Friday, June 08, 2007

Kepimpinan “Gok-Lokal” & Kasihannya Wanita Serta Puteri UMNO

Gambar ialah kandang kambing milik seorang pemimpin PAS Kelantan.

Dalam loghat Kelantan kandang atau reban di panggil “gok.” Jika kandang itu untuk kambing, maka dipanggilnya “gok kambing.” Kalau reban ayam, dipanggilnya “gok ayam” sebab perkataan “reban” tidak ada dalam loghat Kelantan.

Selain dari membawa maksud kandang haiwan, bagi warga Kelantan generasi umur 60 tahun ke atas, bergantung kepada penggunaannya dalam ayat, “gok” juga membawa maksud “lokap polis” atau penjara. Begitu juga di kalangan Melayu Selatan Thailand, perkataan “penjara” nampaknya tidak ada dalam perbendaharaan kata mereka, dan kata “gok” itulah saja perkataan mereka yang bermaksud “penjara,” selain dari meminjam perkataan Siam, “lok-pat.”

Selain dari mendeskripsikan reban atau kandang, di Kelantan perkataan “gok” juga digunakan dalam simpulan bahasa yang membawa 101 maksud berwarna warni. Sebagai contoh, simpulan bahasa “sama se-gok” membawa maksud sama sekeluarga, sama sepasukan, sama se-parti, sekumpulan dan lazimnya ayat yang mengandungi ungkapan ini adalah dalam konteks merayu kepada semangat kesetiakawanan dan keakraban kumpulan.

Tetapi jika simpulan bahasanya itu mengambil bentuk frasa “main sama se-gok” (bermain sama sekandang) atau “gok tu lor” (kandang yang itu juga), maka kata “gok” dalam konteks ini adalah satu penghinaan yang menyindir kepada perbuatan menjurus sumbang mahram! [1]

Sebagai contoh, jika dikatakan seseorang itu berkahwin “gok tu lor” ianya adalah satu sindiran atau penghinaan bahawa pasangan pengantin mempunyai hubungan kekeluargaan, dan perkahwinan itu telah mengambil sifat; “bersalin tikar” (kahwin dengan bekas adik ipar atau kakak ipar), kahwin sepupu, kahwin bekas biras, kahwin adik beradik tiri, kahwin cucu tiri, kahwin anak saudara tiri, kahwin adik beradik angkat atau kes-kes seumpamanya.

Perhatikan bahawa perkahwinan sedemikian adalah tidak bersalahan dengan hukum syara’ tetapi tidak berapa direstui dari sudut cita rasa norma Melayu. Analogi perbuatan sedemikian ialah perbuatan memakan tupai atau dhab (biawak padang pasir). Tiada nas dalam hukum Islam yang mengharamkan makan tupai, cuma Melayu amnya tidak tergamak untuk menggulai tupai. Begitu juga dengan makan dhab. Bangsa Arab Saudi dok elok makan dhab, tetapi Melayu hanya sentuh daging atau lemak dhab dalam hal-hal perubatan.

Frasa “gok tu lor” juga merujuk kepada perbuatan selingkuh atau berkahwin dengan babu [2], pembantu rumah [3], orang gaji, house keeper [3] atau apa juga istilah yang digunakan bagi mendeskripsi wanita-wanita dalam grup pekerjaan ini [4], [5], [6].

Agak-agak pembaca boleh faham jalan cerita saya setakat ini? Tentu boleh, kan?

Bertolak dari cerita “gok” saya mengajak tuan/puan mempertimbangkan saranan pemimpin-pemimpin yang mahu lihat kita rakyat Malaysia berfikir dan bertindak “global” atau kalau tidak pun “glokal.” Diakui saya sendiri pun tidak faham apa maksud bersikap “global” apatah lagi “glokal” tetapi apa yang jelas, saya faham apa maksud “gok-lokal” atau kalau hendak disingkatkan – gokkal.

Istilah “gok-lokal” atau “gokkal” adalah satu kata nasihat yang membawa maksud; kalau hendak kahwin, janganlah pilih pasangan dari kandang yang sama, dari kalangan sanak saudara. Usahlah dibimbangi serta tamak sangat ingin lihat harta dinasti kita tidak jatuh ke tangan orang jauh. Luaskanlah kolam genetik umat manusia. Janganlah berperangai Firaun yang berkahwin sesama adik beradik atau dengan anak sendiri demi memastikan tahta tidak jatuh ke tangan keluarga lain.

Dan kalau sekali pun kita sudah tergelap mata langsung berselingkuh, kalau pun hendak bermukah atau berzina rentak “quickie” (berjimak untuk tempoh kurang dari satu atau dua minit), janganlah buat di rumah sendiri. Hatta rumah itu kediaman rasmi yang disediakan oleh majikan [7]. Pergilah buat jauh-jauh sikit.

Dah tu pula, lebih-lebih lagi kalau kita ada isteri atau suami yang sedang sakit kuat atau baru sembuh dari sakit tenat seperti sakit kanser. Berhemahlah sikit kalau ia pun kita terpaksa penuhi tuntutan batiniah, sepanjang pasangan kita itu sakit dan menjalani rawatan lalu tidak dapat melayani kehendak kita [8].

Janganlah kita buat tidak erti bahasa lagi berkurang ajar sehingga permainan kayu tiga kita disedari pasangan kita [9]. Langsung patah dan sakit hatinya membawa penyakit yang pernah dialami meradang semula, hingga membawa mati pasangan kita [10].

Begitulah tuan/puan maksud perkataan gok-lokal.

Dan seterusnya kalau kita ini pemimpin, janganlah kita ghairah menyeru orang bawahan kita bersikap global atau glokal, kalau kita sendiri tidak dapat mengatasi sikap gok-lokal.

Sehingga kita berjumpa diposting yang lain. Salaam.

(Eh eh Rudin X. Rungut pembaca. Tak kan berhenti setakat ini sahaja. Dalam tajuk ada sebut Wanita dan Puteri UMNO, tapi dalam karya langsung tidak sebut, tidak sentuh. Biar betul Rudin X. Kat mana Rudin X belajar buat karangan? Tak kan Wanita dan Puteri UMNO itu hanya sekadar penyeri tajuk untuk menarik pembaca meluang masa menjeling posting? Ya, sebenarnya, wahai pembaca yang budiman, begitulah adanya peranan Wanita dan Puteri UMNO dari kacamata Rudin X serta barisan pembesar UMNO yang lain. Sememangnya mereka itu tidak pernah dinilai lebih dari barisan penyeri yang meramaikan majlis [11]. Setentunya tidak layak dibuat isteri. Kerana denyutan “Grago” adalah lagi jelira).

1 comment:

Anonymous said...

Seperti selalu, penuh intrig. Sehingga mencanak imaginasi fitnah mindaku ini.

Another good piece of satire, bro.