Sunday, August 31, 2008

Bajet 2009 (Bahagian 3a): Ubatnya Lagi Teruk Dari Penyakit

Sekali imbas, memang nampaknya kurang sopan dipihak saya bila menuduh pengurusan ekonomi Dolah & Menantunya itu lintang pukang tanpa menyertakan bukti.

Sehubungan, saya tidak perlu bersumpah laknat atau sumpah berkanun kos RM4/= kerana antara buktinya ada terpampang di depan mata kepala pembaca. Contoh mudah ialah cara mengatasi inflasi.

Punca Inflasi

Perlu diingat bahawa punca inflasi mendadak yang berlaku kini adalah kesalahan Dolah & Menantunya bergegas menaikkan harga petrol pada kadar 42% tanpa fikir panjang.

Tiada gunanya mengambil jalan sukar dengan kos yang tinggi memberi rakyat pelepasan cukai itu dan ini, atau dicampak kepada rakyat subsidi itu dan ini, yang mana semuanya ini dipanggil “langkah meningkatkan kuasa beli rakyat” bila penyebab inflasi itu tidak dibasmi!

Segala langkah "meningkatkan kuasa beli rakyat" adalah merupakan tindakan off-tangent yang nampak seperti hendak menunjuk bijak. Clever by half.

Cantas dulu punca penyakit yang disering disebut menyebabkan inflasi. Kembalikan harga petrol ke paras asal RM1.92/liter. Tengok apa jadi, kemudian kalau langkah ini tidak boleh membendung inflasi, cubalah jalan lain.

Alasan menaikkan harga petrol kerana kononnya kerajaan tidak mampu berterusan membayar subsdi RM42 bilion setahun atau RM3.5 bilion sebulan adalah karut kerana dua sebab.

  • Harga Jualan Minyak Mentah Malaysia Meragukan

Pertama, pengeluaran minyak mentah Malaysia ialah ditahap 20 juta tong sebulan. Jika minyak ini telah dijual pada harga semasa minyak mentah dunia, katakan, purata US$80/tong, ini bermakna Malaysia sudah dapat hasil jualan sebanyak US$1.6 bilion/bulan.

Jumlah ini pada kadar pertukaran US1 = RM3.5 bermakna Malaysia sudah dapat hasil RM5.67 bilion sebulan.

Itu perkiraaan untuk minyak mentah. Belum lagi diambil kira gas asli dan lain-lain produk petroleum.

Tetapi malang hasilnya tidak begitu. Hasil yang Malaysia perolehi dari jualan minyak mentah yang dikeluarkan hanyalah RM3.5 bilion/bulan.

Mengapa ini terjadi?

Bukti-bukti yang ada terpampang di depan mata menunjukan Malaysia telah menjual minyak mentah keluarannya pada harga purata US$52/tong. Maksudnya kita rugi US$28/tong atau US$567 juta sebulan yang bersamaan dengan RM1.92 bilion.

Mengapa jadi begitu? Adakah Malaysia terlalu banyak menjual melalui “kontrak hadapan”? Atau ada sesuatu yang “tidak kena” dengan pengurusan di Petronas?

Jika silapnya pada kontrak hadapan, sedar lah bahawa tiada kontrak di dunia ini yang tertulis atas batu. Kontrak boleh dikaji semula, dirunding semula dan macam-macam.

Lagikan ajal maut yang tertulis di Luh Mahfuz boleh “dirunding” lewat doa dan munajat – inikan pula kontrak yang manusia buat!

Dari hal mengurus, meletak harga jualan hasil sumber asli negara, bukti menunjukan masih wujud terlalu banyak ruang untuk penambahbaikkan. Mengapa tidak mula tunjuk bijak di sini?

Itu baru perkiraan untuk minyak mentah. Yang mana berpandukan maklumat awam (publicly available information) – tidak perlu korek apa-apa fail rahsia -- pun sudah cukup untuk rakyat mengumpul bukti menuduh Dolah & Menantu tidak cekap mengurus hasil nombor satu negara.

Berbalik kepada cerita subsidi minyak yang Khairy Menantu Dolah bisingkan berjumlah RM42 bilion setahun atau RM3.5 bilion sebulan. Maklumat awam menunjukan jumlah tersebut adalah lebih kecil berbanding hasil jualan (a) minyak mentah + (b) gas asli + (c) lain-lain produk petroleum yang berjumlah RM9 billion sebulan.

RM9 bilion tolak RM3.5 bilion masih ada lagi RM5.5 bilion.

Maka sampai saya kepada “soalan pandir” – apa yang memekak sangat seolah-olah wujud satu krisis, satu kegawatan kewangan yang maha dasyat, hinggakan tidak menyempat untuk naikkan harga petrol?

… bersambung di kelapangan yang lain.

No comments: