Itulah tanggapan lazim. Khususnya tanggapan tentang sokongan pengundi Kelantan terhadap PAS. Atau sokongan pengundi Johor terhadap UMNO. Dan bukan sahaja kita marhain politik yang beranggapan begitu, malah ramai penganalisis dan pengamal politik berpendapat demikian.
Khususnya kalau di Kelantan kini, di kalangan politikus dari “order lama” PAS Kelantan, atau kumpulan yang dengan mesranya di panggil “Tiga Abdul,” faktor calun adalah perkara enteng. Lantaran, mengikut cakap-cakap di pasar, pada pendapat “Abdul Tengah” sumbangan faktor calun adalah tidak sampai 2% dalam menentukan kalah menang parti di sesuatu kerusi.
Betulkah begitu? Untuk memahami konsep faktor calun sebagai penentu kalah menang parti, di bawah diperturunkan keputusan PRU 11 untuk 21 kerusi DUN Kelantan, di mana PAS dan UMNO kalah/menang tipis, “DUN Marjinal” – yakni PAS/UMNO menang/kalah kurang dari 1,000 undi.
Sejurus keputusan PRU 2004 untuk Kelantan diumumkan, lebih-lebih lagilah setelah PAS kalah di PRK Pengkalan Pasir, macam-macamlah telahan, nasihat, unjuran, pendapat, dan firasat tentang bagaimana terhakisnya pengaruh PAS di Kelantan. Langsung ada yang mempertikaikan dayamaju PAS sebagai parti politik masadepan. Dan rata-ratanya orang membahaskan relevans ideologi dan kepimpinan PAS, malah menyoal samada Islam itu masih relevan sebagai asas perjuangan.
Seperti biasa, saya tetap dengan pendapat “songsang” saya tentang politik. Bagi saya, kalau di Kelantan, hatta di Johor Bahru, faktor calun adalah segala-galanya. Faktor kalah mati.
Pada jadual di atas, perhatikan aliran majoriti undi yang PAS perolehi di setiap DUN bermula tahun 1995. Sebagai contoh, sebelum 2004 PAS tidak pernah kalah di DUN Manek Urai, Selising atau Ayer Lanas. Mengapa dalam tahun 2004 PAS boleh kalah?
Perhatikan pula keputusan DUN Pulai Chondong dan Gaal. Jika sebelum 2004 PAS boleh mendapat majoriti lebih dari 1,000 undi, tidakkah pembaca terlintas untuk bertanya – mengapa kini majoriti kemenangan tidak sampai 200 undi? Ke mana larinya penyokong? Begitu kuatkah UMNO kini di Kelantan?
Tolak tepi keputusan PRU 1999, kerana itu boleh dikatakan satu keputusan tidak normal kerana banyak dari undi majoriti PAS itu sebenarnya ialah penzahiran protes orang UMNO terhadap kepimpinan mereka. Guna keputusan PRU 1995 sebagai tanda aras.
Amati perbezaan undi majoriti yang PAS perolehi antara 1995 dengan 2004. Untuk semua kerusi dalam jadual di atas, penurunan drastik undi majoriti PAS adalah kerana faktor calun – TG Nik Aziz telah diperdayakan, PAS silap letak calun.
Saya tidak berniat untuk memburukkan nama atau membuka aib seseorang, tetapi saya boleh rumuskan bahawa dalam hampir semua kes di atas (tolak calun DUN Kota Lama), faktor merosotnya sokongan terhadap PAS ialah kerana pengundi telah kenali prestasi, hati budi, personaliti, dan/atau kelemahan moral calun.
Pembaca dari Kelantan khususnya, atau yang mempunyai kenalan di Kelantan, sekali imbas akan boleh menghubungkaitkan perkara berikut dengan calun dan DUN:
Calun yang telah diberi peluang menjadi wakil rakyat, tetapi terlalu nyata di mata rakyat tidak tahu apa itu tugas seorang wakil rakyat. Mudah cakap – tak reti buat kerja!
Calun yang mengabaikan tanggung jawab sebagai wakil rakyat, menjadi bongkak, hatta boleh persoalkan – siapa lagi yang layak jika tidak aku untuk bertanding di situ – setelah di naikkan pangkat dalam barisan kerajaan negeri.
Calun yang terlalu sibuk di pentas negeri atau nasional, tetapi gagal berinteraksi di kampung sendiri, malah dilihat tidak peduli kebajikan DUN sendiri.
Calun yang mulut terlalu “cabul,” berbahasa kasar dengan pengundi, “mulut bruh” kata orang Kelantan, terlalu kerap menyinggung perasaan orang, langsung membuat ramai yang tidak selesa berinteraksi, apatah lagi memberi undi.
Calun yang diragui kesetiaan pada parti, disyaki oleh pengundi sebagai terlalu pentingkan diri, malah talibarut UMNO.
Calun yang rendah moral, diketahui umum sebagai “penggemar” yang biasa larikan isteri orang. (Ingat, PAS adalah parti manusia, bukan parti para wali atau malaikat).
Sekali lagi, rumusnya, sokongan terhadap PAS merosot dalam PRU 2004 kerana rekod calun. Pembaca adalah digalakkan mempertikaikan rumusan saya.
Kendati, di masa yang sama, izin saya ingatkan bahawa perhatikan juga siapa tokoh-tokoh PAS yang sedang mencaturkan diri untuk dicalunkan di PRU 12 kelak. Dah tu tanya diri sendiri – atas kudrat, kederat tubuh badan mereka, rekod mereka, bolehkan watak-watak ini menang kalau mereka dicalunkan!
1 comment:
kabarnya abdul bongsu nak bertanding dun. dia mengidap exco kot. heh heh
Post a Comment