Thursday, February 08, 2007

Penyudah Hikayat PRK Batu Talam

Sebenarnya, saya pun sudah tidak berapa ghairah untuk berkarya fasal PRK Batu Talam. Bagi saya, post mortem episod Batu Talam adalah laksana menghampok makhluk yang sudah mati, kata Inggeris, beating a dead horse.


Bab undi Bukan Melayu

Tetapi dek kerana ada satu dua permintaan yang menggesa saya untuk membincangkannya, juga demi email-email penyokong UMNO yang menyindir/memperli, maka di sini saya gagahkan diri mengulang catit pemerhatian yang saya kira semua pemerhati/peminat politik sudah nampak jelas tanpa bersuluh.

Sebagai ulangkaji, izin saya ulang catitkan rumusan yang dibuat sebelum ini tentang PRK Batu Talam – penentangan Bukan Melayu terhadap UMNO telah meningkat 6% kepada 34%.

Lantas menagih persoalan – bagaimana pula dengan sokongan/tentangan Melayu? Jawapanya terletak di dalam jadual berikut.


Gelora di Heartland Melayu

Tumpukan perhatian tuan/puan kepada keputusan untuk Peti-peti Undi dalam FELDA Gugusan Tersang. Amati bahawa UMNO sebenarnya telah diboikot oleh penyokong sendiri. Macam mana Rudin X boleh buat kesimpulan ini? Jawab saya mudah.

Perhatikan, sebagai contoh, bahawa untuk Peti Undi FELDA Tersang 1, Saluran 1, undi UMNO untuk PRK ini telah merosot 40 undi berbanding 2004. Begitu juga dengan undi Saluran 2 telah turun sebanyak 56, dari 333 dalam tahun 2004, kepada terbaru 277 undi.

Samalah juga di Peti Undi FELDA Tersang 3. Undi Saluran 1 naik 5, manakala undi Saluran 2 turun 5. Walhasil peningkatan pengaruh UMNO di situ ialah sifar, kosong, pocit elek.

Dah tu macam mana secara keseluruhan UMNO boleh dapat peningkatan 341 undi Melayu di Gugusan Tersang (hampir 100%, kecuali 5 atau 6 Orang Asli)?

Sebelum menjawab soalan ini, izin saya ajak tuan/puan memerhatikan kewujudan satu Saluran baru di Tersang 1, serta kewujudan satu Peti Undi baru, yakni Peti Undi Tersang 2. Dulu dalam tahun 2004 Peti Undi Tersang 2 tidak wujud sendirian, sebaliknya digabungkan dengan Tersang 3 dengan nama Peti Undi FELDA Tersang 2 & 3.

Di sisi metodologi pembuktian ketat (strict proof), saya sepatutnya tidak boleh membuat hujah yang kuat tentang gelagat pengundi Tersang 2, tanpa menyemak nama-nama pengundi yang telah digrupkan sebagai pengundi Tersang 2, dan pengundi Saluran 3 Tersang 1. (Nak semak dan “matching” boleh, tetapi kesuntukan masa kebelakang ini menghalang dan hasilnya saya jangka, jika pun dibuat, adalah lebih kurang sama dengan tidak dibuat).

Kerana angka-angkanya bagi saya adalah obvious, jelas, maka saya berani membuat hujah bahawa sebahagian penyokong UMNO yang kini dikenali sebagai pengundi Saluran 3 FELDA Tersang 1 adalah sebenarnya sebahagian dari pengundi Saluran 1 bagi FELDA Tersang 2 & 3 ketika wujudnya dulu, kalau tidak pun orang-orang yang sama. Maka itu saya membuat kesimpulan bahawa undi sebanyak 239 yang UMNO dapat dalam tahun 2004 dulu telah kini dizahirkan sebagai 229 undi di Saluran 3 FELDA Tersang 1.


Melayu dan Bukan Melayu adalah spesis yang sama

Jika andaian saya ini hakikinya tepat, maka bolehlah disimpulkan bahawa UMNO telah hilang 10 penyokong lagi di Gugusan Tersang. Menjadikan keseluruhannya UMNO hilang 111 penyokong bangsa Melayu di FELDA Gugusan Tersang! (40 + 56 + 10 + 5 = 111).

111 penyokong dari 1,242 penyokong tegar bererti UMNO kini telah kehilangan 9% sokongan di kalangan Melayu yang secara tradisinya memangkah UMNO! (Sila lihat catitan tentang kaedah mencongak jumlah penyokong tegar dalam komentar sebelum ini).

Hakisan sokongan Melayu sebanyak 9% terhadap UMNO? Banyak tu! Biar betul kesimpulan awak Rudin X.

Ya, memang begitulah nampaknya, dan ini semua tidak mustahil jika diambil kira (a) faktor penyokong Tun Dr Mahathir di kalangan orang-orang UMNO; serta (b) faktor keselekehan wal kehipokritan pentadbiran Dolah & Menantunya yang kini sudah terserlah dan terlalu diketahui umum secara terperinci oleh rakyat Malaysia.

Dan dalam tuan/puan menghadham fakta angka ini, jangan pula lupa bahawa hakisan 9% sokongan buat UMNO itu belum ambil kira lagi faktor PAS tidak berkempen dalam PRK ini! Kalau PAS berkempen, entah macam manalah jadinya angka ini.


Hukum alam -- Setiap aksi ada reaksi

Baiklah. UMNO hilang 111 sokongan dari ahlinya sendiri. Cuba Rudin X jawab macam mana keseluruhannya UMNO boleh dapat peningkatan 341 di FELDA Gugusan Tersang?

Oh, soalan itu? Jawabnya mudah. 341 ahli dan penyokong PAS telah menyeberang memeluk UMNO. Dan PAS, khususnya saf pemimpin kena terima hakikat ini. Secara rasminya ahli-ahli PAS di Gugusan Tersang masuk UMNO kerana memprotes keputusan parti untuk memboikot PRK ini. Itu alasan rasmi.

Tetapi atas diri saya seorang, saya syak bahawa pesta PAS masuk UMNO ini sudah pun lama di rancang. Kalau tidak pun kerana pemboikotan ini yang ramai ahli dan penyokong PAS tidak setuju, atas sebab lain pun, acara “joget lambak” ini akan terjadi juga bila sampai masanya. Ini kerana saya amati dari data-data sebelum ini, wujud semirip “kemelut dalaman” di peringkat PAS Kawasan atau Cawangan yang tidak terubat sejak PRU ke-11 lagi.

Secara rasminya, 300 ahli PAS telah masuk UMNO. Angka ini membayangkan sekitar 18% dari sekitar 1,700 ahli PAS dalam Kawasan Raub sudah berlaku "fasik." (Angka 1,700 adalah anggaran saya, dan tidak semestinya tepat). Juga, 341 pengundi yang telah memberi undi kepada UMNO membayangkan bahawa 39% dari penyokong tegar PAS di Gugsan Tersang telah berpaling tadah.

Katakanlah memang tiada muslihat lain yang meyebabkan perbuatan paling tadah ini, dan protes terhahap keputusan parti memboikot PRK ini sajalah sebabnya; maka kadar/peratusan perbuatan masuk/sokong UMNO ini sebenarnya menjadi cermin kepada hakikat ketidak puashatian ahli dan penyokong PAS di seluruh Malaysia pada kadar yang sama.

Tidak percaya? Cuba amati grafik di atas. Peratus pembaca Harakahdaily.net yang “setuju bahawa boikot gagal” campur yang “tiada komen” (cara sesetengah Melayu tunjuk tidak sebulu) adalah sekitar 40%! (Diandaikan bahawa semua yang turut serta dalam online poll Harakahdaily adalah ahli atau penyokong PAS).


Natijah dalam konteks luas

Maka itu apa mesej dan pengajaran yang PAS boleh dapat dari episod pemboikotan ini?

Banyak sebenarnya jika hendak diulas, tetapi memada’i-lah jika saya katakan dua perkara.

Bahawa (a), saf kepimpinan PAS bermula dari sekarang mesti ambil kira pendapat ahli dan penyokong di peringkat akar umbi sebelum membuat sesuatu keputusan yang melibatkan parti keseluruhannya. Belajar-belajarlah turun ke padang untuk mendengar cetusan hati nurani ahli dan penyokong. Jangan hanya turun untuk berkomunikasi satu hala -- turun untuk berceramah/bersyarah -- dah tu pulang ke rumah dengan bangga bahawa ramai penyokong telah datang mendengar cakap kita.

Dan (b), lain kali fikirkan dan rancangkanlah apa-apa tindakan besar dengan mendalam. Pendapat dan bisikan bijak mereka-mereka yang tidak ahli parti, khususnya mereka-mereka yang tidak ahli mana-mana parti politik, waima mereka itu dewa-dewi dari kayangan sekalipun, tolak tepi sajalah. They have nothing to lose, but you -- everything.

Bertindaklah dengan bijak. Dan janganlah sampai penyokong dan ahli parti sendiri mula timbul waswas dalam dada bahawa kepimpinan PAS sudah main kayu tiga atau ada talian terus dengan Dolah & Menantunya. Ingat tragedi AlMarhum Datok Asri Muda.

Di ambil kira segala pengajaran negatif dan positif yang boleh didapati dari PRK ini, jelas bahawa sokongan terhadap UMNO kini sudah susut hampir 8%**. Tidak kiralah kemerosotan ini adalah sebab “faktor Mahathir” atau sebab “faktor kerosakan sistemik (systemic) yang Dolah & Menantunya telah lakukan terhadap struktur sosial dan ekonomi negara.” Pokoknya, peluang untuk PAS dapat hayunan (swing) undi tambahan 10% dari kadar sebelum ini dalam PRU ke-12 kelak adalah cerah.

Diberi kadar susut sokongan terhadap UMNO ini, tanpa PAS berbuat apa-apa yang istimewa dalam PRU ke-12 kelak, jika ianya dilangsungkan esok, setakat kerusi-kerusi DUN dan Parlimen di Kelantan – 40 kerusi DUN (dari 45) adalah dalam tangan, manakala 13 kerusi Parlimen (dari 14) sedia menunggu.

Doa saya ialah agar Allah sentiasa memberi hidayah kepada saf kepimpinan PAS.


Nota: ** Angka 8% ialah weighted average (purata berpemberat) merosotnya sokongan Melayu (9%) dan Bukan Melayu (6%) terhadap UMNO yang digabungkan dengan nisbah pengundi Melayu/Bukan Melayu pada kadar 60:40.

No comments: