Thursday, October 11, 2007

MEMO PRU12: Diiring Gemuruh Angin, Meniup UMNO Kelantan … Alam Yang Jadi Saksi (Bahagian 2)

Ya, pada tahap keyakinan 95%, ditangga teratas carta politikus popular, insan yang mendapat 76% undian rakyat Kelantan sebagai pemimpin paling dipercayai ialah -- Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz. (Sila rujuk nota teknikal di hujung artikel untuk pertimbangan statistiks).

Saya yakin penemuan tinjauan yang dipaparkan tidak mengejutkan pembaca. Angka-angka itu tuan/puan semua boleh teka, malah sudah pun tahu di peringkat firasat.

Tetapi pembaca mungkin angkat kening mengetahui bahawa PAS Kelantan yang umum anggap “parti lebai-lebai kampung” – tanpa sokongan dan bantuan Cawangan Khas, tanpa Risik Tentera, tanpa JASA, tanpa Seranta FELDA -- pun boleh mengukur cita rasa dan mood rakyat. Malah berkeupayaan untuk tujuan itu semirip analog [1].

Amati keputusan yang dipaparkan adalah mood rakyat di kala PAS Kelantan masih belum lagi sistematik dengan program-program kebajikan mesra rakyatnya. Di waktu itu, masih lagi belum ada Program Kifaalah, belum ada Program Duafa, belum lagi menderma RM1.5 juta kepada mangsa banjir Johor dan sebagainya. Di ketika itu, PAS masih belum lagi ada Hezbullah di Lubnan sebagai model.

Perhatikan perbezaan mata di antara TG Nik Aziz dengan calun paling dipercayai dari kalangan orang UMNO – Datuk Mustapha Mohamad – ialah 70%. Dan perhatikan juga bahawa sebelum Datuk Mustapha boleh “bersentuh roma” dengan TG Nik Aziz, tersergam Datuk Hj Husam Musa sebagai benteng.

Bagaimana pula jika – nauzubillah – TG Nik Aziz tidak dapat turut serta mempertahankan Kelantan? Tinjauan membayangkan bahawa dalam senario itu sekali pun, UMNO masih lagi jauh dari mendapat laluan mudah.

Malah dalam senario itu, UMNO Kelantan masih lagi terpaksa melepasi benteng-benteng “Harimau Berantai" PAS untuk sampai ke tampuk kuasa. Pada kadar 42% pilihan rakyat sebagai pemimpin kedua paling dipercayai menerajui pentadbiran Kelantan, Hj Husam Musa berada 37 mata di hadapan pencabar terdekat dari UMNO iaitu Datuk Pa yang mendapat 5%. Beza populariti 37 mata adalah satu jarak yang agak jauh untuk dihambat oleh sesiapa pun dari UMNO Kelantan.

Sehubungan “saf kedua” (second liner) PAS Kelantan untuk berdepan dengan UMNO, perhatikan bahawa PAS hanya perlu “hantuk” Datuk Pa dengan salah satu dari kalangan Datuk Halim bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, atau Datuk Hj Takiyuddin, atau Datuk Hj Annuar Tan yang sama-sama mendapat 5% undian.

Malah perhatikan juga dalam senario TG Nik Aziz tidak berada di saf depan mengimami perjuangan melawan UMNO, nama beliau masih lagi belum terkeluar senarai. Praktisnya boleh dibayangkan TG Nik Aziz turut serta secara "alah kadar" sekali pun sudah cukup untuk menjamin sokongan 3%.

Bagaimana pula dengan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan? Jika setakat untuk pereboh (merebahkan) Datuk Seri Annuar Musa, perhatikan bahawa PAS Kelantan cuma perlu kedepankan Dr Nik Mazian atau Hj Hassan Mahmud yang sama-sama mendapat 3% undian.

Seterusnya, ada apa lagi dengan UMNO Kelantan di mata rakyat?

Lepas Raya Aidil Fitri saya sambung cerita, boleh? Sementara itu Rudin X dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pembaca. Maaf zahir dan batin dipinta dari pembaca kalangan penyokong UMNO khususnya, jika telah ada tulisan saya sepanjang tahun ini yang menyinggung perasaan.


Nota teknikal
Sekitar 1,000 warga Kelantan dari seluruh pelusuk negeri yang didekati secara rawak mudah [2] telah memberi kerjasama dalam tinjauan ini. Dari jumlah tersebut, untuk menjamin integriti hasil kajian, seramai 400 orang telah dipilih semula secara rawak oleh perisian komputer SPSS [3]. Teknik ini ialah untuk menjamin kaedah persampelan menjadi semirip kaedah ujikaji “double-blind.” [4]

Angka 400 responden dari kerangka teoretis 700,000 pengundi berdaftar di Kelantan adalah memadai untuk menjamin penemuan yang boleh diyakini ditahap marjin ralat (margin of error) ± 5%. [5], [6], [7]

Ralat
Terdapat sedikit kesilapan pada geraf Pemimpin Pilihan Kedua yang disiarkan sebelum pukul 8.30 malam Oktober 11, 2007. Kesilapan telah pun dibetulkan.

3 comments:

Anonymous said...

Salam aidilfitri untuk Rudin X sekeluarga dari Tok Mudin sekeluarga. Teruskan menulis dengan analisa-analisa terbaru dari Kelate.

Selamat hari raya, maaf zahir & batin :)

A Voice said...

Ramadhan memberi kesedaran
Syawal itu kejayaan.
Tahniah, itu ucapan perayaan.
Perjuangan ramadhan tiada akhiran.

Selamat hari raya to all. Maaf zahir batin.

Fid`Fat said...

Kalau dikira, pendapat dan tinjauan dari Bancian Pemimpin Utama dan Pemimpin Kedua yang dikehendaki oleh Rkayat Kelantan adalah dilihat tidak nampak ketelusan. Malah ketelitian serta mengapa mereka dipilih tidak dinyatakan. Dan juga mungkin tinjauan itu sekadar di bawah ruang sempit kalangan penyokong PAS > atau dibawah lingkungan rakyat yang agak cetek pengetahuan politiking UMNO dan PAS di Kelantan. Kalaupun Tuang Guru dipilih menerajui sekali lagi Kelantan adalah bersebab. Mungkin kerana kehendak rakyat kepada seorang Tuan Guru. Tapi rakyat mesti ingat kepada ikrar Tuan Guru yang sudah menjadi "Ayam Pencen" yang masih lagi mahu bertelur, disebabkan kambing-kambing jamnapari dikelilingnya masih mengharap ehsan kuasa tuan guru. Jika dilihat beberapa faktor, penulis mesti berbangga dengan apa keputusan tinjauan tersebut. Tetapi dalam situasi sekarang sukar kita tentukan. Gemuruh, Angin meniup UMNO Kelantan belum tentu kita tahu apa kesannya... tetapi Gemuruh, Angin yang dibawa UMNO itu penulis perlu ukur berapa kelajuan dan apa kesannya, apabila seorang Ketua Dewan Ulamak PAS (mestilah dia seorang Ulamak, masakan bleh jadi ketua plak) mengisytiharkan bahawa PAS sekarang sedang mengeksport mayat-mayat hidup dari luar Kelantan semata-mata untuk mempertahankan KErajaan Kelantan. Oleh yang demikian, perlu dilihat... apa yang membuatkan PAS lakukan demikian? Adakah kerana tiupan angin dan gemuruh dari UMNO Kelantan telah membawah satu perubahan kepada Kerajaan Kelantan ?
Ingat... Husam dah tak layak bergelar wakil rakyat ditempat dia sekarang.. itu usul dari PAS Kawasan Pengkalan Chepa (Kawan Tuan GUru).. dan kemana dia nak pegi ?Lepas ni.. kalau Tuan Guru berundur... siapa yang mahu praktikkan Kempimpinan Ulamak ? Husam ? Takiyuddin ? Siapa ? Angin mana yang bertiup.. pohon mana yang bergoncang ? Siapa yang meniup siapa yang merasa... kita perhatikan nanti... InsyaAllah...