Showing posts with label Pengantar isu. Show all posts
Showing posts with label Pengantar isu. Show all posts

Thursday, September 04, 2008

‘Peristiwa’ September 16 – Melayu Bakal Menang Sorak

Satu Malaysia mungkin sudah termimpi, sudah boleh nampak jelas dalam mata minda akan ‘era baru’ yang bakal terbit dengan matahari subuh September 16, 2008.

Ya, dan saya pun boleh bayang betapa gegak gumpitanya sorak yang akan menyambut hari itu. Hari rakyat Malaysia khususnya orang Melayu menang sorak kerana Anwar Ibrahim akan dinobatkan sebagai perdana menteri.

Selain itu apa lagi yang patut saya pestakan? Pengukuhan kuasa Melayu dalam pentadbiran negara? Pengukuhan kuasa Islam dalam pentadbiran negara? Tentunya tidak.

Kita mungkin berjaya tendang keluar gabungan bangsat Dolah Badawi, Anak Jantannya, Menantunya, Kalimullah dan Vincent Lim dari tampuk kuasa, dari Tingkat 4, tapi sebenarnya secara metafora, kita sekadar berjaya melompat keluar dari kawah, untuk tergolek masuk ke dalam api.

Jika benar terjadi 30 ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak menyeberang masuk ke Pakatan Rakyat, secara otomatik kuasa Melayu dan sekaligus dengannya aspirasi Islam dalam pentadbiran negara akan terhakis.

Sehubungan dengan lompatan yang dinanti ini, senario paling asas yang boleh dibayangkan ialah setiap negeri menyumbangkan 15 ahli parlimen.

Diberi taburan bangsa (ugama) ahli-ahli parlimen Sabah dan Sarawak, adalah berpatutan untuk dibayangkan kumpulan yang melompat itu datang dengan komposisi berikut: 11 Melayu (Islam), 6 China dan 13 Lain-lain bangsa (semuanya Kristian).

Apa yang bakal terhasil dari lompatan ‘Kumpulan 30’ ini ialah Pakatan Rakyat mempunyai 112 ahli parlimen berbanding Barisan Nasional dengan 110 – yakni Pakatan Rakyat mendahului dengan majoriti dua kerusi!

Tetapi masalahnya bukan pada majoriti dua kerusi.

Sebaliknya “ibu segala masalah” yang bakal menghantui pentadbiran Anwar Ibrahim terletak kepada peratusan kuasa Melayu-Islam dalam skema kuasa keseluruhan.

Dalam skema baru yang bakal terhasil, suara Melayu-Islam cuma berada di tahap 48%, malah mungkin lagi kurang dari itu. Diberi formula ini, bila-bila masa aspirasi Melayu-Islam boleh di over rule, diketepikan, dibenamkan.

Saya tidak jangka Anwar Ibrahim akan berjaya, hatta dapat bertahan lama meniti buih politik kenegaraan sebegini. (Khabarnya Anwar Ibrahim pun sedar tahap akut – acute -- akan realiti ini)

Hakikat manusia itu mudah. Kita boleh terima banyak benda secara intelek, terima di peringkat akal. Tetapi untuk benda yang sama dari segi emosi, kita langsung tidak boleh terima.

Contoh mudah adalah hantu. Di peringkat intelek, di peringkat akal kita mungkin tidak percayakan hantu. Tetapi cuba kita tercampak ke tengah jirat di tepi hutan di tengah malam. Emosi kita akan memberontak mendesak kita supaya meyakini bahawa ada hantu sedang mengawasi kita.

Begitu juga dengan status dan layanan selesa sebagai Melayu-Islam yang dikecapi selama ini. Orang Melayu-Islam masih lagi belum terantuk.

Sunday, November 19, 2006

Pssst! Ooi PAS. Diulik Mimpi Lagi?

Rolling out 180,000 dead voters.” Begitulah jerit tajuk berita muka depan The New Sunday Times (NST) hari ini, Ahad, tanggal 19 November, 2006. Namun sayang NST kini sudah bersaiz tabloid. Sudah tidak memberangsangkan untuk dibaca. Kalau masih lagi bersaiz broadsheet sudah tentu ada seorang dua penyokong PAS yang membacanya akan kena strok. Impak visual tajuk dan mesej apa-apa gambar muka depan suratkhabar broadsheet, berserta implikasi praktikal berita yang disampaikan, diakui kadang-kadang menusuk jantung.

PUTRAJAYA: At least 180,000 dead and counting. This is the number of registered voters the Election Commission has expunged from the electoral roll in three months to prepare for the next general election. And some of them have been dead for 20 or 30 years.

EC chairman Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman said there were thousands more.

He said he would not be surprised if by the time elections were called (latest mid-May 2009), the electoral roll would have fewer than the 10.3 million registered to vote in 2004.

Jujurkah Pengurusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dengan ceritanya?

Memang benarkah SPR sedang mengeluarkan 180,000 nama pemilih yang telah lama mati, sesetengahnya sudah lebih dari 20 tahun, dari daftar pemilih? Maksudnya selama ini SPR pun sedar dan tahu bahawa ramai nama yang terdaftar telah mati! Langsung wajar kita bertanya: Mengapa kini baru hendak bertindak? Mengapa selama ini sepanjangnya menafikan kewujudan nama pemilih yang sudah mati dalam daftar?

Atau, berita ini hanyalah isyarat rahsia kepada pemimpin UMNO-BN bahawa pembasmian nama-nama pemilih yang diketahui atau disyaki penyokong tegar parti pembangkang sedang dijalankan?

Apapun kebenarannya, atau muslihatnya, parti-parti pembangkang amnya dengan PAS khususnya, sepatutnya menjadikan penentuan “daftar putih” pemilih di satu-satu daerah mengundi itu satu jihad.

Pastikan nama-nama yang terdaftar di sesuatu peti undi itu memang wujud dan dikenali. Tambah pula dengan “operasi membasmi” yang sedang berlangsung kini, pastikan tiada nama penyokong yang masih hidup digugurkan. Jika berlaku sedemikian, protes habis-habisan, dengan apa cara sekalipun.

Sehubungan penyemakkan daftar pemilih, aktivis parti pembangkang di peringkat akar umbi adalah diingatkan supaya jangan terlalu menunggu inisiatif dan arahan dari pemimpin atasan. Harus diingat bahawa pemimpin pembangkang pun bukan semuanya malaikat lagi sempurna. Manusia tetap manusia, waima menganggotai parti politik apapun.

Ramai pemimpin pembangkang, PAS khususnya, yang sudah lama melangkaui tarikh luput. Ada pula sememangnya selama ini diselindungi imej intelektual lagi cerdik, tapi sebenarnya mempunyai daya imajinasi dan kebolehan mengurus ibarat tungau. Namun parti masih mengekalkan mereka dalam barisan kepimpinan laksana mereka itu ikon keramat yang semestinya dijadikan tangkal dalam berlawan dengan UMNO-BN. Ada pula pemimpin yang sudah lama berada “dalam kocek” UMNO-BN, kalau tidak pun dalam kocek SB – tetapi untuk sekian lama akan berbuih air liur kalau diberi.pentas untuk mengutuk UMNO-BN. (Sayang, tiada anugerah Sri Pentas untuk lakunan penyamar politik terbaik).

Dek kerana ini semua, bila daftar pemilih yang disahkan sehingga akhir Disember 2006 keluar kelak, lakukan apa yang perlu tanpa lengah. Dan sebelum itu semua, pastikan nama sendiri masih lagi ada dalam daftar!

Wednesday, November 15, 2006

Abdullah A. Bardawi Dalam Skema Penilaiannya Sendiri

Abdullah A. Bardawi pada Rabu, 15 November 2006, telah membentangkan kad kemajuan atau report card prestasinya sebagai Perdana Menteri sejak mengambil alih tugas itu pada 31 Oktober 2006. Abdullah diberitakan telah meminta rakyat menilai kehebatan beliau dalam 12 dimensi yang beliau panggil “gagasan 12.” Oleh kerana beliau sendiri (atau pun mungkin menantunya) yang memberi markah, maka setentunya Abdullah telah mendapat markah A+ sekurang-kurangnya dalam dimensi berikut:

Tuan/puan tidak perlu pecahkan kepala memikirkan dengan mendalam tentang dimensi di atas untuk mencapai satu rumusan yang saksama tentang prestasi Abdullah. Cukup hanya dengan menilai status/mutu perkara pertama yang terlintas di kepala tentang dimensi-dimensi tersebut.

Sebagai contoh, katakan prestasi Abdullah dalam dimensi ekonomi. Bolehkah tuan/puan memberi beliau markah “C” atau 50% bila mengenangkan kenaikan harga barangan harian dalam tempuh 12 bulan yang lepas? Boleh, tak boleh? Lakukan penilaian yang serupa tentang dimensi selanjutnya, dan anda pasti akan mendapat satu gambar yang tepat tentang Abdullah A. Bardawi.

Sudah bertemu rumusan? Baiklah, kita ke soalan kedua.

Wajarkah Abdullah A. Bardawi dibiarkan menduduki kerusi Perdana Menteri hingga parlimen dibubarkan untuk PRU 12 kelak?

Tuesday, November 14, 2006

Mampukah Abdullah A. Bardawi Bertahan? Jawapannya Banyak Bergantung Pada SPR

Bagi anda pelayar siber, usahlah dimimpi bahawa gambar atau penulisan internet yang bersifat “negatif” akan dapat menjatuhkan mana-mana politikus atau selebriti Malaysia. Berpandukan sejarah pergolakan masyarakat, khususnya pergolakan politik sejak 1997, pendedahan internet tentang apa juga khilaf sulit seseorang politikus atau selebriti sebenarnya tidak membawa banyak kesan di alam nyata.

Di zaman Reformasi dulu, di alam siber, Tun Dr Mahathir dimaki hamun 24 jam sehari, 7 hari semingu, 365 hari setahun. Namun beliau tetap kekal mentadbir Malaysia hingga ke suatu tarikh yang beliau sendiri pilih, yang beliau sendiri rasa sesuai untuk bersara. Begitu juga dengan nasib dua tiga orang artis muda. Gambar-gambar disaat intim disimbah ke dada siber, namun populariti mereka kalis pendedahan, malah makin menebal, bertambah popular ekoran pendedahan.

Seperti dengan negarawan yang beliau gantikan, Abdullah A. Bardawi kini diserang hebat melalui internet. Serangan dibuat bukan sahaja terus kepada beliau, malah secara tidak langsung melalui menantu beliau. Begitu hebat serangan hinggakan pemerhati politik asing pun sudah berkeyakinan untuk membuat telahan akan nasib politik beliau. Tubian serangan siber adalah sebegitu rupa hinggakan Abdullah Bardawi terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa beliau bermaksud untuk pertahankan kedudukan waima sehebat manapun dikritik.

Ramai berpendapat tempo dan irama perhimpunan agung UMNO yang sedang berlangsung adalah pembayang samada Abdullah A. Bardawi mampu bertahan sehingga PRU 12 dan selepas itu. Saya walau bagaimanapun mempunyai pendapat yang berbeza.

Penguasaan Presiden UMNO ke atas ahlinya adalah mutlak lagi total. Ya, mungkin ada secalit dua rungutan dan rajukan kecil di sana sini, tapi rata-ratanya sokongkan ahli UMNO terhadap Abdullah A. Bardawi adalah padu.

Kesepaduan UMNO dalam berfikir selari (groupthink), itu satu faset (facet). Tetapi sebenarnya faset yang mengizinkan monopoli UMNO dalam politik negara ialah kesediaan SPR untuk bersekongkol.

Gambar di bawah ialah screen shot satu halaman yang dipilih secara rawak dari Rang Daftar Pemilih Tambahan Untuk Suku Pertama tahun 2006 bagi Kelantan. Halaman yang dipaparkan adalah tipikal dalam ertikata menunjukan perincian perubahan dalam daftar pemilih. Kebetulannya, saya terjumpa daftar bagi Unit Peti Undi (UPU) Larat, dalam DUN N17 Salor, Parlimen P24 Kubang Kerian, Kelantan.

Izin saya menarik perhatian pembaca kepada dua perkara besar dalam halaman ini:

  • Penandaan Pemotongan – Tiada Rekod di JPN
  • Penandaan Pemotongan – Masuk Polis


Sebelum tuan/puan membaca selanjutnya, izin saya tegaskan di sini bahawa apa juga yang saya bincangkan selepas ini adalah semata-mata dalam konteks menyerlahkan konsep, dan sebesar zarrah pun saya tidak berniat untuk mengaibkan nama-nama yang tersenarai sebagai Bilangan 33 dan 34.

Penandaan Pemotongan – Tiada Rekod di JPN

Apa yang menghairankan tentang perkara ini ialah SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah dua jabatan kerajaan yang sebahagian besarnya telah dikomputerkan sejak tahun-tahun lewat 80han lagi. Persoalannya kini ialah mengapa hanya dalam tahun 2006 baru SPR bertemu nama pemilih yang tidak wujud dalam rekod JPN? Sejak bila nama tersebut terdaftar? Adakah nama-nama sebegini yang dimaksudkan dengan “pengundi hantu”?

Dan lagi, sebelum penemuan ini, sudah berapa kali “pengundi” dengan nama dan kad pengenalan ini keluar mengundi? (Tidak pernah? Berani bersumpah dalam mahkamah?) Amnya, dalam kes sebegini apa kepastian dan jaminan yang berani SPR beri?

Penandaan Pemotongan – Masuk Polis

Isu pengkomputeran, itu satu perkara. Tetapi isu kedua yang lebih besar ialah bagaimana seorang anggota polis, yang lazimnya sebelum lagi tamat latihan pun telah diberikan kad pengenalan baru (kad kuasa) menggantikan kad pengenalan awam, boleh tersenarai sebagai pemilih dengan kad pengenalan lama.

Sehubungan ini timbul soalan cepumas: penama mengundi dengan menggunakan kad pengenalan mana? Kad pengenalan awam atau kad kuasa polis? (Kalau jawabnya ialah kad pengenalan awam, maka sekaligus ini bermakna pengundi ada dua kad pengenalan!).

Bolehkah SPR memberi jaminan bahawa selama pemilih terdaftar dengan kad pengenalan awam, penama hanya mengundi sekali sahaja dalam setiap pilihraya? Dan tidak mengundi di UPU X dengan kad pengenalan awam, tetapi dalam waktu yang lain pula telah mengundi di “peti undi POS Y” dengan menggunakan kad kuasa polis?

Respon rutin UMNO dan SPR bilamana soalan sebegini dibangkitkan ialah menggonjengkan (meremehkan sambil menghina) parti-parti pembangkang. Lazimnya menuduh parti pembangkang berhisteria untuk menutup kelemahan. Dan malangnya ramai pula pengundi yang bersependapat dengan UMNO dan SPR.

Tetapi percayalah, kepincangan daftar pemilih seperti inilah (yang diperbetulkan dikit demi sedikit, seolah-olah penyu bunting naik bertelur), jika ianya disalahgunakan, yang boleh memenangkan parti yang SPR sokong. Atau membuat tokoh tertentu nampak begitu popular.

Apa? UMNO selama ini tidak pernah menyalahgunakan kuasa?

Sunday, November 12, 2006

Misteri Razak-Altantuya: Misteri Berapa Kali Seorang Askar Wataniah Boleh Mengundi

Untuk memahami cerita-cerita intriq lagi bermisteri yang dihidangkan bertubi-tubi di dada media negara mutakhir ini, kita mesti punyai kefahaman asas tentang apa itu persepsi.

Lakaran di sebelah membayangkan bagaimana tanggapan, tafsiran atau persepsi manusia itu adalah berbeza, walaupun melihat gambar yang sama. Apakah objek lakaran? Seorang perempuan muda? Atau seorang perempuan tua? Apa juga jawapan yang diberi adalah tertakluk kepada debat.

Bukan setakat lakaran ini sahaja. Malah “kebenaran” atau “hakikat” bagi segala berita, analisis, penulisan, hujah, bisikan, percakapan, wayang, permandangan, lakunan atau perlakuan yang melintasi deria kita adalah subjektif. Kita semua mempunyai tafsiran, kefahaman yang tersendiri, yang mungkin berbeza dari orang lain yang mengalami input deria yang sama.

Mengikut berita yang ditimbunkan ke muka media massa hampir setiap empat jam sekali sejak Rabu, 8 November, Abdul Razak Baginda seorang pemerhati politik dan strategi yang terkemuka telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam satu kes pembunuhan brutal seorang model wanita bangsa Mongolia.

Mengikut berita, model bernama Altantuya itu telah ditembak dua kali di kepala, kemudian mayatnya diletupkan. Apa yang membuat berita ini membangkitkan minat sejumlah besar warga ialah Razak dipaparkan mempunyai hubungan intim dengan mangsa. Yang mana sekaligus jika maklumat itu benar, maka ramai orang Melayu telah pun secara tidak sedar merumuskan –kes klasik, habis manis sepah diletupkan.

Namun, selepas tiga hari berlangsungnya perbicaraan media tentang kes ini, keluarga model yang dipercayai mati itu telah mengeluarkan kenyataan berikut.

Keluarga Altantunya Percaya Dia Masih Hidup

PETALING JAYA, 11 Nov (Bernama) -- Keluarga model sambilan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu @ Aminah, 28, yang dipercayai dibunuh secara kejam di negara ini kira-kira dua minggu lepas, percaya dia masih hidup.

Bapa Altantuya, Shariibuu Setev, yang tiba di sini semalam, memberitahu sidang akhbar yang padat dengan pemberita hari ini, masih terlalu awal untuk mengandaikan bahawa cebisan tulang yang ditemui polis seminggu lepas di satu kawasan terpencil dekat Empangan Subang di Puncak Alam, Shah Alam, adalah daripada mayat Altantunya.

"Kita perlu menunggu hasil ujian DNA untuk mengesahkan ia mayatnya. Setakat hari ini, saya dan keluarga percaya dia masih hidup...kami berharap cebisan tulang yang ditemui polis itu bukan dia.

"Setakat ini kita belum dapat mengesahkan apa-apa kerana polis hanya menjumpai cebisan tulang. Tunggulah sehingga polis selesai menjalankan siasatan," kata bapa berusia 56 tahun itu dengan mata yang berkaca-kaca menahan air mata kepada kumpulan besar wartawan yang hadir di pejabat Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia di Sunway Damansara di sini hari ini.

Oops! Apa sudah berlaku? Keluarga “mangsa” yakin bahawa Altantunya masih hidup! Ya, kita boleh sangkal dakwaan itu sebagai harapan palsu keluarga yang dilanda tragedi. Namun sebelum berbuat demikian, kita harus peka bahawa keluarga “mangsa” mesti mempunyai asas yang kukuh untuk mendakwa sedemikian. Dan dalam segala apa perkiraan, kita kena sedar bahawa kelaurga Altantuya mempunyai sejuta satu maklumat latar yang lagi sohih berbanding kita semua.

Bagaimana kita sebagai sasaran media harus “mencerna” maklumat sebegini, setelah ramai bijak pandai di kalangan kita mengeluarkan seribu satu tafsiran, hubungkait, dan implikasi kes ini.

Langsung sampai ke persoalan yang wajar:

  • Benarkah Altantuya sudah mati?
  • Jika mati, benarkah mayat Altantuya telah diletupkan?

Walaupun kes Razak-Altantuya adalah satu peristiwa “one-off,” peristiwa sekali sekala, namun sesetengah pemerhati politik berpendapat keterungkaian misteri ini mungkin boleh merubah barisan kepimpinan tertinggi negara yang ada kini. Gelegak rasa ingin tahu memang membuat hipotesis yang mengalir kini di litar khabar angin teramat munasabah.

Namun bagi saya itu semua adalah pertunjukan sampingan dalam satu sarkes (circus) yang besar. Banyak lagi perkara-perkara bermisteri yang berlaku secara berkala di negera ini, yang menjadi rutin, yang memerlukan perhatian massa. Sebagai contoh, persoalan samada seorang askar Wataniah itu hanya dibenarkan mengundi sekali.

Gambar di bawah ialah screen shot (imbasan skrin komputer) daftar pemilih untuk Dewan Undangan Negeri N39 Kota Damansara, Selangor, bertarikh Jun 2005. Perhatikan bahawa kesemua 31 nama yang tersenarai mempunyai dua kad pengenalan – satu kad pengenalan awam dan satu kad pengenalan tentera (nombor berpangkal ‘T’ di hujung nama). Dalam kes ini semua penama berdaftar untuk mengundi di ‘Unit Peti Undi (UPU)’ Kem Sungai Buloh.

Diberi pemilih mempunyai dua kad pengenalan, persoalan cepumasnya ialah, beranikah SPR menjamin bahawa pemilih hanya dibenarkan mengundi sekali sahaja dan tidak dibolehkan mengundi dua kali. Yakni, mengundi di UPU X dengan kad pengenalan tentera, dan sekali lagi di UPU Z dengan kad pengenalan awam.

Percayakah anda bahawa selama ini semua askar Wataniah itu hanya mengundi sekali?

Friday, November 03, 2006

Musuh Dalam Selimut: Kim Philby Agen Asing Yang Mengkhianati Negara Sendiri

Kim Philby, seorang perisik Britain telah dirakam sejarah sebagai agen KGB (agensi periskan Soviet Union) yang paling berkesan dalam mengkhianati negeranya sendiri. Dilahirkan di India pada tahun 1912, Kim Philby adalah anak seorang diplomat. Bapanya St John Philby, selain dari menjadi diplomat adalah seorang pengarang dan Orientalis yang ternama. Di hujung kerjayanya St John Philby memeluk Islam dan telah diambil menjadi penasihat kepada Ibn Saud, Raja Arab Saudi.


Kerjaya Kim Philby sebagai musuh dalam selimut bermula sejak dari bangku universiti lagi, ketika beliau berkuliah dalam jurusan sejarah dan ekonomi di Cambridge University. Ketika itu Kim Philby mula menunjukan kecenderungan yang mendalam kepada ideologi komunis.


Berselindung disebalik “cover” sebagai seorang wartawan, Kim Philby memulakan kerjayanya sebagai seorang agen upahan KGB sebaik sahaja tamat pengajian. Setelah hampir 10 tahun berkelana sebagai wartawan, beliau telah berjaya mendapat kerja sebagai perisik dengan agensi perisikan Britain MI6. Semenjak itu bermulalah kerjayanya sebagai musuh dalam selimut.


Semasa Perang Dunia Kedua, sebagai musuh dalam selimut Kim Philby memainkan peranan besar dalam memastikan Russia mendapat maklumat strategik tentang pergerakan tentera Britain melawan German. Dengan cara itu Russia telah dapat memintas segala langkah tentera British dan akhirnya dapat menawan sebahagian besar negara German. Daerah yang ditakluk Russia kemudiannya dipanggil German Timur dan kekal sedemikian hinggalah berlaku penyatuan wilayah-wilayah German dalam tahun 1990.


Setelah tamat perang, Kim Philby telah dihantar ke Amerika Syarikat sebagai pegawai laison (perhubungan). Di sana beliau memainkan peranan penting dalam membolehkan Russia mendapat rahsia pembikinan bom nuklear. Ekoran itu, Russia dengan segara berjaya meletupkan bom buatannya sebaik sahaja Amerika Syarikat meletupkan bom hydrogen yang pertama.


“Krisis Cuba” dalam tahun 1962 juga adalah hasil kerja tangan Kim Philby. Berpandukan rahsia jumlah bom nuklear milek Amerika Syarikat yang dibocorkan oleh Kim Philby, Russia telah berani mencabar negara tersebut dalam menyelamatkan Cuba sebuah pulau kecil yang berfahaman komunis dari digempur oleh Amerika Syarikat. Krisis tersebut telah hampir mencetuskan Perang Dunia Ketiga kalau tidak disebakan presiden Amerika Syarikat ketika itu bertindak untuk mengalah.


Kim Philby tidaklah tersohor berseorangan. Disamping beliau ada lagi empat bekas penuntut Cambridge University, semua perisik Britain, semuanya anak-anak keluarga elit Britain yang menjadi agen Russia. Sejarah telah melabelkan kumpulan berlima ini sebagai “The Cambridge Five.”


Jika ada satu pengajaran besar yang dapat digarap dari kisah pembelotan The Cambridge Five, maka pengajaran itu ialah musuh dalam selimut dan pengkhianat negara bukanlah dari kalangan marhaen yang bersekolah lebeh kurang. Musuh dalam selimut bukanlah “pariah-pariah” terdesak dalam perkhidmatan kerajaan. Malah dalam kes Kim Philby, beliau mempunyai kerjaya yang cermerlang dalam MI6 hingga pernah dilantik sebagai Ketua Seksyen Perisikan Russia.


Malaysia tidaklah begitu liberal dari segi pendedahan maklumat. Oleh itu rakyat tidak dapat membaca sejarah negara dari aspek perisikan. Walaupun tiada keterbukaan, boleh diagak bahawa Malaysia pun pernah mengalami masalah musuh dalam selimut.


Perisikan bukanlah satu aktiviti yang mempunyai noktah. Seperti juga manusia, selagi sesebuah negara itu wujud, maka musuhnya tetap wujud. Darjah permusuhan di peringkat individu dan negara itu mungkin berbeza, tetapi musuh, nyata atau tersembunyi tetap wujud. Maka itu perisikan akan tetap diperlukan.


Langsung kita ke soalan cepusmas. Wujudkah kini musuh dalam selimut dan talibarut asing dalam Pentadbiran Abdullah?

Tuesday, October 31, 2006

Menilai Kepimpinan: Di aras mana Abdullah berbanding Mahathir?

Hebat benarkah Tun Dr Mahathir maka itu kebelakangan ini kita jenuh mendengar dan membaca betapa “kepimpinan” beliau adalah jauh berbeza dari apa yang ditunjukan oleh Abdullah Ahmad (Bardawi)? Hingga sesetengah pemerhati masyarakat berani mengatakan bahawa Abdullah itu adalah tidak lebeh dari satu boneka dalam penampilannya.

Bermula jawapan bagi soalan ini ialah kefahaman kita tentang apa itu “kepimpinan”.

Dari satu sudut, “kepimpinan” atau dalam bahasa Inggeris “leadership” adalah satu konsep persis “klimaks seks. Semua orang tahu (di peringkat rasa) tetapi terlalu sukar untuk dihuraikan. Malah, untuk sebilangan besar umat dunia, tidak terhurai pun.

Sehubungan kedua-dua ini, kita semua tahu menilai “mutu,” yang mana terbaik lagi menfanakan, atau yang mana tidak. Namun, setepatnya kita tidak dapat meletakkan di mana, atau menyebutkan apa itu yang menyebabkan kita memberi rating, penarafan, yang tinggi untuk sesuatu kepimpinan atau hasil hubungan kelamin.

Carian ilmiah menunjukan bahawa dalam dunia di mana Inggeris adalah lingua franca, wujud tidak kurang dari 200 takrif kepimpinan yang digunapakai. Itu belum diambil kira perbincangan kepimpinan dalam bahasa Perancis, Sepanyol dan German. Sekadar mendapat bayangan betapa kompleks dan menakjubkan subjek ini, lakukan satu carian “dogol” internet ke atas perkataan “leadership” dan pastinya anda akan bertemu dengan hampir 271 juta halaman web yang mengandungi perkataan ini.

Diberi maklumat latar di atas, hampakah usaha kita untuk menilai Abdullah dan Mahathir?

Tidaklah begitu. Untuk tujuan kefahaman dan perbualan harian kita, mulai kini hingga tamat PRU ke 12 kelak, takrif dan konsep kepimpinan berikut boleh digunapakai untuk menilai di mana letaknya hebat dan keberkesanan kepimpinan yang kita temui dalam hidup seharian kita.

Takrif

Takrif ini boleh dirajahkan seperti berikut.

Bermula di sini, jangkanya kita sudah boleh menilai di mana kena atau tidak kena, di mana silap atau betul, di mana berkesan atau selekeh, kepimpinan yang kita alami.

Amati ciri watak yang cuba memimpin, dan padankan dengan ciri kumpulan pengikut yang cuba dipimpin, maksudnya diri kita sendiri, dan padankan dengan situasi semasa, atau yang bakal dihadapi.

Diberi sesuatu keadaan bolehkah pengikut menerima ciri pemimpin? Atau lebih tepat tanyakan -- dalam keadaan ini adakah pemimpin mempunyai pengikut? Kalau ada, berapa ramai?

Contoh menilai.

Jawapan kepada soalan begini, dalam 101 situasi yang difikirkan sedang atau bakal menyelubungi masyarakat, dipadankan dengan 101 ciri watak yang cuba memimpin, digandingkan pula dengan 101 hasrat dan nilai bersama masyarakat yang perlukan kepimpinan, sepatutnya menentukan samada barisan pemimpin yang ada kini patut dikekalkan atau tidak selepas PRU 12 kelak.

Friday, October 27, 2006

Piliharaya di Amerika Syarikat Pun Tipu

Satu rumusan yang boleh dibuat tentang kelompok penganalisis politik Malaysia, ialah mereka rata-ratanya sepakat dalam menuduh parti-parti lawan kepada UMNO-BN sebagai “whinner,” (banyak songel, banyak merengek) setiap kali mereka menyuarakan syak bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersekongkol dengan UMNO-BN dalam sesuatu pilihanraya.

Parti patriot negara seperti PAS khususnya sering dituduh hanya mencari daleh menjustifikasikan kekalahan, menutup kelemahan, setiap kali PAS membangkitkan aspek-aspek kecatatan perlaksanaan sesuatu pilihanraya. Nyanyian korus para penganalisis politik ini telah memberangsangkan SPR. Lantaran, SPR tidak merasakan perlu untuk mengambil endah aduan PAS, apatah lagi rungutan rakyat biasa. Tuduh lah apapun, tunjukanlah bukti apapun, SPR tidak goyah.

Dalam berdepan dengan apa juga tuduhan tidak saksama dalam mengendalikan pilihanraya, kekuda (stance) SPR dan UMNO-BN ialah berlagak “perawan suci” wal “tiga berok mualim” – tidak melihat sebarang kejahatan, tidak mendengar sebarang kejahatan, dan tidak menuturkan sebarang kejahatan. Jawapan piawai UMNO-BN dan/atau SPR ialah pengendalian pilihanraya Malaysia adalah mengikut piawai antarabangsa.

Namun bila kita katakan bahawa pengendalian pilihanraya Malaysia menepati “piawai antarabangsa,” sebenarnya, standard negara mana yang kita ikut? Kalau jawabnya ialah standard Amerika Syarikat, maka sahlah bahawa di Malaysia pun, penipuan pilihraya adalah satu amalan ruji. Satu asam garam.

Kalau perlakuan pilihanraya Amerika Syarikat itulah tanda aras perlakuan Malaysia,maka kita kena sedar bahawa Presiden George W Bush ketika pertama kali dilantik menjadi ketua negara dalam tahun 2000 dulu sebenarnya bukanlah dipilih rakyat. Beliau sebenarnya ialah presiden lantikan mahkamah agung Amerika Syrikat. Dalam pusingan pertama kiraan undi, George W Bush sebenar kalah kepada lawannya Al Gore hampir 500,000 undi. Tetapi ekoran pertikaian kiraan undi di Florida yang menyaksikan kedua-dua calun membawa kes ke mahkamah, silap mata politik peringkat tertinggi, politik tahap dewa-dewa telah menyaksikan George Bush diisytiharkan pemenang pilihanraya.

Amerika Syarikat itu kan canggih? Sistem pilihanraya, sekaligus dengan kaedah membuang undi pun berkomputer penuh. Mengapa sampai boleh jadi begitu? Jawabnya mudah, selagi manusia itu boleh dirasuah, dan selagi manusia itu ada yang gila kuasa, tiada apa perlakuan yang mustahil. Mesin dan komputer boleh diprogramkan untuk memihak. Malah, nama pemilih pun boleh hilang dari daftar pemilih. Itu negara termaju dalam dunia kini. Persis macam di Malaysia, negara Dunia Ketiga.

Seperti juga di Amerika Syarikat, “kejanggalan” dalam proses pengendalian pilihanraya tidak perlu berlaku diseluruh negara. Hanya perlu berlaku di satu atau dua tiga tempak strategik untuk menentukan keputusan keseluruhan.

Jadual di bawah ialah senarai keputusan undi untuk 10 kerusi parlimen semasa pilihanraya 2004 dulu. Perhatikan bahawa UMNO-BN menang bagi kesemua tersebut, tetapi dimasa yang sama perhatikan juga jumlah “undi hilang” dan “undi rosak.”



JUMLAH UNDI

Kerusi Parlimen

UMNO-BN

PAS

KEADILAN

DAP

Rosak

Hilang

P036 - KUALA TERENGGANU

30,994

29,061



790

10,254

P074 - LUMUT

27,415


15,801


1,477

5,486

P106 - PETALING JAYA UTARA

32,422



17,379

619

1,640

P039 - DUNGUN

26,398

21,502



708

1,598

P081 - JERANTUT

21,349

12,892



776

1,427

P130 - RASAH

25,009



20,449

1,264

1,306

P068 - BERUAS

15,867



11,303

1,102

1,046

P060 - TAIPING

20,129


4,371

17,957

1,337

1,027

P152 - KLUANG

33,001



14,303

1,477

881

P071 - GOPENG

29,660


15,400


1,323

831



Bagaimana 10,254 kertas undi boleh hilang di P036 Kuala Terengganu? Bagaimana 5,486 undi boleh hilang di P074 Lumut? Mengapa begitu banyak undi rosak? Wujudkah begitu ramai manusia buta huruf dan/atau buta fizikal di kawasan-kawasan tersebut hingga undi yang dibuat boleh dianggap rosak? Mengapa hingga kini SPR tidak berani mengeluarkan sebarang penjelasan tentang fenomena ini?

Fenomena undi hilang hanya boleh berlaku jika salah satu atau kedua-dua keadaan berikut diizinkan terjadi.

  • Ada manusia yang telah dibenarkan mengundi lebih dari sekali. Di mana untuk undian kali kedua, pengundi diarah membuang undi hanya bagi kerusi DUN atau parlimen sahaja, dan tidak kedua-duanya. Maksudnya kertas undi yang tidak dipangkah telah dibenarkan dibawa keluar dari tempat membuang undi.
  • Wujud dua daftar pemilih. Satu daftar pemilih (andaikan dipanggil “senarai rasmi”) untuk kegunaan semakan umum dan parti menentang UMNO-BN, dan satu lagi untuk kegunaan SPR dan UMNO-BN. Daftar pemilih untuk SPR dan UMNO-BN mempunyai jumlah pemilih yang lebih besar dari “senarai rasmi” di nana nama-nama yang “terlebeh” itu adalah mereka-mereka yang diyakini “patuh” mengikut segala arahan UMNO-BN.

Salah di pihak SPR dan UMNO-BN itu mudah dituduh. Mudah diterima emosi. Tetapi dimasa yang sama, parti-parti yang mempertahankan demokrasi juga perlu melakukan muhasabah diri. Paling tidak, mesti berani tanya diri sendiri samada petugas parti di kalangan “polling agent” dan “counting agent” sudah diberi latihan yang secukupnya, sekurang-kuranghya tiga bulan sebelum hari mengundi.

Janganlah bergantang peluh dan bercupak air lior dibuang dalam berkempen, tetapi di saat mengira undi, “counting agent” hanya tahu angguk, langsung tidak tahu membantah, persis tikus basah, monyok, akur kepada segala cadangan petugas SPR yang mengira undi.

Seterusnya parti mesti berani muhasabah samada wujud “talibarut” di peringkat kepimpinan. Talibarut memang begitu sifatnya – merekalah yang paling lantang menentang UMNO-BN, paling aktif dalam kerja-kerja parti, tetapi dimasa yang sama merekalah manusia yang dalam diam paling giat mensabotaj parti sendiri.

Perbuatan sabotaj parti bukanlah satu perkara yang susah untuk dilakukan. Terutama bagi talibarut dalam saf kepimpinan di peringkat negeri. Tidak perlu jadi “informer” kepada UMNO-BN tentang segala rahsia parti. Bagi mereka yang ditugaskan untuk meneraju gerak kerja pilihanraya, cukup dengan mengabaikan hal-hal latihan petugas pilihraya.

Thursday, October 26, 2006

Hukum Ekonomi dan Tarikh Pilihanraya ke 12

Kini spekulasi tarikh pilihanraya umum ke 12 (PRU 12) bukanlah lagi satu francais ekslusif golongan pengamal dan sarjana politik, tetapi sudah menjadi aktiviti santai kaum marhaen, tidak terkecuali tua atau muda, lelaki atau perempuan. Berlandaskan beberpa aksiom dan korolari pemikiran sosiopolitik, ada beberapa tarikh telah menjadi sangkaan popular.

Pertama ialah PRU 12 akan diadakan sebelum bulan April 2008. Tarikh ini ditetapkan kerana mengikut perkiraan sebilangan besar bijak pandai politik, pentadbiran Abdullah Bardawi mesti memintas tarikh tamat sekatan berpolitik ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang dijangka berakhir sekitar bulan Mei 2008.

Dalam mendokong tarikh ini, peminat membuat dua andaian kritis tentang pentadbiran Abdullah Bardawi dan DSAI. Pertama, peminat mengandaikan bahawa DSAI itu masih lagi merupakan satu tenaga politik yang kencang untuk membakar emosi pengundi.

Andaian kedua bermaksud peminat berpegang bahawa pentadbiran Abdullah Bardawi selamanya menganggap DSAI itu seteru tanpa ruang untuk maufakat.

Perhatikan bahawa kedua-dua andaian yang tidak digurindamkan ini berkemungkinan salah. Realitinya mungkin DASI kini sudah seperti pemetik apai yang kehabisan gas (dalam slanga Kelantan -- habih geh), dan pentadbiran Abdullah Bardawi dalam meraba sokongan, mungkin juga akan memeluk DSAI, sekurang-kurangya untuk tempuh kempen pilihanraya.

Tarikh kedua yang juga kerap disebut oleh sebilangan besar "insider" dan pengamal politik (UMNO dan Keadilan, khususnya) ialah sekitar akhir bulan Jun 2007. Tarikh ini dipilih kerana mengikut perkiraan mereka, ekonomi Malaysia akan menjadi semakin lesu dan terbius selepas tarikh itu.

Perhatikan bahawa andaian yang membawahi telahan di atas ialah status kesihatan dan halatuju ekonomi negara, yang mana semuanya bergantung kepada jadi atau tidak Amerikat Syarikat dan sekutunya berperang dengan Iran (dan sekutunya). Ketika ini, semuanya adalah kebarangkalian.

Jadi atau tidak perang, dan kalau jadi, menang atau kalah Amerika Syarikat, keputusannya kita semua sudah ada sikit sebanyak firasat tentangnya. Menang, Amerikat Syarikat akan jadi arang, dan kalau kalah, tentunya akan jadi abu.

Dan di sinilah masalahnya -- Amerika Syarikat adalah rakan kongsi perdagangan Malaysia yang ketiga besar, selepas Jepun dan China. Pincang ekonomi Amerika Syarikat kerana perang Timur Tengah, besar kemungkinan separa tempanglah ekonomi Malaysia jadinya. Bersediakah pentadbiran Abdullah Bardawi dengan kemungkinan itu? Tekaan saya adalah sama tepat dengan tekaan anda.

Jadual di bawah ialah rekod pembubaran parlimen dan pilihanraya umum Malaysia sejak tahun 19982 hingga 2004.

Tahun

Parliamen Bubar

Penamaan Calun

Mengundi Semenanjung

Jarak Mengundi

1982

29-Mar

7-Apr

22-Apr



(Isnin)

(Rabu)

(Khamis)

-






1986

19-Jul

24-Jul

3-Aug

4 tahun 3 bulan 14 hari


(Sabtu)

(Khamis)

(Ahad)







1990

5-Oct

11-Oct

21-Oct

4 tahun 2 bulan 20 hari


(Jumaat)

(Khamis)

(Ahad)







1995

6-Apr

11-Apr

25-Apr

4 tahun 6 bulan 7 hari


(Khamis)

(Sabtu)

(Selasa)







1999

11-Nov

20-Nov

29-Nov

4 tahun 7 bulan 9 hari


(Khamis)

(Sabtu)

(Isnin)







2004

4-Mar

13-Mar

21-Mar

4 tahun 3 bulan 24 hari


(Khamis)

(Sabtu)

(Ahad)










Purata

4 tahun 4 bulan 15 hari






Nota: Untuk tahun 1982-1992 tempuh mengundi untuk Sabah dan Sarawak ialah 2 hari, dimulai sehari lebih awal dari Semenanjung


Amati dari jadual di semenjak tahun 1982 hingga 2004, purata jarak antara dua pilihanraya ialah 4 tahun, 4 bulan, 15 hari. Tempoh paling singkat ialah 4 tahun, 2 bulan, 20 hari iaitu untuk pilihanraya 1986 dengan pilihanraya 1990,manakala tempoh paling lama ialah di antara pilihanraya 1995 dengan 1999, di mana jaraknya ialah 4 tahun, 7 bulan, 9 hari.

Anda wajar bertanya apa kena mengena tempoh antara dua pilihanraya dengan hukum ekonomi. Dan jawapannya adalah mudah. Hukum ekonomi mengatakan bahawa manusia sebagai haiwan rasional akan membuat keputusan dan mengambil tindakan yang memaksimakan pulangan/keuntungan untuk dirinya. Sehubungan ini amati bahawa perjuangan politik sejak Malaysia merdeka sudah tidak lagi bersifat idealis, tetapi lebih kepada pertimbangan praktis lagi materialis.

Sebagai wakil rakyat, selain dari gaji sebagai upah penat lelah berjuang untuk rakyat, pencen adalah suatu ganjaran yang berharga dan amat diharapkan. Sehubungan ini, sifir pencen seperti yang diperuntukan oleh Akta Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 1997 (Akta A984) adalah seperti berikut:


Jadual di bawah ialah anggaran pencen bulanan yang akan diterima oleh seorang wakil rakyat yang terpilih dalam PRU 2004 dulu, khususnya jika wakil tersebut hanya sempat berkhidmat untuk satu penggal.

Anggaran Pencen Bulanan Wakil Rakyat Mengikut Tempoh Khidmat (RM)

Gaji Bulanan (RM)

Lazim - 52 bulan

Jun 07 - 39 bulan

Mar 08 - 48 bulan

6,000

2,167

1,625

2,000

7,000

2,528

1,896

2,333

8,000

2,889

2,167

2,667

9,000

3,250

2,438

3,000


Dari jadual di atas boleh diamati bahawa cara terbaik bagi pentadbiran Abdullah Bardawi membalas jasa dan kepatuhan wakil-wakil rakyat yang mendokongnya ialah dengan melanjutkan sepanjang yang boleh tempoh mereka berkhidmat. Untuk tujuan ini PRU 12 hendaklah dilakukan setelah 52 bulan berkuasa, yakni selari dengan tempoh tradisi yang
dipelopori pentadbiran Mahathir.

Jikapun ada halangan besar yang tidak mengizinkan tempoh tradisi 52 bulan dikekalkan, (katakanlah pentadbiran Abdullah bardawi takutkan "faktor DSAI"), maka tempoh terawal PRU 12 boleh diadakan ialah bulan Mac 2008. Tarikh ini adalah afdhal untuk menjamin pendapatan hari tua wakil-wakil rakyat, khusus mereka yang telah menjujung segala mana titah yang pentadbiran Abdullah Bardawi keluarkan.

PRU 12 pada atau selepas tarikh ini akan menjamin wakil-wakil rakyat akan mendapat pencen bulanan sekurang-kurang RM2,000/=. Dan percayalah bahawa ganjaran bulanan hingga mati ini adalah lumayan bagi wakil-wakil rakyat yang asalnya supir teksi atau penjaga gate (get) keretapi, atau seumpamanya.

Berpandukan hukum ekonomi ini, adalah dirumuskan bahawa pentadbiran Abdullah Bardawi akan mengadakan PRU 12 sekitar bulan Mac 2008, yakni sebelum tarikh tercabutnya sekatan berpolitik ke atas DSAI.