Thursday, October 19, 2006

Negara Perlukan Undang-undang ANTI MONOPOLI

Nampak gaya, ekoran terkedunya (kalau tidak pun terlumpuh daya pemikiran) golongan intelektual Melayu dalam berdepan dengan jumlah sokongan yang ditunjukan kepada pengarang dan lapuran ASLI, hayat Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan berakhir dalam masa yang terdekat ini.

Tidak kiralah kajian ASLI itu meragukan, tetapi bila ramai yang menyokong rumusan yang dibuat dalam kajian tersebut, bolehlah dijangka bahawa pentabiran Malaysia yang ada kini -- dengan track record-nya dalam tempoh 3 tahun yang lepas -- akan akur kepada segala tuntutan.

Apakah implikasi pemansuhan DEB? Adakah ia bermakna bahawa persaingan bebas akan berlaku dalam ekonomi Malaysia? Jangka saya tidak. Golongan peniaga Melayu sejak 30 tahun dulu, hingga kini tidak pernah mempunyai rangkaian/jaringan kukuh dalam perniagaan. Kerana ini kepentingan ekonomi Melayu, bermula dari kepentingan komersilnya, akan termangsa.

Kita tidak perlu lihat jauh dan meluas untuk "merasakan" kengerian hakikat ekonomi ini. Lihat sahaja pada kes kontraktor binaan Melayu Kelas F. Sungguh pun ramai Melayu yang termasuk dalam golongan ini, rangkaian perniagaan Melayu yang meyokong aktiviti para kontraktor sebenarnya hampir tidak wujud langsung. Lantaran, kontraktor Melayu masih lagi bergantung kepada pembekal hardware bukan Melayu. Dan kalau ada pun segelintir kedai barangan binaan Melayu, mereka juga terpaksa menagih ehsan dan budi bicara pembekal bukan Melayu. Bagaimana boleh dirumus begitu? Lihat saja berapa banyak kilang besi yang dimileki orang Melayu. Berapa banyak kilang simen? Berapa banyak kilang papan? Berapa banyak syarikat Melayu yang mengimport peralatan kerja binaan?

Sedangkan dilindung DEB lagikan berlaku unsur mensabotaj perniagaan Melayu, inikan pula bila dasar yang melindungi kepentingan Melayu sudah dimansuhkan.

Untuk memastikan agihan yang adil bagi semua, dan untuk menghalang perbuatan balas dendam dan melepas geram yang terpendam sejak terlahirnya DEB, Malaysia memerlukan undang-undang anti-monopoli (juga dipanggil "anti-trust" dalam slanga Amerika) untuk memastikan tiada satu kumpulan atau bangsa yang memonopoli mana-mana sektor ekonomi. Hanya dengan wujudnya undang-undang ini, maka persaingan sihat dalam pasaran akan terjamin, dan sekaligus dengan itu kebajikan pengguna terlindung.

Undang-undang anti-monopoli bukanlah sesuatu yang baru, sebaliknya ia wujud hampir disemua negara maju sejak tahun-tahun 30han lagi. Masanya kini sudah tiba bagi Malaysia mengambil pendekatan ini untuk memastikan kesaksamaan wujud dalam ekonomi negara.

No comments: