Saturday, June 30, 2012

Hudud PAS: Retorik Pancing Undi Yang Membelah Ummah


Selama 20 tahun “hudud” menjadi tagline atau cogan kata PAS yang ampuh untuk memecah belahkan kesepaduan umat Islam Malaysia. 

Perpecahan berlaku bila sesetengah penganut Islam merasakan mereka wajib menyokong PAS yang menjaja “hudud” kerana parti itu dilihat mahu melaksanakan hukum Islam, sedangkan menegakkan syiar Islam itu wajib.

Propaganda seputar “hudud” telah membolehkan PAS mengekalkan kuasa di Kelantan hingga sekarang, dan di Terengganu, janji melaksanakan hudud telah membolehkan PAS memerintah selama empat tahun. 

Lencana “hudud” juga telah membolehkan PAS mendabik dada bahawa parti politik itu bukan lahir semata-mata untuk merebut kuasa politik, tetapi ia berperanan memikul tanggung jawab khalifah Allah di muka bumi iaitu "mendirikan agama dan mentadbir dunia dengannya”.  Begitulah murninya bunyi jalan cerita PAS.


Pusingan-U yang anih

PAS menggunakan perkataan “hudud” sebagai sinonim (kata sama) kepada ungkapan “negara Islam”.  Perbuatan ini telah membolehkan kepimpinan PAS menghidupkan watak sandiwara “pejuang Islam” yang menyakinkan.

Haji Abdul Hadi Awang, presiden PAS, kiri.  Kebelakangan ini mendapat “hidayah” supaya membakul sampahkan hudud dan Negara Islam yang PAS perjuangkan dengan gigih selama 50 tahun.

Namun laksana hilang siuman PAS kebelakangan ini telah membuat pusingan-U.  Tagline “hudud” telah dibakul sampahkan, dan PAS telah menggantikannya dengan tagline “negara berkebajikan”. 

Terbaru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, dilapor berkata parti itu terpaksa berbuat demikian kerana "masalah pengangguran masih ada lagi dan untuk laksanakan hukum ini kedudukan rakyat Malaysia mesti stabil contohnya daripada segi pendidikan, kehidupan, dan hubungan keluarga juga kena dijaga."

Terdahulu dari itu, semasa menjadi Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang pernah dilapor membuat kenyataan “perlaksanaan hudud tidak menjadi keutamaan Kerajaan PAS Terengganu kerana hudud hanyalah 0.0001% sahaja daripada Islam”.


Tun Dr Mahathir dorong pemikiran PAS

Tun Dr Mahathir Mohamed – musuh PAS nombor satu -- adalah insan yang memaksa PAS untuk berfikir tentang hudud dan negara Islam secara praktikal.

Dalam kerancakkan kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bukit Payong, Terengganu, pada bulan April 1992, Tun Dr Mahathir telah mencabar PAS melaksanakan hukum hudud di Kelantan sebagai isyarat PAS ikhlas dalam bercakap tentang menggalas ideologi membentuk sebuah negara Islam.

Terpukul dengan cabaran itu, PAS bergegas menubuhkan satu jawatankuasa penggubal kanun jenayah syariah.

Pada 24 November 1993 PAS telah membentangkan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan dengan mendapat sokongan sebulat suara semua anggota Dewan.

Bermula saat itu pementasan sandiwara “hudud PAS” berjalan.


Kontroversi “hudud PAS”

Perkataan “hudud” membawa maksud had atau batas hukuman ke atas tujuh jenis kesalahan yang disebut khusus di dalam al-Quran.  Kata “hudud” disebut sebanyak 14 kali di dalam 9 ayat al-Quran.

Istilah kontroversi “hudud PAS” merujuk kepada dokumen yang dinamakan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993.

Enakmen ini dan usaha melaksanakan kandungannya menimbulkan kontroversi hingga hari ini kerana ianya boleh dinilai dari dua sudut.

Dari sudut PAS, setelah membayar RM250,000 kepada sebuah firma guaman untuk menghasilkan dokumen tersebut, PAS berkeras bahawa hasil gubahan konsultan mereka itu adalah “hukum Allah” yang haram dipertikaikan.

Oleh kerana maruah ulama dan kebijaksanaan PAS tentang Islam dilambangkan oleh dokumen tersebut, PAS terpaksa mengambil kekuda yang agresif – sesiapa yang menolak hudud karya PAS adalah sama dengan menolak Islam.

Bagi UMNO enakmen hudud karya PAS itu bukanlah hukum Allah yang sebenarnya, sebaliknya hudud PAS adalah satu hasil kerja yang pincang dalam menafsir al-Quran.

Tun Dr Mahathir yang lantang mengkritik hudud PAS membayangkan ianya lahir dari satu usaha gopoh yang dibikin oleh orang-orang yang jahil tentang kewujudan ilmu “criminal justice” (pengadilan penjenayah).


Antara hukum Tuhan dengan hukum manusia

Dari segi bentuk dan maksud, Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 (hudud PAS) adalah sama dengan Kanun Keseksaan (Akta 574) yang digunapakai dalam sistem kehakiman sekular yang diamalkan sekarang.   Kedua-dua dokumen menyenaraikan jenis kesalahan dan bentuk hukuman jika sabit (terbukti) kesalahan.

Apa yang membezakan enakmen hudud PAS dengan kanun keseksaan ialah bilangan kesalahan yang disenaraikan dan ilham tentang bentuk hukuman.

Enakmen hudud PAS menyenaraikan tujuh jenis kesalahan spesifik (zina, minum arak, curi, murtad, rompak dan menderhaka kepada pemerintah) dan bentuk hukuman yang disebut di dalam al-Quran.  Manakala kanun keseksaan menyenaraikan tidak kurang dari 200 jenis kesalahan dan bentuk hukuman yang manusia fikirkan sesuai.

Enakmen hudud PAS menyenaraikan jenis kesalahan dan hukuman yang tercatit di dalam al-Quran menurut tafsiran PAS.  Hasil kerja ini pincang kerana tidak mengambil kira prasarana dan undang-undang sokongan untuk memboleh hukum yang diwahyukan.

Bertolak dari persamaan dan perbezaan ini, amati kandungan kedua-dua dokumen ini tidak boleh berdiri dengan sendiri.

Perlaksanaan kandungan kedua-dua dokumen hanya boleh dilakukan dalam konteks wujudnya satu sistem mahkamah yang berwibawa, yang disokong oleh sekurang-kurangya empat jenis undang-undang khusus yang lain.


Fasa dalam proses pengadilan jenayah

Dalam gopoh PAS hendak menghasilkan satu umpan memancing undi, panel penggubal enakmen hudud Kelantan telah tidak mengambil kira gambar besar proses pengadilan jenayah dan fasa-fasa yang terkandung didalamnya.  Sebaliknya mereka hanya fokus kepada persoalan bentuk hukuman.



Pengetahuan pemerintah tentang kejadian sesuatu jenayah bermula dengan laporan.  Fasa kedua, laporan jenayah itu disiasat.  Ketiga, jika siasatan mendapati wujud bukti jenayah seperti dilapor, kes akan diadili dalam mahkamah.  Fasa keempat, perlaksanaan hukuman setelah terbukti kesalahan.  Inilah gambar besar proses pengadilan jenayah.
  

Undang-undang khusus bagi setiap fasa

Sistem pengadilan jenayah sekular yang ada sekarang mempunyai undang-undang khusus bagi setiap fasa dalam proses pengadilan.

Hakikatnya lebih dari 50% beban tugas dalam proses pengadilan jenayah adalah di peringkat menerima laporan, menyiasat laporan, dan memastikan hasil siasatan mempunyai merit atau asas untuk pendakwaan dibuat.

Bagi jenayah dalam konteks sekular, banyak tatacara kerja dalam fasa pengadilan disebut dalam Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).  Malah kanun ini selain daripada Akta Polis 1967 (Akta 344) banyak mengawalselia cara polis melaksanakan tugas mereka.  Namun malang aspek ini kabur dalam undang-undang hudud yang PAS ingin laksanakan.


Hak campur batil, masih batil

Sehubungan kekaburan ini PAS tidak boleh lepas tangan dengan mengatakan undang-undang lain yang ditinggalkan penjajah kuffar pun boleh digunapakai untuk mendokong perlaksanaan hudud.  Perbuatan sedemikian adalah laksana menuangkan segelas air zamzam ke dalam sebaldi arak, hasilnya tetap tidak diterima Tuhan (?).

Aspek lain pengadilan jenayah seperti undang-undang keterangan, undang-undang tatacara mahkamah, dan undang-undang perlaksanaan hukuman semua ini mesti diselaraskan dengan lunas-lunas Islam sebelum layak mendokong hudud.

Apakah latihan dan persiapan yang perlu disediakan kepada orang-orang yang terlibat dalam sistem pengadilan hudud, kepada pasukan polis dan kaki tangan penjara khususnya?

Malangnya peruntukan untuk menyelasaikan masalah yang bakal timbul di setiap fasa pengadilan penjenayah tidak disebut dalam enakmen hudud yang PAS ketengahkan.

Rumusnya, “hudud” yang PAS ingin laksanakan gagal menyelaraskan undang-undang yang mereka gubal dengan berpuluh lagi perkara “wajib mendatang” untuk membolehkan hukum Allah dilaksanakan.


Politik sampai ke sudah

Dalam berlaku adil kepada PAS, perlu disebut bahawa enakmen hudud PAS Kelantan ada merujuk kepada undang-undang sokongan sedia ada ketika itu seperti Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985, dan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 1991.

Tetapi seperti yang ditegaskan sebelum ini, undang-undang tersebut masih belum kemas dan perlu diselaraskan untuk melayakkannya mendokong enakmen hudud PAS dengan mantap.
Dalil yang menyokong hujah ini ialah keputusan perbicaraan kes khalwat Ketua Pemuda PAS, Mohamad bin Sabu dalam tahun 1994 di Mahkamah Syariah Kota Bharu.

Apa yang umum tahu ialah Mohamad Sabu telah dibebaskan dari tuduhan atas alasan “kekurangan bukti”.

Tetapi apa yang umum jarang tahu ialah ungkapan “kekurangan bukti” antara lainnya merujuk kepada fakta “pegawai pencegah maksiat yang membuat tangkapan telah bertindak di luar bidang kuasa kerana beliau secara rasminya bercuti pada hari tangkapan dibuat.”

Keputusan mahkamah sebegini menimbulkan keraguan tentang “kesempurnaan” undang-undang tatacara jenayah dan keterangan syariah yang sedia ada untuk mendokong undang-undang hudud.


Tuhan nak tunjuk

Dengan izin Allah PAS berjaya menakluk Terengganu dalam tahun 1999.  Dalam menepati janji dan mengikut jejak Kelantan, PAS Terengganu yang dipimpin Haji Abdul Hadi pun membentangkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas).

Sebaik saja dokumen “hudud Terengganu” menjadi dokumen awam, gempar melanda masyarakat Islam seluruh negara.  Kandungan dokumen “hudud PAS Terengganu” didapati tidak sama, dan dalam sesetengah hal bercanggah dengan “hudud PAS Kelantan”.

Sebagai contoh, perbuatan seorang suami meliwat isteri mengikut enakmen hudud Terengganu adalah “kosher” (halal dalam bahasa Yahudi), tetapi haram di sisi enakmen hudud Kelantan.  Hudud yang mana satu diterima Allah?

UMNO dan barisan kepimpinannya tidak pernah menolak hukum Allah.  Malah fitnah “UMNO tolak hudud” yang PAS jaja selama ini adalah sepekatnya satu pembohongan.  Sebenarnya apa yang UMNO dan Tun Dr Mahathir khususnya tolak ialah “hudud PAS”. 

Semenjak tahun 1993 intipati kritikan Tun Dr Mahathir terhadap enakmen hudud Kelantan adalah fokus kepada kepincangan PAS menafsir kaedah melaksanakan hudud yang diarahkan di dalam al-Quran.

Namun PAS mengambil sikap tidak menghiraukan kritikan tersebut, bahkan menganggap ia sebagai dalil UMNO menolak Islam, dan secara tersiratnya melabel Tun Dr Mahathir itu kafir.


PAS gagal laksana hudud

Hingga hari ini PAS masih meletakkan beban kegagalan melaksanakan hudud baik di Kelantan mahupun di Terengganu pada batang tubuh Tun Dr Mahathir dan UMNO.

Dakwa Tuan Guru Nik Aziz menteri besar Kelantan, Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia telah mengugut untuk mengambil alih pentadbiran Kelantan melalui Majlis Gerakan Negeri (MAGERAN) jika PAS berkeras melaksanakan enakmen hudud yang mereka gubal.

Bukan setakat Tun Dr Mahathir disalahkan, malah untuk satu tempoh selepas hudud PAS diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, penyokong PAS telah meniupkan gosip Tuanku al-Sultan Kelantan melengahkan perkenan ke atas enakmen tersebut.

 Gosip itu telah mengundang murka Tuanku al-Sultan hingga baginda mencemar duli dengan bertitah di satu perhimpunan rakyat Kelantan untuk menjelaskan keadaan sebenar, yang baginda pun sangat berhasrat melihat syariat Islam ditegakkan di bumi Kelantan.

Apa pun sebab sebenar yang menghalang PAS Kelantan dari melaksanakan enakmen hudud yang mereka banggakan, riak kepincangan dalam cara kerja PAS ketara sejak titik mula.


UMNO dan syariat Islam

Kerana UMNO itu Islam maka dalam suasana tanpa heboh dan kecoh usaha telah dijalankan untuk meningkatkan taraf sistem perundangan syariah di negara ini.

Baru-baru ini menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengumumkan draf mengenai pindaan perundangan tersebut telahpun siap, namun perlu dibentangkan kepada majlis agama negeri dan ketua agama Islam negeri terlebih dahulu, memandangkan hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri. 

Bila mendapat perkenan semua pihak, mahkamah syariah negara kelak akan mempunyai lima peringkat berbanding tiga peringkat yang ada sekarang.

Struktur baru mahkamah syariah akan mempunyai bukan setakat mahkamah rayuan syariah, tetapi mahkamah paling tinggi, iaitu majlis rayuan syariah negara.

Proses ini sudah berada di tahap akhir dan cadangan akan dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.

Memperkenalkan sesuatu undang-undang baru atau merubah struktur mahkamah syariah (hatta sekular) bukanlah kerja mudah yang boleh disiapkan dalam waktu yang singkat. 

Bandingkan pula cara semirip serang hendap yang PAS gunakan untuk membentangkan enakmen hudud Kelantan.


Hudud UMNO di kaki langit

Apa faedahnya kerajaan Malaysia yang diterajui UMNO bersusah payah meningkatkan taraf sistem mahkamah syariah negara jika UMNO tidak mempunyai agenda untuk memperluaskan perlaksanaan hukum-hukum Islam?

Menyelenggara satu sistem mahkamah bukanlah murah seperti membina sekujur “berhala quran batu” seperti yang dibuat oleh PAS Kelantan.  Sistem mahkamah bukanlah diwujudkan untuk nilai estetika semata-mata.

Jika benar UMNO mempunyai agenda Islam yang besar maka tindakan memperkemaskan dan mempertingkatkan sistem mahkamah syariah adalah langkah pertama yang tepat dalam arah yang betul.  Mahkamah adalah pelantar yang membolehkan semua undang-undang dilaksanakan.

Dalam konteks ini UMNO sudah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemusykilan bila masanya tiba untuk undang-undang hudud versi UMNO dilontar ke tengah masyarakat.

Dari kaca mata politik perlaksanaan hudud di Malaysia boleh diperderaskan jika umat Islam negara ini bersatu.  Atau kalau pun tidak bersependapat, parti-parti lain yang mewakili orang Islam boleh duduk semeja berdialog untuk merungkaikan masalah.

Namun sayang kemungkinan seperti itu tidak wujud dalam kamus politik PAS.  Bagi PAS enakmen hudud yang mereka hasilkan untuk Kelantan dan Terengganu itu adalah sempurna seadanya dan sudah terpahat atas batu.

Setelah meninggalkan ideologi memperjuangkan negara Islam, PAS kini bergelut untuk menjelaskan ideologi “negara berkebajikan” yang mereka baru jaguhi.  Sama-samalah disaksikan samada serapah “negara berkebajikan” adalah cukup ampuh untuk menerbangkan PAS dalam PRU ke-13 kelak.

No comments: