Tidak pasti samada SPR berbuat demikian dengan persetujuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Jika tindakan tersebut adalah bersendirian, maka saya kira, saya perlu tabik SPR kerana keberanian untuk melakukan sesuatu yang betul lagi tepat.
Saya sanggup tabik SPR kerana dari apa yang saya faham, sehingga hujung tahun 2002 dulu, sudah tiada lagi rakyat Malaysia yang memiliki hanya nombor pengenalan tujuh (7) angka. Semua orang yang masih hidup sepatutnya telah pun diberi nombor pengenalan 12 angka.
(Bahagian gambar yang di highlight kuning menunjukan contoh nama yang digugurkan dari daftar pemilih. Perhatikan nama berkenaan mempunyai nombor pengenalan tujuh (7) angka. Sila klik pada gambar untuk paparan lebih jelas).
Kalau diikut logik “picisan” sekalipun, adalah sukar dipercayai masih wujud lagi warga Malaysia yang mempunyai hanya satu nombor pengenalan, yakni nombor tujuh angka. Kerana sepengamatan saya, gerakan menggunakan nombor pengenalan 12 angka telah pun bermula dengan warga yang lahir pada tahun 1978 dulu. Bagi warga yang lahir dalam tahun tersebut, bila mereka mencapai umur 12 tahun dalam tahun 1990 dulu, JPN telah pun memberikan mereka nombor pengenalan 12 angka.
Malah seingatan saya, gerakan menggantikan kad pengenalan bentuk (serta nombor) lama kepada kad bentuk (serta nombor) baru telah dilakukan semenjak awal dekad 80han lagi. Dan saya masih boleh ingat (bukanlah saya ini tua sangat, jika ayat saya membayangkan demikian) ugutan denda jika gagal menukar kad pengenalan adalah satu “ciri piawai” bagi RTM dalam dekad 80han dan 90han dulu.
Maka itu adalah tidak munasabah, malah tidak patut, jika selepas diingatkan secara berterusan selama 20 tahun, masih ada lagi warga Malaysia yang ke hulu ke hilir dengan nombor pengenalan tujuh angka sahaja.
Bertolak dari cerita pengguguran nama pemilih yang memiliki hanya kad pengenalan lama, saya amati juga bahawa cerita daftar pemilih ini adalah masih lagi satu cerita “perjuangan yang belum selesai.”
Perhatikan lapuran akhbar berikut.
- SPR dilapurkan oleh pelbagai akhbar sebagai berkata bahawa daftar pemilih terkini (disahkan sehingga 30 September, 2006) mempunyai 10,525 nama.
- Di masa yang sama, tetapi dalam berita yang lain, Setiausaha Agung UMNO, Radzi Sheikh Ahmad pula dipetik menghebahkan bahawa daftar pemilih terkini DUN Batu Talam mempunyai 10,789 nama.
- Daftar pemilih bentuk softcopy yang saya temui pula menunjukan terdapat 10,734 nama.
Andaikan buat seketika bahawa maklumat yang saya temui adalah salah (lagi tidak bertanggung jawab). Maka itu sila tumpu perhatian tuan/puan kepada perbezaan angka jumlah pemilih yang diumumkan oleh UMNO dan SPR. Perbezaannya ialah 264 pemilih.
Seterusnya jika hendak dihalusi, perhatikan bahawa UMNO mengatakan bahawa pemilih Melayu dalam DUN Batu Talam ialah 8,494 orang. Di masa yang sama, secara tidak langsung (indirect), SPR dilapurkan memberitahu bahawa DUN Batu Talam hanya mempunyai 7,683 pemilih Melayu (73% dari 10,525).
Beza jumlah pengundi Melayu mengikut rekod SPR dan UMNO ialah 811 hantu … maaf, silap taip … 811 Bangla, Indon, Mindanao … oops … silap taip lagi … 811 manusia.
811 pemilih adalah satu jumlah yang terlalu banyak dalam konteks persaingan politik di mana dua undi boleh menentukan parti mana yang mentadbir negeri. Tepulanglah kepada pembaca untuk menilai sejauh mana “kebaculan” congak saya.
Langsung saya bertanya: Adakah perbezaan-perbezaan angka ini satu pertanda? (Janganlah pula UMNO dapat satu versi, manakala PAS diberi satu versi daftar yang berlainan).
1 comment:
PANDAI2 JE KO YE... nak kutuk kerajaan tapi diri sendiri asyik mengharap dgn krajaan ni la salah satu manusia yang x penah bersyukur...
Post a Comment