Friday, November 03, 2006

Musuh Dalam Selimut: Kim Philby Agen Asing Yang Mengkhianati Negara Sendiri

Kim Philby, seorang perisik Britain telah dirakam sejarah sebagai agen KGB (agensi periskan Soviet Union) yang paling berkesan dalam mengkhianati negeranya sendiri. Dilahirkan di India pada tahun 1912, Kim Philby adalah anak seorang diplomat. Bapanya St John Philby, selain dari menjadi diplomat adalah seorang pengarang dan Orientalis yang ternama. Di hujung kerjayanya St John Philby memeluk Islam dan telah diambil menjadi penasihat kepada Ibn Saud, Raja Arab Saudi.


Kerjaya Kim Philby sebagai musuh dalam selimut bermula sejak dari bangku universiti lagi, ketika beliau berkuliah dalam jurusan sejarah dan ekonomi di Cambridge University. Ketika itu Kim Philby mula menunjukan kecenderungan yang mendalam kepada ideologi komunis.


Berselindung disebalik “cover” sebagai seorang wartawan, Kim Philby memulakan kerjayanya sebagai seorang agen upahan KGB sebaik sahaja tamat pengajian. Setelah hampir 10 tahun berkelana sebagai wartawan, beliau telah berjaya mendapat kerja sebagai perisik dengan agensi perisikan Britain MI6. Semenjak itu bermulalah kerjayanya sebagai musuh dalam selimut.


Semasa Perang Dunia Kedua, sebagai musuh dalam selimut Kim Philby memainkan peranan besar dalam memastikan Russia mendapat maklumat strategik tentang pergerakan tentera Britain melawan German. Dengan cara itu Russia telah dapat memintas segala langkah tentera British dan akhirnya dapat menawan sebahagian besar negara German. Daerah yang ditakluk Russia kemudiannya dipanggil German Timur dan kekal sedemikian hinggalah berlaku penyatuan wilayah-wilayah German dalam tahun 1990.


Setelah tamat perang, Kim Philby telah dihantar ke Amerika Syarikat sebagai pegawai laison (perhubungan). Di sana beliau memainkan peranan penting dalam membolehkan Russia mendapat rahsia pembikinan bom nuklear. Ekoran itu, Russia dengan segara berjaya meletupkan bom buatannya sebaik sahaja Amerika Syarikat meletupkan bom hydrogen yang pertama.


“Krisis Cuba” dalam tahun 1962 juga adalah hasil kerja tangan Kim Philby. Berpandukan rahsia jumlah bom nuklear milek Amerika Syarikat yang dibocorkan oleh Kim Philby, Russia telah berani mencabar negara tersebut dalam menyelamatkan Cuba sebuah pulau kecil yang berfahaman komunis dari digempur oleh Amerika Syarikat. Krisis tersebut telah hampir mencetuskan Perang Dunia Ketiga kalau tidak disebakan presiden Amerika Syarikat ketika itu bertindak untuk mengalah.


Kim Philby tidaklah tersohor berseorangan. Disamping beliau ada lagi empat bekas penuntut Cambridge University, semua perisik Britain, semuanya anak-anak keluarga elit Britain yang menjadi agen Russia. Sejarah telah melabelkan kumpulan berlima ini sebagai “The Cambridge Five.”


Jika ada satu pengajaran besar yang dapat digarap dari kisah pembelotan The Cambridge Five, maka pengajaran itu ialah musuh dalam selimut dan pengkhianat negara bukanlah dari kalangan marhaen yang bersekolah lebeh kurang. Musuh dalam selimut bukanlah “pariah-pariah” terdesak dalam perkhidmatan kerajaan. Malah dalam kes Kim Philby, beliau mempunyai kerjaya yang cermerlang dalam MI6 hingga pernah dilantik sebagai Ketua Seksyen Perisikan Russia.


Malaysia tidaklah begitu liberal dari segi pendedahan maklumat. Oleh itu rakyat tidak dapat membaca sejarah negara dari aspek perisikan. Walaupun tiada keterbukaan, boleh diagak bahawa Malaysia pun pernah mengalami masalah musuh dalam selimut.


Perisikan bukanlah satu aktiviti yang mempunyai noktah. Seperti juga manusia, selagi sesebuah negara itu wujud, maka musuhnya tetap wujud. Darjah permusuhan di peringkat individu dan negara itu mungkin berbeza, tetapi musuh, nyata atau tersembunyi tetap wujud. Maka itu perisikan akan tetap diperlukan.


Langsung kita ke soalan cepusmas. Wujudkah kini musuh dalam selimut dan talibarut asing dalam Pentadbiran Abdullah?

No comments: