Wednesday, January 31, 2007

Batu Talam: Laksana Remaja Beronani Sendirian …

Hijaunya hijau. Apakah erti simbolisme hijau? Kaler Islam Hadhari? Atau, melambang jiwa UMNO yang terlalu ingin jadi PAS? Dan langit biru KeAdilan?

Maaf, saya mohon kepada peminat blog ini, kerana sebelum ini dan untuk tempoh dua tiga minggu ke hadapan saya tidak dapat berkarya dengan baik dan sekerap yang lazim. (Ya lah, bukannya saya boleh bercerita dengan petah macam mana sangat pun, sekadar mampu menulis pada tahap yang saya fikir ramai yang boleh faham bila baca).

Kesuntukkan masa dengan hal-hal merancang punca rezeki keluarga untuk tahun ini terpaksa dibereskan dulu. Berborak hal-hal politik belakang kira sekejap, kata Inggeris, put on the back burner.

Ada pun kemudian dari itu, pengamatan saya tentang PRK Batu Talam adalah seperti berikut.

1. Tidak setuju PAS boikot.

Ramai yang tidak setuju dengan perbuatan PAS memboikot PRK ini. Tuduhan yang timbul dengan jelas kini,malah sejak awal lagi, ialah PAS tiada strategi susulan, bahkan tiada strategi tersusun untuk memastikan boikot PRK ini betul-betul menikam UMNO. Sekali imbas memang sangkaan tersebut nampak tepat, tetapi bagi saya kritikan itu adalah sekadar luahan emosi tertekan, dan bukan intelek yang bertutur.


2. Langkah boikot tiada precedent sejarah

Hakikatnya, tidak banyak yang PAS boleh buat selain dari mengumumkan pemboikotan, dan seterusnya bertindak mirip benar-benar memboikot. Sebab mengapa PAS hanya mampu berbuat demikian ialah klausa 9 (1) UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 5 AKTA KESALAHAN PILIHAN RAYA 1954 BAHAGIAN III

Pengaruh tidak wajar

9. (1) Tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa, atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, menggunakan atau mengancam hendak menggunakan apa-apa kekerasan, keganasan atau halangan, atau yang mengenakan atau mengancam hendak mengenakan, dengan sendirin atau melalui mana-mana orang lain, apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan atau kerohanian ke atas atau terhadap mana-mana orang bagi mendorong atau memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi, atau oleh sebab orang itu telah mengundi atau tidak mengundi, dalam mana-mana pilihan raya, atau yang dengan melarikan pemilih atau pengundi, dengan dures atau apa-apa tipu daya atau muslihat menghindar atau menahan mana-mana pemilih atau pengundi daripada menjalankan hak mengundinya dengan bebas, atau yang dengan yang dengan itu memaksa, mendorong, atau mendesak mana-mana pemilih atau pengundi sama ada memberi atau tidak memberi undinya dalam mana-mana pilihan raya, atau yang secara langsung atau tidak langsung mengganggu atau cuba mengganggu mana-mana orang daripada menjalankan hak pemilihannya dengan bebas adalah bersalah atas kesalahan pengaruh tak wajar.

Diberi klausa undang-undang ini, yang mungkin boleh juga diibaca dengan klausa-klausa undang-undang lain, saya kira PAS sebenarnya tidak boleh bertindak terlalu aggresif darihal pemboikotan ini. Yang mana, kita semua tahu fe’el UMNO bila rasa tersepit (seperti bila sudah dimalukan dengan boikot yang hampir total), akan memangsakan orang lain pula. Lihat contoh tindak tanduk UMNO dalam kes Operasi Lalang. UMNO yang cetus ketegangan, aktivis PAS yang kena ISA.

Malah sehubungan pemboikotan ini, belum lagi PAS sempat menggeliat untuk mula langkah, UMNO sudah panik dan dalam ketakutan pada bayang sendiri sudah buat lapuran polis. Maka itu, kiranya PAS jentik telinga UMNO sikit-sikit pun sudah memada’i.

Biru, simbolisme UMNO yang dalam ketakutan adalah kaler yang mempinaukan mata.

3. Penilaian angka-angka awalan.

Sebab itu, tidak terkecuali apa yang UMNO kokokkan, saya ajak tuan/puan mempertimbangkan sendiri fakta-fakta nombor berikut.

Jumlah penyokong tegar (hardcore)* kedua-dua parti politik PAS dan UMNO di Batu Talam adalah seperti berikut.

  • Penyokong UMNO 5,138: Penyokong PAS: 3,237: Jumlah Pengundi Tegar 8,375.

Di sisi maklumat latar di atas, akhbar melapurkan bahawa SPR kata, seramai 7,080 manusia telah keluar mengundi. Andaikan bahawa memang sohih 7,080 orang telah keluar mengundi, maka implikasinya ialah 1,295 (8,375 – 7,080 = 1,295) umat Batu Talam yang lazimnya keluar mengundi telah tidak mengundi pada 28hb Januari, 2007.

  • 1,295 orang dari 8,375 pengundi yang lazimnya keluar mengundi membawa maksud 15.5% telah memboikot PRK ini.

  • Dan kalau diambil kira anak hingusan yang menentang UMNO telah mendapat 419 undi, maka implikasinya ialah 1,714 telah (1,295 yang boikot + 419 undi bebas) orang atau 20.5% menempelak UMNO.

Bagi diri saya, angka 22,2% ini kira sudah cukup “orait” diberi tindakan boikot adalah satu pengalaman baru bagi semua pihak.

Ya, saya boleh bayangkan penyokong UMNO mendabik dada bahawa jumlah 22.2% yang memboikot PRK ini adalah kecil.

Tetapi dalam menilai samada angka 22.2% atau 1,861 pengundi itu besar atau kecil, kita kena ambil kira fakta bahawa (a) PAS tidak berbuat apa-apa yang agresif selain dari mengisytiharkan boikot, dan (b) calun bebas langsung tidak berkempen, malah dia sendiri tidak membuang undi!

Mempertimbangkan dua fakta yang disebut adalah memadai, dan belum ambil kira usaha mati-matian UMNO untuk pujuk rakyat keluar mengundi, serta penggunaan “trick” lain seperti membuang undi bagi pihak pengundi yang sebenarnya.

Saya akan sambung bebelan di komentar yang lain.


*Nota: Teori statistik mengatakan bahawa purata/min yang digarap dari satu siri masa, (time series), seperti rekod keluar mengundi dari beberapa pilihanraya, boleh di dekomposisikan kepada dua komponen – "komponen tetap" dan "komponen transitori". Untuk segala tujuan praktis, "komponen tetap" sokongan kepada UMNO dan PAS bolehlah dianggap sebagai “penyokong tegar.”

Batu Talam mempunyai seramai 239 orang pengundi yang berfe’el memunah/merosak undi. Sila amati di setiap Saluran dan Peti Undi bilangan undi rosak yang hampir sama dari satu PRU ke PRU yang lain dalam jadual-jadual sebelum ini. Dalam perkiraan dan perbincangan ini, undi dari kumpulan ini telah tidak di ambil kira.

Wednesday, January 24, 2007

Banjir Johor: Membidani Kelahiran Satu Regional Superpower

Penat. Krisis, tidak kiralah dalam bentuk apa, adalah penat lagi memenatkan jika dilayan atau ditangani. Apatah lagi jika krisis yang timbul itu adalah akibat bencana alam yang melanda masyarakat.

Memang penat. Hiba dan sebak mengiring penat. Apakan pula bila kita sendiri yang memilih untuk menjadi saksi kerdil Kehendak Ilahi. Bila kita yang memilih untuk berendam kesal kerana hanya mampu bersimpati, dan tidak upaya berbuat lebih dari itu.

(Walhal kita punyai pilihan untuk bersantai di Australia atau bermandi cahaya spotlight dalam mengejar agenda melonjak-pamerkan diri di pentas London atau Davos).

Mengikut pendapat popular dunia, kata “krisis” dalam dialek Mandarin boleh difahami sebagai “bahaya + peluang.” Maksudnya, dalam dialek Cina itu, gambar mental bagi perkataan “krisis” ialah, ada peluang yang datang bersama musibah/kecemsan.

Andaikan buat seketika, kita turut menjiwai konsep krisis sebagaimana pengguna bahasa Mandarin memahaminya – bahawa berserta bahaya/kecemasan ada peluang keemasan. Demikian itu bolehlah kita katakan bahawa dalam kemusnahan dan kehibaan yang datang bersama banjir Johor, wujud peluang keemasan.

Diakui statmen di atas berbunyi seolah-oleh saya mencurigai keikhlasan mereka-mereka yang telah melakukan amal. Dan memandang remeh kesusahan yang menimpa mangsa banjir Johor. Nauzubillah saya tidak bermaksud begitu.

Bahkan, saya yakin ramai warga yang telah ke Johor menabur bakti, yang sukarela pergi untuk membantu mangsa dengan apa cara yang terdaya; mereka berbuat demikian semata-mata kerana Bisikan Ilahi. Bertindak kerana merasa terpanggil untuk meng-infaq-kan masa, menghulur dana, atau menyumbang upaya, semata-mata kerana menghambat keredhoan Ilahi.

Berbakti bukan kerana upah dan anugerah kini dan di sini.

Saya teka, seperti juga dengan ratusan ribu mangsa banjir Johor, ratusan ribu ahli dan penyokong PAS di negeri lain yang terngidam-ngidam untuk turut serta ke Johor membantu; banjir Johor juga telah menjadi satu medan uji dalam banyak dimensi.

Bagi penyokong dan ahli PAS, kerana kita semua telah memilih untuk mendokong prinsip dan pegangan satu tamadun tinggi, dalam satu dimensi kita semua terpaksa merantai rengetan hati kecil kita. Kita semua terpaksa menguji iman kita sendiri. Menguji sejauh mana keyakinan kita akan kemurahan Ilahi.

Kita telah sama-sama menghulur derma serta bakti dalam kadar yang kita mampui. Kita telah ramai-ramai bersolat hajat dan munajat memohon Kasihan Ilahi kepada insan-insan yang kita tidak kenali. Memohon limpah Belas Ilahi ke atas makhluknya, merentasi bangsa dan ugama.

Tetapi setelah berbuat demikian, kita diperingati bahawa tamadun kita mengajar kita bahawa infaq oleh tangan kanan tidak seharusnya diketahui oleh tangan kiri. Lantaran itu, walaupun kita di hadapan, kita tidak tergamak mencanang kepada dunia sumbangan kita kepada saudara sesama anak cucu Adam. Demikian itu kita tidak membandingkan jumlah dan mutu sumbangan kita dengan sesiapa.

Kita semua didepani situasi – bangga dan puas tetapi tidak diizinkan mempamer rasa di hati.

Kita semua teruji. Tekaan saya, seperti jugalah pejuang Hizbullah di Lebanon telah diuji. Kemenangan dan kehebatan Hizbullah membelasah Israel di Lebanon telah diiktiraf dunia. Diiktiraf oleh musuh dan kawan.

Tetapi sebenarnya, pengikhtirafan terhadap Hizbullah oleh dunia adalah terlalu remeh jika dibanding pengiktirafan yang diberi oleh rakyat Lebanon kepada Hizbullah. Akan apa erti Hizbullah kepada warga Lebanon. Yang mana, lebih dari satu kuasa tempur di medan perang yang digeruni, rakyat Lebanon melihat Hizbullah sebagai inang serta pendekar setia dalam hal-hal kerja dan bantuan masyarakat. Inang dan pendekar yang tidak memilih bangsa atau agama untuk menabur khidmat bakti dan bantuan.

Hizbullah di Lebanon mendokong prinsip-prinsip tamadun tinggi. Pun setandinglah kita, PAS, yang telah mempamer jalur itu di Johor. Sesungguhnya, dalam penilaian saya, banjir besar Johor telah menyaksikan era baru PAS. Di mana PAS bukanlah lagi satu parti politik yang mabuk politik semata-mata. Tetapi PAS kini adalah Parti Mendokong Ajaran Allah, “Hizbullah” – yang juga inang dan wira kerja dan bantuan kemasyarakatan.

Jika UMNO yang kini menggendong saf pemimpin petulang bangsa berbangga titih dilahirkan dalam Istana Johor; PAS sebagai inang dan wira setia masyarakat dilahirkan dalam tangisan pilu marhain Johor.

Persetankan kemenangan kecil (yang mungkin) di Batu Talam, rantau Asia Tenggara adalah medan sebenar PAS.


Nota: Komentar ini pertama kali di-upload pada Januari 24, 2007 pada sebelah pagi, dan kemudiannya di-edit di sebelah petangnya.

Monday, January 22, 2007

Batu Talam: Isy ... isy Tidak Malu Mengumpan Orang Asli

Kampung Pos Satak dalam Peti Undi Hulu Sungai.

Ahhh ... calun UMNO diberitakan berjanji menolong Orang Asli di Peti Undi Hulu Sungai. Nak tolong macam mana tu? Berapa duit nak hulor untuk pusingan ini? RM10 untuk satu nama yang ada dalam senarai pemilih? Dan berapa botol bir/stout?

Tak usah janjilah UMNO. Dan tak usah khianati kepercayaan warga yang kurang terdedah kepada hal-hal dunia luas. Don’t exploit the Orang Asli’s innocence. Itu zalim namanya. Dah lah UMNO gagal berdakwah di kalangan mereka. Awak pergunakan mereka pula. Baik hatikah namanya itu? UMNO masuk kampung Orang Asli empat tahun sekali, dah tu awak berkokok laksana jaguh. Sungguh memalukan.

Perasan kah awak wahai calun UMNO dan UMNO amnya, bahawa setiap hari kaum Orang Asli dieksploitasi oleh peniaga dan pedagang dari parti-parti yang sekongkol dengan awak?

Siapa yang masuk beli hasil hutan dari Orang Asli? Beli pisang mereka. Beli buluh mereka. Beli rotan mereka. UMNO? Tidak! Siapa yang masuk jual barang keperluan harian Orang Asli? UMNO? Jauh sama sekali.

Siapa yang masuk bertanya khabar tentang berapa ramai Orang Asli yang terlantar kerana sakit TB dan lain-lain penyakit yang kini boleh diubati dengan mudah? UMNO? Tidak.

Tahukah UMNO bahawa setiap hari, di seluruh Semenanjung Malaysia taukeh-taukeh dari bandar masuk ke kampung-kampung Orang Asli bertindak laksana lintah darat!

Tidak percaya?

Bayangkan, harga yang taukeh-taukeh ini tawarkan kepada Orang Asli untuk sekilogram kayu gaharu ialah hanya RM40/=. Walhal, seteruk-teruk taukeh-taukeh Cina di Indonesia pun, sanggup menawarkan harga sekitar RM400/= (Rupiah 1 juta) sekilogram!

Ya, kayu gaharu, yang mana ladang/industri ini di Muar, Johor, saya yakin sudah kini musnah akibat banjir.

Tahukah awak UMNO berapa harga sekilo gaharu di Timur Tengah? Tidak kurang dari USD10,000/= satu kilogram. Sepuluh ribu dolar Amerika Syarikat. Bersamaan dengan RM35,000/= sekilogram (kadar pertukaran sehari dua ini).

Mengapa UMNO benarkan eksploitasi ini berlaku? Mengapa untuk sekian lama ini UMNO biarkan bangsa Orang Asli dihisap darah oleh pedagang-pedagang yang tidak berhati perut? Apa strategi jangka panjang dan program jangka pendek UMNO untuk meningkatkan penghasilan ekonomi Orang Asli di Semenanjung Malaysia?

Setakat bina sekolah, itu janganlah didabik dada sangat. Itu tanggung jawab pemerintah. Di Afrika pun, kerajaan-kerajaan kuku besi pun buat sekolah. Malah dalam konteks Malaysia, bukankan perbuatan mendidik Orang Asli itu lagi zalim, kerana setelah mereka celik mata dan tahu akan dunia ini, UMNO yang kini memerintah abaikan peluang ekonomi untuk mereka? Malah sebenarnya, dengan berbuat demikian, awak UMNO mepenjarakan Orang Asli dalam penempatan mereka. Yang mana sekali sekala, jika ada kesesuaian dengan kepentingan awak, mereka awak lawati.

Cukuplah UMNO berdrama dengan sesama Melayu yang sudah bertamadun. Janganlah aniayakan mereka-mereka yang naif lagi tidak berdosa.

Sunday, January 21, 2007

Batu Talam: Heh heh … “Badi” Kalau Silap Pangkah

Imbasan ialah dari Mingguan Malaysia Edisi Timur, Januari 21, 2007.

Cewah, cewah. Bukan main lagi UMNO, ya? Mentang-mentanglah PAS bagi laluan. Bukan hendak berterima kasih, siap kutuk pula. Dah tu, bukan main lagi UMNO “menjulap” rakyat. Sikit punya tabur janji. Berbohong tu, kiranya ruji lah. Lawan calun yang sendiri taja, pun, sikit punya tunjuk bagak.

Buatlah apa yang dapat menjustifikasikan upah yang telah, dan bakal di terima. Namun hakikatnya tetap itu juga – rakyat Batu Talam, khususnya pengundi Melayu tetap akan cuak, ngeri, gerun untuk memberi undi pada UMNO. Ya lah, apa tidaknya, bila mendapati Batu Talam yang kawasan berbukit, daerah di kaki Banjaran Titiwangsa, pun boleh banjir, bila “bala” datang mengekori petugas-petugas UMNO yang tebal dosanya.

Belum lagi beri undi, pertanda dari langit sudah sampai.

(Heh heh. Nampaknya, kali ini, untuk julung kalinya dalam sejarah politik dunia, UMNO kalah di tangan “budak hingusan” yang ditajanya sendiri! Macam mana nak jawab, ya?)

Banyak “teori” kedai kopi yang saya dengar kebelakangan ini tentang punca banjir besar Johor. Antaranya, mengikut buah mulut, sewaktu dengan berita timbunan al-Quran dijumpai dalam longkang di Negeri Sembilan, sejumlah naskah al-Quran juga ditemui dibuang ke dalam Sungai Muar/Batu Pahat. Tidak pasti samada khabar angin itu betul atau tidak; namun, jelas bagi sesetengah orang-orang wara’ di Kelantan, yang Johor kini sedang menjalani “kifarat” (denda).

Spekulasi mengapa Johor di “denda” pun telah menjadi satu tajuk yang rancak di kedai-kedai kopi di serata Kelantan. Antara sangkaan yang popular ialah Johor ditimpakan hukuman dari langit kerana rakyatnya paling kuat menyokong kesongsangan Islam Hadhari, yang mana mengikut tanggapan umum, ramai ulama telah menasihati Dolah dan Menantunya, bahawa ajaran yang mereka bawa itu sebenarnya sesat.

Sama-samalah kita renungi kebenaran di sebalik bencana yang telah menimpa Johor.

Nota: Gambar-gambar satelit di atas jelas menunjukkan Singapura sedang membina satu benteng dalam laut berdepan muara Sungai Johor. Saya tidak pasti tarikh bila gambar satelit diambil, tetapi tekaan saya ialah gambar tersebut di ambil sekitar pertengahan tahun 2003/4 dulu.

Saya tidak mengajak tuan/puan turut sama mempercayai pemikiran saya. Cuma di sini saya berfikir secara “jahar” (suara yang di dengari), thinking aloud, kata Inggeris, bahawa atas diri saya seorang, saya yakin bahawa punca kawasan Kota Tinggi di tenggelami ialah kerana alir keluar air Sungai Johor telah dihadang oleh benteng ini. Sila muat turun perisisan Google Earth untuk puaskan hati sendiri akan punca-punca geografis yang menyebabkan Johor banjir teruk.

Saturday, January 20, 2007

Batu Talam: Kaifiat Kemenangan UMNO-SPR 2004 – (2)

Eleh, Rudin X, Melayu pro-PAS cuba nak bercakap statistik. Buat tuduhan keras lagi kurang ajar terhadap UMNO-SPR berdasarkan pemerhatian sampel satu Peti Undi (Cheroh). Kata Inggeris, conclusion based on a sample of one. Di mana Rudin X belajar statistiks? Inilah contoh penyokong PAS otak jumud yang ingin belagak tahu ilmu sekular.

Begitulah reaksi sesetengah pembaca yang tidak bersetuju dengan kesimpulan yang saya rakamkan sebelum ini.

Ya, memang saya akui, dalam komentar sebelum ini saya telah membataskan perbincangan kepada keputusan undi di Saluran 1 dan 4, Peti Undi Cheroh.

Sebab saya berbuat demikian ialah untuk menyerlahkan perkiraan teknikal yang rumit. Kalau pembaca boleh faham kaifiat, tatacara, atau kata Indonesia, metode, “penipuan” yang telah berlaku di Cheroh, pembaca akan boleh nampak bagaimana metode yang sama telah direplikasi, diulang buat, di tempat-tempat lain.

Grafik di atas adalah jadual yang sama seperti ditunjuk sebelum ini. Tiada satu angka pun yang diubah. Cuma beza jadual ini dengan yang sebelumnya ialah keputusan mengikut Saluran dalam jadual ini telah disaring, sorted, disusun mengikut perubahan jumlah undi.

Sila tumpu perhatian tuan/puan kepada kolum “Ubahan Semua Undi” yakni beza jumlah undi dalam tahun 1999 dengan 2004 (angka ditulis merah).

Perhatikan, sebagai contoh, bagaimana dalam tahun 1999 dulu, untuk Saluran 1 di Peti Undi FELDA Tersang 2 &3, seramai 573 orang telah keluar mengundi. Tetapi dalam tahun 2004 hanya 357 orang yang keluar mengundi. “Hilang” 216 undi.

Seterusnya, sila amati jumlah undi yang “hilang.” Keseluruhannya seramai 1,054 orang pemilih telah “tercicir” dari proses demokrasi PRU 2004.

Persoalan dan kemungkinan jawapan tentang “pengundi” yang hilang ini adalah sama seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

  • Sekian ramai pemilih telah boikot pilihan raya dalam tahun 2004?
  • Sekian ramai pemilih telah mati?
  • Sekian ramai pemilih telah pindah?
  • Nama mereka telah di-eksport ke Peti Undi lain, hatta ke DUN lain, tanpa pengetahuan awal mereka, hinggalah di hari membuang undi mereka keliru di mana sebenarnya mereka patut mengundi, langsung mereka tidak mengundi?
  • Atau sekian ramai pemilih telah digugurkan dari daftar pemilih?

Untuk makluman tuan/puan fenomena ini tidak saja berlaku di DUN Batu Talam, malah berlaku hampir di seluruh negara, khususnya di Selangor, Kedah, Perlis, dan tidak ketinggalan di Pahang.

Cerita pengundi yang “hilang” ini tidak habis di situ saja. Perhatikan bahawa serentak dengan “kehilangan” pengundi ini, undi PAS turut “hilang” dalam nisbah berlipat kali ganda “hilangnya” undi UMNO. Sebagai contoh, dari 269 undi yang hilang di Saluran 3 Peti Undi Cheroh, 214 ialah undi PAS.

Amati bahawa bersamaan dengan “kehilangan” 1,054 pengundi, PAS telah kehilangan 903 undi.

Ya, ya, saya nampak, UMNO pun turut hilang undi. Tetapi jumlah undi yang UMNO hilang hanyalah 144. Dan lagi, saya juga nampak, dan saya harap pembaca juga boleh sama nampak, bahawa apa juga undi yang UMNO hilang di tujuh Saluran, UMNO telah rampas semula di 16 saluran.

Corak, atau pattern yang terselah dalam keputusan undi DUN Batu Talam 2004 ialah – undi UMNO boleh “tenggelam” di satu Saluran, tetapi boleh “timbul” di Saluran yang lain. Seolah-olah adegan dalam wayang P. Ramlee, penyamun tarbus keluar pintu depan, masuk semula pintu belakang.

Perhatikan dari kolum “Ubahan Undi UMNO” bahawa kesan dari permainan “tenggelam sini timbul sana” yang berlaku dalam tahun 2004 dulu, UMNO telah mendapat “lonjakkan” sokongan sebanyak 1,165 undi.

Untuk satu tempuh yang lama saya tertanya-tanya macam mana UMNO dan SPR telah berjaya melakukan “stunt” ini tanpa bantahan gumpita rakyat Batu Talam. Dan soalan ini terjawab dengan jelas bila berita di atas tersiar. Perhatikan, belum lagi kekosongan kerusi DUN Batu Talam di umumkan secara rasmi, UMNO telah pun mengerahkan penyokongnya supaya membuat semakan daftar pemilih secepat mungkin. Supaya mereka dapat diberi satu “kad khusus.”

Saya bukanlah jenis manusia yang mudah bersangka buruk (malah Islam tegah fe’el ini), tetapi implikasi pertama berita tersebut yang menerpa saya ialah – wujud dua versi daftar pemilih untuk DUN Batu Talam. Satu untuk UMNO-SPR, satu lagi untuk PAS.

Nama dan jumlah pemilih dalam kedua-dua versi daftar pemilih mungkin sama, tetapi maklumat tempat mengundi mungkin berbeza bagi sesetengah pemilih.

Sebab itulah sebelum ini saya berani menyindir bahawa mungkin wujud dua versi daftar pemilih untuk DUN Batu Talam.

Jika tuduhan ini tepat, maka sah lah bahawa UMNO-SPR itu tidaklah sejahat yang ramai penyokong PAS sangka. UMNO-SPR tidak gugurkan nama-nama penyokong PAS dari daftar pemilih. UMNO-SPR cuma mengelat sikit-sikit. UMNO-SPR cuma kelirukan sikit maklumat tentang tempat penyokong PAS sepatutnya mengundi.

Perbuatan ini pun sudah lebih dari cukup untuk kelam kabutkan pengundi dan jentera pilihan raya PAS di hari mengundi. Diberi pula jarak tempat mengundi dalam DUN Batu Talam adalah berbelas kilometer dari tempat ke setempat, apa juga kekeliruan tentang tempat mengundi akan mengkucar-kacirkan logistik (jentera pengangkutan) PAS di hari membuang undi.

Bayangkan, sebagai contoh, jarak tempat mengundi FELDA Tersang 1 dengan Cheroh ialah sekitar 20 kilometer. Sebarang “kekecohan” tentang tempat mengundi adalah cukup untuk “menumpulkan nafsu” sesetengah penyokong dari mengundi, khususnya pengundi warga emas (yang tidak begitu sihat).

Begitulah adanya. Dollah Nasrul Haq Imam Besar Hadhari boleh tuduh PAS bacul kerana memboikot PRK ini. (Marah benar bunyinya). Tetapi saya pasti saf kepimpinan PAS semuanya tersenyum puas bila mendengar tuduhan tersebut. Kerana mereka semua tahu, dan penyokong pun tahu, bahawa Dollah, Menantu dan UMNOnya telah kalah ditangan PAS dalam PRK ini.

Kerana di mata dunia, penonton yakin bahawa PAS telah menang “TKO” (technical knockout).