Friday, October 20, 2006

Beza UMNOputera dengan Bumiputera

Sesetengah pemerhati budaya berpendapat bahawa UMNOputera dan Bumiputera adalah dua suku kaum bangsa Melayu yang wujud dalam satu sudut geografi yang kecil, tetapi dalam dua dunia yang berlainan.

Dari segi berkomunikasi kedua-dua suku kaum bercakap Bahasa Melayu. Kalau adapun sedikit perbezaan, suku kaum UMNOputera mempunyai kecenderongan untuk mencampur adukkan Bahasa Inggeris dalam pertuturan mereka. Kecenderongan ini ketara di kalangan segmen perempuan UMNOputera, di mana kebanggaan mereka ialah bertutur dengan "broken English" (yang mana sangka mereka itulah gayanya bahasa itu dituturkan).

Bertolak dari persamaan bahasa, UMNOputera dan Bumiputera mempunyai banyak perbezaan dari segi budaya dan ekonomi, seolah-olah, UMNOputera dan Bumiputera itu adalah dua kasta yang terpisah dalam satu budaya.

Orientasi minda suku-suku kaum ini ialah UMNOputra mempunyai sikap "mengguna orang" manakala Bumiputera pasrah dengan sikap "diguna orang." Sebagai contoh, bagi UMNOputera, perbuatan menonggang motorsikal kuasa rendah secara beramai-ramai itu adalah satu aktiviti santai sambil mencipta nama. Untuk tujuan ini UMNOputera akan menggunakan Bumiputera untuk mengimarahkan majlis.

Dalam dunia yang lain, Bumiputera juga menonggang motorsikal kuasa rendah secara beramai-ramai, dengan mereka yang melakukan perbuatan itu dipanggil "Mat Rempit." Namun perbuatan "berMat Rempit" itu sendiri mempunyai satu signifikansi yang berbeza di kalangan Bumiputera. Selain dari bersantai, menonggang motorsikal kuasa rendah itu adalah juga punca rezeki. Melalui kegiatan "lumba haram" Mat Rempit berkemungkinan memperolehi ganjaran material yang lumayan (relatif status sosioekonomi mereka), sambil mereka mencipta nama.

Cuma dari hal mencipta nama, perbuatan UMNOputera dan Bumiputera mempunyai kesan yang berbeza. Nama UMNOputera yang berMat Rempit akan harum dan dikenali di peringkat nasional, manakala bagi Bumiputera yang berMat Rempit, nama mereka juga mungkin harum, tetapi kerapnya hanya dalam kenangan ahli keluarga terdekat.

No comments: