan antara kerajaan, rundingan terus antara kerajaan Malaysia dengan Rusia. Hasil perbincangan empat mata antara Mahathir dengan Putin [13], [14].

Sehubungan Sukhoi, walaupun tidak pernah diumumkan, nampak jelas bahawa Mahathir tidak berpuas hati dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara “Ekonomi Harimau” [15]. Sebaliknya Mahathir juga ingin melihat Malaysia sebagai satu kuasa tentera serantau -- regional military power. Dalam ertikata Malaysia itu benar-benar sebuah regional super power -- serentaknya kuat dari aspek ekonomi dan ketenteraan.

Itu Tun Mahathir untuk penilaian tuan/puan [16], [17]. Tentunya pemikiran dan hati budi Mahathir itu jauh panggang dari api, terpisah langit dari bumi, dengan pemikiran “Orang Itu,” Anak Lelakinya serta Menantunya [18]. Yang mana tuan/puan pun sudah perasan, bahawa Kerajaan Tiga Beranak kini hanya berminat untuk menjadikan Malaysia serambi Singapork sahaja.

Bersambung dan dirumus di Bahagian 4.

Tuesday, May 08, 2007

Apa Ada Pada Sukhoi? – (2)

[Visual di atas ialah sebuah Sukhoi melakukan aksi pencak "Pugachev's Cobra"]

Maaf, pagi ini saya terpaksa membawa pembaca melancung berputar separuh dunia.

Dalam perkembangan yang lain, beberapa hari lepas, tanggal 4 Mei, dianggarkan hampir satu pertiga dari kekuatan armada tentera laut Amerika Syarikat yang berada di Lautan Hindi dan Teluk Arab, khususnya sekitar Selat Hormuz untuk menyerang Iran (jangkanya pada 6 April lepas) telah dilapurkan mula belayar pulang [1], [2], [3].

6,000 kelasi perang yang menjadikan kumpulan gempur USS Eisenhower nampaknya tidak begitu berselera untuk berdepan dengan keupayaan Iran menyerang balas. Kumpulan gempur USS Nimitz akan mengambil alih tugas, tapi ini satu cerita lain pula [4].

Dunia tahu betapa mengidamnya Amerika Syarikat dan sekutunya hendak menyerang Iran. Tetapi yang menjadi tanda tanya jutaan penganggur celik huruf dan IT macam saya, ialah kenapa sampai hari ini Amerika Syarikat masih belum menggigit Iran dan Syria seganas yang disalak? [5]

Sebahagian dari jawapan kepada persoalan ini sebenarnya telah diberi hampir tiga tahun lepas. Iran dan Syria memiliki sejenis peluru berpandu anti-kapal yang diberi nama kod “Sunburn.” Nama teknikal peluru berpandu ini ialah “SS-N-22” [6], [7], [8].

Ini Rudin X merewang nak ke mana ni dengan cerita SS-N-22 Sunburn? Apa kena mengena Amerika Syarikat dan Iran dengan Sukhoi dengan pilihan raya kecil Ijok dan Najib Si Playboy Tua tu? Rungut pembaca. Buang masa aja.

Sabar sat.

Jet perang Sukhoi yang Najib tolong beli dan dituduh mendapat komisyen (tidak semua rasuah itu komisyen, dan tidak semua komsiyen itu rasuah) dalam proses itu sebenarnya datang bersama (mungkin) sejenis peluru berpandu yang mempunyai nama teknikal “Indo-Russian Brahmos” yang diasaskan dari sejenis peluru berpandu Russia bergelar 3M-55 Onyx (SS-N-26) [9], [10], [11].

Nah, you! Iran dan Syria ada SS-N-22. Malaysia ada SS-N-26. Dan Malaysia akan ada Sukhoi yakni pletfom untuk menghalakannya.

Benda alah ini mungkin versi “sepupu” dari apa yang di miliki Iran dan Syria. Tetapi nyata (mungkin) sudah menjadi cukup sebab membuat Putera Makhota Lee Hsien Loong, anakanda Maharaja Lee Kuan Yew, datang untuk memberi kata dua kepada “Orang Lembik Itu” pada 15 Mei kelak dalam satu perjumpaan di Langkawi yang diberitakan tidak mempunyai sebarang agenda khusus [12], [13], [14].

Juga, pembaca tentu sudah boleh nampak samar-samar mengapa isteri John Howard perdana menteri Australia begitu akrab dengan isteri Si Menantu? [15], [16].

Bersambung.

Monday, May 07, 2007

Apa Ada Pada Sukhoi? – (1)

Justifikasi mencanang aspek kejelekkan pembelian jet pemintas-tempur-pengebom Sukhoi [1]?

Rasminya, ingin mengutarakan isu rasuah [2]. Bagaimana bakal seorang perdana menteri mempunyai latar belakang yang buruk. Yang katanya telah melakukan rasuah dalam pembelian jet-jet perang Sukhoi [3].

Bagi saya, kalau setakat mahu bercerita tentang rasuah, cukup menyebut tuduhan ke atas Johari Baharom [4], [5]. Sebut tuduhan ke atas Musa Aman [6]. Sebut tuduhan yang lagi serius ke atas bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah.

Dan kalau ingin melukis gambar yang lagi hodoh; penglibatan “seorang pembesar” Malaysia dalam skandal “Minyak untuk Makanan” -- Oil for Food [6]. Yang mana rakyat Iraq (hampir 99% umat Islam) yang menderita lebih dari 15 tahun akibat sekatan ekonomi dunia yang dipelupori Amerika Syarikat telah dianiayakan. Malah dilambakkan penganiayaan. Di mana duit hasil jualan minyak Iraq yang sepatutnya digunakan untuk membeli makanan bagi rakyat Iraq yang kelaparan, telah lesap, khabarnya turut dicuri oleh "seorang pembesar" Malaysia [7].

Salah laku ini telah dibincangkan di Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations) lengkap dengan perincian buktinya. Mengapa tidak mahu dibincangkan di Ijok? Mengapa enggan bercerita tentang ini semua? Mengapa asyik-asyik cerita rasuah sehubungan pembelian Sukhoi?

Langsung saya bertanya sendirian: Adakah Najib yang menjadi sasaran?

Atau sememangnya Sukhoi itu sendiri yang hendak di momokkan? Yang mana diniatkan perkataan “Sukhoi” itu sendiri dipropogandakan supaya menjadi “najis” laksana Ghazali Shafie sewaktu menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dulu menpropogandakan “dadah” itu sebagai "najis"?

Jangan kata warga Ijok, rakyat Malaysia di tempat lain pun sebenarnya jika terlanggar bahu dengannya, tidak akan kenal bahawa benda yang dilanggar itu Sukhoi. Malah jika Sukhoi datang gigit batang hidung sekali pun, tidak tahu bahawa yang menggigit itu Sukhoi.

Apa kejadahnya benda Sukhoi ini [8]?

Sukhoi ialah nama generik bagi sejenis jet tempur pelbagai peranan yang kini dianggap tercanggih di dunia. Jet keluaran Rusia ini direka bentuk untuk menjadi (i) pesawat tempur “laga-anjing” (dogfight), (ii) pesawat pemintas, dan (iii) pesawat pengebom.

Jet pejuang Sukhoi yang Najib tolong beli (tak kan tolong gratis, kerja mesti ada upah, ya tak?) untuk Malaysia di tahap paling minimanya mempunyai keupayaan berikut [9]:
  • Kederasan maksima 2.3 mach (2.3 kali ganda kelajuan bunyi).
  • Julat (jarak) tempur 3,000 kilometer.
  • Stamina terbang selama 4.5 jam tanpa modifikasi, 10 jam jika dimodifikasi.
Setentunya, pesawat juang ini adalah lagi canggih dari apa yang dimiliki Angkatan Udara Republik Singapura [10], [11].

Bersambung.

Wednesday, May 02, 2007

Kepada Semua Aktivis Muda Yang Menyentuh & Disentuh Ijok

Masih tidak dapat lupakan Ijok? Ahhhh. Begitulah kehidupan ini. Bak kata perpatah kuno China (mungkin dari aliran mistik Tao Te Ching [1]) yang popular di Barat -- bila murid bersedia, guru akan muncul. When the student is ready, the teacher will appear [2], [3].

Bila kita sudah bersedia, kemenangan akan muncul.

Percayalah, Pak Chik sudah rasa apa yang kamu orang sedang rasa. Dan percayalah, luka pertama itu adalah yang paling menyakitkan. Pak Chik pun belajar melalui jalan payah, bahawa politik (cinta, perkahwinan, perniagaan dsb.) itu adalah lebih dari satu permainan. Yang kita memang bermain untuk menang, tetapi kita masih kalah juga.

Jangan putus asa. Nikmatilah clip video lagu ini, dan amati senikata. Jutaan insan telah mendapat kelegaan mendengarnya.

Nota: Saya akan cuti dari berblogging untuk beberapa hari demi memberi perhatian kepada hal-hal yang sudah banyak terabai. Jumpa lagi dalam sedikit hari.

Tuesday, May 01, 2007

Dan Pemenang Gusti Ijok Ialah …

Nun di Melaka, langit masih lagi menyahut seruan saya. Terkini ia menepuk pula perkampungan Portugis [1], selepas menepuk Putrajaya [2].

Ya, ya, saya tahu tuan/puan tidak datang ke blog saya untuk membaca cerita bertepuknya langit dan bumi, tetapi kerana ingin tahu pandangan sinis siapa pemenang sebenar pilihan raya kecil (PRK) Ijok. Maka itu saya minta maaf kerana melencung sedikit.

Dengan ini saya umukan: pemenang sebenar “gusti” Ijok ialah Najib dan Khir Toyo.

Ijok ialah medan di mana Abdullah dan Menantunya ingin saksikan kerjaya politik Najib-Khir disembelih [3], [4], [5], [6]. Tetapi sayang apa yang terjadi adalah tidak seperti dirancang.

Setelah rekod Najib dan Khir dijadikan isu hidup mati perjuangan Parti Keadilan Rakyat, dengan reputasi Najib-Khir diganyang habis-habisan, keputusan gusti menunjukan Najib-Khir masih punyai jentera setia [7], [8], [9]. Kempen UMNO-BN yang dikepalai Najib-Khir bukan saja menang, malah menang dengan peningkatan undi serta majoriti [10], [11].

Bagi Abdullah yang mengidamkan ufuk pertanda ketidak berkesanan Najib-Khir, yang sekaligus menandakan ketiada gunaan badut-badut itu kepada parti, keputusan gusti Ijok agaknya amatlah mengecewakan [12]. Keputusan Ijok tidak boleh dijadikan sebab kukuh untuk membuang mereka.

Mengapa saya sampai hati melabelkan PRK Ijok sebagai satu gusti? Jawapannya mudah.

Sama dengan perlawanan gusti tipikal yang ditayang di televisyen, unsur ganas adalah ramuan utama. Di Ijok, sejak dari mula loceng perlawanan dibunyikan (hari penamaan calun), sepanjang perjalanan kempen, hinggalah ke loceng penamat (hari membuang undi) berita adegan ganas di mainkan tanpa henti [13], [14], [15], [16].

Lagi? (Cewah, cewah, bertanya laksana seorang SB pencen yang ingin menghidupkan semula saat-saat rasa berkuasa yang teramat-amat di zaman berkhidmat).

Ganasnya menakutkan. Hampok sana, hentak sini. Tetapi tiada yang cedera (kecuali di Ijok, semuanya aktivis PAS, musuh sengoti UMNO). Dan lebih dari itu, turn of events, liku-liku drama kadang-kadang tidak terduga. Yang kena lanyak teruk akhirnya menang. Yang tangkas dan pantas tiba-tiba tidak boleh bangun kena body slam.

Nobat kemenangan UMNO-BN diikuti pula keesokan harinya dengan laungan berita keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bahawa Anwar Ibrahim tidak akan diterima masuk semula ke dalam UMNO untuk selama-lamanya [17].

Aik? Sejak bila pula kemasukan semula Anwar Ibrahim ke dalam UMNO menjadi isu menggelegak negara hingga perlu dibincangkan di peringkat MT UMNO? Ribut tiada, taufan pun tidak, tiba-tiba MT UMNO sanggup membuang masa tiga jam untuk membincangkan kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO! Apa maksud ini semua [18]?

Adakah usul Anwar Ibrahim itu dibawa ke MT UMNO kerana beliau telah pun lulus segala ujian dan syarat di Ijok yang ditetapkan oleh Abdullah dan Menantunya? (The poor soul was made to jump through all those hoops. But to what end?). Dan persoalan yang juga teramat menarik sehubungan ini ialah; siapa di dalam MT yang begitu berani melawan arus dengan membawa usul? Seseorang dari barisan “hangguk dan geleng”? Abdullah sendiri?

Pathetic sekali [19]. Mencaci sudah. Berjoget sudah [20]. Tersasul pun sudah [21], [22]. Skrip dituruti dengan patuh. Namun kempunan jua. Hujan tak jadi. Habuan yang diharap dicantas orang.

Moral cerita? Setialah pada yang menyayang. Jujurlah kepada lidah sendiri. Jangan perkudakan yang berharap. Kerana sebaliknya, balasan datang sepantas masaknya mee segera.