Saturday, June 30, 2007

Melayu & Sikap Keterlibatan Masyarakat

Hari ini cukup dua bulan tinjauan (pungutan) pendapat di atas dipamerkan. Dalam tempoh dua bulan, tinjauan ini telah dilawati sebanyak 20,338 kali, dan hasilnya adalah seperti berikut:

Untuk mendapatkan satu “rasa” tentang jumlah maklumbalas (76), ianya harus dinilai dalam konteks bilangan kali situs dilawati (20,338).

Andaikan seorang “pelanggan” blog ini telah melawat situs tinjauan itu sebanyak 10 kali. Ini bermaksud tidak kurang dari 2,034 pembaca/pelawat blog ini peduli, mempunyai minat, mempunyai pendapat terpendam, dan ingin tahu pendapat orang lain tentang isu yang di ketengahkan. Tetapi dari jumlah itu (2,034) hanya 76 orang atau 3.7% sahaja yang berani melibatkan dari dengan merakamkan pendapat mereka secara terbuka.

OK-lah. Saya boleh faham, blog ini pun kerdil, dan amnya online survey bukanlah dianggap authoritative, tidak berwibawa, maka itu apalah yang saya boleh harapkan dari segi jumlah respons/maklumbalas. Rudin X mahu tengok berapa ribu orang yang beri maklumbalas?

Ya, saya boleh bersetuju dengan hujah ini, kecuali, saya juga amati fenomena masyarakat terpelajar pengguna internet tidak berani menzahirkan secara terbuka pendapat peribadi adalah satu sikap meluas dan bukan terkhusus kepada pelawat blog picisan ini. Laman web (contoh: Harakahdaily.net) atau forum web popular (contoh: MyKMU.net) yang mendapat ratusan ribu malah jutaan lawatan sebulan pun, secara relatifnya mengalami sindrom yang sama.

Bagi saya, natijah dari jumlah maklumbalas tinjauan ini adalah lagi penting dari keputusan itu sendiri. Soal samada sebilangan besar pelawat blog ini berpendapat PRU ke 12 akan berlaku tahun ini atau sebaliknya adalah sekunder. Yang primer ialah jumlah pelawat yang memberi maklumbalas. Jumlah ini membawa satu kesimpulan jelas tentang sikap Melayu dalam hal-hal melibatkan diri dalam proses perubahan masyarakat.

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah – Amnya orang Melayu takut untuk melibatkan diri dalam proses pembentukkan public opinion, yang mana aspek ini adalah satu sudut penting bagi menentukan legitimasi politik (kesohihan daulat) tindak tanduk establishment politik yang sedang berkuasa dalam masyarakat.

Sehubungan, nampak jelas orang Melayu cukup curious, tersangat ingin tahu apa orang lain fikir atau rasakan, ingin tahu samada pendapat dan persepsi mereka tentang sesuatu isu itu selari dengan orang lain, tetapi jangan harapkan mereka sendiri mendepankan pendapat peribadi mereka.

Dalam konteks yang lebih besar, keengganan menujuk pendapat, menzahirkan perasaan inilah yang telah membolehkan regim UMNO-BN selama ini mengambil sikap bermaharaja lela, bersultan di mata beraja dihati, bertindak persis musuh dalam selimut dalam banyak hal kepentingan ekonomi dan sosio-budaya negara, khususnya kepentingan yang terkait dengan bangsa Melayu.

No comments: