Thursday, May 10, 2007

Apa Ada Pada Sukhoi? – (4 Penamat)

Terlalu banyak yang ada pada Sukhoi. Yang tersurat sekian, yang tersirat dua kian.

Bab yang tersurat, perjanjian membeli Sukhoi dimeterai tanggal 19 Mei, 2003. Secara rasminya bayaran untuk Sukhoi adalah melalui barter trade, dagang balas. Russia beri Sukhoi, Malaysia bayar dengan bahan mentah seperti minyak kelapa sawit.

Dan sekali imbas, watak utama dalam keputusan membeli Sukhoi nampaknya cukup berhati-hati supaya pesawat ini bila sampai di Malaysia kelak, bukan setakat ianya berguna di tahap strategik, malah ianya adalah sesuatu yang “halallan toyibban.”

Ya, memang Sukhoi tidak boleh mengucap syahadah, tetapi Malaysia telah mensyaratkan supaya ianya di”sunatkan,” di”khitankan” sebelum menjejak rodanya di bumi Malaysia. Yakni segala komponen avionics yang berasal dari Israel dalam versi asalnya telah ditukar kepada avionics buatan Perancis dan Afrika Selatan. Yang mana dengan itu Sukhoi versi Malaysia dengan designasi Su-30MKM layak dipanggil – Sukhoi Muallaf.

Sukhoi yang dipasang peluru berpandu SS-N-26

Itu yang tersurat.

Tetapi yang tersirat ialah selepas sembilan (9) bulan perjanjian ditanda tangani, dalam bulan Februari 2004, syarikat Russia yang mengeksport Sukhoi telah melantik pula sebuah syarikat tempatan sebagai “pemudahcara – facilitator” untuk berurusan dengan kerajaan Malaysia. Habuan sebagai pemudah cara ialah komsiyen sebanyak 12% dari nilai jualan atau US$108 juta [1]. Nyata kes rumah siap, pahat pun berbunyi.

Apa yang mendorong Russia melantik ejen penjual selepas jualan dibuat?

Di sini jelas nampak bahawa tidak terkecuali apa juga urusan, hinggalah kepada urusan G-to-G, perjalanan urusan itu tidak boleh tidak akan diwarnai trademark, tanda perdagangan budaya kerja Melayu yang dipupuk UMNO.

Persis satu transaksi tipikal di pejabat-pejabat daerah atau pejabat kerajaan yang lain di seluruh Malaysia. D.O. atau Pegawai Daerah sudah tenyeh, turunkan tanda tangan kelulusan, PAR (Pembantu Am Rendah) atau Penolong Kerani mulalah buat ragam. Tiada “pelincir” kalau, perjalanan fail akan “kiat” malah mungkin tidak bergerak langsung. Kalau kita buat lurus bendul, tinggulah dua atau tiga tahun untuk menyaksikan kesudahan transaksi.

Itu satu bab. Tetapi apa yang membuat musuh-musuh negara melompat sakan, bersorak gembira tentang Sukhoi ialah kemelut dalaman di pihak syarikat pemudahcara IMT Defence Sdn Bhd [2].

Dalam bulan Mac 2005, salah seorang dari pengarah IMT Defence telah menyeret Adib Adam pengerusi syarikat ke mahkamah. Adib Adam ialah bekas Ketua Menteri Melaka yang di suatu ketika dulu telah terpecat jawatan kerana bersyubahat dengan “Team B.” Yakni faksi UMNO yang dijaguhi Tengku Razaleigh Hamzah dan Abdullah Badawi dalam menentang Mahathir.

Kes mahkamah ialah tuduhan Adib Adam telah mencuri sebahagian dari wang komisyen yang diperolehi dari pihak Russia. Sehubungan kes ini, jika pendedahan tipikal Raja Petra itu boleh dipercayai, intriq IMT adalah cukup serius di mana Adib Adam telah di tip-off mengugut akan membunuh adiknya sendiri Askiah Mohd Adam, salah seorang dari pengarah IMT, jika membocorkan rahsia transaksi IMT dengan Russia [3].

Persoalan dan perkembangan seputar pemudahcara yang dilantik selepas sembilan bulan persetujuan membeli Sukhoi dibuat, adalah poin-poin yang mencetus tuduhan Anwar Ibrahim terhadap Najib.

Sehubungan ini, ya, memang nampak seakan-akan Anwar mendapat satu kepuasan yang jauh melangkaui nikmat pelepasan syahwat dalam bertalu-talu menuduh Najib melakukan rasuah dalam pembelian Sukhoi.

Dan saya boleh faham perkara ini. Kerana seperti seorang sufi yang sudah terfana (lebur dalam makrifat) Anwar “melihat berbilang dalam satu – melihat satu dalam berbilang” (dalam Arabnya lebih kurang - Syuhudul kasrah fi wahdah, syuhudul wahdah fi kasrah).

Bagi saya, dalam ratib dan zikir “Sukhoi,” sebenarnya tiadalah Anwar itu dalam mata mindanya melihat akan Najib, tetapi memandang dia akan Mahathir -- zat di belakang Najib.

Maka di Ijok itu terlepaslah dendam dan geram Anwar buat sejenak dua.

Inilah yang membuat saya sebagai pemerhati yang berjiwa pembangkang di peringkat awalnya tidak setuju dengan pendekatan yang diambil Anwar di Ijok. Dan di peringkat akhirnya timbul waswas dalam dada akan motif pendekatan Anwar. Terlalu jelas Anwar membataskan dan menfokuskan isu rasuah kepada satu dua insiden yang kononnya melibatkan hanya satu individu – Najib.

Seperti yang saya bangkitkan diawal posting ini, rasuah adalah satu isu maha besar di Malaysia. Tetapi di masa yang sama kita kena sentiasa ingat bahawa di Malaysia kini, terlalu banyak unsur “asap dan cermin” (smoke and mirrors) [4], [5] berkait dengan apa juga insiden yang sampai ke dada media atau pletfom penceramah pembangkang. Terlampau banyak kekeliruan yang lagi mengelirukan. Hinggakan, kalau Malaysia ini manusia, otaknya sudah berserabut sakan. Sudah lama terpaksa makan ubat -- on medication [6].

Statemen pemimpin sudah tidak boleh dijadikan buku untuk dipegang [7]. Hari ini kata boleh, esok kata tidak boleh. Hari ini bersumpah tidak pernah. Besok pagi dibuktikan menipu. Tapi masih boleh lagi tersenyum alim. Hinggakan gambar yang menjadi pasak cerita pun tidak boleh dipercayai lagi. Yang sah dikatakan Cina, realitinya Melayu yang dipaksa berketuk ketampi.

Yang dikatakan Johari Baharom itu terima rasuah untuk membebaskan Cina kepala-kepala sindiket jenayah, rupa-rupanya mengikut pendedahan Raja Petra, sebenarnya menjalankan arahan Menantu. Yang sebelum itu menerima petunjuk dari Ipar. Hakikatnya menurut Raja Petra, Anakanda Orang Itu yang berselingkuh dengan penjenayah [8], [9], [10]. Johari Baharom cuma “tompang tui” hirup kuah. Tetapi Polis Di Raja Malaysia yang kena pakai lencana – Saya Benci Rasuah.

Samalah seperti dengan cerita Sukhoi ini. Firasat saya, kalau pun benar terpalit rasuah, kemungkinan besar watak yang makan kenyang bukanlah orang yang dituduh.

Tetapi lebih dari itu semua, nampak seperti tiada siapa yang tahu jalan cerita dan apa yang sebetulnya berlaku seputar perlantikan ejen Sukhoi. Maka itu sipenuduh malu-malu kucing dari menceritakan perkara yang sebenarnya. Maka acah dalam menuduh. Tuduh yakin tak yakin. Maka jadilah buat kerja yang tidak menzahirkan kredibiliti.

Langsung dalam gambar yang lebih besar menebalkan wasangka dalam hati nurani pengundi akan kejujuran dan kebenaran pembangkang.

2 comments:

Anonymous said...

Canggih... dalam kisah Sukhoi pun ada Syuhud...

Tapi tak syok la cerita ni dah tamat... ceritalah lagi! :-)

TM = Tok-Mudim

DeeN said...

Oh, itu kisah di sebaliknya. Baru clear!