Saturday, June 30, 2007

Melayu & Sikap Keterlibatan Masyarakat

Hari ini cukup dua bulan tinjauan (pungutan) pendapat di atas dipamerkan. Dalam tempoh dua bulan, tinjauan ini telah dilawati sebanyak 20,338 kali, dan hasilnya adalah seperti berikut:

Untuk mendapatkan satu “rasa” tentang jumlah maklumbalas (76), ianya harus dinilai dalam konteks bilangan kali situs dilawati (20,338).

Andaikan seorang “pelanggan” blog ini telah melawat situs tinjauan itu sebanyak 10 kali. Ini bermaksud tidak kurang dari 2,034 pembaca/pelawat blog ini peduli, mempunyai minat, mempunyai pendapat terpendam, dan ingin tahu pendapat orang lain tentang isu yang di ketengahkan. Tetapi dari jumlah itu (2,034) hanya 76 orang atau 3.7% sahaja yang berani melibatkan dari dengan merakamkan pendapat mereka secara terbuka.

OK-lah. Saya boleh faham, blog ini pun kerdil, dan amnya online survey bukanlah dianggap authoritative, tidak berwibawa, maka itu apalah yang saya boleh harapkan dari segi jumlah respons/maklumbalas. Rudin X mahu tengok berapa ribu orang yang beri maklumbalas?

Ya, saya boleh bersetuju dengan hujah ini, kecuali, saya juga amati fenomena masyarakat terpelajar pengguna internet tidak berani menzahirkan secara terbuka pendapat peribadi adalah satu sikap meluas dan bukan terkhusus kepada pelawat blog picisan ini. Laman web (contoh: Harakahdaily.net) atau forum web popular (contoh: MyKMU.net) yang mendapat ratusan ribu malah jutaan lawatan sebulan pun, secara relatifnya mengalami sindrom yang sama.

Bagi saya, natijah dari jumlah maklumbalas tinjauan ini adalah lagi penting dari keputusan itu sendiri. Soal samada sebilangan besar pelawat blog ini berpendapat PRU ke 12 akan berlaku tahun ini atau sebaliknya adalah sekunder. Yang primer ialah jumlah pelawat yang memberi maklumbalas. Jumlah ini membawa satu kesimpulan jelas tentang sikap Melayu dalam hal-hal melibatkan diri dalam proses perubahan masyarakat.

Kesimpulan yang dapat dibuat ialah – Amnya orang Melayu takut untuk melibatkan diri dalam proses pembentukkan public opinion, yang mana aspek ini adalah satu sudut penting bagi menentukan legitimasi politik (kesohihan daulat) tindak tanduk establishment politik yang sedang berkuasa dalam masyarakat.

Sehubungan, nampak jelas orang Melayu cukup curious, tersangat ingin tahu apa orang lain fikir atau rasakan, ingin tahu samada pendapat dan persepsi mereka tentang sesuatu isu itu selari dengan orang lain, tetapi jangan harapkan mereka sendiri mendepankan pendapat peribadi mereka.

Dalam konteks yang lebih besar, keengganan menujuk pendapat, menzahirkan perasaan inilah yang telah membolehkan regim UMNO-BN selama ini mengambil sikap bermaharaja lela, bersultan di mata beraja dihati, bertindak persis musuh dalam selimut dalam banyak hal kepentingan ekonomi dan sosio-budaya negara, khususnya kepentingan yang terkait dengan bangsa Melayu.

Friday, June 29, 2007

Peta Sempadan Pilihan Raya P21 Kota Bharu. (Tip Menjadi Nujum Politik Yang Hebat)

Sempadan pilihan raya Parlimen P21 Kota Bharu

Prasyarat menjadi seorang tukang nujum politik yang berotoriti ialah anda tahu "apa sebenarnya" yang anda unjurkan. Maksudnya, dalam membuat dalam membuat unjuran samada PAS atau UMNO boleh menang di sesuatu kawasan itu, ada baiknya jika anda mahirkan diri dengan sempadan pilihan raya, ciri demografi pemilih dan sejarah pola undian kawasan tersebut.

Sempadan pilihan raya Dewan Undangan N08 Tanjong Mas

Sempadan pilihan raya Dewan Undangan N09 Kota Lama

Sempadan pilihan raya Dewan Undangan N10 Bunut Payong

Sekurang-kurangnya bagi kawasan yang diunjurkan, tahu dan "makrifah" akan medan tempur sebenar dan unit paling asas empayar pengaruh sesuatu parti politik -- Peti Undi (kini di panggil Daerah Mengundi). Camkan apa (kewujudan institusi seperti pondok, kem tentera dsb.) dan siapa (watak seperti penghulu, imam, mak andam, keluarga besar, "kaki pukul", ketua cawangan dsb.) tonggak pengaruh dalam sesuatu Peti Undi dan insyaallah, nujuman anda tidak akan tersasar jauh.

(Saya tidak dapat janjikan anda akan dapat upah kerja yang lumayan jika petua ini diamalkan. Tetapi saya berani jamin, bab makan minum di kedai kopi atau warung, malah coffee house hotel berbintang, anda akan mewah. Setahu saya ramai orang politik, malah sahabat-sahabat yang minat politik akan hendak belanja anda makan untuk mendengar "taklimat" anda akan sesuatu kawasan pilihan raya).


Nota: Posting ini akan dikemaskini dari masa ke semasa untuk memuatkan data-data asas seperti sejarah undian, ciri pemilih dsb., bagi P21.

Monday, June 25, 2007

CADANGAN WACANA: Wilayah Pembangunan Iskandar Ulang Sejarah Khianat Kepentingan Bangsa


Saripati cadangan ialah satu forum [1] dalam rangka "civic nationalism" [2] yang bertujuan menentukan "political legitimacy" [3] tindak tanduk Pentadbiran kini sehubungan Wilayah Pembangunan Iskandar.

Pengantar Isu
Perbuatan menjual bumi dan hak bangsa semata-mata demi kepentingan ekonomi segelintir Melayu, dengan perbuatan itu dipromosikan sebagai bertujuan membawa kebaikan besar kepada bilangan yang ramai adalah kisah lazim dalam sejarah bangsa Melayu.

Sepatutnya, setelah kerap terserempak dengan kesan perbuatan menjual kepentingan kaum yang dibuat di atas nama “pembangunan” bangsa Melayu kini sudah pun mempunyai satu falsafah tersendiri tentang pembangunan. Setidak-tidaknya falsafah bangsa Melayu tentang pembangunan itu ialah:

Pembangunan mampu milik.

Atau pun paling tidaknya bangsa Melayu menjadikan prasyarat supaya soalan berikut ditanya tentang segala apa agenda yang bertemakan “pembangunan:”

Pembanguan untuk siapa?

Papan tanda di hadapan sebuah kilang di Jalan Yuannan dalam Daerah Lihuan, Guangzhou membawa maksud “Bangsa China dan AnjingTidak Dibenarkan.” Dilapurkan gambar ini diambil dalam era China separa dijajah kuasa asing. Bagaimana pula nasib Melayu kelak di WPI?

Tetapi setelah berulang kali menggadai kedaualatan bangsa, bermula dengan Pulau Pinang, Province Wellesley (daerah Kepala Batas dan kawasan yang berdekatan) dan Pulau Singapura, dengan klimaksnya orang Melayu menjual murah hak “jus soli” – masih lagi wujud satu keengganan di kalangan bangsa Melayu untuk belajar dari kesilapan. Kini didapati segelintir Melayu melalui pelbagai helah samar dan silap mata perhubungan awam telah cuba mengulangi sejarah pemikiran singkat bangsa.

Kali ini perbuatan ini dinamakan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). [4], [5].

Sila [klik] untuk lawati laman yang membawa perincian cadangan.

Sehubungan, saya mengalukan sebarang cadangan (tajuk atau nama pembentang) dari tuan/puan dan mengajak tuan/puan turut serta dalam forum (percuma) ini, baik sebagai pemerhati mahupun pembentang.

Monday, June 18, 2007

Mencari Al Ghazali: Berbekal Beras Usang, Lewat Wadi Gersang

Salakkan dan ejekkan Rudin X selama ini tentang substansi (hakikat) dan corak kepimpinan UMNO [1] terbukti tepat bila Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dilapurkan menasihati barisan politikus UMNO Johor supaya menghindari lapan perkara bagi memastikan diri mereka benar-benar berintegriti.

Lapan perkara yang dimaksudkan itu ialah tamak kuasa, dendam, kebencian, hasad dengki, ketaksuban kepada seseorang, oportunis, mementingkan diri dan politik wang [2].

Reaksi pertama Rudin X bila terjeling tajuk berita itu ialah – Huuuuah! Baru sekarang UMNO terlintas untuk mengeluarkan “fatwa” dan petua; terhidayah menggariskan model prinsip kepimpinan? Setelah imej kepimpinan Melayu hancai bancai mejadi bahan jenaka antarabangsa [3]. Setelah habis kepentingan besar ekonomi Melayu terlacur dan sebahagian bumi Johor dijual borong, baru nak kenang apa itu fungsi kepimpinan.

Apakah gerangan dengan Ghani Othman sampai terdorong menoleh ke arah itu? Adakah kerana maklum balas dari lapangan membayangkan sokongan Melayu Johor sudah mula membereng ke arah PAS? Sama-samalah kita spekulasikan jawapan bagi persoalan-persoalan ini.

Bagi Rudin X, sebenarnya jika UMNO dan barisan kepimpinannya tidak munafik [4], se-aslinya mempunyai niat baik terhadap bangsa dan negara, Ghani Othman tidak perlu “pecah kepala” memikirkan petua cetek seperti itu.

Kot ya dah canang hebahkan mencari Al Ghazali [5a], [5b], rukunkan sebagai wajib dalam Islam Hadhari [6], hatta dalam perlembagaan UMNO itu sendiri [7], [8], prinsip-prinsip yang Al Ghazali perturunkan dalam kitab Nasihat al-Muluk [9], [10].

Di bawah diperturunkan sedutan (malangnya saya tidak bertemu yang sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu, dan saya sendiri kurang arief dalam hal-hal penterjemahan) antara prinsip yang Al Ghazali fatwakan [11].

  1. The ruler should understand the importance and danger of the authority entrusted to him. In authority there is great blessing, since he who exercises it righteously obtained unsurpassed happiness but if any ruler fails to do so he incurs torment surpassed only by the torment for unbelief.
  2. The ruler should always be thirsting to meet devout religious scholars and ask them for advice.
  3. The ruler should understand that he must not covet the wives of other men and be content with personally refraining from injustice, but must discipline his slave-troops, servants, and officers and never tolerate unjust conduct by them; for he will be interrogated not only about his own unjust deeds but also about those of his staff.
  4. The ruler should not be dominated by pride; for pride gives rise to the dominance of anger, and will impel him to revenge. Anger is the evil genius and blight of the intellect. If anger is becoming dominant it will be necessary for the ruler in all his affairs to bend his inclinations in the direction of forgiveness and make a habit of generosity and forbearance unless he is to be like the wild beasts.
  5. In every situation that arises, the ruler should figure that he is the subject and the other person is the holder of authority. He should not sanction for others anything that he would not sanction for himself. For if he would do so he would be making fraudulent and treasonable use of the authority entrusted to him.
  6. The ruler should not disregard the attendance of petitioners at his court and should beware of the danger of so doing. He should solve the grievances of the Muslims.
  7. The ruler should not form a habit of indulging the passions. Although he might dress more finely or eat more sumptuously, he should be content with all that he has; for without contentment, just conduct will not be possible.
  8. The ruler should make the utmost effort to behave gently and avoid governing harshly.
  9. The ruler should endeavor to keep all the subjects pleased with him. The ruler should not let himself be so deluded by the praise he gets from any who approach him as to believe that all the subjects are pleased with him. On the contrary, such praise is entirely due to fear. He must therefore appoint trustworthy persons to carry on espionage and inquire about his standing among the people, so that he may be able to learn his faults from men’s tongues.
  10. The ruler should not give satisfaction to any person if a contravention of God’s law would be required to please him for no harm will come from such a person’s displeasure.

Jika tiga atau empat tahun dulu UMNO itu jujur dengan Islam dan khazanah tamadunnya, dan tidak mengungkit nama-nama ulama besarnya semata-mata dalam riak yang pamer [12], [13], [14], semata-mata hendak menunjuk kepada dunia – akulah sufi, akulah Melayu-Islam yang boleh mempraktikkan aspek amalan Islam yang paling payah [15] – saya kira sudah tentu UMNO telah dapat mengkagumkan dunia dengan memperagakan keIslaman dalam pentadbiran Malaysia.

Tapi ini tidak, UMNO mulakan langkah dengan mencari yang ia langsung tidak dikenali, mencari sesuatu yang ia tidak punyai the faintest idea, the faintest clue. Sehubungan ini, pada pandangan saya, for all the damages you smarty pants have done, adalah lagi baik jika penasihat-penasihat UMNO belajar baca Alice in Wonderland dan mengambil iktibar dari situ untuk memerentah negara yang semakin menjurus kepada kacau bilau [16], [17], [18], [19].

Mulakan pemikiran strategi pilihan raya ke 12 kamu dengan memahami kata The Mock Turtle kepada Alice … Reeling and Writhing, of course, to begin with, and then the different branches of arithmetic -- Ambition, Distraction, Uglification, and Derision [20].

Thursday, June 14, 2007

Kelakar Kuasa Besar: George Bush Kena Ragut

Adegan jam tangan Bush diragut. Sangka dia semua rakyat Albania berebut nak sentuh dan salam dengan dia untuk ambil berkat!

Satu dunia tahu bahawa Amerika Syarikat cukup gemar bertindak beraja di mata bersultan di hati. Amerika Syarikat akan buat apa dia suka ke atas mana juga negara kecil yang terlintas dihatinya. Dan selama ini lazimnya tiada negara yang dibuli Amerika Syarikat akan berani membalas balik, dan hampir semua akan tunduk patuh menerima nasib.

Kecuali dua atau tiga negara kecil yang ada maruah dan tidak takut mati akan menentang. Vietnam pernah menentang dan berjaya memalukan Amerika Syarikat. Sebelum itu, Cuba pernah menang dan kini Iraq dan Afghanistan sedang berhempas pulas cuba mengulangi kejayaan tersebut.

Sidang khutbah yang penuh buka kepak sebelum bertemu "peminat." Perhatikan jam tangan masih ada.

Sejak lama dulu, saya sudah naik muak baca cerita “kejayaan” Amerika Syarikat, malah sudah malas nak ambil tahu apa juga berita melibatkan negara itu. Tapi bila ada berita tentang Amerika Syarikat “terkena batang hidung,” -- ghairah saya untuk membaca akan bangkit.

Gambar-gambar dalam posting ini adalah dari satu laman web Itali "la Repubblica” yang menyiarkan gambar saat-saat jam tangan George Bush presiden Amerikat Syarikat diragut semasa lawatannya ke Albania dua hari lepas.

Perhatikan jam tangan Bush masih ada semasa masuk dengan rencak bongkak untuk bersalaman dengan peminat.

Setentunya, seperti biasa dengan “SOP” (standard operating procedure = tatacara piawai operasi) Amerika Syarikat yang menafikan segala berita kejadian buruk tentang negara atau kerajaannya, berita ini telah dinafikan [1], [2], [3].

Perhatikan pergelangan tangan Bush bogel tanpa dia sedari

Dalam hal menjaga keselamatan pemimpin negara, kerana dari gambar-gambar ini dunia telah nampak jelas Secret Service (= pasukan pengawal presiden) Amerika Syarikat telah gagal dalam fungsinya, saya fikir adalah elok jika agensi-agensi keselamatan Amerika Syarikat datang ke Putrajaya berkursus untuk ambil satu dua petua dari Dolah tentang hal ehwal menjaga keselamatan peribadi pemimpin.

Ini kerana dari hal keselamatan peribadi, Dolah cukup jaga dan sangat cekap.

Sebagai contoh, untuk kenduri “menyambut menantu” yang bakal diadakan di Kepala Batas tidak lama lagi, Dolah telah arah 10 ekor lembu disembelih. Tetapi sebenarnya jumlah lembu yang bakal digulai bukanlah perkara besar. (Tahun lepas ada satu majlis perkahwinan anak seorang “baba” [guru pondok] di Pattani,Selatan Thailand yang boleh dianggap miskin telah dihadhiri oleh begitu ramai pengunjung, baik yang dijemput atau tidak dijemput, hingga memerlukan 15 ekor lembu digulai dan dua tan ikan digoreng).

Malah apa yang lebih besar dari jumlah lembu yang bakal tumbang, ialah Dolah telah mengarahkan supaya kendurinya itu “dipantau” oleh lapan (8) orang bomoh! Termasuklah, mengikut gosip setempat, satu bomoh yang dijemput khusus bagi menjampi juadah “telor [batu zakar] lembu” yang Dolah telah pesan untuk dijadikan santapan istimewa mempelai, yakni dia dan pasangannya.

Pembaca adalah digalakkan memastikan sendiri kesohihan “dogeng” ini dengan bertanya khabar kepada sahabat handai di Kepala Batas. Angkat talipon tu sekarang!

Saturday, June 09, 2007

Nasib Agenda Melayu, Tun Dr Mahathir & Proton-nya


Video menyimpul pendapat saya tentang Melayu dan segala agenda kaum serta politiknya.

Sepanjang dekad 1960han dulu, hinggalah ke pertengahan dekad 1970han, ketika Kelantan masih lagi ada nama dalam dunia bola sepak, frasa “gelewaq (menyibuk) depan gol” adalah simpulan bahasa paling popular untuk mendeskripsikan corak keseluruhan sesuatu permainan, dan khususnya gelagat sesetengah pemain.

Gelagat loba, tamak berhempas pulas merebut peluang, tetapi setelah betemu peluang, direlakan peluang yang terpampang luas – tiba-tiba kaku membeku, menggelabah membazirkan, mengsia-siakan peluang begitu saja. Dah tu tepuk dahi dan garu kepala di tempat yang tidak gatal.

Penggunaan frasa ini cukup popular hingga ianya digunakan untuk mendeskripsikan hampir segala bentuk kekecewaan dalam hidup seharian. Sebagai contoh, gagal dalam percubaan berkenalan atau menawan hati seorang gadis – ada watak yang gelewaq depan gol, malah jejaka yang mencuba itu sendiri mungkin diejek kawan-kawan sebagai bersikap gelewaq depan gol.

Begitu popular frasa ini hinggalah pernah disebar luaskan berita seantero mukim bahawa ada bohsia-bohsia kampung ketika itu yang melemparkan ungkapan ini bila diganggu kumpulan jejaka semasa diperjalanan atau di setesyen bas. Ketika itu secara persisnya saya tidak faham apa yang dimaksudkan bohsia-bohsia itu. Tetapi kini 30+ tahun kemudian (setelah melalui beberapa perkahwinan), saya kira, saya boleh bersimpati dengan perempuan-perempuan yang pernah mengalami lelaki yang bersifat gelewaq depan gol.

Ok. Cukuplah berdogeng. (Slanga Kelantan untuk dogeng = ba’ri). Kita pergi terus kepada poin hari ini. Apa halnya gelewaq depan gol dengan agenda Melayu?

Uuuuuu. Terlalu banyak hubungkaitnya. Contoh, Melayu pernah beramai-ramai berhimpun disuatu pesta yang di panggil Kongres Ekonomi Bumiputera Kedua 1968 [1] dan beriltizam ketika itu, antara lainnya, untuk (a) memertabatkan bahasa Melayu, dan (b) mempertingkatkan penyertaan Melayu dalam ekonomi negara.

Sebab saya tidak mahu merasa pilu, tidak kuasa saya hendak bercerita panjang tentang tindakan yang diambil ekoran kongres tersebut. Cukuplah jika saya ketengahkan satu contoh – memertabatkan Bahasa Melayu.

Segala Universiti Kebangsaan Malaysia, segala perlaksanaan bahasa rasmi negara, segala dasar pendidikan nasional menggunakan bahasa Melayu adalah tindakan yang terhasil dari azam bangsa Melayu ketika itu akan identiti mereka.

Tetapi kini 30 tahun kemudian, setelah semua rakyat Malaysia dari segenap bangsa dan suku kaum boleh bertutur fasih, dan apatah lagi generasi muda bukan-Melayu boleh fasih menulis (yakni berfikir) dalam bahasa Melayu, tiba-tiba Tun Dr Mahathir yang Melayu telah nobatkan sebagai adi jagat, telah membuat keputusan untuk memutarkan ke belakang penggunaan bahasa Melayu dalam sisem pendidikan nasional. Yang dengan itu kita bangsa Melayu telah mengambil satu langkah 30 tahun ke belakang!

Visual adalah dari Blog Jeff Ooi

Dari segi strategi dan pencapaian, saya kira usaha Melayu untuk memertabatkan bahasanya adalah satu-satunya agenda Melayu yang berjaya. Kita telah sampai ke tahap kaum bukan-Melayu sudah boleh bermimpi dalam bahasa Melayu – tiba-tiba kita sepak bola kejayaan itu ke arah lain. Mengapa begitu? Fear of success? Atau memang Melayu adalah bangsa yang tidak layak untuk berjaya? Tun Dr Mahathir should know.

Banyak contoh lain yang boleh diketengahkan. Tetapi itu semua hanyalah untuk menekankan poin yang sama. Toleh saja kepada sejarah terdekat seperti nasib Bank Bumiputera dan UDA. Tiba-tiba setelah institusi-institusi itu berjaya kita benarkan Tun Abdul Daim Zainuddin menghancurkannya semua demi kepentingan ekonomi peribadinya. Semata-mata demi kepentingan ekonomi peribadi seorang manusia. Dan Tun Dr Mahathir adalah orang yang membenarkan itu semua berlaku.

Dah tu kita nak bersimpati dengan Tun Dr Mahathir dan nasib Proton-nya hari ini [2], [3], [4], [5], [6]? In this regard I don’t think I shall be telling Tun M where to go, or what to do. He knows that neither I, nor the Malay world cares.

Friday, June 08, 2007

Kepimpinan “Gok-Lokal” & Kasihannya Wanita Serta Puteri UMNO

Gambar ialah kandang kambing milik seorang pemimpin PAS Kelantan.

Dalam loghat Kelantan kandang atau reban di panggil “gok.” Jika kandang itu untuk kambing, maka dipanggilnya “gok kambing.” Kalau reban ayam, dipanggilnya “gok ayam” sebab perkataan “reban” tidak ada dalam loghat Kelantan.

Selain dari membawa maksud kandang haiwan, bagi warga Kelantan generasi umur 60 tahun ke atas, bergantung kepada penggunaannya dalam ayat, “gok” juga membawa maksud “lokap polis” atau penjara. Begitu juga di kalangan Melayu Selatan Thailand, perkataan “penjara” nampaknya tidak ada dalam perbendaharaan kata mereka, dan kata “gok” itulah saja perkataan mereka yang bermaksud “penjara,” selain dari meminjam perkataan Siam, “lok-pat.”

Selain dari mendeskripsikan reban atau kandang, di Kelantan perkataan “gok” juga digunakan dalam simpulan bahasa yang membawa 101 maksud berwarna warni. Sebagai contoh, simpulan bahasa “sama se-gok” membawa maksud sama sekeluarga, sama sepasukan, sama se-parti, sekumpulan dan lazimnya ayat yang mengandungi ungkapan ini adalah dalam konteks merayu kepada semangat kesetiakawanan dan keakraban kumpulan.

Tetapi jika simpulan bahasanya itu mengambil bentuk frasa “main sama se-gok” (bermain sama sekandang) atau “gok tu lor” (kandang yang itu juga), maka kata “gok” dalam konteks ini adalah satu penghinaan yang menyindir kepada perbuatan menjurus sumbang mahram! [1]

Sebagai contoh, jika dikatakan seseorang itu berkahwin “gok tu lor” ianya adalah satu sindiran atau penghinaan bahawa pasangan pengantin mempunyai hubungan kekeluargaan, dan perkahwinan itu telah mengambil sifat; “bersalin tikar” (kahwin dengan bekas adik ipar atau kakak ipar), kahwin sepupu, kahwin bekas biras, kahwin adik beradik tiri, kahwin cucu tiri, kahwin anak saudara tiri, kahwin adik beradik angkat atau kes-kes seumpamanya.

Perhatikan bahawa perkahwinan sedemikian adalah tidak bersalahan dengan hukum syara’ tetapi tidak berapa direstui dari sudut cita rasa norma Melayu. Analogi perbuatan sedemikian ialah perbuatan memakan tupai atau dhab (biawak padang pasir). Tiada nas dalam hukum Islam yang mengharamkan makan tupai, cuma Melayu amnya tidak tergamak untuk menggulai tupai. Begitu juga dengan makan dhab. Bangsa Arab Saudi dok elok makan dhab, tetapi Melayu hanya sentuh daging atau lemak dhab dalam hal-hal perubatan.

Frasa “gok tu lor” juga merujuk kepada perbuatan selingkuh atau berkahwin dengan babu [2], pembantu rumah [3], orang gaji, house keeper [3] atau apa juga istilah yang digunakan bagi mendeskripsi wanita-wanita dalam grup pekerjaan ini [4], [5], [6].

Agak-agak pembaca boleh faham jalan cerita saya setakat ini? Tentu boleh, kan?

Bertolak dari cerita “gok” saya mengajak tuan/puan mempertimbangkan saranan pemimpin-pemimpin yang mahu lihat kita rakyat Malaysia berfikir dan bertindak “global” atau kalau tidak pun “glokal.” Diakui saya sendiri pun tidak faham apa maksud bersikap “global” apatah lagi “glokal” tetapi apa yang jelas, saya faham apa maksud “gok-lokal” atau kalau hendak disingkatkan – gokkal.

Istilah “gok-lokal” atau “gokkal” adalah satu kata nasihat yang membawa maksud; kalau hendak kahwin, janganlah pilih pasangan dari kandang yang sama, dari kalangan sanak saudara. Usahlah dibimbangi serta tamak sangat ingin lihat harta dinasti kita tidak jatuh ke tangan orang jauh. Luaskanlah kolam genetik umat manusia. Janganlah berperangai Firaun yang berkahwin sesama adik beradik atau dengan anak sendiri demi memastikan tahta tidak jatuh ke tangan keluarga lain.

Dan kalau sekali pun kita sudah tergelap mata langsung berselingkuh, kalau pun hendak bermukah atau berzina rentak “quickie” (berjimak untuk tempoh kurang dari satu atau dua minit), janganlah buat di rumah sendiri. Hatta rumah itu kediaman rasmi yang disediakan oleh majikan [7]. Pergilah buat jauh-jauh sikit.

Dah tu pula, lebih-lebih lagi kalau kita ada isteri atau suami yang sedang sakit kuat atau baru sembuh dari sakit tenat seperti sakit kanser. Berhemahlah sikit kalau ia pun kita terpaksa penuhi tuntutan batiniah, sepanjang pasangan kita itu sakit dan menjalani rawatan lalu tidak dapat melayani kehendak kita [8].

Janganlah kita buat tidak erti bahasa lagi berkurang ajar sehingga permainan kayu tiga kita disedari pasangan kita [9]. Langsung patah dan sakit hatinya membawa penyakit yang pernah dialami meradang semula, hingga membawa mati pasangan kita [10].

Begitulah tuan/puan maksud perkataan gok-lokal.

Dan seterusnya kalau kita ini pemimpin, janganlah kita ghairah menyeru orang bawahan kita bersikap global atau glokal, kalau kita sendiri tidak dapat mengatasi sikap gok-lokal.

Sehingga kita berjumpa diposting yang lain. Salaam.

(Eh eh Rudin X. Rungut pembaca. Tak kan berhenti setakat ini sahaja. Dalam tajuk ada sebut Wanita dan Puteri UMNO, tapi dalam karya langsung tidak sebut, tidak sentuh. Biar betul Rudin X. Kat mana Rudin X belajar buat karangan? Tak kan Wanita dan Puteri UMNO itu hanya sekadar penyeri tajuk untuk menarik pembaca meluang masa menjeling posting? Ya, sebenarnya, wahai pembaca yang budiman, begitulah adanya peranan Wanita dan Puteri UMNO dari kacamata Rudin X serta barisan pembesar UMNO yang lain. Sememangnya mereka itu tidak pernah dinilai lebih dari barisan penyeri yang meramaikan majlis [11]. Setentunya tidak layak dibuat isteri. Kerana denyutan “Grago” adalah lagi jelira).

Saturday, June 02, 2007

Uuuuugh! Berbaloi Sungguh Rasanya Ber-blogging Selama Ini. Alhamdulillah.

Berita yang visualkan di atas tidak perlu komentar panjang lebar. SPR akhirnya bersetuju untuk menggunakan dakwat penanda jari bagi mereka yang telah membuang undi. Tidak perlu lagi Rudin X berkokok [1]. Bak kata Inggeris no reason to protest, but yet no reason to gloat.

Kerana sebenarnya kita rakyat Malaysia telah menang.

Kerana Tuhan telah memberi kita stamina moral, kita telah tidak rasa jemu dan putus asa untuk mendesak reformasi proses pilihan raya. Kini kita telah menang. SPR pihak yang berwajib mengadili pilihan raya telah bersetuju untuk dilihat berlaku adil. Regim Dolah telah bersetuju untuk dilihat mampu berlaku saksama.

Tapi sebagaimana pembaca boleh teka, dalam menang pun Rudin X masih lagi akan bersikap sinis. Dan dalam menepati tradisi itu, Rudin X mengajak pembaca meneka dan menyelami muslihat di sebalik “baiknya hati” regim Dolah.

Ugutan membariskan 100,000 Pemuda PAS untuk melakukan protes di hadapan Istana Negara mendesak Yang Di Pertuan Agung campur tangan untuk memulihkan kredibiliti pentadbiran pilihan raya adalah bukan satu omongan [2]. Kata orang Kelantan -- buke gertok Keling (bukan ugut India).

Persiapan untuk itu sebenarnya telah dibuat sejak enam bulan lepas. Cuma menunggu tamat tarikh ultimatum yang tidak diwarwarkan kepada regim Dolah. Kata dua yang tidak ditulis dalam Harakah. Tamat tarikh untuk Dolah dan SPR berfikir dan bersetuju melaksanakan tuntutan PAS.

Dalam hal ini, nampaknya regim Dolah telah berkelip. Dolah’s regime blinked.

Tetapi itu bukan isunya. Isunya dengan menangya golongan konservatif PAS (juga di baca, ulamak) di peringkat tertinggi kepimpinan PAS, rakyat Malaysia dan pemerhati antarabangsa boleh menjangka untuk menyaksikan lebih banyak tindakan radikal akan diambil dalam PAS berpolitik, kata Kelantan berte’wah, bersaing dengan UMNO. Ugutan, atau memang dibuatnya protes 100,000 ahli parti bersabit dengan apa juga isu akan menjadi rutin.

Selamat menonton keterungkaian drama bersiri politik Melayu-Islam yang bakal berlangsung dalam hari-hari yang berikutnya.