Sunday, February 04, 2007

Batu Talam: Mujarrobat Kubro – The Big Experiment – Ujikaji Besar

[Melayu dapat cencalok dua botol serta mungkin duit sepuluh dua puluh ringgit sudah gembira tak terkata. Manakala China yang dijamu dengan “10 course dinner”oleh Timbalan Perdana Menteri masih belum tentu lagi undi UMNO. Bab dijanjikan geran milik kekal kepada tanah-tanah yang diterokai secara haram, itu kita tidak tahu melibatkan berapa ribu ekar pula. Klik untuk besarkan gambar dan amati meja jamuan sedang disiapkan]


  • Kabut belum menyingsing

Sampai hari ini, saya dapati tajuk “manfaat PAS memboikot PRK Batu Talam” masih lagi dibincangkan di kedai-kedai kopi di Kota Bharu, walaupun tidak sehangat sebelum berlangsungnya PRK ini.

Darihal fokus debat kini, saya amati isu tentang pemboikotan PRK ini telah berubah dari “wajarkah boikot” kepada “betulkah boikot berkesan.”

Saya congak, debat samada wajar atau tidak, berkesan atau tidak boikot ini, sebenarnya tidak perlu timbul sekiranya PAS mempunyai seorang dua “superstar” di kalangan pemimpinnya. Superstar dalam ertikata pemimpin yang mempunyai appeal massa yang dapat membangkitkan ghairah dan sentimen rakyat yang merentasi batas fahaman politik, kaum dan generasi.

Tetapi sayang, diamati PAS sudah ketiadaan “demagogue” yang dapat memukau audiens disegenap segmen masyarakat semenjak terpelanting keluarnya Almarhum Datuk Asri Muda dari tampuk kepimpinan PAS dalam dekad 80han dulu.

Hinggalah keadaannya hari ini, pemimpin PAS boleh menceritakan seribu satu keburukkan perbuatan UMNO dan pemimpinnya, yang mana semuanya adalah cerita benar lagi sohih, tetapi impak cerita hanya berlaku di kalangan penyokong dan ahli. Dan dalam itu pun, saya teka, tidaklah begitu mendalam. Sebaliknya, bila Tun Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulang sebut cerita yang sama, emosi rakyat secara meluas bangkit meluat kepada UMNO dan/atau pemimpinnya.

Itulah nasib PAS dari segi mass appeal. Ibarat seorang penyanyi nasyid atau ghazal. Waima merdu suara laksana buluh perindu, gurindam lagunya syahdu lagi berfalasafah tinggi, popularitinya adalah terbatas. Manakala di pertimbangan yang lain pula, seorang penyanyi rock mungkin bersuara laksana katak demam, senikata lagu lintang pukang laras bahasanya, keluar masuk lokap adalah hobinya, peminat setia berjuta ramainya.

Kerana inilah masalah PAS, maka, jangan kata pengundi biasa, penyokong dan ahli sendiri pun susah hendak nampak bahawa pemboikotan ini berpunca dari sebab-sebab yang sememangnya tepat lagi profound dan berserta itu -- adalah juga merupakan satu eksperimen, satu mujarrobat politik yang hebat.

Untuk mengeksplikasi pendapat ini, izinkan saya membincangkan keputusan PRK ini untuk Peti Undi Cheroh.


  • Mengapa hanya pilih Cheroh?

Kerana dalam pandangan saya di situlah terletak objek paling bernilai sehubungan pemboikotan ini – peluang menilai tahap hakisan sokongan terhadap UMNO di kalangan pengundi bukan Melayu (khususnya China).

Kaum China, yakni kelompok pengundi yang dalam tahun 1999 dulu, telah menyelamatkan wakil-wakil rakyat UMNO dari menjadi penganggur. Grup pengundi yang menyelamatkan UMNO dari hilang kuasa (mungkin buat selama-lamanya). Kelompok pengundi yang menjadi penghadang bagi UMNO yang sedang diterpa kemarahan bangsa Melayu.

Di Peti Undi Cheroh, pengundi Bukan Melayu mewakili hampir 80% dari semua pengundi. Pengundi China 57% dan selebihnya 23% pengundi India.

Ya, saya boleh terima, dan adalah wajar jika tuan/puan bertanyakan: Macam mana pula boleh dikaitkan corak mereka mengundi dengan sepupu sepipi mereka di kawasan bandar, sedangkan pengundi Bukan Melayu (khususnya China) di Cheroh adalah warga pendalaman, bukan warga urban?

Menjawab soalan tuan/puan, saya tidak melihat kepada perbezaan, tetapi kepada persamaan yang ada antara China di Cheroh dengan China di Kuala Lumpur atau Petaling Jaya.

Persamaan China kampung dengan China bandar adalah juga titik perbezaan antara Melayu dengan China. Tolak tepi lain-lain ciri, beza utama Melayu dengan China di Malaysia ialah tahap pergantungan ekonomi kepada kerajaan (yang kini dikaitkan dengan UMNO).

Amnya tahap kebergantungan ekonomi bangsa China dengan kerajaan adalah sederhana. Tidak di tahap “miss soru” atau hampir kebulur jika tidak disuap kerajaan. Kalau di bandar China berniaga kedai runcit, di kampung pun China berniaga kedia runcit juga. Dan begitulah dengan aktiviti ekonomi lain.


  • Taat Melayu-taat China terhadap UMNO

Berbeza pula dengan bangsa Melayu. Yang mana amnya, kecuali di Kelantan dan di sesetengah tempat di Kedah, Melayu adalah terlalu bergantung sumber rezeki dengan kerajaan. Amnya Melayu “makan gaji” dengan kerajaan. Kalau tidak sebagai penjawat awam, sebagai kontraktor kerajaan. Kalau tidak bergantung punca "makan persen," bergantung sebagai “peneroka” FELDA atau KESEDAR atau agensi-agensi lain.

Pilihanraya yang lengang. Di mana gambar calun nampaknya tidak berani dipamerkan.

Maka itu kita dapati Melayu amnya tidak berani menderhaka kepada UMNO yang dikaitkan sebagai “kerajaan.” Tidak mahu sokong/pangkah UMNO? Penentang mungkin akan dimangsakan dari segi ekonomi. Dibuang kerja. Ditahan pangkat. Dinafikan projek dan kontrak. Dinafikan subsidi. Disingkir dari tanah rancangan. Umum sedia maklum peras ugut seperti ini.

Siapa yang berani melawan, dalam keadaan tanah rancangan sudah pun dikerjakan selama 20 hingga 30 tahun, tetapi geran dan hakmilek tanah masih belum diperolehi? Tak kan keringat dan jerih pedih berpuluh tahun hendak dilepaskan begitu saja, berdepan pula risiko dibuang dari skim tanah rancangan, semata-mata kerana marahkan UMNO dan mengundi pembangkang?

Mengambil kira realiti ini, PAS seperti juga dengan watak utama wayang kulit Seri Rama, terpaksa menerima hakikat bahawa isterinya Sita Dewi semasa diculik oleh Maharaja Wana (Rawana) telah diperkosa. Dan terpaksa menerima pengakuan dan alasan Sita Dewi bahawa cuma batang tubuh yang tidak berdaya melawan diserah, tetapi hatinya tetap sentiasa bersama, dan adalah milek kekal Seri Rama.

Yakni, saya taksir, PAS pun faham bahawa sebilangan besar pengundi di FELDA Gugusan Tersang menyimpan PAS di dalam hati, tetapi mereka terpaksa mengundi, membiarkan pemerkosaan UMNO.


Dalam komentar sebelum ini saya ada menyebut bahawa saya menganggap pengundi China di Cheroh sebagai microcosm pemikiran China Malaysia.

Dalam membuat statemen ini saya sebenar mengandaikan pengundi China di Cheroh sebagai “representative Chinese voter” atau “minda tipikal pengundi China.” Yang mana istilah ini saya gunakan selari dengan konsep “representative consumer” yang digunakan dalam analisis kesetaraan am makroekonomi ( general equilibrium macroeconomics analysis).

Cubalah bagaimana pun pemimpin Barisan Nasional membelit fakta, hakikatnya pengundi China di Cheroh telah menolak UMNO. Namun disebabkan mereka adalah manusia cerdik, secara kelompok mereka telah memberontak ke satu tahap yang tidak terlalu ketara, hingga mengundang tindak balas UMNO yang boleh menjejaskan kebajikan kelompok mereka.

Dari jadual di atas, adalah jelas bahawa UMNO telah kehilangan hampir 6% dari undi yang secara tradisional mereka patut dapat. UMNO boleh warwarkan bahawa pengundi Saluran 1 (warga emas) menyokong mereka, tetapi hakikatnya masih ramai lagi yang tidak sanggup memberi undi kepada UMNO. Hakikat ini menyaksikan UMNO kehilangan 54 undi China (andaian pukal bahawa mereka semua adalah dari kaum China).

Berbalik kepada andaian teoretis bahawa pengundi China di Cheroh adalah mewakili pemikiran China se Malaysia, maka bolehlah dirumuskan bahawa dalam tempoh tiga tahun Dolah dan Menantunya mentadbir Malaysia, sokongan pengundi China terhadap UMNO telah merosot 6%.

Hakisan sokongan meningkat 6%? Ya, memang begitulah inferensi statistiks yang boleh dibuat.

Selain hakisan sokongan, perhatikan dari jadual di atas bahawa seramai 125 dari mereka-mereka yang secara tradisionalnya memilih pembangkang (PAS) telah tidak keluar mengundi. Dan bila mereka dipaksa keluar mengundi (seramai 247), mereka telah berprotes melalui jalan memilih calun seorang budak hingusan yang langsung tidak berkempen, yang mana calun sendiri tidak membuang undi. Maksudnya, pengkalan penentangan terhadap UMNO di kalangan kaum China sebanyak 28% masih lagi intact, kekal.

Di tambah pula dengan jumlah yang baru belajar meluat dengan UMNO sebanyak 6%, ini bermakna kadar baru tentangan terhadap UMNO di kalangan kaum China ialah 34%! Itu belum lagi PAS yang dibantu KeAdilan berkempen secara agresif. Heh heh.

Barisan Alternatif tidak perlu menaruh harapan terlalu tinggi darihal sokongan Bukan Melayu dalam PRU ke-12 kelak. Memadai dengan sokongan pada tahap 34%. Kalau mahu nampak berkerja keras, pastikan sokongan Bukan Melayu berada ditahap 40% ataupun 4 orang dari setiap 10 pengundi. Yang mana jumlah ini pun sudah lebih dari cukup, jika dicampur dengan kadar penentangan semulajadi di kalangan Melayu, untuk memporak perandakan cengkaman UMNO dalam Parlimen.

Perkiraan berapa banyak kerusi Parlimen yang PAS dan KeAdilan boleh sapu kelak dalam PRU ke-12; diberi andaian kadar baru kemeluatan rakyat Malaysia terhadap UMNO yang dipimpin Dolah dan Menantunya, pun adalah satu jimnastik mental yang menyeronokkan.


Nota: Komentar ini telah di upload pada tengah hari Februari 4, 2007 dan kemudian di-edit pada sebelah malamnya.

No comments: