Tuesday, October 31, 2006

Menilai Kepimpinan: Di aras mana Abdullah berbanding Mahathir?

Hebat benarkah Tun Dr Mahathir maka itu kebelakangan ini kita jenuh mendengar dan membaca betapa “kepimpinan” beliau adalah jauh berbeza dari apa yang ditunjukan oleh Abdullah Ahmad (Bardawi)? Hingga sesetengah pemerhati masyarakat berani mengatakan bahawa Abdullah itu adalah tidak lebeh dari satu boneka dalam penampilannya.

Bermula jawapan bagi soalan ini ialah kefahaman kita tentang apa itu “kepimpinan”.

Dari satu sudut, “kepimpinan” atau dalam bahasa Inggeris “leadership” adalah satu konsep persis “klimaks seks. Semua orang tahu (di peringkat rasa) tetapi terlalu sukar untuk dihuraikan. Malah, untuk sebilangan besar umat dunia, tidak terhurai pun.

Sehubungan kedua-dua ini, kita semua tahu menilai “mutu,” yang mana terbaik lagi menfanakan, atau yang mana tidak. Namun, setepatnya kita tidak dapat meletakkan di mana, atau menyebutkan apa itu yang menyebabkan kita memberi rating, penarafan, yang tinggi untuk sesuatu kepimpinan atau hasil hubungan kelamin.

Carian ilmiah menunjukan bahawa dalam dunia di mana Inggeris adalah lingua franca, wujud tidak kurang dari 200 takrif kepimpinan yang digunapakai. Itu belum diambil kira perbincangan kepimpinan dalam bahasa Perancis, Sepanyol dan German. Sekadar mendapat bayangan betapa kompleks dan menakjubkan subjek ini, lakukan satu carian “dogol” internet ke atas perkataan “leadership” dan pastinya anda akan bertemu dengan hampir 271 juta halaman web yang mengandungi perkataan ini.

Diberi maklumat latar di atas, hampakah usaha kita untuk menilai Abdullah dan Mahathir?

Tidaklah begitu. Untuk tujuan kefahaman dan perbualan harian kita, mulai kini hingga tamat PRU ke 12 kelak, takrif dan konsep kepimpinan berikut boleh digunapakai untuk menilai di mana letaknya hebat dan keberkesanan kepimpinan yang kita temui dalam hidup seharian kita.

Takrif

Takrif ini boleh dirajahkan seperti berikut.

Bermula di sini, jangkanya kita sudah boleh menilai di mana kena atau tidak kena, di mana silap atau betul, di mana berkesan atau selekeh, kepimpinan yang kita alami.

Amati ciri watak yang cuba memimpin, dan padankan dengan ciri kumpulan pengikut yang cuba dipimpin, maksudnya diri kita sendiri, dan padankan dengan situasi semasa, atau yang bakal dihadapi.

Diberi sesuatu keadaan bolehkah pengikut menerima ciri pemimpin? Atau lebih tepat tanyakan -- dalam keadaan ini adakah pemimpin mempunyai pengikut? Kalau ada, berapa ramai?

Contoh menilai.

Jawapan kepada soalan begini, dalam 101 situasi yang difikirkan sedang atau bakal menyelubungi masyarakat, dipadankan dengan 101 ciri watak yang cuba memimpin, digandingkan pula dengan 101 hasrat dan nilai bersama masyarakat yang perlukan kepimpinan, sepatutnya menentukan samada barisan pemimpin yang ada kini patut dikekalkan atau tidak selepas PRU 12 kelak.

Sunday, October 29, 2006

Kod Toyol Bukti Kepimpinan Melayu UMNO Bacul

Jika kebelakangan ini wujud satu “spin” (putaran maklumat) tentang nasib masa depan Malaysia, maka siri penulisan “The Toyol Code” oleh ahli UMNO nombor 0003472, daripada Cawangan Danasari, Bahagian Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, Datuk Ruhanie bin Ahmad, adalah spin yang paling berjaya.

Jika kata-kata Datuk Ruhanie boleh dipercayai, maka boleh dirumuskan bahawa dalam tempuh tidak sampai dua minggu, tidak kurang dari 200,000 rakyat Malaysia telah membaca siri “thriller” politik ini.

“The Toyol Code” adalah satu siri penulisan yang kononnya mendedahkan satu rahsia besar yang telah dirancang oleh pentadbiran Abdullah dan Menantunya. Penulisan ini mempunyai beberapa intipati yang pada zahirnya memukau lagi mendebarkan.

  • Pertama, didedahkan bahawa satu rombakan besar kabinet akan dilakukan pada bulan Februari 2007 kelak. Rombakan ini akan melibatkan 10 menteri penuh, dan dua timbalan menteri. Siap dengan menamakan personaliti yang bakal termangsa, dari yang paling tidak signifikan kepada Timbalan Perdana Menteri yang ada kini.

  • Kedua, didedahkan bahawa PRU (pilihan raya umum) ke 12 akan diadakan pada bulan April 2007, di mana UMNO-BN akan menampilkan satu barisan calun-calun muka baru yang berumur tidak lebih dari 50 tahun. (Pendedahan ini adalah semirip dengan gosip di kalangan “diehard” [penyokong setia] Keadilan yang mengatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan satu firma konsultan untuk mengenalpasti satu barisan 30 calun yang berumur lingkungan 30han untuk dipertandingkan di atas tiket Keadilan dalam PRU 12 kelak).

Bagi saya perincian intipati cerita tidak penting. Personaliti mana akan digugurkan, siapa yang akan mengganti, atau bila PRU bakal diadakan bukanlah isu-isu besar. Tetapi isu yang maha besar bagi saya ialah implikasi dan reaksi politik terhadap “pendedahan” ini.

Implikasi terbesar thriller Datuk Ruhanie ialah UMNO bakal menyaksikan satu “purge” semirip dengan satu “pembersihan etnik” besar-besaran bermula dari atas hingga ke peringkat akar umbi menjelang PRU 12 kelak. Namun, apa yang menghairankan, setelah hampir 200,000 umat Malaysia membaca thriller tersebut, UMNO di peringkat bawah langsung tidak menunjuk sebarang riak.

Tiada “sms” sesat berterbangan. Tiada bisik-bisik dan kenyit mata di majlis-majlis rumah terbuka hari raya. Tiada gosip sumbang di bangsal-bangsal kopi. Seolah-olah, jika pendedahan Datuk Ruhanie itu adalah satu kebenaran, saf kepimpinan UMNO yang ada kini, baik yang memegang jawatan besar atau kecil, adalah terlalu pasrah dengan nasib yang bakal menimpa mereka.

Penakut benarkah pemimpin-pemimpin UMNO yang ada kini? Hinggakan secara kumpulan pun mereka tidak berani bertindak?

Ataupun bodoh benarkah mereka ini, langsung tidak tahu bagaimana hendak bertindak?

Sedih. Memandangkan mereka ini tidak berani dan tidak tahu bertindak untuk menyelamatkan diri sendiri. Langsung wajar kita tanya, patutkah mereka ini diharapkan bertindak untuk menyelamatkan bangsa dan negara?

Jika jawapan kepada salah satu atau kedua-dua soalan di atas adalah “ya,” maka sahlah masanya sudah sampai bagi bangsa Melayu menggantikan pemimpin-pemimpin Melayu dari UMNO yang ada kini dengan satu saf pemimpin yang baru.

Kepimpinan alternatif memang sedia wujud. Pemimpin-pemimpin yang punyai kekuatan sokongan “grassroot” sendiri. Pemimpin yang mendaki dari bawah. Yang tidak mudah diugut. Yang teruji dan bila-bila masa sedia diuji. Yang berpengaruh tanpa perlukan atau menggunakan wang ringgit. Pemimpin-pemimpin yang jitu yakin dengan apa yang mereka perjuangkan. PAS mempunyai ramai pemimpin sedemikian.

Friday, October 27, 2006

Piliharaya di Amerika Syarikat Pun Tipu

Satu rumusan yang boleh dibuat tentang kelompok penganalisis politik Malaysia, ialah mereka rata-ratanya sepakat dalam menuduh parti-parti lawan kepada UMNO-BN sebagai “whinner,” (banyak songel, banyak merengek) setiap kali mereka menyuarakan syak bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersekongkol dengan UMNO-BN dalam sesuatu pilihanraya.

Parti patriot negara seperti PAS khususnya sering dituduh hanya mencari daleh menjustifikasikan kekalahan, menutup kelemahan, setiap kali PAS membangkitkan aspek-aspek kecatatan perlaksanaan sesuatu pilihanraya. Nyanyian korus para penganalisis politik ini telah memberangsangkan SPR. Lantaran, SPR tidak merasakan perlu untuk mengambil endah aduan PAS, apatah lagi rungutan rakyat biasa. Tuduh lah apapun, tunjukanlah bukti apapun, SPR tidak goyah.

Dalam berdepan dengan apa juga tuduhan tidak saksama dalam mengendalikan pilihanraya, kekuda (stance) SPR dan UMNO-BN ialah berlagak “perawan suci” wal “tiga berok mualim” – tidak melihat sebarang kejahatan, tidak mendengar sebarang kejahatan, dan tidak menuturkan sebarang kejahatan. Jawapan piawai UMNO-BN dan/atau SPR ialah pengendalian pilihanraya Malaysia adalah mengikut piawai antarabangsa.

Namun bila kita katakan bahawa pengendalian pilihanraya Malaysia menepati “piawai antarabangsa,” sebenarnya, standard negara mana yang kita ikut? Kalau jawabnya ialah standard Amerika Syarikat, maka sahlah bahawa di Malaysia pun, penipuan pilihraya adalah satu amalan ruji. Satu asam garam.

Kalau perlakuan pilihanraya Amerika Syarikat itulah tanda aras perlakuan Malaysia,maka kita kena sedar bahawa Presiden George W Bush ketika pertama kali dilantik menjadi ketua negara dalam tahun 2000 dulu sebenarnya bukanlah dipilih rakyat. Beliau sebenarnya ialah presiden lantikan mahkamah agung Amerika Syrikat. Dalam pusingan pertama kiraan undi, George W Bush sebenar kalah kepada lawannya Al Gore hampir 500,000 undi. Tetapi ekoran pertikaian kiraan undi di Florida yang menyaksikan kedua-dua calun membawa kes ke mahkamah, silap mata politik peringkat tertinggi, politik tahap dewa-dewa telah menyaksikan George Bush diisytiharkan pemenang pilihanraya.

Amerika Syarikat itu kan canggih? Sistem pilihanraya, sekaligus dengan kaedah membuang undi pun berkomputer penuh. Mengapa sampai boleh jadi begitu? Jawabnya mudah, selagi manusia itu boleh dirasuah, dan selagi manusia itu ada yang gila kuasa, tiada apa perlakuan yang mustahil. Mesin dan komputer boleh diprogramkan untuk memihak. Malah, nama pemilih pun boleh hilang dari daftar pemilih. Itu negara termaju dalam dunia kini. Persis macam di Malaysia, negara Dunia Ketiga.

Seperti juga di Amerika Syarikat, “kejanggalan” dalam proses pengendalian pilihanraya tidak perlu berlaku diseluruh negara. Hanya perlu berlaku di satu atau dua tiga tempak strategik untuk menentukan keputusan keseluruhan.

Jadual di bawah ialah senarai keputusan undi untuk 10 kerusi parlimen semasa pilihanraya 2004 dulu. Perhatikan bahawa UMNO-BN menang bagi kesemua tersebut, tetapi dimasa yang sama perhatikan juga jumlah “undi hilang” dan “undi rosak.”



JUMLAH UNDI

Kerusi Parlimen

UMNO-BN

PAS

KEADILAN

DAP

Rosak

Hilang

P036 - KUALA TERENGGANU

30,994

29,061



790

10,254

P074 - LUMUT

27,415


15,801


1,477

5,486

P106 - PETALING JAYA UTARA

32,422



17,379

619

1,640

P039 - DUNGUN

26,398

21,502



708

1,598

P081 - JERANTUT

21,349

12,892



776

1,427

P130 - RASAH

25,009



20,449

1,264

1,306

P068 - BERUAS

15,867



11,303

1,102

1,046

P060 - TAIPING

20,129


4,371

17,957

1,337

1,027

P152 - KLUANG

33,001



14,303

1,477

881

P071 - GOPENG

29,660


15,400


1,323

831



Bagaimana 10,254 kertas undi boleh hilang di P036 Kuala Terengganu? Bagaimana 5,486 undi boleh hilang di P074 Lumut? Mengapa begitu banyak undi rosak? Wujudkah begitu ramai manusia buta huruf dan/atau buta fizikal di kawasan-kawasan tersebut hingga undi yang dibuat boleh dianggap rosak? Mengapa hingga kini SPR tidak berani mengeluarkan sebarang penjelasan tentang fenomena ini?

Fenomena undi hilang hanya boleh berlaku jika salah satu atau kedua-dua keadaan berikut diizinkan terjadi.

  • Ada manusia yang telah dibenarkan mengundi lebih dari sekali. Di mana untuk undian kali kedua, pengundi diarah membuang undi hanya bagi kerusi DUN atau parlimen sahaja, dan tidak kedua-duanya. Maksudnya kertas undi yang tidak dipangkah telah dibenarkan dibawa keluar dari tempat membuang undi.
  • Wujud dua daftar pemilih. Satu daftar pemilih (andaikan dipanggil “senarai rasmi”) untuk kegunaan semakan umum dan parti menentang UMNO-BN, dan satu lagi untuk kegunaan SPR dan UMNO-BN. Daftar pemilih untuk SPR dan UMNO-BN mempunyai jumlah pemilih yang lebih besar dari “senarai rasmi” di nana nama-nama yang “terlebeh” itu adalah mereka-mereka yang diyakini “patuh” mengikut segala arahan UMNO-BN.

Salah di pihak SPR dan UMNO-BN itu mudah dituduh. Mudah diterima emosi. Tetapi dimasa yang sama, parti-parti yang mempertahankan demokrasi juga perlu melakukan muhasabah diri. Paling tidak, mesti berani tanya diri sendiri samada petugas parti di kalangan “polling agent” dan “counting agent” sudah diberi latihan yang secukupnya, sekurang-kuranghya tiga bulan sebelum hari mengundi.

Janganlah bergantang peluh dan bercupak air lior dibuang dalam berkempen, tetapi di saat mengira undi, “counting agent” hanya tahu angguk, langsung tidak tahu membantah, persis tikus basah, monyok, akur kepada segala cadangan petugas SPR yang mengira undi.

Seterusnya parti mesti berani muhasabah samada wujud “talibarut” di peringkat kepimpinan. Talibarut memang begitu sifatnya – merekalah yang paling lantang menentang UMNO-BN, paling aktif dalam kerja-kerja parti, tetapi dimasa yang sama merekalah manusia yang dalam diam paling giat mensabotaj parti sendiri.

Perbuatan sabotaj parti bukanlah satu perkara yang susah untuk dilakukan. Terutama bagi talibarut dalam saf kepimpinan di peringkat negeri. Tidak perlu jadi “informer” kepada UMNO-BN tentang segala rahsia parti. Bagi mereka yang ditugaskan untuk meneraju gerak kerja pilihanraya, cukup dengan mengabaikan hal-hal latihan petugas pilihraya.

Thursday, October 26, 2006

Hukum Ekonomi dan Tarikh Pilihanraya ke 12

Kini spekulasi tarikh pilihanraya umum ke 12 (PRU 12) bukanlah lagi satu francais ekslusif golongan pengamal dan sarjana politik, tetapi sudah menjadi aktiviti santai kaum marhaen, tidak terkecuali tua atau muda, lelaki atau perempuan. Berlandaskan beberpa aksiom dan korolari pemikiran sosiopolitik, ada beberapa tarikh telah menjadi sangkaan popular.

Pertama ialah PRU 12 akan diadakan sebelum bulan April 2008. Tarikh ini ditetapkan kerana mengikut perkiraan sebilangan besar bijak pandai politik, pentadbiran Abdullah Bardawi mesti memintas tarikh tamat sekatan berpolitik ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang dijangka berakhir sekitar bulan Mei 2008.

Dalam mendokong tarikh ini, peminat membuat dua andaian kritis tentang pentadbiran Abdullah Bardawi dan DSAI. Pertama, peminat mengandaikan bahawa DSAI itu masih lagi merupakan satu tenaga politik yang kencang untuk membakar emosi pengundi.

Andaian kedua bermaksud peminat berpegang bahawa pentadbiran Abdullah Bardawi selamanya menganggap DSAI itu seteru tanpa ruang untuk maufakat.

Perhatikan bahawa kedua-dua andaian yang tidak digurindamkan ini berkemungkinan salah. Realitinya mungkin DASI kini sudah seperti pemetik apai yang kehabisan gas (dalam slanga Kelantan -- habih geh), dan pentadbiran Abdullah Bardawi dalam meraba sokongan, mungkin juga akan memeluk DSAI, sekurang-kurangya untuk tempuh kempen pilihanraya.

Tarikh kedua yang juga kerap disebut oleh sebilangan besar "insider" dan pengamal politik (UMNO dan Keadilan, khususnya) ialah sekitar akhir bulan Jun 2007. Tarikh ini dipilih kerana mengikut perkiraan mereka, ekonomi Malaysia akan menjadi semakin lesu dan terbius selepas tarikh itu.

Perhatikan bahawa andaian yang membawahi telahan di atas ialah status kesihatan dan halatuju ekonomi negara, yang mana semuanya bergantung kepada jadi atau tidak Amerikat Syarikat dan sekutunya berperang dengan Iran (dan sekutunya). Ketika ini, semuanya adalah kebarangkalian.

Jadi atau tidak perang, dan kalau jadi, menang atau kalah Amerika Syarikat, keputusannya kita semua sudah ada sikit sebanyak firasat tentangnya. Menang, Amerikat Syarikat akan jadi arang, dan kalau kalah, tentunya akan jadi abu.

Dan di sinilah masalahnya -- Amerika Syarikat adalah rakan kongsi perdagangan Malaysia yang ketiga besar, selepas Jepun dan China. Pincang ekonomi Amerika Syarikat kerana perang Timur Tengah, besar kemungkinan separa tempanglah ekonomi Malaysia jadinya. Bersediakah pentadbiran Abdullah Bardawi dengan kemungkinan itu? Tekaan saya adalah sama tepat dengan tekaan anda.

Jadual di bawah ialah rekod pembubaran parlimen dan pilihanraya umum Malaysia sejak tahun 19982 hingga 2004.

Tahun

Parliamen Bubar

Penamaan Calun

Mengundi Semenanjung

Jarak Mengundi

1982

29-Mar

7-Apr

22-Apr



(Isnin)

(Rabu)

(Khamis)

-






1986

19-Jul

24-Jul

3-Aug

4 tahun 3 bulan 14 hari


(Sabtu)

(Khamis)

(Ahad)







1990

5-Oct

11-Oct

21-Oct

4 tahun 2 bulan 20 hari


(Jumaat)

(Khamis)

(Ahad)







1995

6-Apr

11-Apr

25-Apr

4 tahun 6 bulan 7 hari


(Khamis)

(Sabtu)

(Selasa)







1999

11-Nov

20-Nov

29-Nov

4 tahun 7 bulan 9 hari


(Khamis)

(Sabtu)

(Isnin)







2004

4-Mar

13-Mar

21-Mar

4 tahun 3 bulan 24 hari


(Khamis)

(Sabtu)

(Ahad)










Purata

4 tahun 4 bulan 15 hari






Nota: Untuk tahun 1982-1992 tempuh mengundi untuk Sabah dan Sarawak ialah 2 hari, dimulai sehari lebih awal dari Semenanjung


Amati dari jadual di semenjak tahun 1982 hingga 2004, purata jarak antara dua pilihanraya ialah 4 tahun, 4 bulan, 15 hari. Tempoh paling singkat ialah 4 tahun, 2 bulan, 20 hari iaitu untuk pilihanraya 1986 dengan pilihanraya 1990,manakala tempoh paling lama ialah di antara pilihanraya 1995 dengan 1999, di mana jaraknya ialah 4 tahun, 7 bulan, 9 hari.

Anda wajar bertanya apa kena mengena tempoh antara dua pilihanraya dengan hukum ekonomi. Dan jawapannya adalah mudah. Hukum ekonomi mengatakan bahawa manusia sebagai haiwan rasional akan membuat keputusan dan mengambil tindakan yang memaksimakan pulangan/keuntungan untuk dirinya. Sehubungan ini amati bahawa perjuangan politik sejak Malaysia merdeka sudah tidak lagi bersifat idealis, tetapi lebih kepada pertimbangan praktis lagi materialis.

Sebagai wakil rakyat, selain dari gaji sebagai upah penat lelah berjuang untuk rakyat, pencen adalah suatu ganjaran yang berharga dan amat diharapkan. Sehubungan ini, sifir pencen seperti yang diperuntukan oleh Akta Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 1997 (Akta A984) adalah seperti berikut:


Jadual di bawah ialah anggaran pencen bulanan yang akan diterima oleh seorang wakil rakyat yang terpilih dalam PRU 2004 dulu, khususnya jika wakil tersebut hanya sempat berkhidmat untuk satu penggal.

Anggaran Pencen Bulanan Wakil Rakyat Mengikut Tempoh Khidmat (RM)

Gaji Bulanan (RM)

Lazim - 52 bulan

Jun 07 - 39 bulan

Mar 08 - 48 bulan

6,000

2,167

1,625

2,000

7,000

2,528

1,896

2,333

8,000

2,889

2,167

2,667

9,000

3,250

2,438

3,000


Dari jadual di atas boleh diamati bahawa cara terbaik bagi pentadbiran Abdullah Bardawi membalas jasa dan kepatuhan wakil-wakil rakyat yang mendokongnya ialah dengan melanjutkan sepanjang yang boleh tempoh mereka berkhidmat. Untuk tujuan ini PRU 12 hendaklah dilakukan setelah 52 bulan berkuasa, yakni selari dengan tempoh tradisi yang
dipelopori pentadbiran Mahathir.

Jikapun ada halangan besar yang tidak mengizinkan tempoh tradisi 52 bulan dikekalkan, (katakanlah pentadbiran Abdullah bardawi takutkan "faktor DSAI"), maka tempoh terawal PRU 12 boleh diadakan ialah bulan Mac 2008. Tarikh ini adalah afdhal untuk menjamin pendapatan hari tua wakil-wakil rakyat, khusus mereka yang telah menjujung segala mana titah yang pentadbiran Abdullah Bardawi keluarkan.

PRU 12 pada atau selepas tarikh ini akan menjamin wakil-wakil rakyat akan mendapat pencen bulanan sekurang-kurang RM2,000/=. Dan percayalah bahawa ganjaran bulanan hingga mati ini adalah lumayan bagi wakil-wakil rakyat yang asalnya supir teksi atau penjaga gate (get) keretapi, atau seumpamanya.

Berpandukan hukum ekonomi ini, adalah dirumuskan bahawa pentadbiran Abdullah Bardawi akan mengadakan PRU 12 sekitar bulan Mac 2008, yakni sebelum tarikh tercabutnya sekatan berpolitik ke atas DSAI.