Sunday, April 05, 2009

Bukit Gantang: Laluan Sukar Buat PAS

Sila klik pada snapshot untuk gambar yang lebih jelas.

Dalam PRU 2008, PAS telah menang kerusi parlimen Bukit Gantang kerana corak sokongan berikut; mendapat 50.7% undi Melayu, 53% undi China, 56% undi India dan 50% undi Lain-lain kaum. Hasilnya PAS telah mendapat majoriti 1,566 undi.

Perhatikan bahawa dalam waktu terbaik bagi PAS sekali pun, sokongan Melayu buat PAS di Bukit Gantang hanyalah 50.7%, yakni lebihan sokongan tidak sampai 1% dari sokongan Melayu terhadap UMNO-BN.

Saya pasti pembaca semua arif tentang perkembangan politik di Perak sejak Mac 2008 hingga kini, tetapi saya tidak fikir ramai pembaca sedar apa yang telah berlaku di peringkat "mikro" dalam kawasan parlimen Bukit Gantang, apatah lagi hal-hal mikro yang berlaku dalam tempoh satu dua minggu lepas, umpamanya, dalam DUN Changkat Jering.

Satu perkara besar yang petugas pilihan raya kecil PAS di Bukit Gantang perlu sedar ialah "pentas tarian politik" di sana, khususnya di Changkat Jering sudah terlalu banyak berubah sejak Mac 2008.

Suka atau tidak, petugas PAS kena terima hakikat bahawa struktur sokongan buat PKR di Changkat Jering sudah berubah sakan. Rata-ratanya, sepengamatan saya, PKR Changkat Jering sudah separa lumpuh, bila sekurang-kurangnya 50% penyokongnya telah merestui tindakan Osman Jailu lompat keluar dari dakapan Pakatan Rakyat. (Dah lah di DUN Trong PAS tiada peluang langsung).

Mungkin strategis dan bijak pandai PAS yang ada di Bukit Gantang kini tidak perasan -- fakta yang Osman Jailu selama ini (dan hingga kini), didokong oleh golongan petani (peladang/ penternak) Changkat Jering melalui jaringan pengaruh beliau ke atas saf kepimpinan koperasi/persatuan peladang/penternak daerah itu.

"Haiwan politik" yang mampu mempengaruhi sokongan

Untuk kumpulan ini, dalam tempoh semingggu dua yang lepas, Kementerian Pertanian telah melepaskan entah berapa ratus ekor kambing Boer melalui koperasi/persatuan peladang/penternak daerah itu.

Di masa yang sama Kementerian Usahawan telah melepaskan entah berapa juta ringgit kepada entiti-entiti yang sama untuk projek-projek fertigasi instant.

Mimpi tuaian cabai yang bakal merubah pola sokongan politik di Bukit Gantang

Bayangkan manfaat, ganjaran duniawi yang sedang menunggu golongan petani/peladang Bukit Gantang jika menyokong UMNO-BN. Itu belum lagi ambil kira jalan-jalan kampung hinggakan ke lorong-lorong mati (dead end lanes) yang diturap tar setebal enam inci.

Snapshot di atas ialah simulasi keputusan PRK Bukit Gantang diberi peratus sokong kaum pada kadar-kadar tertentu.

Gambaran yang jelas dari simulasi tersebut ialah, diberi tahap sokongan kaum China dan India tidak berubah dan sama seperti dalam PRU 2008, sokongan Melayu terhadap PAS hanya perlu gelincir 3% dan PAS akan kalah.

Dan seandainya undi China dan India turut gelincir ke tahap 50% sekalipun, PAS akan kecundang.

Sehubungan senario undi China dan India turut gelincir, apa yang pembaca perlu sedar ialah yang dikatakan "kekuatan DAP" di Perak itu sebenarnya adalah satu ilusi.

Pengaruh DAP di Perak selama ini bukanlah menyeluruh tetapi tertumpu di kawasan Ipoh sahaja. Apa yang menyebabkan DAP nampak kuat di Perak dalam tahu 2008 ialah "pemberontakan" GERAKAN terhadap rancangan Sang Menantu untuk menstruktur
semula saf kepimpinan GERAKAN seMalaysia mengikut seleranya melalui percaturan calun-calun GERAKAN dalam PRU 2008.

Pemberontakan ini telah menyaksikan grassroot GERAKAN lompat masuk DAP atau ikut sokong percaturan politik GERAKAN yang main wayang dengan DAP. Kesannya, jika dilihat DAP itu berpimpin tangan dengan PAS, maka grassroot GERAKAN pun turut sokong PAS.

Kini Sang Menantu dan Mertuanya sudah tiada taring lagi dalam menentukan perjalanan Barisan Nasional. Setentunya hakikat ini sedikit sebanyak boleh mendorong ahli dan penyokong GERAKAN mempertimbangkan untuk berdakapan semula dengan UMNO-BN.

Dan di sinilah cabaran sebenar PAS di Bukit Gantang -- memastikan ahli dan penyokong GERAKAN yang kini dilihat memakai baju DAP itu tidak berubah hati untuk menyokong semula UMNO-BN.

Friday, April 03, 2009

Malaysia & Jawatan Setiausaha Parlimen

Di kemuncak pengaruh sekumpulan anak muda yang dikepalai Sang Menantu, dimensi politik Malaysia telah menyaksikan jawatan setiausaha parlimen bagi 26 kementerian dimansuhkan.

Alasan mengapa jadi begitu?

Mengikut madah-madah rasmi ketika itu, sebabnya ialah Perdana Menteri mahukan satu "kerajaan yang kecil" atau dalam Inggeris-nya "the wish for a small government."

Tetapi saya yakin dalam masyarakat barat, khususnya di Amerika Syarikat di mana penggunaan nya begitu popular, ungkapan "small government" atau kerajaan yang kecil itu bukanlah bermaksud sedikit bilangan menteri dan kementerian seperti yang difahami oleh Sang Menantu dan konco-konconya.

Apa juga sebab jawatan setiausaha parlimen kementerian dimansuhkan, kesannya terhadap UMNO adalah cukup mudah lagi jelas -- Perdana Menteri ketika itu telah mensia-siakan peluang untuk mengikat dan merantai kesetiaan 26 orang lagi politikus Barisan Nasional, khususnya dari kalangan UMNO, kepada beliau secara peribadi.

Collateral damage (kerosakan sampingan) hasil perbuatan ini ialah terkipasnya satu rasa tidak puas hati yang tidak terluah di kalangan pembesar UMNO dan Barisan Nasional, yang membawa kepada politik dalaman yang melemahkan. Mudah cakap UMNO dan Barisan Nasional dirundung rasa kesetiaan -- orang PAS kelui 'walaq' -- yang tidak dihargai.

Saya yakin Perdana Menteri baru Malaysia tidak punya menantu yang tidak sabar hendak jadi menteri, hatta perdana menteri. Yakni tidak punyai menantu yang melihat senario dirinya dijawatan setiausaha parlimen sebagai satu penghinaan, dan pendakian seterusnya ke jawatan timbalan menteri satu siksaan. Kerana itu saya hampir pasti Perdana Menteri baru Malaysia akan mewujudkan semula jawatan setiausaha parlimen kementerian.