Berikut adalah pengamatan saya.
- Keputusan undi Saluran 1 dan 4
Eksplikasi merosotnya undi PAS dalam tahun 2004 bermula dengan simptom/tanda “penipuan” yang berlaku di Peti Undi Cheroh.
Dari jadual di atas yang menunjukan keputusan undi mengikut Saluran, tumpukan perhatian kepada keputusan undi Saluran 1 dan 4 Peti Undi Cheroh. Amati untuk Saluran 1, seramai 301 manusia telah keluar membuang undi manakala 337 telah mengundi di Saluran 4. Jadikan angka 301 dan 337 nota-nota mental.
Dari jadual di bawah perhatikan pula bilangan pengundi dalam kumpulan umur yang ditunjukan.
- Peratusan keluar mengundi Saluran 1 yang tinggi
Camkan dan pahatkan dalam mata minda pembaca bahawa jumlah
Kumpulan umur 61 tahun hingga 70 tahun -- 250 orang.
Kumpulan umur 71 tahun keatas -- 115 orang.
Maksudnya jumlah pengundi yang berusia 61 tahun ke atas adalah 365 orang.
Bandingkan jumlah 365 dengan jumlah undi Saluran 1 sebanyak 301. Sekaligus angka-angka ini membawa maksud bahawa peratus keluar mengundi untuk Saluran 1 di Peti Undi Cheroh ialah 82%.
Angka 82% keluar mengundi adalah tinggi jika dibandingkan dengan purata keluar mengundi seluruh negara sebanyak 73%. Adakah angka 82% ini “berpatutan?” Tuan/puan boleh nilai sendiri kemunasabahan peratusan keluar mengundi ini dengan taburan umur umur berikut.
Darihal jadual di atas, sila tanya diri sendiri berapa ramaikah pengundi yang berumur 70 tahun, atau 80 tahun ke atas yang masih lagi hidup, dan jika hidup, yang masih lagi terdaya keluar mengundi? Dalam tuan/puan bertanya dan menilai, satu fakta yang perlu diingat ialah purata peratus keluar mengundi seluruh negara ialah sekitar 73%.
- Jumlah keluar mengundi Saluran 4 yang meragukan
Poin kedua yang perlu di perhatikan ialah jumlah pemilih dalam kumpulan umur 30 tahun ke bawah seramai 215 orang. Di masa yang sama perhatikan bahawa jumlah undi untuk Saluran 4 adalah 337 undi. (Lazimnya Saluran ini ialah untuk pengundi muda atau mereka-mereka yang tidak semestinya muda yang baru pertama kali mendaftar). Maksudnya seramai 337 manusia telah keluar mengundi.
Beza jumlah manusia yang terdaftar sebagai pengundi (215 orang), dengan bilangan kertas undi (337 undi) yang dikira ialah 122. Arakian, molek juga kita bertanya – mana datang 122 pengundi/undi untuk Saluran 4 di Peti Undi Cheroh?
- Penentuan Saluran oleh SPR meragukan
Ya, saya akui, wakil-wakil pembela SPR dan UMNO boleh pertikaikan pemerhatian ini dari aspek kaifiat atau kaedah jumlah pemilih dalam satu-satu Saluran di tentukan.
(Sayang sekali hari ini saya telah tidak terjumpa di mana saya letak nota-nota saya tentang kaedah SPR menentukan Saluran mengundi. Maka itu saya tidak dapat menuduh secara tepat. Biasalah tu, benda-benda mustahak akan menghilang diri bila diperlukan).
Apapun, seingatan saya, satu Saluran mengundi lazimnya mempunyai sekitar 360 nama. Maksudnya, sebagai contoh, jika Peti Undi ada 1,440 pengundi tersenarai, maka nama pengundi yang pertama hingga kepada nama yang ke-360 akan masuk “Saluran 1,” pengundi nama ke-361 hingga nama ke-720 akan masuk “Saluran 2” dan seterusnya.
Agihkanlah macam mana sekali pun jumlah pengundi dalam satu-satu Saluran, baik 360 orang sesaluran, atau 500 orang sesaluran, poin induk saya ialah macam mana jumlah undi yang dikira adalah lebih banyak dari jumlah pengundi yang ada dalam Saluran 4.
- Pengundi yang nampaknya “hilang”
Sambil barisan pembela SPR memberi hujah, sila perhatikan juga bawa seramai 518 orang telah “tidak mengundi” dalam tahun 2004. Angka ini ialah perbezaan jumlah keluar mengundi mengikut Saluran antara PRU 1999 dengan 2004.
Perhatikan bahawa untuk tahun 1999, bagi Saluran 1, seramai 401 orang telah mengundi. Tetapi jumlah ini merosot kepada 301 dalam tahun 2004. Ke mana perginya 100 orang pengundi?
100 orang telah boikot pilihan raya 2004?
100 orang pengundi telah mati?
Telah pindah?
Nama mereka telah di-"eksport" ke Peti Undi lain tanpa pengetahuan awal mereka, hinggalah di hari membuang undi mereka keliru di mana sebenarnya mereka patut mengundi, langsung mereka tidak dapat/mahu mengundi?
Atau nama 100 orang pengundi telah digugurkan dari daftar pemilih?
Soalan yang sama boleh ditanyakan tentang kehilangan 149 pengundi di Saluran 2 dan 269 pengundi dari Saluran 3.
- Penambahan pengundi mendadak
“Hilang” 518 pengundi, itu satu bab. Cuba pula eksplikasikan macam mana tiba-tiba Peti Undi Cheroh dalam tahun 2004 dapat 337 pengundi untuk Saluran 4?
Dalam tahun 1999 seramai 1,553 manusia telah keluar mengundi di Cheroh. Dan SPR telah menentukan tiga Saluran diperlukan tujuan melincinkan perjalanan membuang undi. Tetapi dalam tahun 2004, hanya 1,372 orang telah keluar mengundi, namun empat Saluran diperlukan. Mengapa jadi begitu? Lagi sikit pengundi, lagi banyak saluran mengundi diperlukan!
- SPR buang/tambah nama pemilih sesuka hati?
Pengamatan sebeginilah yang membuat saya berani tuduh SPR telah bermain kong-kalikong dengan daftar pemilih DUN Batu Talam dalam tahun 2004. SPR telah buang/tambah nama pengundi tanpa pengetahuan pengundi atau parti yang bertanding. (Dan saya separa yakin bahawa saf pemikir, strategis, sarjana dan segala pakar rujuk PAS pun telah turut berfikir di atas landasan yang hampir sama).
Soal apa yang menyebabkan SPR berani bertindak cabul telah pun disentuh sebelum ini dalam komentar tentang kecacatan dalam undang-undang pilihan raya yang ada kini. Tidak perlu soal siapa yang mendorong SPR berbuat demikian. Jawapannya, semua orang boleh teka tepat – UMNO.
Langsung membawa kita ke satu persoalan yang teramat menarik. Jika SPR telah berani potong/tambah nama pengundi sewenang-wenangnya dalam tahun 2004, apakah jaminan mereka tidak akan berbuat serupa dalam tahun 2007?
- Kesimpulan
Cukup dengan mengamati statistik keputusan pemilihan di Peti Undi Cheroh, kita sudah boleh nampak “kekotoran” yang menunggu parti-parti pembangkang yang berhajat bertanding di DUN Batu Talam. Apa yang SPR tak buat? Buang nama pengundi yang dicula condong kepada pembangkang dari daftar pemilih, nampaknya sudah. Tambah nama pengundi yang dijangka memihak kepada UMNO, pun, sudah.
Sila pertikaikan tuduhan saya jika ianya benar meleset!
Umum ketahui bahawa PAS hanya mahukan satu kepastian/jaminan tentang kejujuran SPR dalam hal ketepatan daftar pemilih. Namun dalam aspek semudah ini pun, SPR nampaknya sudah tidak berani memberi apa-apa isyarat. Apatah lagi mengeluarkan satu kenyataan bertulis. Sekaligus, dalam pandangan saya, mewajarkan PAS meragui kesaksamaan gelanggang yang SPR sediakan untuk pertandingan. Lantaran PAS memboikot PRK Batu Talam.
Syahdan saya bertanya -- diberi maklumat latar sedemikian rupa, apakah yang bacul sangat atau tidak rasional di pihak PAS tentang pemboikotan ini?
No comments:
Post a Comment