Wednesday, August 22, 2012

Hudud UMNO: Penawar Persepsi Wabak Jenayah (1)



Potong tangan mungkin boleh membawa keinsafan

Sejak 20 tahun dulu, hasil polemik nasional tentang perlaksanaan hukum hudud adalah setakat geseran dan hingar bangar, tanpa apa-apa percikan cahaya.

Apapun, ramai di kalangan umat Islam percaya perlaksanaan hudud akan dapat membasmi secara drastik jenayah dalam masyarakat, kalau tidak pun mencantasnya ke tahap sifar.

Kegusaran masyarakat kebelakangan ini tentang peningkatan kadar jenayah memerlukan satu penawar mustajab diperolehi segera. 

Sebagai langkah usaha, satu eksperimentasi sosial yang berani perlu dilakukan.  Hudud adalah eksperimentasi itu. 

Tidak perlu cipta semula roda

Jika ada kemahuan politik, UMNO sebagai peneraju Barisan Nasional adalah dalam kedudukan terbaik untuk melaksanakan hudud dan qisas.  Diberi sedikit daya imajinasi, perlaksanaan hudud bukanlah suatu perkara yang terlalu sukar.

UMNO tidak perlu mencipta semula roda dengan menggubal undang-undang baru yang bakal berkontroversi untuk melaksanakan hudud.

Sebaliknya, UMNO hanya perlu “perkemaskan” Kanun Keseksaan (Akta 574) yang sedia ada.

Semua jenayah yang liputi hukum hudud dan qisas, kecuali kesalahan murtad, telah pun diliputi oleh Kanun Keseksaan.  Tukar saja peruntukan bentuk hukuman dalam Kanun Keseksaan bagi enam jenis jenayah yang disebut di dalam Al-Quran, dari hukuman penjara atau denda, kepada hukuman seperti potong tangan, atau hukuman lain seperti yang dituntut.

Contoh, bagi kesalahan mencuri, UMNO hanya perlu pinda seksyen 379, Kanun Keseksaan, dari “... hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya ...” kepada, sabit kesalahan, “potong tangan.”

Begitu juga dengan hukum qisas.  Sebagai contoh, UMNO hanya perlu pinda hukuman bagi jenayah membunuh dengan sengaja.  Sekarang ini hukuman bagi jenayah ini, seperti diperuntukan oleh seksyen 302, ialah “Barang siapa yang melakukan kesalahan membunuh orang hendaklah diseksa dengan bunuh.”

Pinda sewajarnya seksyen ini kepada, sabit kesalahan, “ ... diseksa dengan bunuh, atau di atas persetujuan waris simati denda (diat) 100 ekor unta atau nilai semasa 100 ekor unta dalam matawang Malaysia.”

Satu transformasi mudah

Nota, contoh pindaan yang diberi mungkin berbunyi mudah.  Tetapi tidaklah dimaksudkan contoh-contoh itu memperlekehkan sesuatu yang berat. Tujuan contoh ialah menjelaskan satu bentuk transformasi mudah yang boleh dibuat  kepada Kanun Keseksaan.

Darihal taktik perlaksanaan, UMNO yang dipandu ijmak pemimpin, ahli dan pakar boleh membuat pindaan secara berperingkat, atau jika bertujuan menutup rapat mulut PAS untuk tempoh 100 tahun ke hadapan, perkenalkan kesemua pindaan sekaligus. 

Tiada sebab menentang

Karpal Singh tolak hudud sebab takut hilang pelanggan
Sejak sebelum Merdeka lagi rakyat Malaysia telah menerima Kanun Keseksaan dan semua undang-undang lain yang berkaitan dengannya (seperti tatacara mahkamah, tatacara jenayah dan akta keterangan) dalam bentuk seadanya. 

Dijangka tiada pihak akan menolak usaha UMNO yang setakat menyelaraskan Kanun Keseksaan dengan hukum hudud dan qisas sahaja, dan tidak undang-undang berkaitan yang lain. 

Perbuatan ini tidak menyentuh, atau bertentangan dengan kepentingan mana-mana ugama lain, hatta kepentingan ekonomi mana-mana badan profesional. 

Salah PAS

Boleh difahami jika sekarang ini perlaksanaan hukuman hudud ditentang oleh banyak pihak, hinggakan ada tokoh-tokoh dari kalangan peguam yang mengisytiharkan sanggup mati menentang hudud.

Punca mindset (fikrah) ini ialah kesilapan PAS yang  dengan cara sifar hikmahnya telah menerangkan hudud kepada masyarakat, sebagai sesuatu yang memerlukan undang-undang dan mahkamah yang terasing.  Semua itu adalah terlalu terpisah dari pengalaman sosial dan imajinasi keadilan kaum bukan-Islam.  Lantaran itu mereka menentang hudud.

Isu sebenarnya ekonomi

Di pihak peguam pula, khususnya mereka yang bukan-Islam yang telah menghabiskan lebih dari tiga suku dari usia mereka mencipta nama dalam “mahkamah sekular”, prospek hakisan ekonomi peribadi dalam bentuk hilang pelanggan kepada “peguam syarie” adalah satu ancaman dan penghinaan yang menikam kalbu. 

Benar mereka boleh mengambil “sijil annual syarie”.  Tetapi pada usia mereka, proses itu adalah terlalu mencabar, malah hampir mustahil.  Maka itu mereka tentang hudud habis habisan.

Islam itu mudah

Diberi realiti masyarakat Malaysia, melaksanakan hudud dengan cara menyelaraskan Kanun Keseksaan dengan kehendak Al-Quran adalah jalan terbaik untuk menegakan hukum Allah, jika itulah sebenarnya kemahuan umat Islam Malaysia, khususnya pengikut PAS.  Lainlah pula ceritanya jika "hudud" hanyalah satu mainan politik.

Monday, August 20, 2012

Kenalkah PAS Hati Budi DAP?


Di celah dentuman polemik “DAP kafir harbi” sesetengah pengundi Melayu mungkin masih lagi boleh bersimpati dengan kekuda partisan PAS.  Ini kerana mereka melihat PAS sebagai pembangkang stereotaip, yang semestinya membangkang apa juga yang datangnya dari UMNO.  Itu tugas hakiki PAS.

Kasyaf yang menyesatkan dari seorang guru tarekat
Tetapi bila ada pemimpin PAS dari kelas intelektual yang mengtasybihkan DAP dengan alasan “tidak wujud istilah penggunaan ‘kafir harbi’ selagimana tidak tertegaknya sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar” --  penaakulan yang memualkan ini telah membawa ke permukaan sifat sebenar keupayaan fikir kepimpinan PAS.

Tidak kah terlintas di kepala kepimpinan PAS bahawa umat Islam di Rohingya, Myanmar, tidak pernah memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam, hatta hukum hudud itu dilaksanakan?

Kafir Harbi di mana mana.  Hanya tunggu masa dan peluang.
Namun semenjak wilayah mereka diilhakkan oleh kuasa British yang menjadikannya jajahan takluk Myanmar, mereka telah menjadi warga tanpa negara.  Di himpit kebencian kaum kafir yang menjadi majoriti dan pemerintah Myanmar, mereka cuma mahu hidup.  Namun tentera negara itu sendiri telah membantai mereka tanpa belas kasihan.

Dalam perkembangan terkini, diberitakan tidak kurang dari 6,000 orang telah dibunuh, manakala ribuan lain pula diperkosa, di samping ribuan kediaman dan harta benda milik penganut Islam dimusnahkan.

Di beri gambar latar kebencian kafir terhadap umat Islam yang sedemikian rupa, di mana letaknya jauhar hujah PAS yang menafikan kewujudan kafir harbi tanpa adanya sebuah negara Islam?

Justeru itu, respons kepimipinan PAS yang mensucikan DAP menagih satu soalan mudah:  Tahukah PAS menilai di titik mana DAP itu berada di dalam spektrum kafir zimmi-harbi?

Penghinaan melampau DAP mencetuskan 13 Mei 1969
Penelitian hasil perkongsian PAS dengan DAP dalam tempoh empat tahun lepas memberi gambaran jelas.  Ternyata, keupayaan kepimpinan PAS memahami implikasi ke atas kepentingan bangsa dan ugama hasil pemutusan politik yang mereka buat, adalah tumpul.

Perhatikan bagaimana di Perak, sejurus keputusan pilihan raya umum (PRU) 2008 diketahui, DAP dengan mudah telah berjaya memukau PAS dengan tawaran hiasan kuasa dan jawatan tinggi. 
 
Melalui tawaran dua kerusi exco, yang termasuk kerusi menteri besar yang dibuat dalam terpaksa, DAP mampu mendominasi secara total Majlis Exco Perak, dan sekaligus itu “kuasa veto” dalam Dewan Perundangan Negeri.

Dalam teruja menyambut tawaran, PAS tidak membaca bahawa saiz kabinet kerajaan negeri bukanlah terhad kepada hanya 11 jawatan exco termasuk jawatan menteri besar. 

Berhala di DUN Pasir Panjang terbina sejurus Nizar Boneka DAP di angkat jadi MB Perak

Sebaliknya, saiz sebenarnya ialah 13 kerusi termasuk jawatan Speaker serta timbalan Speaker, Dewan Perundangan Negeri.  Kenaifan PAS itu telah membolehkan DAP dengan santai melantik wakilnya di kedua-dua jawatan tersebut.

Jika PAS dilihat gagal mencerna maklumat tersurat, keupayaannya menghadam fakta tersirat adalah lebih rendah.

Dilambung gembira prospek menduduki kerusi menteri besar, PAS gagal mengambil kira bahawa YB Jamaluddin Mohd Radzi, ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) N59 Behrang, yang juga dilantik exco adalah sebenarnya seorang pembawa kartu keahlian DAP yang dipertandingkan di atas tiket PKR.

Islam bergelimpangan di Rohingya. Mangsa kafir zimmi?
Sandiwaranya nampak seperti PKR yang dapat satu lagi slot exco, tetapi realitinya DAP menduduki slot tersebut melalui ADUN N59 Behrang.

Disebabkan daya catur PAS yang tumpul, DAP yang menyumbang 18 (atau 58%) dari 31 kerusi DUN yang dimenangi Pakatan Rakyat (PR) telah mendapat sembilan (69%) dari 13 jawatan kabinet negeri.

PAS tertipu?  Atau kelincahan pencak politik PAS sememangnya hanya setakat itu, dan tidak perlu ditipu-tipu?

Amati pula apa jadinya kepada PAS di Selangor.  PKR yang menyumbang 16 (atau 44%) dari 36 kerusi DUN yang dimenangi PR telah mendapat tujuh (54%) dari 13 slot kabinet negeri termasuk jawatan timbalan Speaker.  Sebaliknya PAS yang menyumbang tujuh (19%) kerusi DUN mendapat hanya dua (15%) jawatan exco.

Itu belum lagi diambil kira pembolotan jawatan dalam majlis-majlis kerajaan tempatan oleh penyokong PKR dan DAP.  Hingga diberitakan terdapat kes perlantikan ahli majlis yang buta huruf serta tidak tahu berbahasa kebangsaan.

Maksud mudah istilah “politik” ialah persaingan mendapatkan kuasa mengagihkan sumber ekonomi.

Dalam konteks ini di mana letaknya maruah sebilangan intelektual Melayu yang cenderong menyokong PAS?  Berbaloikah imbuhan yang mereka perolehi setelah menjadi tulang belakang jentera PAS, baik secara terangan atau secara sulit, khasnya di peringkat daerah mengundi, di seluruh Semenanjung semasa PRU 2008 dulu?  Terjulangkah Islam di Perak dan Selangor?

Apa pun jawapannya, terbukti PAS dan penyokongnya adalah penjelmaan hidup bagi perumpamaan “menang sorak kampung tergadai”. 

"Ulamak" yang jadi lidah pembela persekutuan dengan Kafir DAP

Dalam tahun 2008, PAS masuk ke pasaran undi seumpama seorang perawan masuk ke pasaran jodoh. Di seluruh Semenanjung calon PAS membawa imej anggun, serta suci dari noda dan dosa.

Namun, di Perak sebagai contoh, selepas dicuba hanya 11 bulan, “mempelai” yang dipilih rupanya memiliki belang “serupa, malah lagi teruk dari UMNO.”  Tetapi lebih rendah dari itu, ialah persepsi pengundi Melayu yang melihat PAS sekadar boneka DAP yang telah mengkhianati kaum.

Di Selangor, imej PAS adalah sekadar melukut yang hanya layak menjadi pembekal lasykar pejalan kaki untuk mengimarahkan majlis-majlis PKR, sebagai tompokan hadhirin yang berkopiah putih.  Setakat sesuai untuk difoto sebagai bukti kepada pemerhati di luar negara, bahawa PKR telah berjaya mengliberalkan Islam di Malaysia.

Untuk PRU ke-13, PAS akan masuk ke pasaran undi laksana seorang duda masuk ke pasaran jodoh.  Selain stigma, pasaran juga melihat kepada bagasi yang diheret bersama.  Dalam menilai semua itu, reputasi masa lepas yang PAS tawarkan akan menjadi titik tolak. Mutakhir, reputasi itu jelas kelihatan mereput.