Sunday, September 07, 2008

Pasca September 16: Habis Madu Se-PAS DiBuang?


Berita terkini – Pesta September 16 telah ditunda ke tanggal 17.

Memerhati dari Kelantan, saya dapati pemerhati politik negara kini rata-ratanya sedang dipengaruhi mass hysteria – histeria massa -- sedang dihanyutkan arus memuja ekspektasi masa depan negara yang diterajui Anwar Ibrahim.

Di satu sudut yang lain, saya dapati UMNO terkedu, terkincit dalam ketakutan menghadapi prospek kehilangan kuasa.

Gambaran ini paling ironis kerana saya yakin UMNO pun tahu bahawa penawar kepada situasi yang digalas kini adalah cukup mudah: gulingkan Dolah Badawi!

Habis cerita. Kemudian buka bab baru pada lembaran baru.

Memangnya semudah itu, kerana rakyat bukannya menolak UMNO secara total, rakyat cuma jelak dan tidak mahu Dolah dikepala UMNO. Dan batang tubuh UMNO pun tahu hakikat ini.

Tetapi sayang, kerana kita bukan orang UMNO, maka kita terpaksa bersabar menonton gambar UMNO yang enggan bertindak – UMNO yang selesa dalam pasrah menerima pancungan yang mendatang.

Pasca September 16 – Bagaimana rupa dasar luar Malaysia terhadap Singapura? Terbatalkah Wilyah Pembangunan Iskandar, Johor?

Dalam perkembangan yang lain, bijak pandai politik yang lantang dewasa ini tidak sedar akan batu asas, foundasi, kepada pletfom yang membolehkan mereka menyalak UMNO.

PAS adalah batu asas itu. PAS adalah talian hayat Anwar sebelum, semasa, dan selepas PRU ke-12; hatta di Permatang Pauh.

Strategi Dolah untuk mengekang pengaruh Anwar dalam politik negara memang tepat -- nafikan Anwar pengkalan pengaruh di kalangan grassroot Melayu-Islam. Cuma perlaksanaan strategi tidak menjadi. Atas alasan “perpaduan Melayu-islam” Dolah mengumpan PAS bergabung dengan UMNO.

Namun malang bagi Dolah, PAS berpecah dua disaat tergenting dalam karier politik dia. Kumpulan “Anwarista-Erdogan dalam PAS” telah berjaya menyekat jarum ejen-ejen harapan Dolah -- kumpulan “UMNO dalam PAS.” Jika sebaliknya, di Permatang Pauh Anwar mungkin sudah mengingau di siang hari.

Apapun perhatikan dengan teliti di mana punca dan sumber pengaruh Anwar:

  • Ada masalah untuk menyakinkan pengundi Melayu-Islam akan kesesuaian memimpin Malaysia setelah meng-karaoke-kan lagu-lagu Malaysian Malaysia gubahan DAP? Muktamar PAS menjadi pembesar suara “memperbetulkan” cerita.

  • Ada masalah dengan sumpah laknat? Nik Aziz, Haji Hadi dan Haron Din jadi benteng penolak bala, jadi tukang pembentang hukum dan nas.

Lapangkan dada dan minda, tarik nafas panjang dan hembus perlahan-lahan, pejamkan mata dan imbas kembali semua tajuk berita besar dalam tempoh dua tiga minggu lepas. Cuba kenangkan berapa kali Lim Kit Siang atau Karpal Singh telah membuat statemen media yang meng-amin-kan tindakan atau kedudukan Anwar?

Saturday, September 06, 2008

Ego Tahap Dewa: Dolah Tak Mahu Lepas – Anwar Mahu Jawatan

I. Darihal Dolah

Ingat lagi “insiden ketuk ketampi”? Dolah bergegas menghantar Noh Omar pergi minta maaf dengan kerajaan Negara China kerana kononnya Polis Malaysia telah memalukan seorang perempuan warga China semasa dalam tahanan! Penyudah insiden, mangsa yang disangka warga China itu rupanya bohsia Melayu dari Pahang. Dalam kes itu bangsa Melayu malu bertimpa tindih, dua kali.

Pertamanya malu kerana dapat pemimpin latah tolol bertindak tanpa usul periksa, selah-olah dalam keadaan terbaik sekalipun, sepanjangnya bersikap hilang punca.

Keduanya malu kerana melondehkan kepada dunia betapa Melayu bangsa teras negara ini, penduduk majoriti selesa di bumi yang sama jadi, begitu takut, ber-inferiority complex tahap melukut kepada public opinion bangsa lain senegara, apatah lagi negara luar.

Krisis mini terkini ialah seputar “lidah asid” Ahmad Ismail, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera. Belum lagi diadakan siasatan dalaman, hatta lepaskan dulu ditangga batuk usaha pura-pura mencari fakta, Dolah sudah arah Ahmad tidak mengulangi “kesalahan.”

Tetapi apa yang sungguh menakjubkan tentang insiden ini ialah perbuatan Najib – bagi pihak dirinya dan Rosmah, serta bagi pihak Ahmad dan UMNO -- minta maaf kepada kelompok-kelompok yang kononnya tersinggung.

Khususnya mengambil iktibar dari “insiden ketuk ketampi,” dan amnya dari pengalaman berpemimpinkan Dolah Kerajaan Tiga Beranak selama lima tahun, rakyat sudah boleh jangka (boleh hidu semirip keupayaan mengesan bau asap rokok di siang hari bulan puasa) bahawa kebiolan adalah intipati teknik UMNO mengurus krisis.

Penyimpul insiden -- rupa-rupanya Ahmad Ismail tidak salah! Sebaliknya akhbar Cina yang sudah “gasingkan” cerita.

Mana Dolah dan Najib mahu letak muka? Krisis sekelumit begitu pun tidak terkawal. Kebolehan dan kreativiti menangani masalah nampak setaraf “Satpam” Nepal. Apatah lagi membendung krisis besar seperti “coup de tat sesudah tarawih”? Sampaikan DYMM Agung pun sudah bertanya khabar. (Klik di sini untuk spekulasi menarik tentang sebab musabab).

Dah-dah lah tu Dolah. Turun lah.

II. Darihal Anwar

Setahu saya, sehingga hari ini Anwar Ibrahim secara rasmi masih belum lagi menganggotai Parti Keadilan Rakyat. Atau dalam kata lain, sejak dibuang dari UMNO 10 tahun lalu hingga pagi 10 hari lagi menjelang September 16, Anwar masih belum lagi isi borang keahlian PKR.

Penyokong mungkin melihat Anwar itu logos PKR– penjelmaan idealisme PKR itu sendiri: tetapi hakikatnya kedudukan Anwar Ibrahim dalam PKR adalah saling tidak tumpah status Ibrahim Ali dalam PAS; kedua-dua menang bertanding pilihan raya atas tiket parti pembangkang tanpa jadi ahli parti. Ibrahim tidak pernah masuk PAS. Dan Anwar pun tidak pernah masuk PKR.

Mengapa begitu? Dalam kes Ibrahim, adalah satu rahsia terbuka dia masih mengasihi UMNO. Tetapi apa pula gerangannya dengan Anwar dan UMNO?

Thursday, September 04, 2008

Kadar Fitrah 2008: Dalil UMNO Tidak Layak Mentadbir Islam

Sila tunjukan di mana silap perkiraan saya.

Kadar fitrah tahun ini akan membuat ramai ketua keluarga Islam dibanyak negeri terngadah. Di Sabah umpamanya, kadar fitrah untuk seorang ialah RM7.70.

Pada kadar ini, bagi sebuah keluarga dengan lima anak dalam tanggungan, campur suami dan isteri jadi tujuh kesemuanya, jumlah fitrah yang wajib dibayar ialah RM53.90.

Mungkin RM53.90 adalah satu jumlah yang termampu bagi seorang kakitangan kerajaan. Tetapi saya tidak fikir jumlah ini boleh diterima dengan senang hati oleh umat Islam dari kalangan perkerja kilang, petani, nelayan, peniaga kecil dan amnya mereka-mereka yang berkerja sendiri.

Bukan setakat di Sabah, bahkan sentimen ini akan dirasai di seluruh negara, terkecuali mungkin di Selangor.

Darihal kenaikkan mendadak kadar fitrah tahun ini, tiga perkara songsang perlu dihalusi dan ditengkeng.

Pertama, harga beras di Malaysia amnya rosak – atau dalam slanga ekonomi dipanggil “herot” -- tidak mencerminkan harga beras semasa dunia kerana UMNO telah menjadikan industri peruncitan beras negara satu kartel yang tidak sihat.

Di puncak kesongsangan ekonomi ini ialah lesen monopoli perdagangan beras yang diberikan kepada BERNAS, sebuah syarikat swasta yang diketahui umum milik dan dikawal oleh proksi-proksi Tun Daim Zainuddin.

Kedua, pembuat dasar di majlis-majlis ugama negeri nampaknya telah tidak mengambil kira harga beras sejak awal tahun, sebaliknya menetapkan kadar fitrah berpandukan, memfokus kepada harga beras dalam tempoh dua-tiga bulan yang terdekat sahaja.

Sehubungan, amati bahawa harga beras dunia hanya mula melonjak, mula dispekulasikan, pada bulan April (satu fenomena jangka pendek) tetapi kini spekulasi itu telah pun reda.

Diberi keadaan itu, tiada salahnya jika harga purata beras untuk satu tempoh kebelakang, katakan, satu tahun sejak bulan Ramadhan tahun lepas diguna sebagai harga tanda aras menetapkan kadar fitrah.

Sekaligus dengan itu jika pegawai-pegawai ugama kita mempunyai hanya sedikit keprihatinan, mereka tentu saja boleh menentukan jenis dan harga beras yang menjadi makanan ruji bagi 75% umat Islam. Maka tidaklah mereka jadikan jenis dan mutu beras yang mereka konsumpsi hasil mereka makan gaji welfare sebagai pegawai kerajaan itu benchmark untuk marhaen lain. Amati tidak ramai orang mampu makan beras Jasmin, beras wangi, beras Siam cap Arnab Mas dan seumpamanya.

Ketiga, lapuran akhbar membayangkan wujud semacam satu “kegembiraan” di kalangan pegawai-pegawai ugama negeri akan prospek jabatan mereka mengutip hasil fitrah yang berlipat ganda tahun ini – purata lonjakkan 52% untuk seluruh negara. (Macamlah selama ini rekod mereka menguruskan wang zakat fitrah itu tersangat efisyen dan berkesan.)

Sedarilah wahai pegawai-pegawai ugama negeri bahawa fitrah itu sebenarnya adalah satu poll tax – “cukai kewujudan” yang tidak punyai ruang lari cukai! Janganlah pula dalam hal-hal ibadat ini pun kamu orang mendapat “geli” dan bersyahwat hendak mendera. Cukuplah berfe-el demikian dalam hal-hal tangkapan khalwat dan memeras ugut pasangan khalwat.

Tetapi di atas segala dan semua ini, izin saya tanya apa peranan JAKIM yang dipimpin UMNO -- tak kan satu perkeliling membincangkan isu kepentingan awam sehubungan ibadat semudah ini pun tidak boleh dihasilkan?

Macam mana Selangor boleh kekalkan kadar fitrah pada tahap “mesra umat” sedangkan negeri-negeri lain berebut-rebut menaikkannya? Langsung tiada garis panduan untuk menetapkan kadar fitrah, JAKIM?

‘Peristiwa’ September 16 – Melayu Bakal Menang Sorak

Satu Malaysia mungkin sudah termimpi, sudah boleh nampak jelas dalam mata minda akan ‘era baru’ yang bakal terbit dengan matahari subuh September 16, 2008.

Ya, dan saya pun boleh bayang betapa gegak gumpitanya sorak yang akan menyambut hari itu. Hari rakyat Malaysia khususnya orang Melayu menang sorak kerana Anwar Ibrahim akan dinobatkan sebagai perdana menteri.

Selain itu apa lagi yang patut saya pestakan? Pengukuhan kuasa Melayu dalam pentadbiran negara? Pengukuhan kuasa Islam dalam pentadbiran negara? Tentunya tidak.

Kita mungkin berjaya tendang keluar gabungan bangsat Dolah Badawi, Anak Jantannya, Menantunya, Kalimullah dan Vincent Lim dari tampuk kuasa, dari Tingkat 4, tapi sebenarnya secara metafora, kita sekadar berjaya melompat keluar dari kawah, untuk tergolek masuk ke dalam api.

Jika benar terjadi 30 ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak menyeberang masuk ke Pakatan Rakyat, secara otomatik kuasa Melayu dan sekaligus dengannya aspirasi Islam dalam pentadbiran negara akan terhakis.

Sehubungan dengan lompatan yang dinanti ini, senario paling asas yang boleh dibayangkan ialah setiap negeri menyumbangkan 15 ahli parlimen.

Diberi taburan bangsa (ugama) ahli-ahli parlimen Sabah dan Sarawak, adalah berpatutan untuk dibayangkan kumpulan yang melompat itu datang dengan komposisi berikut: 11 Melayu (Islam), 6 China dan 13 Lain-lain bangsa (semuanya Kristian).

Apa yang bakal terhasil dari lompatan ‘Kumpulan 30’ ini ialah Pakatan Rakyat mempunyai 112 ahli parlimen berbanding Barisan Nasional dengan 110 – yakni Pakatan Rakyat mendahului dengan majoriti dua kerusi!

Tetapi masalahnya bukan pada majoriti dua kerusi.

Sebaliknya “ibu segala masalah” yang bakal menghantui pentadbiran Anwar Ibrahim terletak kepada peratusan kuasa Melayu-Islam dalam skema kuasa keseluruhan.

Dalam skema baru yang bakal terhasil, suara Melayu-Islam cuma berada di tahap 48%, malah mungkin lagi kurang dari itu. Diberi formula ini, bila-bila masa aspirasi Melayu-Islam boleh di over rule, diketepikan, dibenamkan.

Saya tidak jangka Anwar Ibrahim akan berjaya, hatta dapat bertahan lama meniti buih politik kenegaraan sebegini. (Khabarnya Anwar Ibrahim pun sedar tahap akut – acute -- akan realiti ini)

Hakikat manusia itu mudah. Kita boleh terima banyak benda secara intelek, terima di peringkat akal. Tetapi untuk benda yang sama dari segi emosi, kita langsung tidak boleh terima.

Contoh mudah adalah hantu. Di peringkat intelek, di peringkat akal kita mungkin tidak percayakan hantu. Tetapi cuba kita tercampak ke tengah jirat di tepi hutan di tengah malam. Emosi kita akan memberontak mendesak kita supaya meyakini bahawa ada hantu sedang mengawasi kita.

Begitu juga dengan status dan layanan selesa sebagai Melayu-Islam yang dikecapi selama ini. Orang Melayu-Islam masih lagi belum terantuk.

Tuesday, September 02, 2008

Bajet 2009 (Bahagian 3b): Ubatnya Lagi Teruk Dari Penyakit

Dipetik dari MalaysiaKini -- Kesimpulan masalah seputar subsidi petrol yang pernah dibuat oleh Datin Seri Wan Azizah Ismail ketika menjadi Ketua Pembangkang.

Mesej yang saya cuba sampaikan di bahagian sebelum ini ialah Malaysia sebenarnya melimpah ruah kayanya.

Namun sayang, dalam mengurus kekayaan itu, kita telah bersikap persis imej stereotaip Arab Badui padang pasir – seronok dapat “duit fee” kita sudah tidak tanya samada habuan yang kita terima itu wajar, munasabah, patut boleh dapat lebih lagi, atau macam mana.

Bunyi subsidi sana sini, sebenarnya entah siapa yang disubsidi.

Kita sudah tidak tanya itu semua. Asalkan ada duit masuk, kita happy. Dan setentunya kita tidak pernah rasa perlu mengambil berat untuk mengurus hasil jualannya ke tahap optimum.

Itu satu bab.

Dalam bab yang lain pula, punca inflasi yang sedang berlaku kini ialah kenaikkan mengejut harga petrol. Di mana kenaikkan mengejut ini berlaku kerana Dolah Badawi telah arah tarik balik subsidi petrol yang didakwa bernilai sekitar RM46 bilion/setahun.


  • Angka Subsidi Berbaur Tahyul

Frasa “subsidi petrol” itu sendiri mengundang 101 keraguan bila disebut.

Masalah besar sehubungannya ialah – tiada siapa tahu berapa jumlah sebenarnya! Melibatkan berapa bilion ringgit setahun sebenarnya? RM7 bilion? RM10 bilion? RM19 bilion? RM46 bilion? Berapa?

Sehubungan ini nampak sangat Kerajaan Tiga Beranak Dolah Badawi telah bertindak berpandukan f-a-n-t-a-s-i. (Syukur, Ya Tuhan, Malaysia bukan negara kuasa nuklear!).

Jumlah subsidi, itu satu hal.

Hal kedua, saya ragu sangat-sangat samada angka-angka yang dikaitkan dengannya betul-betul dibayar. Maksud saya, samada betul duit telah mengalir keluar dari poket. Kalau setakat main silap mata perakaunan campur-tolak angka, maka itu bukan subsidi namanya.

Sedutan penjelasan yang dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Analogi kepada maksud saya di sini ialah nilai hantaran yang disebut bila seorang lelaki masuk meminang. Bakal bapa mertua kata “hantaran sebenarnya RM30,000 tapi aku bagi kamu subsidi. Aku tolak kos makan minum anak aku dari kecil sampai besar RM20,000. Tolak RM5,000 ‘susut nilai’ sebab tunang pertama anak aku dulu dah usung ke hulu ke hilir selama dua tahun. Kamu bawa hantaran RM5,000, cukup.”

Sehubungan anekdot di atas perhatikan bahawa segala ketentuan tentang harga asal, ketentuan tentang kos sara hidup, dan susut nilai, adalah bergantung kepada ilham dan fantasi satu pihak.

Begitu juga dengan item-item yang dimasukan ke dalam perkiraan harga runcit petrol. Hanya satu pihak (kerajaan) yang mendefinasikan apa item yang hendak di campur, dan kemudian hendak di tolak. Dalam bab ini, kalau setakat nak jadi pembangkang yang lantang, kita boleh pertikaikan setiap angka yang diletak.

Kononnya, bajet gila-gila untuk tahun 2009 yang Dolah Badawi tawarkan adalah bertujuan mengatasi kesan inflasi yang sedang berlaku. Hingga terpaksa menanggung belanja mengurus ke tahap RM154 bilion – melonjak RM25.4 berbanding tahun 2008!

Itulah dia tuan/puan pembaca budiman. Yang dikatakan “masalah” subsidi petrol hanyalah berjumlah sekitar RM10-15 bilion/tahun. Angka ini pun entah-entah hanya angka perakaunan atas kertas yang tidak melibatkan alirtunai.

Tapi yang aneh, Dolah dan Menantunya tidak mahu selesaikan apa juga masalah berbangkit dengan memberi semula subsidi tersebut. Sebaliknya Dolah sanggup gali lubang yang lagi besar, berbelanja RM25.4 untuk menyelesaikan masalah yang sepatutnya boleh lenyap dengan keluar duit hanya RM10-15 bilion.

Di mana kewarasan dalam situasi ini?

Kita rumus apa masalah negara akibat mendokong Kerajaan Dolah Badawi Tiga Beranak.

  • Negara dilanda inflasi kerana harga petrol naik mendadak.

  • Harga petrol naik kerana Dolah Badawi buat keputusan mansuh “subsidi petrol” yang dia dakwa kerajaan tiba-tiba tidak mampu tanggung.

  • Masalah dengan dakwaan “tidak mampu terus tanggung subsidi” ialah jumlah sebenar subsidi petrol adalah kabur. Tiada satu pihak berotorti di negara ini yang boleh jelaskan jumlah subsidi yang setepatnya.

  • Implikasi di sini ialah Dolah Badawi, Anak & Menantunya buat keputusan melibatkan kepentingan negara dan kesejahteraan awam atas premis, pertimbangan, yang tidak tentu hujung pangkal.

  • Di masa yang sama hasil jualan minyak mentah negara nampaknya berbeza, jauh lebih rendah, dari hasil yang sepatutnya jika dijual pada harga semasa minyak mentah dunia.

Jika kerajaan Malaysia boleh mengamanahkan Petronas untuk amalkan kontrak hadapan di mana harga transaksinya semestinya jauh lebih rendah dari harga semasa -- forward contract – dengan pelanggan asing, mengapa kerajaan tidak menjadikan dasar supaya Petronas dan rakan carigali-nya menjual minyak mentah secara forward contract kepada kilang-kilang penapis tempatan?

Sengaja tidak dibuat begitu kerana ada pertimbangan lain? (Ya lah, pengalaman kebas duit rakyat Iraq and got away with it pun dah ada, kan?