Showing posts with label Video. Show all posts
Showing posts with label Video. Show all posts

Wednesday, May 02, 2007

Kepada Semua Aktivis Muda Yang Menyentuh & Disentuh Ijok

Masih tidak dapat lupakan Ijok? Ahhhh. Begitulah kehidupan ini. Bak kata perpatah kuno China (mungkin dari aliran mistik Tao Te Ching [1]) yang popular di Barat -- bila murid bersedia, guru akan muncul. When the student is ready, the teacher will appear [2], [3].

Bila kita sudah bersedia, kemenangan akan muncul.

Percayalah, Pak Chik sudah rasa apa yang kamu orang sedang rasa. Dan percayalah, luka pertama itu adalah yang paling menyakitkan. Pak Chik pun belajar melalui jalan payah, bahawa politik (cinta, perkahwinan, perniagaan dsb.) itu adalah lebih dari satu permainan. Yang kita memang bermain untuk menang, tetapi kita masih kalah juga.

Jangan putus asa. Nikmatilah clip video lagu ini, dan amati senikata. Jutaan insan telah mendapat kelegaan mendengarnya.

Nota: Saya akan cuti dari berblogging untuk beberapa hari demi memberi perhatian kepada hal-hal yang sudah banyak terabai. Jumpa lagi dalam sedikit hari.

Tuesday, May 01, 2007

Dan Pemenang Gusti Ijok Ialah …

Nun di Melaka, langit masih lagi menyahut seruan saya. Terkini ia menepuk pula perkampungan Portugis [1], selepas menepuk Putrajaya [2].

Ya, ya, saya tahu tuan/puan tidak datang ke blog saya untuk membaca cerita bertepuknya langit dan bumi, tetapi kerana ingin tahu pandangan sinis siapa pemenang sebenar pilihan raya kecil (PRK) Ijok. Maka itu saya minta maaf kerana melencung sedikit.

Dengan ini saya umukan: pemenang sebenar “gusti” Ijok ialah Najib dan Khir Toyo.

Ijok ialah medan di mana Abdullah dan Menantunya ingin saksikan kerjaya politik Najib-Khir disembelih [3], [4], [5], [6]. Tetapi sayang apa yang terjadi adalah tidak seperti dirancang.

Setelah rekod Najib dan Khir dijadikan isu hidup mati perjuangan Parti Keadilan Rakyat, dengan reputasi Najib-Khir diganyang habis-habisan, keputusan gusti menunjukan Najib-Khir masih punyai jentera setia [7], [8], [9]. Kempen UMNO-BN yang dikepalai Najib-Khir bukan saja menang, malah menang dengan peningkatan undi serta majoriti [10], [11].

Bagi Abdullah yang mengidamkan ufuk pertanda ketidak berkesanan Najib-Khir, yang sekaligus menandakan ketiada gunaan badut-badut itu kepada parti, keputusan gusti Ijok agaknya amatlah mengecewakan [12]. Keputusan Ijok tidak boleh dijadikan sebab kukuh untuk membuang mereka.

Mengapa saya sampai hati melabelkan PRK Ijok sebagai satu gusti? Jawapannya mudah.

Sama dengan perlawanan gusti tipikal yang ditayang di televisyen, unsur ganas adalah ramuan utama. Di Ijok, sejak dari mula loceng perlawanan dibunyikan (hari penamaan calun), sepanjang perjalanan kempen, hinggalah ke loceng penamat (hari membuang undi) berita adegan ganas di mainkan tanpa henti [13], [14], [15], [16].

Lagi? (Cewah, cewah, bertanya laksana seorang SB pencen yang ingin menghidupkan semula saat-saat rasa berkuasa yang teramat-amat di zaman berkhidmat).

Ganasnya menakutkan. Hampok sana, hentak sini. Tetapi tiada yang cedera (kecuali di Ijok, semuanya aktivis PAS, musuh sengoti UMNO). Dan lebih dari itu, turn of events, liku-liku drama kadang-kadang tidak terduga. Yang kena lanyak teruk akhirnya menang. Yang tangkas dan pantas tiba-tiba tidak boleh bangun kena body slam.

Nobat kemenangan UMNO-BN diikuti pula keesokan harinya dengan laungan berita keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO bahawa Anwar Ibrahim tidak akan diterima masuk semula ke dalam UMNO untuk selama-lamanya [17].

Aik? Sejak bila pula kemasukan semula Anwar Ibrahim ke dalam UMNO menjadi isu menggelegak negara hingga perlu dibincangkan di peringkat MT UMNO? Ribut tiada, taufan pun tidak, tiba-tiba MT UMNO sanggup membuang masa tiga jam untuk membincangkan kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO! Apa maksud ini semua [18]?

Adakah usul Anwar Ibrahim itu dibawa ke MT UMNO kerana beliau telah pun lulus segala ujian dan syarat di Ijok yang ditetapkan oleh Abdullah dan Menantunya? (The poor soul was made to jump through all those hoops. But to what end?). Dan persoalan yang juga teramat menarik sehubungan ini ialah; siapa di dalam MT yang begitu berani melawan arus dengan membawa usul? Seseorang dari barisan “hangguk dan geleng”? Abdullah sendiri?

Pathetic sekali [19]. Mencaci sudah. Berjoget sudah [20]. Tersasul pun sudah [21], [22]. Skrip dituruti dengan patuh. Namun kempunan jua. Hujan tak jadi. Habuan yang diharap dicantas orang.

Moral cerita? Setialah pada yang menyayang. Jujurlah kepada lidah sendiri. Jangan perkudakan yang berharap. Kerana sebaliknya, balasan datang sepantas masaknya mee segera.

Sunday, April 22, 2007

Woittt ... PAS Pasir Puteh: Janji Kita?



Tiada maklum balas pun.

Video clip di atas hanyalah sekadar hiburan selingan. Semoga menjana satu flash back ke zaman tuan-tuan muda-muda dulu. Dan bagi saya pula ia membangkitkan nostalgia, tersangkut di Moscow di suatu musim salji di zaman saya hingusan.

Salaam adanya.

Thursday, April 05, 2007

Isu Lojing: Faktanya Rakus Sekali



Mengapa UMNO Kelantan menepuk air di dulang? Apa ada di Lojing? Tidak cukupkah dengan projek lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai berharga RM1 bilion? (Kroni siapa yang dapat?) Masih belum kenyangkah dengan projek lebuhraya baru Bachok-Kota Bharu RM400 juta? (Kroninya?)

Sesungguhnya, ada apa dengan mu UMNO Kelantan?

Wednesday, April 04, 2007

Isu Lojing: Ada Apa Dengan UMNO?



Mengapa begitu marah sekali UMNO dengan Istana Kelantan? Apa yang tidak kena? Terkecewa kerana "seseorang" (atau sekumpulan orang) telah tidak diperkenankan darjah kebesaran di hari keputeraan DYMM Al Sultan Kelantan baru-baru ini? Hinggakan YB Datuk Husam Musa telah diajak melawati tapak tersebut dengan helikopter -- pada hari majlis kebesaran berlangsung?

Atau mungkin tanah KADA yang berdekatan dengan tapak istana baru telah "terganggu gugat"?

Ya, UMNO Kelantan, ada apa dengan mu sebenarnya?

Saturday, December 02, 2006

Internet & Blog Itu Fitnah?


Kalau diamati gesaan terbaru UMNO seperti yang dibuat di bawah, bolehlah dibayangkan bahawa UMNO kini berada dalam keadaan "panas lagi pedih." Kalau tidak begitu masakan internet, khususnya blog, dituduh sebagai penyebar fitnah.

02 Disember, 2006 13:51 PM

Media Diminta Tangkis Tohmahan Internet

TEMERLOH, 2 Dis (Bernama) -- Media perdana diminta menangkis dakwaan atau fitnah yang disebarkan menerusi internet autau blog terhadap sesuatu isu atau berkaitan dasar kerajaan.

Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam era langit terbuka kini, rakyat semakin mudah disogokkan dengan pelbagai maklumat menerusi media alternatif seperti internet, yang kandungannya belum pasti tepat dan benar.

"Oleh kerana kesan langit terbuka, kita dapati media alternatif seperti blog, internet misalnya mula berada di persada komunikasi kita. Kita tidak boleh sekat mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Lanchang 2006 di sini malam tadi.

Ahmad Zahid turut menasihati pengusaha blog atau mereka yang menulis dalam internet agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat.

"Setiap orang ada etika, ada nilai diri, kita harap pengusaha blog juga mempunyai etika," katanya.

-- BERNAMA

Fitnah apa ke bendernya, Bang oi?

Amnya blogger cuma mengulang cakap apa yang telah pun jenuh diperkatakan masyarakat. Ambillah apa juga isu masyarakat, dan pemerhati akan berjumpa isu itu diblogkan. Cuma beza dari bersembang di warung, wakaf, serambi surau, coffee house, dan lain-lain venue masyarakat bertukar fikiran, bloggers berhujah di alam maya. Yang dalam satu aspek, bloggers beronani mental dengan "hit counters" pada blog mereka.

Apakah sebenarnya yang menjadi duri dalam daging UMNO? Hakikat bahawa kebanyakan bloggers tidak bersependapat dengan pemikiran rasmi UMNO?

Kalau itulah bendanya, maka itu salah UMNO sendiri, Bang. Di segenap lapisan masyarakat, UMNO sengaja memilih Melayu yang ber-IQ rendah, hampa prinsip dan kabur maruah, lalu mempromosikan mereka sebagai pemimpin kaum. Kemudian itu UMNO mengharapkan puak-puak ini menjaguhi dan berhujah dengan penentang UMNO?

Itu penyebab pertama. Penyebab kedua ialah UMNO itu sendiri sudah dilihat rakyat sebagai hilang pertimbangan dalam banyak hal dan isu. Bercanggah dengan kekuda (stance) dan sikap umum. Ambil contoh isu Mat Rempit. Rakyat sudah mual dengan gejala ini. Sebaliknya UMNO melalui Briged Putera cuba memertabatkan gelagat buruk ini. Bila masa akan bertemunya minda rakyat dengan pemikiran UMNO?

Get real lah, Bang oi!

Bangsa Melayu kini mencari arah, menunggu kebijaksanaan, menanti kewibawaan, mengintai kerlipan idealisma dari pemimpin mereka. Tetapi mereka gagal bertemu itu semua dari saf kepimpinan UMNO. Salah siapa jika bloggers menawarkan apa yang rakyat dahagakan?

Sunday, November 26, 2006

Dadah dan Otak



Video ini adalah iklan anti-dadah paling berkesan digunakan dalam dekad pertengahan 80han dan 90han di Amerika Syarikat. Dialog iklan bermaksud:

Ini dadah.

Ini otak kamu kena dadah.

Ada apa-apa soalan?

Amati keterpakaian mesej iklan ini adalah sejagat.