Friday, October 27, 2006

Piliharaya di Amerika Syarikat Pun Tipu

Satu rumusan yang boleh dibuat tentang kelompok penganalisis politik Malaysia, ialah mereka rata-ratanya sepakat dalam menuduh parti-parti lawan kepada UMNO-BN sebagai “whinner,” (banyak songel, banyak merengek) setiap kali mereka menyuarakan syak bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersekongkol dengan UMNO-BN dalam sesuatu pilihanraya.

Parti patriot negara seperti PAS khususnya sering dituduh hanya mencari daleh menjustifikasikan kekalahan, menutup kelemahan, setiap kali PAS membangkitkan aspek-aspek kecatatan perlaksanaan sesuatu pilihanraya. Nyanyian korus para penganalisis politik ini telah memberangsangkan SPR. Lantaran, SPR tidak merasakan perlu untuk mengambil endah aduan PAS, apatah lagi rungutan rakyat biasa. Tuduh lah apapun, tunjukanlah bukti apapun, SPR tidak goyah.

Dalam berdepan dengan apa juga tuduhan tidak saksama dalam mengendalikan pilihanraya, kekuda (stance) SPR dan UMNO-BN ialah berlagak “perawan suci” wal “tiga berok mualim” – tidak melihat sebarang kejahatan, tidak mendengar sebarang kejahatan, dan tidak menuturkan sebarang kejahatan. Jawapan piawai UMNO-BN dan/atau SPR ialah pengendalian pilihanraya Malaysia adalah mengikut piawai antarabangsa.

Namun bila kita katakan bahawa pengendalian pilihanraya Malaysia menepati “piawai antarabangsa,” sebenarnya, standard negara mana yang kita ikut? Kalau jawabnya ialah standard Amerika Syarikat, maka sahlah bahawa di Malaysia pun, penipuan pilihraya adalah satu amalan ruji. Satu asam garam.

Kalau perlakuan pilihanraya Amerika Syarikat itulah tanda aras perlakuan Malaysia,maka kita kena sedar bahawa Presiden George W Bush ketika pertama kali dilantik menjadi ketua negara dalam tahun 2000 dulu sebenarnya bukanlah dipilih rakyat. Beliau sebenarnya ialah presiden lantikan mahkamah agung Amerika Syrikat. Dalam pusingan pertama kiraan undi, George W Bush sebenar kalah kepada lawannya Al Gore hampir 500,000 undi. Tetapi ekoran pertikaian kiraan undi di Florida yang menyaksikan kedua-dua calun membawa kes ke mahkamah, silap mata politik peringkat tertinggi, politik tahap dewa-dewa telah menyaksikan George Bush diisytiharkan pemenang pilihanraya.

Amerika Syarikat itu kan canggih? Sistem pilihanraya, sekaligus dengan kaedah membuang undi pun berkomputer penuh. Mengapa sampai boleh jadi begitu? Jawabnya mudah, selagi manusia itu boleh dirasuah, dan selagi manusia itu ada yang gila kuasa, tiada apa perlakuan yang mustahil. Mesin dan komputer boleh diprogramkan untuk memihak. Malah, nama pemilih pun boleh hilang dari daftar pemilih. Itu negara termaju dalam dunia kini. Persis macam di Malaysia, negara Dunia Ketiga.

Seperti juga di Amerika Syarikat, “kejanggalan” dalam proses pengendalian pilihanraya tidak perlu berlaku diseluruh negara. Hanya perlu berlaku di satu atau dua tiga tempak strategik untuk menentukan keputusan keseluruhan.

Jadual di bawah ialah senarai keputusan undi untuk 10 kerusi parlimen semasa pilihanraya 2004 dulu. Perhatikan bahawa UMNO-BN menang bagi kesemua tersebut, tetapi dimasa yang sama perhatikan juga jumlah “undi hilang” dan “undi rosak.”



JUMLAH UNDI

Kerusi Parlimen

UMNO-BN

PAS

KEADILAN

DAP

Rosak

Hilang

P036 - KUALA TERENGGANU

30,994

29,061



790

10,254

P074 - LUMUT

27,415


15,801


1,477

5,486

P106 - PETALING JAYA UTARA

32,422



17,379

619

1,640

P039 - DUNGUN

26,398

21,502



708

1,598

P081 - JERANTUT

21,349

12,892



776

1,427

P130 - RASAH

25,009



20,449

1,264

1,306

P068 - BERUAS

15,867



11,303

1,102

1,046

P060 - TAIPING

20,129


4,371

17,957

1,337

1,027

P152 - KLUANG

33,001



14,303

1,477

881

P071 - GOPENG

29,660


15,400


1,323

831



Bagaimana 10,254 kertas undi boleh hilang di P036 Kuala Terengganu? Bagaimana 5,486 undi boleh hilang di P074 Lumut? Mengapa begitu banyak undi rosak? Wujudkah begitu ramai manusia buta huruf dan/atau buta fizikal di kawasan-kawasan tersebut hingga undi yang dibuat boleh dianggap rosak? Mengapa hingga kini SPR tidak berani mengeluarkan sebarang penjelasan tentang fenomena ini?

Fenomena undi hilang hanya boleh berlaku jika salah satu atau kedua-dua keadaan berikut diizinkan terjadi.

  • Ada manusia yang telah dibenarkan mengundi lebih dari sekali. Di mana untuk undian kali kedua, pengundi diarah membuang undi hanya bagi kerusi DUN atau parlimen sahaja, dan tidak kedua-duanya. Maksudnya kertas undi yang tidak dipangkah telah dibenarkan dibawa keluar dari tempat membuang undi.
  • Wujud dua daftar pemilih. Satu daftar pemilih (andaikan dipanggil “senarai rasmi”) untuk kegunaan semakan umum dan parti menentang UMNO-BN, dan satu lagi untuk kegunaan SPR dan UMNO-BN. Daftar pemilih untuk SPR dan UMNO-BN mempunyai jumlah pemilih yang lebih besar dari “senarai rasmi” di nana nama-nama yang “terlebeh” itu adalah mereka-mereka yang diyakini “patuh” mengikut segala arahan UMNO-BN.

Salah di pihak SPR dan UMNO-BN itu mudah dituduh. Mudah diterima emosi. Tetapi dimasa yang sama, parti-parti yang mempertahankan demokrasi juga perlu melakukan muhasabah diri. Paling tidak, mesti berani tanya diri sendiri samada petugas parti di kalangan “polling agent” dan “counting agent” sudah diberi latihan yang secukupnya, sekurang-kuranghya tiga bulan sebelum hari mengundi.

Janganlah bergantang peluh dan bercupak air lior dibuang dalam berkempen, tetapi di saat mengira undi, “counting agent” hanya tahu angguk, langsung tidak tahu membantah, persis tikus basah, monyok, akur kepada segala cadangan petugas SPR yang mengira undi.

Seterusnya parti mesti berani muhasabah samada wujud “talibarut” di peringkat kepimpinan. Talibarut memang begitu sifatnya – merekalah yang paling lantang menentang UMNO-BN, paling aktif dalam kerja-kerja parti, tetapi dimasa yang sama merekalah manusia yang dalam diam paling giat mensabotaj parti sendiri.

Perbuatan sabotaj parti bukanlah satu perkara yang susah untuk dilakukan. Terutama bagi talibarut dalam saf kepimpinan di peringkat negeri. Tidak perlu jadi “informer” kepada UMNO-BN tentang segala rahsia parti. Bagi mereka yang ditugaskan untuk meneraju gerak kerja pilihanraya, cukup dengan mengabaikan hal-hal latihan petugas pilihraya.

1 comment:

Anonymous said...

Dalamhal rancangan AF atau One in a Million pemenang ditentukan oleh kekuatan 'fulus' penyokong untuk menghantar sms. Dalamhal PRU kekuatan 'fulus' juga perlu untuk membereskan segala kekusutan dan kekalutan. Fulus bradder fulus, who got the fulus got the kerusi.