Thursday, October 11, 2007

MEMO PRU12: Diiring Gemuruh Angin, Meniup UMNO Kelantan … Alam Yang Jadi Saksi (Bahagian 2)

Ya, pada tahap keyakinan 95%, ditangga teratas carta politikus popular, insan yang mendapat 76% undian rakyat Kelantan sebagai pemimpin paling dipercayai ialah -- Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz. (Sila rujuk nota teknikal di hujung artikel untuk pertimbangan statistiks).

Saya yakin penemuan tinjauan yang dipaparkan tidak mengejutkan pembaca. Angka-angka itu tuan/puan semua boleh teka, malah sudah pun tahu di peringkat firasat.

Tetapi pembaca mungkin angkat kening mengetahui bahawa PAS Kelantan yang umum anggap “parti lebai-lebai kampung” – tanpa sokongan dan bantuan Cawangan Khas, tanpa Risik Tentera, tanpa JASA, tanpa Seranta FELDA -- pun boleh mengukur cita rasa dan mood rakyat. Malah berkeupayaan untuk tujuan itu semirip analog [1].

Amati keputusan yang dipaparkan adalah mood rakyat di kala PAS Kelantan masih belum lagi sistematik dengan program-program kebajikan mesra rakyatnya. Di waktu itu, masih lagi belum ada Program Kifaalah, belum ada Program Duafa, belum lagi menderma RM1.5 juta kepada mangsa banjir Johor dan sebagainya. Di ketika itu, PAS masih belum lagi ada Hezbullah di Lubnan sebagai model.

Perhatikan perbezaan mata di antara TG Nik Aziz dengan calun paling dipercayai dari kalangan orang UMNO – Datuk Mustapha Mohamad – ialah 70%. Dan perhatikan juga bahawa sebelum Datuk Mustapha boleh “bersentuh roma” dengan TG Nik Aziz, tersergam Datuk Hj Husam Musa sebagai benteng.

Bagaimana pula jika – nauzubillah – TG Nik Aziz tidak dapat turut serta mempertahankan Kelantan? Tinjauan membayangkan bahawa dalam senario itu sekali pun, UMNO masih lagi jauh dari mendapat laluan mudah.

Malah dalam senario itu, UMNO Kelantan masih lagi terpaksa melepasi benteng-benteng “Harimau Berantai" PAS untuk sampai ke tampuk kuasa. Pada kadar 42% pilihan rakyat sebagai pemimpin kedua paling dipercayai menerajui pentadbiran Kelantan, Hj Husam Musa berada 37 mata di hadapan pencabar terdekat dari UMNO iaitu Datuk Pa yang mendapat 5%. Beza populariti 37 mata adalah satu jarak yang agak jauh untuk dihambat oleh sesiapa pun dari UMNO Kelantan.

Sehubungan “saf kedua” (second liner) PAS Kelantan untuk berdepan dengan UMNO, perhatikan bahawa PAS hanya perlu “hantuk” Datuk Pa dengan salah satu dari kalangan Datuk Halim bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, atau Datuk Hj Takiyuddin, atau Datuk Hj Annuar Tan yang sama-sama mendapat 5% undian.

Malah perhatikan juga dalam senario TG Nik Aziz tidak berada di saf depan mengimami perjuangan melawan UMNO, nama beliau masih lagi belum terkeluar senarai. Praktisnya boleh dibayangkan TG Nik Aziz turut serta secara "alah kadar" sekali pun sudah cukup untuk menjamin sokongan 3%.

Bagaimana pula dengan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan? Jika setakat untuk pereboh (merebahkan) Datuk Seri Annuar Musa, perhatikan bahawa PAS Kelantan cuma perlu kedepankan Dr Nik Mazian atau Hj Hassan Mahmud yang sama-sama mendapat 3% undian.

Seterusnya, ada apa lagi dengan UMNO Kelantan di mata rakyat?

Lepas Raya Aidil Fitri saya sambung cerita, boleh? Sementara itu Rudin X dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pembaca. Maaf zahir dan batin dipinta dari pembaca kalangan penyokong UMNO khususnya, jika telah ada tulisan saya sepanjang tahun ini yang menyinggung perasaan.


Nota teknikal
Sekitar 1,000 warga Kelantan dari seluruh pelusuk negeri yang didekati secara rawak mudah [2] telah memberi kerjasama dalam tinjauan ini. Dari jumlah tersebut, untuk menjamin integriti hasil kajian, seramai 400 orang telah dipilih semula secara rawak oleh perisian komputer SPSS [3]. Teknik ini ialah untuk menjamin kaedah persampelan menjadi semirip kaedah ujikaji “double-blind.” [4]

Angka 400 responden dari kerangka teoretis 700,000 pengundi berdaftar di Kelantan adalah memadai untuk menjamin penemuan yang boleh diyakini ditahap marjin ralat (margin of error) ± 5%. [5], [6], [7]

Ralat
Terdapat sedikit kesilapan pada geraf Pemimpin Pilihan Kedua yang disiarkan sebelum pukul 8.30 malam Oktober 11, 2007. Kesilapan telah pun dibetulkan.

Wednesday, October 10, 2007

MEMO PRU12: Diiring Gemuruh Angin, Meniup UMNO Kelantan … Alam Yang Jadi Saksi (Bahagian 1)

Menurut Artikel 55 Perlembagaan Malaysia [1], tempoh wajib berlakunya sesuatu pilihan raya umum itu ialah sebelum tamat tempoh 5 (lima) tahun pilihan raya sebelumnya diadakan. Diberi begitu hakikatnya mengapa pula tidak sampai enam bulan berlalunya PRU 2004 parti-parti pembangkang telah mula mendesak Pentadbiran Pak lah supaya satu pilihanraya umum diadakah segera?

Seolah-olah jika satu pilihan raya umum diadakan di saat itu atau dalam waktu terdekat ini, pembangkang boleh menggantikan UMNO/BN ditampuk kuasa negara.

Apa hikmah? Apa muslihat, hingga “norma” jarak (purata) waktu antara dua pilihan raya – 4 tahun 4 bulan [2] -- yang dipelopori oleh Tun Dr Mahathir mahunya dipendekkan?

Cerita di belakang visual di atas adalah salah satu dari pemboleh ubah (variable) dalam rumus (equation) pendesakan ini.


Tinjauan hasrat rakyat
Mengikut tuan empunya cerita, visual ialah muka surat depan dan belakang satu soal selidik yang ditabur diseluruh pelusuk Kelantan sekitar bulan Julai-Ogos tahun lepas. Masih jelas dalam visual, tajuk soal selidik ialah: Tinjauan Kepekaan Tentang Kempimpinan Kelantan 2006.

Apa relevannya di kala ini membincangkan hasil tinjuan yang dibuat tahun lepas?

Ya, betul, relevansinya boleh didebatkan. Namun sebelum kita ke titik itu, apa kata pembaca izinkan saya review konteks iklim politik di Kelantan ketika itu. Mudahnya, izin saya simpulkan senario politik Kelantan ketika soal selidik itu diedarkan.


Senario politik Kelantan sewaktu tinjauan
Yang pastinya di ketika itu, PAS Kelantan masih lagi merawat luka kekalahan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir tahun 2005. Tetapi yang lagi mendebarkan, PAS masih belum melintasi garis tiga tahun menyandang kerusi. Yakni belum lepas tempuh “idah” terpaksa mengharungi pilihan raya kecil (malah pilihan raya seluruh negeri) sekiranya berlaku sesuatu yang “tidak diingini” kepada salah satu dari 23 Ahli Dewan Undangan Negeri PAS. [3]

Dengan kedudukan kerusi DUN PAS 23 –UMNO 22, sepanjang masa sebelum tarikh 24hb Mac 2007, atau genap 3 tahun berlalunya PRU 2004, PAS Kelantan sebenarnya berada di hujung tanduk. Di ketika itu, cukup dengan seorang saja ADUN PAS berpaling tadah atau mati, Kelantan akan menyaksikan satu PRU. [4], [5]

Di ketika itu PAS dicengkam 1,001 dugaan dan cabaran dalaman dan luaran. [6], [7]

Dari luar, UMNO telah menggunakan pelbagai helah dan tekanan untuk menrealisasikan hasrat terbubarnya DUN Kelantan. Taktik prima UMNO dalam hal ini seperti lazimnya ialah cubaan membeli ADUN PAS. [8], [9], [10], [11]

Bab dalaman pula, rakyat Kelantan ketika itu telah dihembus satu siri ledakan khabar angin. Datangnya silih berganti, menjadikan rakyat yang peka politik digenangi bagai nak lemas dalam 101 versi cerita tentang kerenah saf kepimpinan parti, baik dari kalangan yang terpilih semasa PRU 2004, mahupun yang tersisih.

Jalan cerita semua khabar angin ketika itu adalah mudah – TG Datuk Nik Aziz telah diugut oleh kumpulan dalaman PAS Kelantan itu dan ini untuk paksakan DUN terbubar jika tuntutan tidak dipenuhi. Contoh cerita:

  • Enggan beri kawasan balak yang dihajati kepada “geng” atau “kabilah Bani Si-polan Itu dan Ini,” ada ADUN yang akan lompat parti. Kesannya DUN terpaksa dibubar.

  • Enggan setuju lulus syarat pemilikan sekian puluh ribu ekar tanah kepada grup Cina Gua Musang itu dan ini, ada ADUN yang jadi broker sekaligus “balaci” akan lompat parti. Kesannya DUN akan terbubar.

  • Kerajaan berkeras tidak mahu buang pegawai itu dan ini dari menerajui anak syarikat kerajaan negeri itu dan ini, ada ADUN yang sudah “disinggung perasaan” dek pegawai tersebut akan lompat parti. Kesannya DUN terpaksa dibubar.

  • Ada ADUN yang gambarnya tersenarai dalam soal selidik telah terima wang pendahuluan dari sogokan berjumlah RM3 juta untuk lompat parti. Pun si-polan itu sudah tanda tangan dokumen perjanjian bersaksikan peguam. Bila-bila masa dia boleh lompat parti. Kesannya DUN akan terbubar.

Begitulah perkhabaran yang disajikan kepada rakyat Kelantan untuk membayangkan betapa gentingnya kedudukan PAS Kelantan dalam tahun 2006.

Berlatar belakangkan gambar betapa tipis dan licinnya tali kuasa yang sedang dipegang PAS itulah tinjauan dibuat. Seterusnya mengikut tuan empunya cerita, objektif tinjauan ialah membolehkan satu taksiran ilmiah dibuat tentang sejauh mana -- di ketika itu -- rakyat Kelantan bersedia “mengubah selera.” Ramai yang ingin kepastian di ketika itu, PAS atau UMNO kah yang bakal menang jika DUN dibubar dan PRU diadakan.

Maka soal selidik pun diedarkan secara rambang, ditabur ke dalam pasar, ke warung-warung, ke rumah-rumah persendirian, malah di mana saja manusia berkumpul, diunjuk kepada sesiapa juga yang sudi berkerjasama.

Hasil tinjauan? Akan didedahkan di bahagian berikut.

Nota: Tajuk artikel telah disadur dari lirik ini.

Wednesday, October 03, 2007

MEMO PRU12: PAS Kelantan Depani UMNO Marjin 10% -- Bahagian 4 (Akhir)

Graf adalah ringkasan penemuan dari exercise cula yang dilakukan sekitar tiga bulan lepas untuk DUN Wakaf Bharu di mana seramai 16,339 pemilih telah disenaraikan. Sekali imbas, hasil cula menunjukan secara kasar PAS sedang leading UMNO/BN dengan 652 undi. Untuk kefahaman terperinci maksud graf sila sabar membaca huraian terminologi yang digunakan.


Apa itu cula?
“Cula” adalah satu exercise mengenalpasti penyokong yang dilakukan dari peringkat Peti Undi (Daerah Mengundi) berpandukan senarai/daftar pemilih.

Lazimnya kerja cula dilakukan oleh orang-orang lama parti yang bermastatutin dalam sesuatu Peti Undi. Hasil kerja cula ialah “kepastian” samada seseorang yang terdapat namanya dalam senarai pemilih itu jatuh ke dalam salah satu kriteria berikut:

  • Bulan – Penama yang diketahui secara sahih oleh petugas-petugas cula sebagai penyokong PAS.

  • Dacing – Penama diketahui secara sahih oleh petugas-petugas cula sebagai penyokong UMNO/BN.

  • Ewek – slanga Kelantan bermaksud “tempang”. Penama yang dikelaskan dalam kategori ini umumnya diketahui sebagai penyokong PAS, malah dalam sesetengah kes adalah ahli PAS, tetapi petugas cula mempunyai sebab yang kukuh untuk meragui arah sokongan semasa. Golongan ini juga dikenali sebagai “UMNO dalam selimut.”

  • Condong – Penama yang diketahui umum sebagai penyokong UMNO/BN tetapi petugas cula mempunyai sebab yang kukuh untuk meragui kesetianya terhadap UMNO/BN.

  • Tidak dikenali – Penama tidak dikenali oleh petugas cula, bahkan tidak dikenali penduduk kampung/taman di mana penama tersenarai.

  • Luar Kawasan – Penama dikenali oleh petugas atau penduduk setempat sebagai bermastautin di luar kawasan. Kecuali diketahui secara sahih, lazimnya penama kelas ini akan diandaikan penyokong Dacing.

  • Mati – Nama pengundi yang diketahui umum sudah mati tetapi masih lagi tersenarai dalam daftar pemilih (atas sebab-sebab yang “sah” – mati sejurus daftar di wartakan -- dan “tidak sah” – SPR buat tidak reti bila diberitahu).

  • K10 – Merujuk kepada penyokong PAS yang tersenarai sebagai ahli “Kumpulan K10.” Notakan bahawa UMNO pun mempunyai rangkaian (network) dan organisasi penyokong peringkat Peti Undi yang serupa.

  • “Jahat” – Kategori ini adalah unik untuk DUN Wakaf Bharu dan merujuk kepada mereka-mereka yang diketahui umum sebagai kerap keluar masuk penjara atau pusat serenti. Sepengetahuan saya tiada DUN lain di Kelantan yang menggunakan klasifikasi ini. Jangan tanya, saya tidak tahu jawapan mengapa Ketua Cula DUN mewujudkan klasifikasi ini.

Untuk membayangkan betapa pentingnya kerja cula, PAS Kelantan mewujudkan satu jawatan khusus“Ketua Cula,” dalam jentera pilihan raya parti bermula dari peringkat Peti Undi. Di Kelantan kedua-dua parti PAS dan UMNO melakukan exercise ini. Malah mengikut lagenda popular masyarakat, UMNO telah pun siap mencula satu negeri sejak akhir tahun 2006 lagi (dengan menggunakan anak-anak buah penyokong totok PAS sebagai pembantu kerja-kerja input data komputer :-)).


Asas harapan dan kebimbangan PAS
Hasil cula seperti di atas sekaligus memberi PAS Kelantan harapan dan kebimbangan. Harapan kerana “head count” (hitungan kepala) membayangkan kemungkinan besar PAS akan menang di DUN Wakaf Bharu bila berlakunya PRU.

Namun di masa yang sama, PAS tidak boleh tidak mesti bimbang kerana wujudnya 3,070 pemilih “Tidak Dikenali.” Malah, aggregat penemuan seluruh Kelantan yang sebeginilah menjadi salah satu asas kepada “khabar angin” yang UMNO/BN akan memberi “kerakyatan instant” kepada 70,000 pendatang haram Myanmar, Bangla dan seumpamanya [1], [2].

Visual ialah hasil “meng-superimpose” penemuan cula dengan jadual anggaran penyokong tegar di peringkat Peti Undi. Perhatikan SPR nampaknya sudah menyumbat banyak nama “pengundi risab” di kawasan-kawasan UMNO/BN didapati lemah.

Berapa ramai “pengundi import” bakal di bawa masuk? Di Peti Undi manakah nama-nama mereka telah disumbat? Tempat (dewan/sekolah) mengundi manakah PAS Kelantan patut ramaikan petugas dihari PRU kelak? Patutkah dikenakan “hudud jalanan” kepada pengundi-pengundi haram ini sekiranya petugas PRU berjaya menangkap mereka? Dan sebelum dari itu, apakah langkah menghalang pengundi haram ini dari sampai ke tempat membuang undi?

Saya teka PAS Kelantan telah pun bertanyakan persoalan-persoalan yang sama, serta telah melakukan analisis seperti di atas, malah pemeriksaan yang lebih mendalam dari itu.


Yang dikatakan PAS Kelantan sedang mendahului UMNO
Bagi Rudin, selain sebab yang dihuraikan pada bahagian sebelum ini, hasil cula DUN Wakaf Bharu adalah satu penemuan yang sungguh memberangsangkan dalam banyak aspek. Notakan bahawa PAS kalah “berat” di DUN Wakaf Bharu dalam PRU 2004. Kalah 1,406 undi. Namun dalam tempoh tidak sampai empat tahun, berkat segala perubahan (khususnya) dan usaha yang telah dilakukan, PAS kini berkemungkinan mendepani UMNO dengan 1,265 undi atau pun menang dengan marjin 10%.

Jadual ialah hasil menambah angka-angka “Ewek” dan “Jahat” kepada jumlah penyokong Dacing (UMNO/BN); manakala angka “Condong” dan “K10” ditambah pada jumlah penyokong PAS. Hasilnya PAS leading UMNO pada marjin 10%. Kaedah logikal UMNO menipiskan marjin ini ialah dengan mensihirkan muncul pengundi dari kelas Tidak Dikenali. Setakat sudah dikenalpasti, jumlah pengundi yang bakal keluar di hari PRU 12 ialah 12,829 orang atau pun 78.5% dari jumlah pengundi tersenarai. Permainan sihir dan silap mata di pihak UMNO akan dapat dilihat dari peratus keluar mengundi dalam lingkungan 85%-95% seperti yang berlaku di Terengganu dalam tahun 2004.

Untuk bayangkan betapa besar kemajuan yang telah PAS Kelantan lakukan, perhatikan bahawa dari kalah (negatif) 1,406 undi dalam tahun 2004, PAS kena “korek” 1,406 penyokong barulah “seri kosong-kosong” dengan UMNO.

Dan dari titik “seri 0-0” kepada menang 1,265 undi, PAS kena raih pula sebanyak 1,265 sokongan. Maksudnya, dalam tempoh tidak sampai empat tahun PAS telah berjaya memulihkan dan menambah penyokong seramai 2,671 orang atau 16% dari 16,339 pengundi berdaftar di DUN Wakaf Bharu.

Lonjakan sokongan pengundi 16% untuk PAS Kelantan adalah satu angka yang “takbur” jika dilaungkan. Maka itu, saya “tone down” lalu bisikan bahawa PAS Kelantan sedang dahulu UMNO dengan marjin 10%.

Amacam! Boleh terima? [3]


Penghargaan
Rudin X mengucapkan ribuan terima kasih kepada
“Abe Shakor” Penolong Pengarah, Pusat Kajian Strategik, merangkap “Penghulu” Sukarelawan Tok Kenali kerana menghulurkan data-data yang telah membolehkan komentar ini dibuat. Terima kasih juga diucapkan kepada bekalan UROCIT-K yang membolehkan Ramadhan ini menjadi lebih "bearable."

Sunday, September 30, 2007

MEMO PRU12: PAS Kelantan Depani UMNO Marjin 10% -- Bahagian Tiga

Dalam berpura-pura innocent dan berhati mulai di bulan puasa, Annuar Musa telah hina IQ rakyat Kelantan. Budak-budak “lentuk” kerja dengan Maryam Besi Buruk di Jalan Bayam, Kota Bharu pun tahu pengeluaran kad pengenalan Mykad dan menyumbat nama ke dalam daftar pemilih adalah upaya dan sesuka hati jabatan kerajaan yang di bawah telunjuk UMNO/BN [i].


Bagak UMNO dan kealpaan PAS
Pada bahagian sebelum ini saya mengutarakan tesis keputusan PRU 2004 yang mendera PAS Kelantan adalah disebabkan faktor “Pak Lah itu Mr Clean”. Tetapi sebenarnya faktor ini adalah satu sisi dari syiling yang sama.

Sisi satu lagi ialah kelemahan strategik PAS Kelantan dalam 2004. Dan kelemahan yang dimaksudkan ialah “faktor calun.”Sehubungan, saya tidak bercadang berpanjang lebar menghuraikan maksud tesis ini di sini kerana saya telah pun berbuat demikian dalam komentar berikut:

“Kronisme” wujud di mana-mana. Malah “berkroni” itu adalah fitrah kemanusian yang mana hakikat ini kita kena terima. Yang sehubungannya, PAS Kelantan tidak kalis.

Cuma istilah bagi perbuatan kronisme yang digunakan di kalangan orang PAS Kelantan tidak membawa konotasi negatif. Perbuatan ini di rujuk sebagai “rakit” atau “berakit,” yang membayangkan perbuatan mendepankan atau menyertai satu kumpulan, atau berpenghulukan satu ketua yang dominan lagi beragenda.

Dan dari hal rakit, saya berpegang kuat kepada teori rakit-rakit calun PAS dalam PRU 2004 adalah faktor terbesar yang menyumbang kepada nyaris tersungkurnya PAS Kelantan di Serambi Mekah.

Diamati dalam banyak kes pencalunan PRU 2004, ramai watak yang sudah hilang pengaruh dalam masyarakat, hatta sudah tidak disegani orang ramai telah tercalun; semata-mata kerana watak itu berpengaruh dalam parti, atau telah menyertai “rakit” yang berpengaruh. Hasilnya, satu dunia sudah lihat.


PAS Kelantan terpaksa berevolusi mental
Kesan dari azam dan usaha PAS Kelantan melakukan perubahan dapat disimpulkan dari penemuan kerja “cula” yang dilakukan baru-baru ini untuk DUN 04 Wakaf Bharu, dalam kawasan Parlimen P19 Tumpat.

Sebelum menghuraikan angka-angka cula DUN Wakaf Bharu, izin saya tekankan di sini bahawa dalam mengambil Wakaf Bharu sebagai contoh saya tidak berniat untuk memperlekehkan sesiapa, hatta menjulang sesiapa Apa yang bakal saya katakan tentang pengalaman DUN Wakaf Bharu adalah secara ketat berpaksikan angka-angka keputusan PRU yang boleh dibeli dari SPR Kelantan.

Sebab dan pertimbangan prima mengapa saya pilih DUN Wakaf Bharu sebagai kes menyerlahkan poin ialah faktor geografi-nya sebagai satu kawasan “semi-urban” (separa bandar) yang tipikal. Yang mana sehubungan ini, dari kacamata saya, kawasan semi-urban ialah di mana hampir 60% semua pengundi Kelantan bermastautin. Selain itu, sejarah hanyunan undi di DUN tersebut adalah cukup menarik.

Jadual di atas ialah satu exercise menaksir jumlah penyokong tegar atau “hardcore supporters” PAS dan UMNO dalam DUN Wakaf Bharu secara keseluruhan, dan di peringkat komponen DUN iaitu Peti Undi (Daerah Mengundi).

Bagi pembaca yang cenderong perincian teknikal, takrif jumlah penyokong tegar adalah merujuk kepada purata undi yang diperolehi parti-parti bertanding dalam 3 PRU.

Kolum akhir memberikan taksiran samada pengaruh UMNO/BN di sesuatu Peti Undi itu kuat/dominan atau lemah. Taksiran adalah berpandukan beza jumlah penyokong tegar UMNO/BN berbanding PAS. Jika jumlah penyokong tegar PAS mengatasi UMNO/BN maka dikatakan pengaruh UMNO/BN di Peti Undi itu adalah lemah, dan sebaliknya.

Dari jadual di atas, perhatikan bahawa UMNO/BN hanya dominant/ kuat di enam (6) Peti Undi sahaja, termasuk Undi Pos. Lapan Peti Undi lagi adalah di bawah pengaruh PAS.

Diberi penemuan, persoalan yang wajar ialah macam mana UMNO/BN boleh menang sampai 1,406 undi dalam tahun 2004? Walhal dalam PRU 1999 UMNO/BN telah kalah 1,720 undi. Dan sebelum itu dalam PRU 1995 yang tiada apa-apa faktor “gelombang,” UMNO/BN telah kalah 673 undi?

Seperti yang diketengahkan dalam Bahagian 2 dan di awal komentar ini, PAS Kelantan mahu tidak mahu kena bangkit mencari jalan mengatasi faktor Pak Lah itu Mr Clean (yang pada awalnya disangka berkekalan), dan walaupun pedih dan pahit, terpaksa mengaku silap yang telah dibuat. Maka itu, di kebanyakan DUN yang kalah, PAS telah melakukan banyak perubahan berani.

Bersambung.

Friday, September 28, 2007

MEMO PRU12: PAS Kelantan Depani UMNO Marjin 10% -- Bah 2

Nasib Pak Lah dalam PRU12 telah dikunci (his fate was sealed) dengan berlangsungnya tunjuk perasaan kaum India di Putrajaya baru-baru ini. Memang betul insiden ini telah di"blackout" media arus perdana, langsung tidak lapur. Tetapi dalam senyap saya agak gosip dan gambar-gambar insiden ini tersebar luas diseluruh negera melalui internet, hinggakan personaliti-personaliti yang totok biru "ketor" pro-establishment turut jadi penyebar gambar.

Implikasi dan konteks dakwaan
Ya, saya dapat agak sesetengah pembaca merasakan tidak “kesampaian” membaca bahagian pertama komentar ini. Mungkin ramai yang berharap melihat bukti empirik dalam bentuk angka dan data yang memberanikan Rudin membuat dakwaan yang menjadi tajuk.

PAS Kelantan leading,mendahului UMNO 10% adalah satu statemen yang keras lagi sombong bunyinya. Implikasi statemen ini jika diizin Allah menjadi realiti PRU 12 kelak ialah; PAS mendapat 55% undi popular berbanding UMNO 45%. Yang sekaligus boleh diterjemahkan sebagai PAS memenangi 34 dari 45 kerusi DUN Kelantan.

Darihal ini, diharap pembaca dapat bersabar kerana saya perlu menghuraikan konteks cerita dan dakwaan yang agak berserabut. Jika saya tidak berbuat demikian, pembaca khususnya dari kalangan penyokong PAS tidak akan dapat “menjiwai” dan menghargai betapa pesat dan besar perubahan yang telah berlaku dalam kaedah dan orientasi pemikiran PAS Kelantan.

Sehubungan, maaf jika saya meminjam satu frasa asal UMNO yang popular dalam dekad awal 70han dulu untuk mendeskripkan apa yang telah berlaku dalam batang tubuh PAS Kelantan dalam tempoh hampir 4 tahun sejak PRU 2004. Frasa ialah – revolusi mental [1].

Yang mana pada pengamatan saya, sejak terpahatnya keputusan PRU 2004 untuk Kelantan, telah berlaku satu perubahan senyap yang besar lagi menyeluruh, seakan-akan satu revolusi mental dalam kaedah pergerakan PAS Kelantan.

Bagi saya, PAS Kelantan kini sudah punyai satu struktur “command and control” [2] (arahan dan kawalan) yang agak sistematik, setanding dengan apa yang ada di UMNO Pusat. PAS Kelantan kini sudah melangkaui batas metode lama pergerakan, yakni metode “personaliti -air liur -syarah.” Zaman di mana ceramah dan pidato PAS adalah tidak lebih dari episod-episod penglipur lara masyarakat, hakikinya tidak ubah persembahan wayang kulit atau selampit [3], [4], sudah berlalu.


Dari titik nyawa-nyawa ikan

Jadual di atas membawa 1,001 kisah betapa terhakisnya dan tipisnya pengaruh PAS Kelantan digaris penamat PRU 2004. Saksikan sendiri betapa, sebagai contoh, di DUN Kemuning PAS menang dengan lebihan 2 undi sahaja, berbanding lebihan undi 2,210 dalam PRU 1999. Ke mana larinya penyokong seramai 2,208? Keputusan bagi DUN lain dalam jadual membawa kisah dan menagih persoalan yang sama.

Graf di atas merumuskan segala-galanya tentang PAS Kelantan pada tahun 2004. Di saat penyudah semua undi dikira, PAS hanya mendapat lebihan 4,044 undi untuk seluruh Kelantan! Maksudnya di ketika itu, pada tahap lebihan undi 1.5%, pengaruh PAS berbanding UMNO hanyalah setipis bulu “rom” (salah satu sebutan bagi “roma” yang dimungkinkan oleh ejaan Jawi ra, wau, mim – seperti terdapat dalam kitab-kitab lama).

Mengapa boleh terjadi nasib PAS Kelantan sampai ke situ?

Sejarah merakamkan telah bersependapat semua pemerhati dan penganalisis politik, bahawa dalam tahun 2004, prestasi UMNO seluruh negara telah di lonjak oleh pertamanya, faktor “Pak Lah itu Mr Clean.” Faktor kedua ialah ekspektasi rakyat Pak Lah akan melakukan perubahan, membetulkan kesilapan.

Masih berkuat kuasa dan berkesankah faktor-faktor itu? Seperti yang disinggung dalam Bahagian 1 komentar ini, dan saya yakin pembaca sendiri pun adalah lebih arif merasainya – Pak Lah kini adalah laibiliti terbesar UMNO!

Pengundi semua ras/bangsa kini tahu bukan setakat “ilma yakin” (yakin dari pembacaan/cerita) bahkan di tahap “ainul yakin” (yakin dari penglihatan) bahawa Pak Lah bukanlah sebersih yang diperaga. Bukanlah dia tidak korup, dan bukanlah pernah waraq pun akan dia.

Dan lebih malangnya dari perspektif Melayu, langsung tidak bermaya akan dia memfaatkan kuasa demi kebaikan masyarakat amnya, dan khususnya kaum sendiri.

Di beri perkembangan itu, diletak sebelah gambar UMNO yang hambar lagi pudar, apakah tidak munasabah jika kini gambar PAS Kelantan di mata pengundi adalah berkilau maya lagi memberangsangkan? Lantas menyebabkan PAS Kelantan mendapat hayunan -- swing -- sokongan sebanyak 8.5%, secara default.

Bersambung.