Wednesday, October 10, 2007

MEMO PRU12: Diiring Gemuruh Angin, Meniup UMNO Kelantan … Alam Yang Jadi Saksi (Bahagian 1)

Menurut Artikel 55 Perlembagaan Malaysia [1], tempoh wajib berlakunya sesuatu pilihan raya umum itu ialah sebelum tamat tempoh 5 (lima) tahun pilihan raya sebelumnya diadakan. Diberi begitu hakikatnya mengapa pula tidak sampai enam bulan berlalunya PRU 2004 parti-parti pembangkang telah mula mendesak Pentadbiran Pak lah supaya satu pilihanraya umum diadakah segera?

Seolah-olah jika satu pilihan raya umum diadakan di saat itu atau dalam waktu terdekat ini, pembangkang boleh menggantikan UMNO/BN ditampuk kuasa negara.

Apa hikmah? Apa muslihat, hingga “norma” jarak (purata) waktu antara dua pilihan raya – 4 tahun 4 bulan [2] -- yang dipelopori oleh Tun Dr Mahathir mahunya dipendekkan?

Cerita di belakang visual di atas adalah salah satu dari pemboleh ubah (variable) dalam rumus (equation) pendesakan ini.


Tinjauan hasrat rakyat
Mengikut tuan empunya cerita, visual ialah muka surat depan dan belakang satu soal selidik yang ditabur diseluruh pelusuk Kelantan sekitar bulan Julai-Ogos tahun lepas. Masih jelas dalam visual, tajuk soal selidik ialah: Tinjauan Kepekaan Tentang Kempimpinan Kelantan 2006.

Apa relevannya di kala ini membincangkan hasil tinjuan yang dibuat tahun lepas?

Ya, betul, relevansinya boleh didebatkan. Namun sebelum kita ke titik itu, apa kata pembaca izinkan saya review konteks iklim politik di Kelantan ketika itu. Mudahnya, izin saya simpulkan senario politik Kelantan ketika soal selidik itu diedarkan.


Senario politik Kelantan sewaktu tinjauan
Yang pastinya di ketika itu, PAS Kelantan masih lagi merawat luka kekalahan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir tahun 2005. Tetapi yang lagi mendebarkan, PAS masih belum melintasi garis tiga tahun menyandang kerusi. Yakni belum lepas tempuh “idah” terpaksa mengharungi pilihan raya kecil (malah pilihan raya seluruh negeri) sekiranya berlaku sesuatu yang “tidak diingini” kepada salah satu dari 23 Ahli Dewan Undangan Negeri PAS. [3]

Dengan kedudukan kerusi DUN PAS 23 –UMNO 22, sepanjang masa sebelum tarikh 24hb Mac 2007, atau genap 3 tahun berlalunya PRU 2004, PAS Kelantan sebenarnya berada di hujung tanduk. Di ketika itu, cukup dengan seorang saja ADUN PAS berpaling tadah atau mati, Kelantan akan menyaksikan satu PRU. [4], [5]

Di ketika itu PAS dicengkam 1,001 dugaan dan cabaran dalaman dan luaran. [6], [7]

Dari luar, UMNO telah menggunakan pelbagai helah dan tekanan untuk menrealisasikan hasrat terbubarnya DUN Kelantan. Taktik prima UMNO dalam hal ini seperti lazimnya ialah cubaan membeli ADUN PAS. [8], [9], [10], [11]

Bab dalaman pula, rakyat Kelantan ketika itu telah dihembus satu siri ledakan khabar angin. Datangnya silih berganti, menjadikan rakyat yang peka politik digenangi bagai nak lemas dalam 101 versi cerita tentang kerenah saf kepimpinan parti, baik dari kalangan yang terpilih semasa PRU 2004, mahupun yang tersisih.

Jalan cerita semua khabar angin ketika itu adalah mudah – TG Datuk Nik Aziz telah diugut oleh kumpulan dalaman PAS Kelantan itu dan ini untuk paksakan DUN terbubar jika tuntutan tidak dipenuhi. Contoh cerita:

  • Enggan beri kawasan balak yang dihajati kepada “geng” atau “kabilah Bani Si-polan Itu dan Ini,” ada ADUN yang akan lompat parti. Kesannya DUN terpaksa dibubar.

  • Enggan setuju lulus syarat pemilikan sekian puluh ribu ekar tanah kepada grup Cina Gua Musang itu dan ini, ada ADUN yang jadi broker sekaligus “balaci” akan lompat parti. Kesannya DUN akan terbubar.

  • Kerajaan berkeras tidak mahu buang pegawai itu dan ini dari menerajui anak syarikat kerajaan negeri itu dan ini, ada ADUN yang sudah “disinggung perasaan” dek pegawai tersebut akan lompat parti. Kesannya DUN terpaksa dibubar.

  • Ada ADUN yang gambarnya tersenarai dalam soal selidik telah terima wang pendahuluan dari sogokan berjumlah RM3 juta untuk lompat parti. Pun si-polan itu sudah tanda tangan dokumen perjanjian bersaksikan peguam. Bila-bila masa dia boleh lompat parti. Kesannya DUN akan terbubar.

Begitulah perkhabaran yang disajikan kepada rakyat Kelantan untuk membayangkan betapa gentingnya kedudukan PAS Kelantan dalam tahun 2006.

Berlatar belakangkan gambar betapa tipis dan licinnya tali kuasa yang sedang dipegang PAS itulah tinjauan dibuat. Seterusnya mengikut tuan empunya cerita, objektif tinjauan ialah membolehkan satu taksiran ilmiah dibuat tentang sejauh mana -- di ketika itu -- rakyat Kelantan bersedia “mengubah selera.” Ramai yang ingin kepastian di ketika itu, PAS atau UMNO kah yang bakal menang jika DUN dibubar dan PRU diadakan.

Maka soal selidik pun diedarkan secara rambang, ditabur ke dalam pasar, ke warung-warung, ke rumah-rumah persendirian, malah di mana saja manusia berkumpul, diunjuk kepada sesiapa juga yang sudi berkerjasama.

Hasil tinjauan? Akan didedahkan di bahagian berikut.

Nota: Tajuk artikel telah disadur dari lirik ini.

No comments: