Showing posts with label SPR. Show all posts
Showing posts with label SPR. Show all posts

Thursday, October 11, 2007

MEMO PRU12: Diiring Gemuruh Angin, Meniup UMNO Kelantan … Alam Yang Jadi Saksi (Bahagian 2)

Ya, pada tahap keyakinan 95%, ditangga teratas carta politikus popular, insan yang mendapat 76% undian rakyat Kelantan sebagai pemimpin paling dipercayai ialah -- Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz. (Sila rujuk nota teknikal di hujung artikel untuk pertimbangan statistiks).

Saya yakin penemuan tinjauan yang dipaparkan tidak mengejutkan pembaca. Angka-angka itu tuan/puan semua boleh teka, malah sudah pun tahu di peringkat firasat.

Tetapi pembaca mungkin angkat kening mengetahui bahawa PAS Kelantan yang umum anggap “parti lebai-lebai kampung” – tanpa sokongan dan bantuan Cawangan Khas, tanpa Risik Tentera, tanpa JASA, tanpa Seranta FELDA -- pun boleh mengukur cita rasa dan mood rakyat. Malah berkeupayaan untuk tujuan itu semirip analog [1].

Amati keputusan yang dipaparkan adalah mood rakyat di kala PAS Kelantan masih belum lagi sistematik dengan program-program kebajikan mesra rakyatnya. Di waktu itu, masih lagi belum ada Program Kifaalah, belum ada Program Duafa, belum lagi menderma RM1.5 juta kepada mangsa banjir Johor dan sebagainya. Di ketika itu, PAS masih belum lagi ada Hezbullah di Lubnan sebagai model.

Perhatikan perbezaan mata di antara TG Nik Aziz dengan calun paling dipercayai dari kalangan orang UMNO – Datuk Mustapha Mohamad – ialah 70%. Dan perhatikan juga bahawa sebelum Datuk Mustapha boleh “bersentuh roma” dengan TG Nik Aziz, tersergam Datuk Hj Husam Musa sebagai benteng.

Bagaimana pula jika – nauzubillah – TG Nik Aziz tidak dapat turut serta mempertahankan Kelantan? Tinjauan membayangkan bahawa dalam senario itu sekali pun, UMNO masih lagi jauh dari mendapat laluan mudah.

Malah dalam senario itu, UMNO Kelantan masih lagi terpaksa melepasi benteng-benteng “Harimau Berantai" PAS untuk sampai ke tampuk kuasa. Pada kadar 42% pilihan rakyat sebagai pemimpin kedua paling dipercayai menerajui pentadbiran Kelantan, Hj Husam Musa berada 37 mata di hadapan pencabar terdekat dari UMNO iaitu Datuk Pa yang mendapat 5%. Beza populariti 37 mata adalah satu jarak yang agak jauh untuk dihambat oleh sesiapa pun dari UMNO Kelantan.

Sehubungan “saf kedua” (second liner) PAS Kelantan untuk berdepan dengan UMNO, perhatikan bahawa PAS hanya perlu “hantuk” Datuk Pa dengan salah satu dari kalangan Datuk Halim bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, atau Datuk Hj Takiyuddin, atau Datuk Hj Annuar Tan yang sama-sama mendapat 5% undian.

Malah perhatikan juga dalam senario TG Nik Aziz tidak berada di saf depan mengimami perjuangan melawan UMNO, nama beliau masih lagi belum terkeluar senarai. Praktisnya boleh dibayangkan TG Nik Aziz turut serta secara "alah kadar" sekali pun sudah cukup untuk menjamin sokongan 3%.

Bagaimana pula dengan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan? Jika setakat untuk pereboh (merebahkan) Datuk Seri Annuar Musa, perhatikan bahawa PAS Kelantan cuma perlu kedepankan Dr Nik Mazian atau Hj Hassan Mahmud yang sama-sama mendapat 3% undian.

Seterusnya, ada apa lagi dengan UMNO Kelantan di mata rakyat?

Lepas Raya Aidil Fitri saya sambung cerita, boleh? Sementara itu Rudin X dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pembaca. Maaf zahir dan batin dipinta dari pembaca kalangan penyokong UMNO khususnya, jika telah ada tulisan saya sepanjang tahun ini yang menyinggung perasaan.


Nota teknikal
Sekitar 1,000 warga Kelantan dari seluruh pelusuk negeri yang didekati secara rawak mudah [2] telah memberi kerjasama dalam tinjauan ini. Dari jumlah tersebut, untuk menjamin integriti hasil kajian, seramai 400 orang telah dipilih semula secara rawak oleh perisian komputer SPSS [3]. Teknik ini ialah untuk menjamin kaedah persampelan menjadi semirip kaedah ujikaji “double-blind.” [4]

Angka 400 responden dari kerangka teoretis 700,000 pengundi berdaftar di Kelantan adalah memadai untuk menjamin penemuan yang boleh diyakini ditahap marjin ralat (margin of error) ± 5%. [5], [6], [7]

Ralat
Terdapat sedikit kesilapan pada geraf Pemimpin Pilihan Kedua yang disiarkan sebelum pukul 8.30 malam Oktober 11, 2007. Kesilapan telah pun dibetulkan.

Wednesday, October 10, 2007

MEMO PRU12: Diiring Gemuruh Angin, Meniup UMNO Kelantan … Alam Yang Jadi Saksi (Bahagian 1)

Menurut Artikel 55 Perlembagaan Malaysia [1], tempoh wajib berlakunya sesuatu pilihan raya umum itu ialah sebelum tamat tempoh 5 (lima) tahun pilihan raya sebelumnya diadakan. Diberi begitu hakikatnya mengapa pula tidak sampai enam bulan berlalunya PRU 2004 parti-parti pembangkang telah mula mendesak Pentadbiran Pak lah supaya satu pilihanraya umum diadakah segera?

Seolah-olah jika satu pilihan raya umum diadakan di saat itu atau dalam waktu terdekat ini, pembangkang boleh menggantikan UMNO/BN ditampuk kuasa negara.

Apa hikmah? Apa muslihat, hingga “norma” jarak (purata) waktu antara dua pilihan raya – 4 tahun 4 bulan [2] -- yang dipelopori oleh Tun Dr Mahathir mahunya dipendekkan?

Cerita di belakang visual di atas adalah salah satu dari pemboleh ubah (variable) dalam rumus (equation) pendesakan ini.


Tinjauan hasrat rakyat
Mengikut tuan empunya cerita, visual ialah muka surat depan dan belakang satu soal selidik yang ditabur diseluruh pelusuk Kelantan sekitar bulan Julai-Ogos tahun lepas. Masih jelas dalam visual, tajuk soal selidik ialah: Tinjauan Kepekaan Tentang Kempimpinan Kelantan 2006.

Apa relevannya di kala ini membincangkan hasil tinjuan yang dibuat tahun lepas?

Ya, betul, relevansinya boleh didebatkan. Namun sebelum kita ke titik itu, apa kata pembaca izinkan saya review konteks iklim politik di Kelantan ketika itu. Mudahnya, izin saya simpulkan senario politik Kelantan ketika soal selidik itu diedarkan.


Senario politik Kelantan sewaktu tinjauan
Yang pastinya di ketika itu, PAS Kelantan masih lagi merawat luka kekalahan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir tahun 2005. Tetapi yang lagi mendebarkan, PAS masih belum melintasi garis tiga tahun menyandang kerusi. Yakni belum lepas tempuh “idah” terpaksa mengharungi pilihan raya kecil (malah pilihan raya seluruh negeri) sekiranya berlaku sesuatu yang “tidak diingini” kepada salah satu dari 23 Ahli Dewan Undangan Negeri PAS. [3]

Dengan kedudukan kerusi DUN PAS 23 –UMNO 22, sepanjang masa sebelum tarikh 24hb Mac 2007, atau genap 3 tahun berlalunya PRU 2004, PAS Kelantan sebenarnya berada di hujung tanduk. Di ketika itu, cukup dengan seorang saja ADUN PAS berpaling tadah atau mati, Kelantan akan menyaksikan satu PRU. [4], [5]

Di ketika itu PAS dicengkam 1,001 dugaan dan cabaran dalaman dan luaran. [6], [7]

Dari luar, UMNO telah menggunakan pelbagai helah dan tekanan untuk menrealisasikan hasrat terbubarnya DUN Kelantan. Taktik prima UMNO dalam hal ini seperti lazimnya ialah cubaan membeli ADUN PAS. [8], [9], [10], [11]

Bab dalaman pula, rakyat Kelantan ketika itu telah dihembus satu siri ledakan khabar angin. Datangnya silih berganti, menjadikan rakyat yang peka politik digenangi bagai nak lemas dalam 101 versi cerita tentang kerenah saf kepimpinan parti, baik dari kalangan yang terpilih semasa PRU 2004, mahupun yang tersisih.

Jalan cerita semua khabar angin ketika itu adalah mudah – TG Datuk Nik Aziz telah diugut oleh kumpulan dalaman PAS Kelantan itu dan ini untuk paksakan DUN terbubar jika tuntutan tidak dipenuhi. Contoh cerita:

  • Enggan beri kawasan balak yang dihajati kepada “geng” atau “kabilah Bani Si-polan Itu dan Ini,” ada ADUN yang akan lompat parti. Kesannya DUN terpaksa dibubar.

  • Enggan setuju lulus syarat pemilikan sekian puluh ribu ekar tanah kepada grup Cina Gua Musang itu dan ini, ada ADUN yang jadi broker sekaligus “balaci” akan lompat parti. Kesannya DUN akan terbubar.

  • Kerajaan berkeras tidak mahu buang pegawai itu dan ini dari menerajui anak syarikat kerajaan negeri itu dan ini, ada ADUN yang sudah “disinggung perasaan” dek pegawai tersebut akan lompat parti. Kesannya DUN terpaksa dibubar.

  • Ada ADUN yang gambarnya tersenarai dalam soal selidik telah terima wang pendahuluan dari sogokan berjumlah RM3 juta untuk lompat parti. Pun si-polan itu sudah tanda tangan dokumen perjanjian bersaksikan peguam. Bila-bila masa dia boleh lompat parti. Kesannya DUN akan terbubar.

Begitulah perkhabaran yang disajikan kepada rakyat Kelantan untuk membayangkan betapa gentingnya kedudukan PAS Kelantan dalam tahun 2006.

Berlatar belakangkan gambar betapa tipis dan licinnya tali kuasa yang sedang dipegang PAS itulah tinjauan dibuat. Seterusnya mengikut tuan empunya cerita, objektif tinjauan ialah membolehkan satu taksiran ilmiah dibuat tentang sejauh mana -- di ketika itu -- rakyat Kelantan bersedia “mengubah selera.” Ramai yang ingin kepastian di ketika itu, PAS atau UMNO kah yang bakal menang jika DUN dibubar dan PRU diadakan.

Maka soal selidik pun diedarkan secara rambang, ditabur ke dalam pasar, ke warung-warung, ke rumah-rumah persendirian, malah di mana saja manusia berkumpul, diunjuk kepada sesiapa juga yang sudi berkerjasama.

Hasil tinjauan? Akan didedahkan di bahagian berikut.

Nota: Tajuk artikel telah disadur dari lirik ini.

Wednesday, October 03, 2007

MEMO PRU12: PAS Kelantan Depani UMNO Marjin 10% -- Bahagian 4 (Akhir)

Graf adalah ringkasan penemuan dari exercise cula yang dilakukan sekitar tiga bulan lepas untuk DUN Wakaf Bharu di mana seramai 16,339 pemilih telah disenaraikan. Sekali imbas, hasil cula menunjukan secara kasar PAS sedang leading UMNO/BN dengan 652 undi. Untuk kefahaman terperinci maksud graf sila sabar membaca huraian terminologi yang digunakan.


Apa itu cula?
“Cula” adalah satu exercise mengenalpasti penyokong yang dilakukan dari peringkat Peti Undi (Daerah Mengundi) berpandukan senarai/daftar pemilih.

Lazimnya kerja cula dilakukan oleh orang-orang lama parti yang bermastatutin dalam sesuatu Peti Undi. Hasil kerja cula ialah “kepastian” samada seseorang yang terdapat namanya dalam senarai pemilih itu jatuh ke dalam salah satu kriteria berikut:

  • Bulan – Penama yang diketahui secara sahih oleh petugas-petugas cula sebagai penyokong PAS.

  • Dacing – Penama diketahui secara sahih oleh petugas-petugas cula sebagai penyokong UMNO/BN.

  • Ewek – slanga Kelantan bermaksud “tempang”. Penama yang dikelaskan dalam kategori ini umumnya diketahui sebagai penyokong PAS, malah dalam sesetengah kes adalah ahli PAS, tetapi petugas cula mempunyai sebab yang kukuh untuk meragui arah sokongan semasa. Golongan ini juga dikenali sebagai “UMNO dalam selimut.”

  • Condong – Penama yang diketahui umum sebagai penyokong UMNO/BN tetapi petugas cula mempunyai sebab yang kukuh untuk meragui kesetianya terhadap UMNO/BN.

  • Tidak dikenali – Penama tidak dikenali oleh petugas cula, bahkan tidak dikenali penduduk kampung/taman di mana penama tersenarai.

  • Luar Kawasan – Penama dikenali oleh petugas atau penduduk setempat sebagai bermastautin di luar kawasan. Kecuali diketahui secara sahih, lazimnya penama kelas ini akan diandaikan penyokong Dacing.

  • Mati – Nama pengundi yang diketahui umum sudah mati tetapi masih lagi tersenarai dalam daftar pemilih (atas sebab-sebab yang “sah” – mati sejurus daftar di wartakan -- dan “tidak sah” – SPR buat tidak reti bila diberitahu).

  • K10 – Merujuk kepada penyokong PAS yang tersenarai sebagai ahli “Kumpulan K10.” Notakan bahawa UMNO pun mempunyai rangkaian (network) dan organisasi penyokong peringkat Peti Undi yang serupa.

  • “Jahat” – Kategori ini adalah unik untuk DUN Wakaf Bharu dan merujuk kepada mereka-mereka yang diketahui umum sebagai kerap keluar masuk penjara atau pusat serenti. Sepengetahuan saya tiada DUN lain di Kelantan yang menggunakan klasifikasi ini. Jangan tanya, saya tidak tahu jawapan mengapa Ketua Cula DUN mewujudkan klasifikasi ini.

Untuk membayangkan betapa pentingnya kerja cula, PAS Kelantan mewujudkan satu jawatan khusus“Ketua Cula,” dalam jentera pilihan raya parti bermula dari peringkat Peti Undi. Di Kelantan kedua-dua parti PAS dan UMNO melakukan exercise ini. Malah mengikut lagenda popular masyarakat, UMNO telah pun siap mencula satu negeri sejak akhir tahun 2006 lagi (dengan menggunakan anak-anak buah penyokong totok PAS sebagai pembantu kerja-kerja input data komputer :-)).


Asas harapan dan kebimbangan PAS
Hasil cula seperti di atas sekaligus memberi PAS Kelantan harapan dan kebimbangan. Harapan kerana “head count” (hitungan kepala) membayangkan kemungkinan besar PAS akan menang di DUN Wakaf Bharu bila berlakunya PRU.

Namun di masa yang sama, PAS tidak boleh tidak mesti bimbang kerana wujudnya 3,070 pemilih “Tidak Dikenali.” Malah, aggregat penemuan seluruh Kelantan yang sebeginilah menjadi salah satu asas kepada “khabar angin” yang UMNO/BN akan memberi “kerakyatan instant” kepada 70,000 pendatang haram Myanmar, Bangla dan seumpamanya [1], [2].

Visual ialah hasil “meng-superimpose” penemuan cula dengan jadual anggaran penyokong tegar di peringkat Peti Undi. Perhatikan SPR nampaknya sudah menyumbat banyak nama “pengundi risab” di kawasan-kawasan UMNO/BN didapati lemah.

Berapa ramai “pengundi import” bakal di bawa masuk? Di Peti Undi manakah nama-nama mereka telah disumbat? Tempat (dewan/sekolah) mengundi manakah PAS Kelantan patut ramaikan petugas dihari PRU kelak? Patutkah dikenakan “hudud jalanan” kepada pengundi-pengundi haram ini sekiranya petugas PRU berjaya menangkap mereka? Dan sebelum dari itu, apakah langkah menghalang pengundi haram ini dari sampai ke tempat membuang undi?

Saya teka PAS Kelantan telah pun bertanyakan persoalan-persoalan yang sama, serta telah melakukan analisis seperti di atas, malah pemeriksaan yang lebih mendalam dari itu.


Yang dikatakan PAS Kelantan sedang mendahului UMNO
Bagi Rudin, selain sebab yang dihuraikan pada bahagian sebelum ini, hasil cula DUN Wakaf Bharu adalah satu penemuan yang sungguh memberangsangkan dalam banyak aspek. Notakan bahawa PAS kalah “berat” di DUN Wakaf Bharu dalam PRU 2004. Kalah 1,406 undi. Namun dalam tempoh tidak sampai empat tahun, berkat segala perubahan (khususnya) dan usaha yang telah dilakukan, PAS kini berkemungkinan mendepani UMNO dengan 1,265 undi atau pun menang dengan marjin 10%.

Jadual ialah hasil menambah angka-angka “Ewek” dan “Jahat” kepada jumlah penyokong Dacing (UMNO/BN); manakala angka “Condong” dan “K10” ditambah pada jumlah penyokong PAS. Hasilnya PAS leading UMNO pada marjin 10%. Kaedah logikal UMNO menipiskan marjin ini ialah dengan mensihirkan muncul pengundi dari kelas Tidak Dikenali. Setakat sudah dikenalpasti, jumlah pengundi yang bakal keluar di hari PRU 12 ialah 12,829 orang atau pun 78.5% dari jumlah pengundi tersenarai. Permainan sihir dan silap mata di pihak UMNO akan dapat dilihat dari peratus keluar mengundi dalam lingkungan 85%-95% seperti yang berlaku di Terengganu dalam tahun 2004.

Untuk bayangkan betapa besar kemajuan yang telah PAS Kelantan lakukan, perhatikan bahawa dari kalah (negatif) 1,406 undi dalam tahun 2004, PAS kena “korek” 1,406 penyokong barulah “seri kosong-kosong” dengan UMNO.

Dan dari titik “seri 0-0” kepada menang 1,265 undi, PAS kena raih pula sebanyak 1,265 sokongan. Maksudnya, dalam tempoh tidak sampai empat tahun PAS telah berjaya memulihkan dan menambah penyokong seramai 2,671 orang atau 16% dari 16,339 pengundi berdaftar di DUN Wakaf Bharu.

Lonjakan sokongan pengundi 16% untuk PAS Kelantan adalah satu angka yang “takbur” jika dilaungkan. Maka itu, saya “tone down” lalu bisikan bahawa PAS Kelantan sedang dahulu UMNO dengan marjin 10%.

Amacam! Boleh terima? [3]


Penghargaan
Rudin X mengucapkan ribuan terima kasih kepada
“Abe Shakor” Penolong Pengarah, Pusat Kajian Strategik, merangkap “Penghulu” Sukarelawan Tok Kenali kerana menghulurkan data-data yang telah membolehkan komentar ini dibuat. Terima kasih juga diucapkan kepada bekalan UROCIT-K yang membolehkan Ramadhan ini menjadi lebih "bearable."

Sunday, September 30, 2007

MEMO PRU12: PAS Kelantan Depani UMNO Marjin 10% -- Bahagian Tiga

Dalam berpura-pura innocent dan berhati mulai di bulan puasa, Annuar Musa telah hina IQ rakyat Kelantan. Budak-budak “lentuk” kerja dengan Maryam Besi Buruk di Jalan Bayam, Kota Bharu pun tahu pengeluaran kad pengenalan Mykad dan menyumbat nama ke dalam daftar pemilih adalah upaya dan sesuka hati jabatan kerajaan yang di bawah telunjuk UMNO/BN [i].


Bagak UMNO dan kealpaan PAS
Pada bahagian sebelum ini saya mengutarakan tesis keputusan PRU 2004 yang mendera PAS Kelantan adalah disebabkan faktor “Pak Lah itu Mr Clean”. Tetapi sebenarnya faktor ini adalah satu sisi dari syiling yang sama.

Sisi satu lagi ialah kelemahan strategik PAS Kelantan dalam 2004. Dan kelemahan yang dimaksudkan ialah “faktor calun.”Sehubungan, saya tidak bercadang berpanjang lebar menghuraikan maksud tesis ini di sini kerana saya telah pun berbuat demikian dalam komentar berikut:

“Kronisme” wujud di mana-mana. Malah “berkroni” itu adalah fitrah kemanusian yang mana hakikat ini kita kena terima. Yang sehubungannya, PAS Kelantan tidak kalis.

Cuma istilah bagi perbuatan kronisme yang digunakan di kalangan orang PAS Kelantan tidak membawa konotasi negatif. Perbuatan ini di rujuk sebagai “rakit” atau “berakit,” yang membayangkan perbuatan mendepankan atau menyertai satu kumpulan, atau berpenghulukan satu ketua yang dominan lagi beragenda.

Dan dari hal rakit, saya berpegang kuat kepada teori rakit-rakit calun PAS dalam PRU 2004 adalah faktor terbesar yang menyumbang kepada nyaris tersungkurnya PAS Kelantan di Serambi Mekah.

Diamati dalam banyak kes pencalunan PRU 2004, ramai watak yang sudah hilang pengaruh dalam masyarakat, hatta sudah tidak disegani orang ramai telah tercalun; semata-mata kerana watak itu berpengaruh dalam parti, atau telah menyertai “rakit” yang berpengaruh. Hasilnya, satu dunia sudah lihat.


PAS Kelantan terpaksa berevolusi mental
Kesan dari azam dan usaha PAS Kelantan melakukan perubahan dapat disimpulkan dari penemuan kerja “cula” yang dilakukan baru-baru ini untuk DUN 04 Wakaf Bharu, dalam kawasan Parlimen P19 Tumpat.

Sebelum menghuraikan angka-angka cula DUN Wakaf Bharu, izin saya tekankan di sini bahawa dalam mengambil Wakaf Bharu sebagai contoh saya tidak berniat untuk memperlekehkan sesiapa, hatta menjulang sesiapa Apa yang bakal saya katakan tentang pengalaman DUN Wakaf Bharu adalah secara ketat berpaksikan angka-angka keputusan PRU yang boleh dibeli dari SPR Kelantan.

Sebab dan pertimbangan prima mengapa saya pilih DUN Wakaf Bharu sebagai kes menyerlahkan poin ialah faktor geografi-nya sebagai satu kawasan “semi-urban” (separa bandar) yang tipikal. Yang mana sehubungan ini, dari kacamata saya, kawasan semi-urban ialah di mana hampir 60% semua pengundi Kelantan bermastautin. Selain itu, sejarah hanyunan undi di DUN tersebut adalah cukup menarik.

Jadual di atas ialah satu exercise menaksir jumlah penyokong tegar atau “hardcore supporters” PAS dan UMNO dalam DUN Wakaf Bharu secara keseluruhan, dan di peringkat komponen DUN iaitu Peti Undi (Daerah Mengundi).

Bagi pembaca yang cenderong perincian teknikal, takrif jumlah penyokong tegar adalah merujuk kepada purata undi yang diperolehi parti-parti bertanding dalam 3 PRU.

Kolum akhir memberikan taksiran samada pengaruh UMNO/BN di sesuatu Peti Undi itu kuat/dominan atau lemah. Taksiran adalah berpandukan beza jumlah penyokong tegar UMNO/BN berbanding PAS. Jika jumlah penyokong tegar PAS mengatasi UMNO/BN maka dikatakan pengaruh UMNO/BN di Peti Undi itu adalah lemah, dan sebaliknya.

Dari jadual di atas, perhatikan bahawa UMNO/BN hanya dominant/ kuat di enam (6) Peti Undi sahaja, termasuk Undi Pos. Lapan Peti Undi lagi adalah di bawah pengaruh PAS.

Diberi penemuan, persoalan yang wajar ialah macam mana UMNO/BN boleh menang sampai 1,406 undi dalam tahun 2004? Walhal dalam PRU 1999 UMNO/BN telah kalah 1,720 undi. Dan sebelum itu dalam PRU 1995 yang tiada apa-apa faktor “gelombang,” UMNO/BN telah kalah 673 undi?

Seperti yang diketengahkan dalam Bahagian 2 dan di awal komentar ini, PAS Kelantan mahu tidak mahu kena bangkit mencari jalan mengatasi faktor Pak Lah itu Mr Clean (yang pada awalnya disangka berkekalan), dan walaupun pedih dan pahit, terpaksa mengaku silap yang telah dibuat. Maka itu, di kebanyakan DUN yang kalah, PAS telah melakukan banyak perubahan berani.

Bersambung.

Friday, September 28, 2007

MEMO PRU12: PAS Kelantan Depani UMNO Marjin 10% -- Bah 2

Nasib Pak Lah dalam PRU12 telah dikunci (his fate was sealed) dengan berlangsungnya tunjuk perasaan kaum India di Putrajaya baru-baru ini. Memang betul insiden ini telah di"blackout" media arus perdana, langsung tidak lapur. Tetapi dalam senyap saya agak gosip dan gambar-gambar insiden ini tersebar luas diseluruh negera melalui internet, hinggakan personaliti-personaliti yang totok biru "ketor" pro-establishment turut jadi penyebar gambar.

Implikasi dan konteks dakwaan
Ya, saya dapat agak sesetengah pembaca merasakan tidak “kesampaian” membaca bahagian pertama komentar ini. Mungkin ramai yang berharap melihat bukti empirik dalam bentuk angka dan data yang memberanikan Rudin membuat dakwaan yang menjadi tajuk.

PAS Kelantan leading,mendahului UMNO 10% adalah satu statemen yang keras lagi sombong bunyinya. Implikasi statemen ini jika diizin Allah menjadi realiti PRU 12 kelak ialah; PAS mendapat 55% undi popular berbanding UMNO 45%. Yang sekaligus boleh diterjemahkan sebagai PAS memenangi 34 dari 45 kerusi DUN Kelantan.

Darihal ini, diharap pembaca dapat bersabar kerana saya perlu menghuraikan konteks cerita dan dakwaan yang agak berserabut. Jika saya tidak berbuat demikian, pembaca khususnya dari kalangan penyokong PAS tidak akan dapat “menjiwai” dan menghargai betapa pesat dan besar perubahan yang telah berlaku dalam kaedah dan orientasi pemikiran PAS Kelantan.

Sehubungan, maaf jika saya meminjam satu frasa asal UMNO yang popular dalam dekad awal 70han dulu untuk mendeskripkan apa yang telah berlaku dalam batang tubuh PAS Kelantan dalam tempoh hampir 4 tahun sejak PRU 2004. Frasa ialah – revolusi mental [1].

Yang mana pada pengamatan saya, sejak terpahatnya keputusan PRU 2004 untuk Kelantan, telah berlaku satu perubahan senyap yang besar lagi menyeluruh, seakan-akan satu revolusi mental dalam kaedah pergerakan PAS Kelantan.

Bagi saya, PAS Kelantan kini sudah punyai satu struktur “command and control” [2] (arahan dan kawalan) yang agak sistematik, setanding dengan apa yang ada di UMNO Pusat. PAS Kelantan kini sudah melangkaui batas metode lama pergerakan, yakni metode “personaliti -air liur -syarah.” Zaman di mana ceramah dan pidato PAS adalah tidak lebih dari episod-episod penglipur lara masyarakat, hakikinya tidak ubah persembahan wayang kulit atau selampit [3], [4], sudah berlalu.


Dari titik nyawa-nyawa ikan

Jadual di atas membawa 1,001 kisah betapa terhakisnya dan tipisnya pengaruh PAS Kelantan digaris penamat PRU 2004. Saksikan sendiri betapa, sebagai contoh, di DUN Kemuning PAS menang dengan lebihan 2 undi sahaja, berbanding lebihan undi 2,210 dalam PRU 1999. Ke mana larinya penyokong seramai 2,208? Keputusan bagi DUN lain dalam jadual membawa kisah dan menagih persoalan yang sama.

Graf di atas merumuskan segala-galanya tentang PAS Kelantan pada tahun 2004. Di saat penyudah semua undi dikira, PAS hanya mendapat lebihan 4,044 undi untuk seluruh Kelantan! Maksudnya di ketika itu, pada tahap lebihan undi 1.5%, pengaruh PAS berbanding UMNO hanyalah setipis bulu “rom” (salah satu sebutan bagi “roma” yang dimungkinkan oleh ejaan Jawi – ra, wau, mim – seperti terdapat dalam kitab-kitab lama).

Mengapa boleh terjadi nasib PAS Kelantan sampai ke situ?

Sejarah merakamkan telah bersependapat semua pemerhati dan penganalisis politik, bahawa dalam tahun 2004, prestasi UMNO seluruh negara telah di lonjak oleh pertamanya, faktor “Pak Lah itu Mr Clean.” Faktor kedua ialah ekspektasi rakyat Pak Lah akan melakukan perubahan, membetulkan kesilapan.

Masih berkuat kuasa dan berkesankah faktor-faktor itu? Seperti yang disinggung dalam Bahagian 1 komentar ini, dan saya yakin pembaca sendiri pun adalah lebih arif merasainya – Pak Lah kini adalah laibiliti terbesar UMNO!

Pengundi semua ras/bangsa kini tahu bukan setakat “ilma yakin” (yakin dari pembacaan/cerita) bahkan di tahap “ainul yakin” (yakin dari penglihatan) bahawa Pak Lah bukanlah sebersih yang diperaga. Bukanlah dia tidak korup, dan bukanlah pernah waraq pun akan dia.

Dan lebih malangnya dari perspektif Melayu, langsung tidak bermaya akan dia memfaatkan kuasa demi kebaikan masyarakat amnya, dan khususnya kaum sendiri.

Di beri perkembangan itu, diletak sebelah gambar UMNO yang hambar lagi pudar, apakah tidak munasabah jika kini gambar PAS Kelantan di mata pengundi adalah berkilau maya lagi memberangsangkan? Lantas menyebabkan PAS Kelantan mendapat hayunan -- swing -- sokongan sebanyak 8.5%, secara default.

Bersambung.

Thursday, September 27, 2007

MEMO PRU12: PAS Kelantan Depani UMNO Marjin 10% -- Bah 1

Siapalah koordinator strategi UMNO? PAS berimej Islamik, UMNO pun teringin nak jadi Hadharik. Tetapi dalam menlaksanakan strategi, haru biru sungguh nampaknya UMNO. [i]

Memerhati tajuk berita dan maklumat awam lain, hiba dan terdesak benar bunyinya BN/UMNO sehari dua ini.

  • Melayu tidak peduli soal politik ,rungut Zainuddin Maidin [1].

  • Daftar sebelum akhir Oktober untuk layak mengundi PRU 12, gurau Abdul Rashid, pengerusi SPR [2].

  • Tiada pilihanraya dalam masa terdekat, baca Abdullah Ahmad (Badawi) dari “skrip”nya [3], [4].

Serentak itu, dalam perkembangan lain pula, aktivis PAS, parti bakal mengambilalih dari BN/UMNO di Putrajaya telah mengemukakan bukti BN/UMNO telah bermain kotor.

  • Cubaan ADUN (BN/UMNO) Bukit Tuku import pengundi hantu gagal jerit “manjanik” seorang aktivis PAS [5].

  • Majlis Peguam dengan 2,000 ahlinya asak Kerajaan BN di Putrajaya, itu kita semua tahu [5].

Dan jika Perdana Menteri Boneka seperti “sekala” adanya, pantang berdepan sikit dengan masalah sebesar tahi cicak, akan larilah dia merawat hati di Australia, itu fakta pembaca sendiri pun boleh teka. Tetapi yang terbaru terbang lagi dia ke “rumah suluk” di Australia sempena perarakan Majlis Peguam, mungkin itu tidak ramai pembaca yang perasan [6].

Diberi semua perkembangan ini, bagaimanakah prestasi Abdullah Ahmad (Badawi) dan pasukannya dalam PRU 12 kelak? Almaklumlah, diberi pula lebih 90% rakyat Malaysia yang peka politik sudah tidak percayakan beliau itu “Mr Clean.”

Darihal tinjauan pendapat di atas, usahlah diragukan sangat keupayaannya untuk "capture" mood semasa warga yang peka tentang isu yang dilontar. Dalam kes survey terbaru di blog ini, walaupun hanya 40+ pelawat memberi respons, keputusan survey itu sendiri telah dilawati lebih dari 3,000 kali. Maksudnya, jika seorang pelawat telah baca keputusan sebanyak 3X, boleh diandaikan 1,000 umat Malaya yang celik IT peka akan isu tersebut. Namun sebagaimana biasa perangai Melayu, terlalu ramai yang segan/malu/takut meluah pendapat secara jujur. Hatta dalam suasana "anonymous." Kalau tidak begitu, sah keputusan survey disini membayangkan orang Melayu sudah jadi lebih New York dari umat New York -- berfe'el "don't want to get involved."

Agaknya label apa yang Abdullah Ahmad (Badawi) akan gunakan dalam kempen PRU 12 kelak? “Mr Bean”? Atau mungkin jenamanya disaat itu ialah “Mr No Kuasa”!

Mengapa Rudin ejek Perdana Menteri Malaysia sebagai “Mr No Kuasa”? Ya lah, apa tidaknya. Saf barisan taukeh-taukeh Malaysia lagi berkuasa! Amati perlakuan segala taukeh ayam, taukeh babi, taukeh minyak …

Bersambung.

Sunday, September 23, 2007

PRU 12: Darihal 70,000 Pengundi Haram

Bukan setakat Kerajaan BN dan PDRM memberi layanan istimewa kepada babi, tetapi khabarnya pendatang haram akan diberi "kerakyatan instant" demi memenangi PRU 12.

Buat pertama kali sejak saya mulakan blog ini, izinkan saya bertindak diluar karektor dengan memperturunkan satu mesej SMS yang saya terima.

Saya tidak lakukan apa-apa kepada SMS yang agak panjang ini sekadar melengkapkan ejaan supaya mudah dibaca, dan memberi rujukan kepada berita yang dimaksudkan pemula SMS.


Assalamuaikum para pejuang PAS.

Ini ada maklumat tentang pengundi hantu untuk Kelantan.

- 70 ribu pengundi hantu akan dibawa dari Pulau Dua.

- Myanmar, 40 ribu telah dibawa baki 30 ribu sedang diproses.

- Antara rakyat Myanmar itu adalah seperti dilapurkan HARAKAH keluaran lalu. [1]

- 5 rakyat Myanmar yang mati dan 10 lagi yang cedera dalam bas yang disewa Jabatan Imigresen, dalam accident di Kedah bulan lalu adalah sebahagian dari pengundi hantu. [2], [3], [4], [5], [6]

- 8 ribu lagi akan dibawa dari Kampuchea.

- Pegawai yang terlibat di JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) nama: M. Zin, Aras 5, Blok D2, Parcel D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Sempena bulan puasa ini doakan dan lakukan solat hajat supaya beliau diberi balasan oleh Allah dengan sewajarnya. Paling kurang boleh anda lakukan ialah berdoa dan sebarkan kepada 5 yang lain.

8:35 malam 21hb September, 2007.

Perhatikan pemula SMS tidak menyuruh pembaca berbuat apa-apa yang tidak wajar atau ganas, selain dari mendoakan dan bersolat hajat.

Untuk renungan pembaca, amati bahawa petugas pilihanraya dari pihak mana sekalipun tidak dapat mempertikaikan “hak mengundi” dan menghalang seseorang itu dari membuang undi jika si-polan datang bersama kad pengenalan Mykad yang “sah” (ada gambar pembawa yang persis atau semirip), dan nama si-polan ada dalam daftar pemilih.

Soal orang yang melihat dan menilai si-pembawa kad pengenalan itu yakin dalam hati sampai ke tulang hitam bahawa si-polan itu bukan penduduk tempatan, dan terhidu pula bau “jebat” (bacin) seorang Bangla atau Myanmar; itu adalah poin akademik yang tidak boleh diambil kira dalam mana-mana mahkamah.

Sama-samalah kita doakan agar Allah memelihara demokrasi di Kelantan.


Nota: Tajuk artikel diubah pada September 24, 2007.

Saturday, June 02, 2007

Uuuuugh! Berbaloi Sungguh Rasanya Ber-blogging Selama Ini. Alhamdulillah.

Berita yang visualkan di atas tidak perlu komentar panjang lebar. SPR akhirnya bersetuju untuk menggunakan dakwat penanda jari bagi mereka yang telah membuang undi. Tidak perlu lagi Rudin X berkokok [1]. Bak kata Inggeris no reason to protest, but yet no reason to gloat.

Kerana sebenarnya kita rakyat Malaysia telah menang.

Kerana Tuhan telah memberi kita stamina moral, kita telah tidak rasa jemu dan putus asa untuk mendesak reformasi proses pilihan raya. Kini kita telah menang. SPR pihak yang berwajib mengadili pilihan raya telah bersetuju untuk dilihat berlaku adil. Regim Dolah telah bersetuju untuk dilihat mampu berlaku saksama.

Tapi sebagaimana pembaca boleh teka, dalam menang pun Rudin X masih lagi akan bersikap sinis. Dan dalam menepati tradisi itu, Rudin X mengajak pembaca meneka dan menyelami muslihat di sebalik “baiknya hati” regim Dolah.

Ugutan membariskan 100,000 Pemuda PAS untuk melakukan protes di hadapan Istana Negara mendesak Yang Di Pertuan Agung campur tangan untuk memulihkan kredibiliti pentadbiran pilihan raya adalah bukan satu omongan [2]. Kata orang Kelantan -- buke gertok Keling (bukan ugut India).

Persiapan untuk itu sebenarnya telah dibuat sejak enam bulan lepas. Cuma menunggu tamat tarikh ultimatum yang tidak diwarwarkan kepada regim Dolah. Kata dua yang tidak ditulis dalam Harakah. Tamat tarikh untuk Dolah dan SPR berfikir dan bersetuju melaksanakan tuntutan PAS.

Dalam hal ini, nampaknya regim Dolah telah berkelip. Dolah’s regime blinked.

Tetapi itu bukan isunya. Isunya dengan menangya golongan konservatif PAS (juga di baca, ulamak) di peringkat tertinggi kepimpinan PAS, rakyat Malaysia dan pemerhati antarabangsa boleh menjangka untuk menyaksikan lebih banyak tindakan radikal akan diambil dalam PAS berpolitik, kata Kelantan berte’wah, bersaing dengan UMNO. Ugutan, atau memang dibuatnya protes 100,000 ahli parti bersabit dengan apa juga isu akan menjadi rutin.

Selamat menonton keterungkaian drama bersiri politik Melayu-Islam yang bakal berlangsung dalam hari-hari yang berikutnya.

Wednesday, January 31, 2007

Batu Talam: Laksana Remaja Beronani Sendirian …

Hijaunya hijau. Apakah erti simbolisme hijau? Kaler Islam Hadhari? Atau, melambang jiwa UMNO yang terlalu ingin jadi PAS? Dan langit biru KeAdilan?

Maaf, saya mohon kepada peminat blog ini, kerana sebelum ini dan untuk tempoh dua tiga minggu ke hadapan saya tidak dapat berkarya dengan baik dan sekerap yang lazim. (Ya lah, bukannya saya boleh bercerita dengan petah macam mana sangat pun, sekadar mampu menulis pada tahap yang saya fikir ramai yang boleh faham bila baca).

Kesuntukkan masa dengan hal-hal merancang punca rezeki keluarga untuk tahun ini terpaksa dibereskan dulu. Berborak hal-hal politik belakang kira sekejap, kata Inggeris, put on the back burner.

Ada pun kemudian dari itu, pengamatan saya tentang PRK Batu Talam adalah seperti berikut.

1. Tidak setuju PAS boikot.

Ramai yang tidak setuju dengan perbuatan PAS memboikot PRK ini. Tuduhan yang timbul dengan jelas kini,malah sejak awal lagi, ialah PAS tiada strategi susulan, bahkan tiada strategi tersusun untuk memastikan boikot PRK ini betul-betul menikam UMNO. Sekali imbas memang sangkaan tersebut nampak tepat, tetapi bagi saya kritikan itu adalah sekadar luahan emosi tertekan, dan bukan intelek yang bertutur.


2. Langkah boikot tiada precedent sejarah

Hakikatnya, tidak banyak yang PAS boleh buat selain dari mengumumkan pemboikotan, dan seterusnya bertindak mirip benar-benar memboikot. Sebab mengapa PAS hanya mampu berbuat demikian ialah klausa 9 (1) UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 5 AKTA KESALAHAN PILIHAN RAYA 1954 BAHAGIAN III

Pengaruh tidak wajar

9. (1) Tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa, atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, menggunakan atau mengancam hendak menggunakan apa-apa kekerasan, keganasan atau halangan, atau yang mengenakan atau mengancam hendak mengenakan, dengan sendirin atau melalui mana-mana orang lain, apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan atau kerohanian ke atas atau terhadap mana-mana orang bagi mendorong atau memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi, atau oleh sebab orang itu telah mengundi atau tidak mengundi, dalam mana-mana pilihan raya, atau yang dengan melarikan pemilih atau pengundi, dengan dures atau apa-apa tipu daya atau muslihat menghindar atau menahan mana-mana pemilih atau pengundi daripada menjalankan hak mengundinya dengan bebas, atau yang dengan yang dengan itu memaksa, mendorong, atau mendesak mana-mana pemilih atau pengundi sama ada memberi atau tidak memberi undinya dalam mana-mana pilihan raya, atau yang secara langsung atau tidak langsung mengganggu atau cuba mengganggu mana-mana orang daripada menjalankan hak pemilihannya dengan bebas adalah bersalah atas kesalahan pengaruh tak wajar.

Diberi klausa undang-undang ini, yang mungkin boleh juga diibaca dengan klausa-klausa undang-undang lain, saya kira PAS sebenarnya tidak boleh bertindak terlalu aggresif darihal pemboikotan ini. Yang mana, kita semua tahu fe’el UMNO bila rasa tersepit (seperti bila sudah dimalukan dengan boikot yang hampir total), akan memangsakan orang lain pula. Lihat contoh tindak tanduk UMNO dalam kes Operasi Lalang. UMNO yang cetus ketegangan, aktivis PAS yang kena ISA.

Malah sehubungan pemboikotan ini, belum lagi PAS sempat menggeliat untuk mula langkah, UMNO sudah panik dan dalam ketakutan pada bayang sendiri sudah buat lapuran polis. Maka itu, kiranya PAS jentik telinga UMNO sikit-sikit pun sudah memada’i.

Biru, simbolisme UMNO yang dalam ketakutan adalah kaler yang mempinaukan mata.

3. Penilaian angka-angka awalan.

Sebab itu, tidak terkecuali apa yang UMNO kokokkan, saya ajak tuan/puan mempertimbangkan sendiri fakta-fakta nombor berikut.

Jumlah penyokong tegar (hardcore)* kedua-dua parti politik PAS dan UMNO di Batu Talam adalah seperti berikut.

  • Penyokong UMNO 5,138: Penyokong PAS: 3,237: Jumlah Pengundi Tegar 8,375.

Di sisi maklumat latar di atas, akhbar melapurkan bahawa SPR kata, seramai 7,080 manusia telah keluar mengundi. Andaikan bahawa memang sohih 7,080 orang telah keluar mengundi, maka implikasinya ialah 1,295 (8,375 – 7,080 = 1,295) umat Batu Talam yang lazimnya keluar mengundi telah tidak mengundi pada 28hb Januari, 2007.

  • 1,295 orang dari 8,375 pengundi yang lazimnya keluar mengundi membawa maksud 15.5% telah memboikot PRK ini.

  • Dan kalau diambil kira anak hingusan yang menentang UMNO telah mendapat 419 undi, maka implikasinya ialah 1,714 telah (1,295 yang boikot + 419 undi bebas) orang atau 20.5% menempelak UMNO.

Bagi diri saya, angka 22,2% ini kira sudah cukup “orait” diberi tindakan boikot adalah satu pengalaman baru bagi semua pihak.

Ya, saya boleh bayangkan penyokong UMNO mendabik dada bahawa jumlah 22.2% yang memboikot PRK ini adalah kecil.

Tetapi dalam menilai samada angka 22.2% atau 1,861 pengundi itu besar atau kecil, kita kena ambil kira fakta bahawa (a) PAS tidak berbuat apa-apa yang agresif selain dari mengisytiharkan boikot, dan (b) calun bebas langsung tidak berkempen, malah dia sendiri tidak membuang undi!

Mempertimbangkan dua fakta yang disebut adalah memadai, dan belum ambil kira usaha mati-matian UMNO untuk pujuk rakyat keluar mengundi, serta penggunaan “trick” lain seperti membuang undi bagi pihak pengundi yang sebenarnya.

Saya akan sambung bebelan di komentar yang lain.


*Nota: Teori statistik mengatakan bahawa purata/min yang digarap dari satu siri masa, (time series), seperti rekod keluar mengundi dari beberapa pilihanraya, boleh di dekomposisikan kepada dua komponen – "komponen tetap" dan "komponen transitori". Untuk segala tujuan praktis, "komponen tetap" sokongan kepada UMNO dan PAS bolehlah dianggap sebagai “penyokong tegar.”

Batu Talam mempunyai seramai 239 orang pengundi yang berfe’el memunah/merosak undi. Sila amati di setiap Saluran dan Peti Undi bilangan undi rosak yang hampir sama dari satu PRU ke PRU yang lain dalam jadual-jadual sebelum ini. Dalam perkiraan dan perbincangan ini, undi dari kumpulan ini telah tidak di ambil kira.

Tuesday, January 09, 2007

Batu Talam: SPR Tulus – UMNO Panik

Sikap dan persepsi saya tentang apa juga peristiwa yang terlapur dalam akhbar, seperti yang tuan/puan sudah boleh cam setelah hampir tiga bulan membaca cara saya berfikir – adalah skeptikal dan sinis. Lantaran saya mengajak pembaca menilai gambar gelas di sisi. Separuh penuh atau separuh kosong?

Syahdan itu, tersebutlah kisah SPR sendiri mencadangkan bahawa ianya perlu dirombak.

Terharu saya membaca berita ini dan saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas keberanian bersuara dan kejujuran SPR dalam menghadapi kritikkan. Saya doakan semoga Allah menetapkan hati warga SPR – semoga bikin adalah seperti cakap.

Walaupun saya tahu bahawa dalam banyak hal, kaitan antara sebab dan musabbab itu mungkin tidak wujud, namun di peringkat peribadi saya merasa teramat berbaloi sungguh dalam menghabiskan masa dan daya dengan blog ini yang di antara lainnya, mendedikasikan persepsi dan kefahaman saya tentang tindak tanduk SPR. (Tuan/puan tidak perlu memberikan apa-apa reaksi tentang komen saya ini, kerana lepas subuh tadi isteri saya telah pun mengtahniahkan saya dengan “anugerah” yang terkhusus. Langsung menjadikan apa yang dunia kata dan buat kepada saya adalah irrelevant lagi inconsequential).

Bermudek dari pengamatan di atas, saya kira firasat UMNO tentang transformasi pemikiran warga SPR telah pun terbingkas. Maka itu tidaklah menjadi misteri jika kita dapati UMNO telah mula berbunyi panik, malah penasaran. Dengan hampir semua pemimpin atasannya membuat kenyataan akhbar yang berbunyi cemas. Walhal, selama ini depa dok canang kata Batu Talam itu adalah kubu kuat depa!

Sekali lagi saya ucapkan – SYABAS Suruhanjaya Pilihan Raya!

(Cuma satu perkara lagi, tolong piat sikit telinga bebudak sistem analisis dan pengaturcara komputer tu, supaya lebih peka tentang pengkelasan/pengkodan bangsa pemilih. Pengkodan (coding) bangsa pemilih “India” adalah terlalu teruk. Algorithma aturcara sisitem rekod SPR masih tidak boleh bezakan antara pemilih bangsa India -- Orang Asli -- Siam. Mesti dicerakin secara manual. Upah aja lah graduan-graduan menganggur yang ramai tu untuk bereskan kerja manual ni, yang sekaligus dapat lenyapkan segala prasangka).

Sunday, January 07, 2007

PRK DUN Batu Talam: Syabas SPR! Tapi … Tak Kan Telus Sampai UMNO Pun Keliru?

Wow! Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nampaknya begitu bersungguh dalam mengkotakan apa yang dikatakannya! Berpandukan daftar pemilih (bentuk softcopy) yang saya “tersepak” ketika berjalan di sekitar setesyen teksi Raub kelmarin, SPR nampaknya sudah menggugurkan hampir 160 nama pemilih yang tidak mempunyai kad pengenalan baru (12 angka).

Tidak pasti samada SPR berbuat demikian dengan persetujuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Jika tindakan tersebut adalah bersendirian, maka saya kira, saya perlu tabik SPR kerana keberanian untuk melakukan sesuatu yang betul lagi tepat.

Saya sanggup tabik SPR kerana dari apa yang saya faham, sehingga hujung tahun 2002 dulu, sudah tiada lagi rakyat Malaysia yang memiliki hanya nombor pengenalan tujuh (7) angka. Semua orang yang masih hidup sepatutnya telah pun diberi nombor pengenalan 12 angka.

(Bahagian gambar yang di highlight kuning menunjukan contoh nama yang digugurkan dari daftar pemilih. Perhatikan nama berkenaan mempunyai nombor pengenalan tujuh (7) angka. Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas).

Kalau diikut logik “picisan” sekalipun, adalah sukar dipercayai masih wujud lagi warga Malaysia yang mempunyai hanya satu nombor pengenalan, yakni nombor tujuh angka. Kerana sepengamatan saya, gerakan menggunakan nombor pengenalan 12 angka telah pun bermula dengan warga yang lahir pada tahun 1978 dulu. Bagi warga yang lahir dalam tahun tersebut, bila mereka mencapai umur 12 tahun dalam tahun 1990 dulu, JPN telah pun memberikan mereka nombor pengenalan 12 angka.

Malah seingatan saya, gerakan menggantikan kad pengenalan bentuk (serta nombor) lama kepada kad bentuk (serta nombor) baru telah dilakukan semenjak awal dekad 80han lagi. Dan saya masih boleh ingat (bukanlah saya ini tua sangat, jika ayat saya membayangkan demikian) ugutan denda jika gagal menukar kad pengenalan adalah satu “ciri piawai” bagi RTM dalam dekad 80han dan 90han dulu.

Maka itu adalah tidak munasabah, malah tidak patut, jika selepas diingatkan secara berterusan selama 20 tahun, masih ada lagi warga Malaysia yang ke hulu ke hilir dengan nombor pengenalan tujuh angka sahaja.

Bertolak dari cerita pengguguran nama pemilih yang memiliki hanya kad pengenalan lama, saya amati juga bahawa cerita daftar pemilih ini adalah masih lagi satu cerita “perjuangan yang belum selesai.”

Perhatikan lapuran akhbar berikut.

  • SPR dilapurkan oleh pelbagai akhbar sebagai berkata bahawa daftar pemilih terkini (disahkan sehingga 30 September, 2006) mempunyai 10,525 nama.
  • Di masa yang sama, tetapi dalam berita yang lain, Setiausaha Agung UMNO, Radzi Sheikh Ahmad pula dipetik menghebahkan bahawa daftar pemilih terkini DUN Batu Talam mempunyai 10,789 nama.
  • Daftar pemilih bentuk softcopy yang saya temui pula menunjukan terdapat 10,734 nama.

Andaikan buat seketika bahawa maklumat yang saya temui adalah salah (lagi tidak bertanggung jawab). Maka itu sila tumpu perhatian tuan/puan kepada perbezaan angka jumlah pemilih yang diumumkan oleh UMNO dan SPR. Perbezaannya ialah 264 pemilih.

Seterusnya jika hendak dihalusi, perhatikan bahawa UMNO mengatakan bahawa pemilih Melayu dalam DUN Batu Talam ialah 8,494 orang. Di masa yang sama, secara tidak langsung (indirect), SPR dilapurkan memberitahu bahawa DUN Batu Talam hanya mempunyai 7,683 pemilih Melayu (73% dari 10,525).

Beza jumlah pengundi Melayu mengikut rekod SPR dan UMNO ialah 811 hantu … maaf, silap taip … 811 Bangla, Indon, Mindanao … oops … silap taip lagi … 811 manusia.

811 pemilih adalah satu jumlah yang terlalu banyak dalam konteks persaingan politik di mana dua undi boleh menentukan parti mana yang mentadbir negeri. Tepulanglah kepada pembaca untuk menilai sejauh mana “kebaculan” congak saya.

Langsung saya bertanya: Adakah perbezaan-perbezaan angka ini satu pertanda? (Janganlah pula UMNO dapat satu versi, manakala PAS diberi satu versi daftar yang berlainan).

Saturday, December 30, 2006

DUN N06 Batu Talam: Gempur SPR, UMNO Tumbang!

Prolog: Dengan izin Allah, saya hadiahkan sekiranya ada, pahala dari satu bacaan Al Fatihah kepada Allahyarham Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, mantan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Batu Talam, Parlimen Raub Pahang. Beliau meninggal dunia pada pukul 6.15 petang, 27 Disember, akibat barah usus. Saya juga ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Ekoran kematian ADUN dari UMNO, SPR akan mengumumkan kekosongan kerusi DUN N06 Batu Talam, dan seterusnya menetapkan tarikh pilihanraya kecil (PRK). Sehubungan ini, belum sempat lagi kerusi DUN dengan rasminya diumumkan kosong, UMNO telah pun mencanangkan keupayaan mempertahankan kerusi tersebut.

Dan PAS, sebagaimana biasa dalam keadaan sebegini, juga telah mengishtiharkan kesanggupan untuk memberi UMNO tentangan sengit.

Lantas terlintas dalam hati kecil saya: Tak kan setakat “tentangan sengit” saja cita-cita PAS Pahang dengan DUN Batu Talam? Kalau awal-awal lagi sudah pesimis, sudah tidak punyai cita-cita besar, usahlah dibazirkan air lior, elok serahkan kerusi tersebut kepada KeAdilan saja. Senang begitu, sekurang-kurangnya PAS tidak sakitkan hati ahli/penyokong se Malaysia.

Selain dari insiden tersohor yang terjadi kepada Allahyarham Dato' Mazlan Idris ADUN Batu Talam yang dikerat 18 oleh Mona Fendey dan suaminya dalam tahun 1993 dulu, apakah yang menggerunkan sangat tentang DUN Batu Talam?

Adakah kerana PAS tewas 2,761 undi ditangan UMNO dalam PRU 2004 dulu maka itu DUN Batu Talam menggerungkan? Kalau itulah sebabnya, maka tenunglah jadual di atas sepuas-puasnya dan perhatikan perkara berikut:

  • Undi Rosak.

Jumlah undi rosak “kekal” pada tahap 239/238 undi dalam kedua-dua PRU. Membayangkan bahawa jumlah pengundi yang “buta huruf,” atau yang cacat penglihatan, atau yang kudung jari, atau yang berprotes, adalah tidak berubah.

Cuma beza satu undi sahaja dalam PRU 2004. Mungkin sipengundi “malang” ini sudah pindah atau pun meninggal dunia. Namun “geng pengundi rosak” ini masih sebanyak itu juga.

Arakian soalan lucah saya kepada SPR – kamu orang sengaja isytihar 238 undi penyokong PAS sebagai “rosak,” ya? Kamu orang memihak kepada UMNO, ya?

Dan soalan brutal saya kepada “polling agent” PAS – kamu orang tak sekolah atau apa? Kamu orang hangguk saja setiap kali orang SPR tunjuk/kata sesuatu kertas undi itu rosak? (Bantahlah, oi! Kalau tidak yakin) Apa? PAS Kawasan, PAS Negeri tidak latih kamu? Atau memang kamu sudah ada “ehem-ehem” dengan UMNO?

Maaf jika saya telah berkurang ajar, tetapi sememangnya hal-hal sebegini yang boleh menentukan kalah menang parti. Janganlah jadi kerja kita di peringkat akar umbi hebat, tetapi bila sampai bab-bab “polling agent” dan “counting agent” kita bengap. Ini semua “kes nanya” – rosak susu sebelanga dek nila setitik.

  • Jumlah pengundi berdaftar turun – undi UMNO naik.

Di antara tahun 1999 dan 2004 jumlah pengundi berkurangan seramai 136 orang. Biasalah itu, ada pengundi yang meninggal dunia, ada yang pindah dan sebagainya.

Di antara tahun 1999 dan 2004 undi UMNO bertambah 1,061 undi. Di masa yang sama undi PAS merosot 769 undi. Macam mana boleh jadi begini?

Katakanlah 769 undi yang PAS dapat dalam tahun 1999 dulu itu adalah undi penyokong UMNO yang marahkan Tun Dr Mahathir. Dan dalam tahun 2004 kerana faktor pembenci sudah tiada, maka mereka semua kembali pangkah UMNO. Kalau itulah yang berlaku, maka penambahan undi UMNO dalam tahun 2004 mestilah 769 dan bukan 1,061. Mana datang 292 undi ekstra (subsidi) untuk UMNO?

Seperti yang saya telah berulang kali leterkan dalam blog ini, kata orang Kelantan, beleber, kunci dan rahsia hakiki kejayaan UMNO dalam setiap PRU adalah terletak dalam senarai/daftar pengundi. Semak, awasi dan ulang semak daftar pemilih, dan pastinya PAS akan boleh jumpa hantu-hantu belaan UMNO! Bela hantu berpawangkan SPR.

Jadual di bawah datangnya dari sumber yang sama seperti yang saya perihalkan sebelum ini. Dan sebelum tuan/puan merenung jadual tersebut, baca amaran ini. (Klik di sini). Sekali lagi saya ingatkan baca dengan cermat dan fahami amaran saya tentang data daftar pemilih yang saya perolehi sebelum tuan/puan melatah dan melenting tidak tentu pasal.

Berpandukan data daftar pemilih yang ada, saya jangka tidak kurang dari 263 pengundi adalah mereka-mereka yang tersenarai dalam lebih dari satu Peti Undi dalam DUN Batu Talam. Maksud ada seramai itu pengundi yang “dibolehkan” mengundi lebih dari satu kali.

Hanya dengan berlakunya fenomena ini (mengundi lebih dari sekali) maka angka 292 undi ekstra yang UMNO dapat dalam tahun 2004 dulu dapat dihuraikan dengan munasabah! (Apapun, saya bersedia mendengar penjelasan alternatif yang lebih munasabah dari mana juga pihak, khususnya, SPR).

Amacam, PAS Pahang? DUN Batu Talam hanya ada 12 Peti Undi. Dan dalam pada itu pun, hanya tiga Peti Undi sahaja yang nampaknya “bermasalah.” Tak kan benda “celah gigi” sebegitu pun tidak boleh diselesaikan?


Epilog: Tuan Guru Nik Abdul Aziz pesan bahawa DUN Batu Talam adalah laluan mudah. Cerdik-cerdiklah berusaha ke arah itu.