Saturday, December 16, 2006

Talkin Untuk UMNO: Saluran Peti Undi – Madu & Racun

Siapa bunuh Altantuya? Mengapa peguam Razak Baginda tidak hadir di mahkamah hari ini? Mustahak benarkah inquest pembunuhan Rafiq Hariri bekas Perdana Menteri Lubnan, hingga Muhammad Shafee tidak dapat menemani Razak Baginda. Yang pada awalnya beria-ia benar Muhammad Shafee katakan tidak bersalah sama sekali.

Sejauh manakah penglibatan isteri dan anak tiri Najib dalam kes Altantuya?

Persoalan ini semua adalah bahan gosip politik yang terlalu menarik minat pendengar.

Usahlah dikisahkan samada setakat ini jawapan kepada semua soalan itu mungkin spekulasi liar belaka. Yang penting, pembentangan cerita ini boleh menawan audiens. Dan untuk tujuan politik, adalah terlalu afdhal jika jalan ceritanya boleh dikaitkan dengan kedurjanaan UMNO.

Tetapi sayang, bahan kempen politik ini hanya dimainkan di internet dan coffee house hotel-hotel yang ada tiga atau empat bintang. Dibisikan di kelab-kelab golf. Dituturkan sebagai pemenuh masa sambil menungu lift naik ke karaoke. Gosip yang berlegar di pekan-pekan besar. Terbazir bahan kempen dan isu belaka.

Walhal orang kampung yang juga terlalu ingin tahu, melopong dan sama tertanya-tanya. Warga kampung yang bila tahu, akan kelak menghalakan pensil ke lambang mana yang mereka patut pangkah dalam kertas undi,

Aktivis pembangkang sepatutnya menjadikan penyebaranluas tafsiran tentang kes ini ke akar umbi satu misi suci.

Tak tahu nak mula di kampung mana? Mudah saja. Pergi ke pejabat SPR terdekat dan beli BORANG SPR 760 Pin. 1/99. Harganya cuma RM1/= sekeping. Maklumat yang bakal anda perolehi adalah seperti dalam jadual di bawah.

Maklumat di atas ialah perincian undi hingga ke peringkat saluran UPU bagi DUN N02 Sabak dalam Parlimen P92 Sabak Bernam, Selangor.

Maksud “saluran” peti undi ialah kategori umur pengundi.

Lazimnya “Saluran 1” merujuk kepada pengundi yang berumur 50 tahun ke atas, atau nama pertama hingga 300* dalam daftar pemilih sesuatu peti undi. Saluran 2 selalunya merujuk pengundi di antara umur 30 hingga 49 tahun. Manakala Saluran 3 atau 4 merujuk kepada pengundi berumur 29 tahun ke bawah.

PAS kalah di DUN Sabak dalam PRU 11 dulu.

Tetapi perhatikan bahawa PAS tidak kalah di semua UPU. Malah prestasi PAS di UPU Parit Lima Barat, Parit Satu Barat, Bagan Nira dan Parit Enam adalah menyamai prestasi PAS di peringkat UPU di Kelantan.

Selain dari pengamatan tersebut, perhatikan bahawa jumlah kekalahan PAS di Saluran 1 amnya adalah kebih kecil berbanding angka kalah di Saluran 2 atau 3 dalam UPU yang sama. Contohnya di UPU Sungai Lias. Untuk Saluran 1 PAS seri dengan UMNO. Tetapi untuk Saluran 2 dan 3, PAS tewas 79 dan 86 undi. Mengapa jadi begitu?

Dr Hassan Ali YDP, atau Chegu Jaafar Setiausaha Perhubungan PAS Selangor mungkin boleh jawab soalan ini dengan tepat. Tetapi kalau mereka tidak menjawab sekalipun, kita boleh agak jawapannya – jentera di peringkat Pemuda PAS tidak begitu berkesan berbanding Pemuda UMNO. Kalau inilah jawapannya, tentunya sesuatu boleh dilakukan untuk membetulkan keadaan. Lebih-lebih lagi kini kedudukan Khir Toyo dalam Pemuda UMNO dikhabarkan telah goyah.

Perhatikan juga bahawa sama seperti di tempat lain, Undi Pos di DUN Sabak adalah tidak seperti mitos yang katakan Undi Pos 100% sokong UMNO. Anggota dan pegawai polis dalam DUN Sabak sebenarnya punyai pilihan bebas ketika mengundi. Dan mereka telah tunjukan bahawa mereka telah bertindak dengan wajar. Cuma aktivis pembangkang sahaja yang sentiasa bersangka buruk tehadap mereka. Lantaran mereka tidak di dekati semasa berkempen.

Berbaik sangkalah dengan anggota polis atau penjawat awam lain. Bukan saja di Sabak, tetapi juga di setiap UPU, DUN dan kawasan Parlimen. Janganlah tunggu bila hendak selesaikan saman trafik baru nak bermanis muka dan nak belanjakan secawan kopi. Jadikan mendampingi anggota polis itu satu tabiat!

Poin terakhir yang saya ingin bangkitkan ialah PAS sebenarnya mempunyai sokongan di kalangan bukan Melayu/Islam. Cuma aktivis PAS yang tidak perasan perkara ini. Atau mungkin kerana telah ditindeh batu prasangka maka kita tidak mendekati mereka.

Lihat keputusan untuk UPU Torkington yang mana pengundinya adalah hampir 95% berbangsa India. Dah tu cuba jawab soalan macam mana boleh terjadi 20 orang India yang mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Bernam, telah memberi undi pada PAS?

Apa juga jawapan anda, iktibarnya mudah -- masanya sudah sampai untuk kita mengorak langkah dan mengubah pendekatan berkempen!

Sememangnya UPU menawarkan aktivis pembangkang madu dan racun. Dan itulah cabaran bermain politik. Tetapi selagi kita aktivis politik dok bercakap secara generalities, bercerita secara am, bersastera tentang idealisma, bermadah tentang teori dari jauh, dan tidak mempunyai program berterusan turun ke UPU, selagi itu anda dan PAS akan berada di takok lama.

Bawa cerita Altantuya ini ke akar umbi. Bergosiplah dengan makcik dan pakcik di kampung. Dan yakinlah bahawa pengundi berumur 50 tahun ke atas adalah terlalu bersedia untuk taubat dari memangkah UMNO!


*Nota: Sila hubungi pejabat SPR terdekat untuk maklumat tepat bagaimana saluran ditentukan.

3 comments:

Anonymous said...

Cuma hendak bertanya. BORANG SPR 760 Pin. 1/99 ini adalah untuk perincian undi utk seluruh malaysia atau apa? Agaknya berapa ya harganya? Saya sekarang sedang mencari maklumat perincian undi bg kawasan hulu selangor dan dun btg kali. Harap dpt membantu.

Anonymous said...

Borang SPR 760 Pin. 1/99 ialah keputusan terperinci bagi sesuatu DUN atau Parlimen mengikut Peti Undi dan Saluran di Peti Undi. Biasanya SPR Negeri hanya mengkhusus keputusan untuk negeri yang mereka jaga sahaja. Untuk keputusan terperinci bagi Hulu Selangor dan Batang Kali, sila hubungi pejabat SPR Selangor.

Harga borang tersebut ialah RM1/helai. Maksudnya kalau satu DUN ada banyak peti undi, maka ada dua tiga helai keputusan, harganya pun dua tiga ringgit juga. Lazimnya harga satu set untuk satu kawasan Parlimen (2/3 DUN) ialah RM15.

Borang ini juga ada versi elektronik. Yang ini SPR jual kepada parti politik sahaja dan tidak jual kepada individu. Setahu saya, harganya ribu-ribu ringgit untuk keputusan satu negeri. Itu pun kena tulis surat rasmi kepada SPR baru dapat dipertimbangkan.

Tuan boleh e-mail saya untuk keputusan Hulu Selangor yang ada dalam simpanan saya. Saya akan beri gratis. Cuma sila tunjukan nombor keahlian parti, tidak kiralah UMNO atau PAS.

Salaam.

Rudin X

Anonymous said...

terima kasih. saya akan emailkan kpd saudara sekarang juga. 29/11/1427, 11.15am.