Wednesday, August 22, 2012

Hudud UMNO: Penawar Persepsi Wabak Jenayah (1)



Potong tangan mungkin boleh membawa keinsafan

Sejak 20 tahun dulu, hasil polemik nasional tentang perlaksanaan hukum hudud adalah setakat geseran dan hingar bangar, tanpa apa-apa percikan cahaya.

Apapun, ramai di kalangan umat Islam percaya perlaksanaan hudud akan dapat membasmi secara drastik jenayah dalam masyarakat, kalau tidak pun mencantasnya ke tahap sifar.

Kegusaran masyarakat kebelakangan ini tentang peningkatan kadar jenayah memerlukan satu penawar mustajab diperolehi segera. 

Sebagai langkah usaha, satu eksperimentasi sosial yang berani perlu dilakukan.  Hudud adalah eksperimentasi itu. 

Tidak perlu cipta semula roda

Jika ada kemahuan politik, UMNO sebagai peneraju Barisan Nasional adalah dalam kedudukan terbaik untuk melaksanakan hudud dan qisas.  Diberi sedikit daya imajinasi, perlaksanaan hudud bukanlah suatu perkara yang terlalu sukar.

UMNO tidak perlu mencipta semula roda dengan menggubal undang-undang baru yang bakal berkontroversi untuk melaksanakan hudud.

Sebaliknya, UMNO hanya perlu “perkemaskan” Kanun Keseksaan (Akta 574) yang sedia ada.

Semua jenayah yang liputi hukum hudud dan qisas, kecuali kesalahan murtad, telah pun diliputi oleh Kanun Keseksaan.  Tukar saja peruntukan bentuk hukuman dalam Kanun Keseksaan bagi enam jenis jenayah yang disebut di dalam Al-Quran, dari hukuman penjara atau denda, kepada hukuman seperti potong tangan, atau hukuman lain seperti yang dituntut.

Contoh, bagi kesalahan mencuri, UMNO hanya perlu pinda seksyen 379, Kanun Keseksaan, dari “... hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya ...” kepada, sabit kesalahan, “potong tangan.”

Begitu juga dengan hukum qisas.  Sebagai contoh, UMNO hanya perlu pinda hukuman bagi jenayah membunuh dengan sengaja.  Sekarang ini hukuman bagi jenayah ini, seperti diperuntukan oleh seksyen 302, ialah “Barang siapa yang melakukan kesalahan membunuh orang hendaklah diseksa dengan bunuh.”

Pinda sewajarnya seksyen ini kepada, sabit kesalahan, “ ... diseksa dengan bunuh, atau di atas persetujuan waris simati denda (diat) 100 ekor unta atau nilai semasa 100 ekor unta dalam matawang Malaysia.”

Satu transformasi mudah

Nota, contoh pindaan yang diberi mungkin berbunyi mudah.  Tetapi tidaklah dimaksudkan contoh-contoh itu memperlekehkan sesuatu yang berat. Tujuan contoh ialah menjelaskan satu bentuk transformasi mudah yang boleh dibuat  kepada Kanun Keseksaan.

Darihal taktik perlaksanaan, UMNO yang dipandu ijmak pemimpin, ahli dan pakar boleh membuat pindaan secara berperingkat, atau jika bertujuan menutup rapat mulut PAS untuk tempoh 100 tahun ke hadapan, perkenalkan kesemua pindaan sekaligus. 

Tiada sebab menentang

Karpal Singh tolak hudud sebab takut hilang pelanggan
Sejak sebelum Merdeka lagi rakyat Malaysia telah menerima Kanun Keseksaan dan semua undang-undang lain yang berkaitan dengannya (seperti tatacara mahkamah, tatacara jenayah dan akta keterangan) dalam bentuk seadanya. 

Dijangka tiada pihak akan menolak usaha UMNO yang setakat menyelaraskan Kanun Keseksaan dengan hukum hudud dan qisas sahaja, dan tidak undang-undang berkaitan yang lain. 

Perbuatan ini tidak menyentuh, atau bertentangan dengan kepentingan mana-mana ugama lain, hatta kepentingan ekonomi mana-mana badan profesional. 

Salah PAS

Boleh difahami jika sekarang ini perlaksanaan hukuman hudud ditentang oleh banyak pihak, hinggakan ada tokoh-tokoh dari kalangan peguam yang mengisytiharkan sanggup mati menentang hudud.

Punca mindset (fikrah) ini ialah kesilapan PAS yang  dengan cara sifar hikmahnya telah menerangkan hudud kepada masyarakat, sebagai sesuatu yang memerlukan undang-undang dan mahkamah yang terasing.  Semua itu adalah terlalu terpisah dari pengalaman sosial dan imajinasi keadilan kaum bukan-Islam.  Lantaran itu mereka menentang hudud.

Isu sebenarnya ekonomi

Di pihak peguam pula, khususnya mereka yang bukan-Islam yang telah menghabiskan lebih dari tiga suku dari usia mereka mencipta nama dalam “mahkamah sekular”, prospek hakisan ekonomi peribadi dalam bentuk hilang pelanggan kepada “peguam syarie” adalah satu ancaman dan penghinaan yang menikam kalbu. 

Benar mereka boleh mengambil “sijil annual syarie”.  Tetapi pada usia mereka, proses itu adalah terlalu mencabar, malah hampir mustahil.  Maka itu mereka tentang hudud habis habisan.

Islam itu mudah

Diberi realiti masyarakat Malaysia, melaksanakan hudud dengan cara menyelaraskan Kanun Keseksaan dengan kehendak Al-Quran adalah jalan terbaik untuk menegakan hukum Allah, jika itulah sebenarnya kemahuan umat Islam Malaysia, khususnya pengikut PAS.  Lainlah pula ceritanya jika "hudud" hanyalah satu mainan politik.

No comments: