Saturday, February 10, 2007

Melewati Ide Lama: Kiranya, UMNO Pun Prihatin Jugalah

Sebagaimana yang tuan/puan pun perasan, saya bukanlah seorang blogger dalam liga besar, big league. Dan saya akui, blog ini bukannya ramai pelawat pun. Maka itu bila saya dapati ada satu dua komen pembaca tentang posting-posting saya (yang mana ini pun, bak kata Al Marhum P Ramlee, jarang … jarang), terasa gembira tak dak dah saya dibuatnya.

Demikian itu, maka tuan/tuan wajar bertanya mengapa Rudin X masih terus ber-blogging? Apa yang dapat? Berapa sen upah? Jawabnya, tuan/puan yang saya hormati, saya dapat semacam satu rasa seronok bila saya dapati wujudnya keselarian ide, antara saya dengan dunia luas. Khususnya, bila saya amati bahawa dari segi ide dan timing, saya boleh mendahului pemikiran para pembesar parti politik. Khasnya bila saya rasa saya boleh out-think pemimpin UMNO. (Amboi, ego-nya bunyi!)

Dan sebenarnya pun, saya kena akui bahawa banyak dari ide yang saya ketengahkan di sini bukanlah original pemikiran saya. Banyak juga yang saya dapati dari melanguk sambil berbual di bangsal-bangsal kopi di Kota Bharu dan daerah-daerah yang berdekatan. Maksudnya, dalam satu segi, saya memplagiat ide dan pemikiran marhain; yakni rakyat jelata yang tidak punya kedudukan mahupun pangkat, baik dalam parti-parti politik mahupun dalam masyarakat setempat.

Yang sebenarnya ide-ide di sini kebanyakkannya adalah olahan, cakap ajuk, cakap pindah, segala cakap Pok Sin Drebar (Gateh/Kayoh) Teksi (Beca), segala rungutan Mamat Cengkirik Kuli Bandaran, segala makian Dollah Butut Kedai Ikan, dan sebagainya.

Maka itu, saya merasakan bahawa dalam kes rakyat lawan petualang-petualang bangsa yang kini memerintah Malaysia, rakyat pejalan kaki di segenap cerok negara telah menang, bila saya terbaca, sebagai contoh, usaha UMNO untuk memartabatkan unit paling asas empayar politik – yakni peti undi. Atau bila saya terbaca bahawa UMNO sudah mula fikirkan mutu calun yang mereka pertandingkan.

Pun adalah saya boleh ditanya, tidakkah Rudin X cuma berperasan seorang diri dari hal ini? Tak kanlah orang yang diperintah lagi bijak dari orang yang memerintah? Ya, ya, saya setuju dengan hujah itu. Tapi hanya sehingga ke satu tahap. Yakni ke sempadan sains “causality” dalam aspek sufficient and necessary condition (syarat memada’i serta wajib) yang boleh mengkaitkan sebab dengan kesan (cause and effect).

Bagi saya, ide marhain yang saya ketengahkan di sini telah mendahului kepupayaan berfikir para pemimpin. Maka itu (akal) marhain adalah penyebab dengan (tidakan) pemimpin UMNO adalah kesan.

Setakat ini, saya tidak jangka ramai pembaca boleh faham mesej yang saya cuba sampaikan di sini. Tetapi insyaalllah melalui posting-posting yang akan menyusuli, mesej saya akan terungkai dengan jelas.

Thursday, February 08, 2007

Penyudah Hikayat PRK Batu Talam

Sebenarnya, saya pun sudah tidak berapa ghairah untuk berkarya fasal PRK Batu Talam. Bagi saya, post mortem episod Batu Talam adalah laksana menghampok makhluk yang sudah mati, kata Inggeris, beating a dead horse.


Bab undi Bukan Melayu

Tetapi dek kerana ada satu dua permintaan yang menggesa saya untuk membincangkannya, juga demi email-email penyokong UMNO yang menyindir/memperli, maka di sini saya gagahkan diri mengulang catit pemerhatian yang saya kira semua pemerhati/peminat politik sudah nampak jelas tanpa bersuluh.

Sebagai ulangkaji, izin saya ulang catitkan rumusan yang dibuat sebelum ini tentang PRK Batu Talam – penentangan Bukan Melayu terhadap UMNO telah meningkat 6% kepada 34%.

Lantas menagih persoalan – bagaimana pula dengan sokongan/tentangan Melayu? Jawapanya terletak di dalam jadual berikut.


Gelora di Heartland Melayu

Tumpukan perhatian tuan/puan kepada keputusan untuk Peti-peti Undi dalam FELDA Gugusan Tersang. Amati bahawa UMNO sebenarnya telah diboikot oleh penyokong sendiri. Macam mana Rudin X boleh buat kesimpulan ini? Jawab saya mudah.

Perhatikan, sebagai contoh, bahawa untuk Peti Undi FELDA Tersang 1, Saluran 1, undi UMNO untuk PRK ini telah merosot 40 undi berbanding 2004. Begitu juga dengan undi Saluran 2 telah turun sebanyak 56, dari 333 dalam tahun 2004, kepada terbaru 277 undi.

Samalah juga di Peti Undi FELDA Tersang 3. Undi Saluran 1 naik 5, manakala undi Saluran 2 turun 5. Walhasil peningkatan pengaruh UMNO di situ ialah sifar, kosong, pocit elek.

Dah tu macam mana secara keseluruhan UMNO boleh dapat peningkatan 341 undi Melayu di Gugusan Tersang (hampir 100%, kecuali 5 atau 6 Orang Asli)?

Sebelum menjawab soalan ini, izin saya ajak tuan/puan memerhatikan kewujudan satu Saluran baru di Tersang 1, serta kewujudan satu Peti Undi baru, yakni Peti Undi Tersang 2. Dulu dalam tahun 2004 Peti Undi Tersang 2 tidak wujud sendirian, sebaliknya digabungkan dengan Tersang 3 dengan nama Peti Undi FELDA Tersang 2 & 3.

Di sisi metodologi pembuktian ketat (strict proof), saya sepatutnya tidak boleh membuat hujah yang kuat tentang gelagat pengundi Tersang 2, tanpa menyemak nama-nama pengundi yang telah digrupkan sebagai pengundi Tersang 2, dan pengundi Saluran 3 Tersang 1. (Nak semak dan “matching” boleh, tetapi kesuntukan masa kebelakang ini menghalang dan hasilnya saya jangka, jika pun dibuat, adalah lebih kurang sama dengan tidak dibuat).

Kerana angka-angkanya bagi saya adalah obvious, jelas, maka saya berani membuat hujah bahawa sebahagian penyokong UMNO yang kini dikenali sebagai pengundi Saluran 3 FELDA Tersang 1 adalah sebenarnya sebahagian dari pengundi Saluran 1 bagi FELDA Tersang 2 & 3 ketika wujudnya dulu, kalau tidak pun orang-orang yang sama. Maka itu saya membuat kesimpulan bahawa undi sebanyak 239 yang UMNO dapat dalam tahun 2004 dulu telah kini dizahirkan sebagai 229 undi di Saluran 3 FELDA Tersang 1.


Melayu dan Bukan Melayu adalah spesis yang sama

Jika andaian saya ini hakikinya tepat, maka bolehlah disimpulkan bahawa UMNO telah hilang 10 penyokong lagi di Gugusan Tersang. Menjadikan keseluruhannya UMNO hilang 111 penyokong bangsa Melayu di FELDA Gugusan Tersang! (40 + 56 + 10 + 5 = 111).

111 penyokong dari 1,242 penyokong tegar bererti UMNO kini telah kehilangan 9% sokongan di kalangan Melayu yang secara tradisinya memangkah UMNO! (Sila lihat catitan tentang kaedah mencongak jumlah penyokong tegar dalam komentar sebelum ini).

Hakisan sokongan Melayu sebanyak 9% terhadap UMNO? Banyak tu! Biar betul kesimpulan awak Rudin X.

Ya, memang begitulah nampaknya, dan ini semua tidak mustahil jika diambil kira (a) faktor penyokong Tun Dr Mahathir di kalangan orang-orang UMNO; serta (b) faktor keselekehan wal kehipokritan pentadbiran Dolah & Menantunya yang kini sudah terserlah dan terlalu diketahui umum secara terperinci oleh rakyat Malaysia.

Dan dalam tuan/puan menghadham fakta angka ini, jangan pula lupa bahawa hakisan 9% sokongan buat UMNO itu belum ambil kira lagi faktor PAS tidak berkempen dalam PRK ini! Kalau PAS berkempen, entah macam manalah jadinya angka ini.


Hukum alam -- Setiap aksi ada reaksi

Baiklah. UMNO hilang 111 sokongan dari ahlinya sendiri. Cuba Rudin X jawab macam mana keseluruhannya UMNO boleh dapat peningkatan 341 di FELDA Gugusan Tersang?

Oh, soalan itu? Jawabnya mudah. 341 ahli dan penyokong PAS telah menyeberang memeluk UMNO. Dan PAS, khususnya saf pemimpin kena terima hakikat ini. Secara rasminya ahli-ahli PAS di Gugusan Tersang masuk UMNO kerana memprotes keputusan parti untuk memboikot PRK ini. Itu alasan rasmi.

Tetapi atas diri saya seorang, saya syak bahawa pesta PAS masuk UMNO ini sudah pun lama di rancang. Kalau tidak pun kerana pemboikotan ini yang ramai ahli dan penyokong PAS tidak setuju, atas sebab lain pun, acara “joget lambak” ini akan terjadi juga bila sampai masanya. Ini kerana saya amati dari data-data sebelum ini, wujud semirip “kemelut dalaman” di peringkat PAS Kawasan atau Cawangan yang tidak terubat sejak PRU ke-11 lagi.

Secara rasminya, 300 ahli PAS telah masuk UMNO. Angka ini membayangkan sekitar 18% dari sekitar 1,700 ahli PAS dalam Kawasan Raub sudah berlaku "fasik." (Angka 1,700 adalah anggaran saya, dan tidak semestinya tepat). Juga, 341 pengundi yang telah memberi undi kepada UMNO membayangkan bahawa 39% dari penyokong tegar PAS di Gugsan Tersang telah berpaling tadah.

Katakanlah memang tiada muslihat lain yang meyebabkan perbuatan paling tadah ini, dan protes terhahap keputusan parti memboikot PRK ini sajalah sebabnya; maka kadar/peratusan perbuatan masuk/sokong UMNO ini sebenarnya menjadi cermin kepada hakikat ketidak puashatian ahli dan penyokong PAS di seluruh Malaysia pada kadar yang sama.

Tidak percaya? Cuba amati grafik di atas. Peratus pembaca Harakahdaily.net yang “setuju bahawa boikot gagal” campur yang “tiada komen” (cara sesetengah Melayu tunjuk tidak sebulu) adalah sekitar 40%! (Diandaikan bahawa semua yang turut serta dalam online poll Harakahdaily adalah ahli atau penyokong PAS).


Natijah dalam konteks luas

Maka itu apa mesej dan pengajaran yang PAS boleh dapat dari episod pemboikotan ini?

Banyak sebenarnya jika hendak diulas, tetapi memada’i-lah jika saya katakan dua perkara.

Bahawa (a), saf kepimpinan PAS bermula dari sekarang mesti ambil kira pendapat ahli dan penyokong di peringkat akar umbi sebelum membuat sesuatu keputusan yang melibatkan parti keseluruhannya. Belajar-belajarlah turun ke padang untuk mendengar cetusan hati nurani ahli dan penyokong. Jangan hanya turun untuk berkomunikasi satu hala -- turun untuk berceramah/bersyarah -- dah tu pulang ke rumah dengan bangga bahawa ramai penyokong telah datang mendengar cakap kita.

Dan (b), lain kali fikirkan dan rancangkanlah apa-apa tindakan besar dengan mendalam. Pendapat dan bisikan bijak mereka-mereka yang tidak ahli parti, khususnya mereka-mereka yang tidak ahli mana-mana parti politik, waima mereka itu dewa-dewi dari kayangan sekalipun, tolak tepi sajalah. They have nothing to lose, but you -- everything.

Bertindaklah dengan bijak. Dan janganlah sampai penyokong dan ahli parti sendiri mula timbul waswas dalam dada bahawa kepimpinan PAS sudah main kayu tiga atau ada talian terus dengan Dolah & Menantunya. Ingat tragedi AlMarhum Datok Asri Muda.

Di ambil kira segala pengajaran negatif dan positif yang boleh didapati dari PRK ini, jelas bahawa sokongan terhadap UMNO kini sudah susut hampir 8%**. Tidak kiralah kemerosotan ini adalah sebab “faktor Mahathir” atau sebab “faktor kerosakan sistemik (systemic) yang Dolah & Menantunya telah lakukan terhadap struktur sosial dan ekonomi negara.” Pokoknya, peluang untuk PAS dapat hayunan (swing) undi tambahan 10% dari kadar sebelum ini dalam PRU ke-12 kelak adalah cerah.

Diberi kadar susut sokongan terhadap UMNO ini, tanpa PAS berbuat apa-apa yang istimewa dalam PRU ke-12 kelak, jika ianya dilangsungkan esok, setakat kerusi-kerusi DUN dan Parlimen di Kelantan – 40 kerusi DUN (dari 45) adalah dalam tangan, manakala 13 kerusi Parlimen (dari 14) sedia menunggu.

Doa saya ialah agar Allah sentiasa memberi hidayah kepada saf kepimpinan PAS.


Nota: ** Angka 8% ialah weighted average (purata berpemberat) merosotnya sokongan Melayu (9%) dan Bukan Melayu (6%) terhadap UMNO yang digabungkan dengan nisbah pengundi Melayu/Bukan Melayu pada kadar 60:40.

Sunday, February 04, 2007

Batu Talam: Mujarrobat Kubro – The Big Experiment – Ujikaji Besar

[Melayu dapat cencalok dua botol serta mungkin duit sepuluh dua puluh ringgit sudah gembira tak terkata. Manakala China yang dijamu dengan “10 course dinner”oleh Timbalan Perdana Menteri masih belum tentu lagi undi UMNO. Bab dijanjikan geran milik kekal kepada tanah-tanah yang diterokai secara haram, itu kita tidak tahu melibatkan berapa ribu ekar pula. Klik untuk besarkan gambar dan amati meja jamuan sedang disiapkan]


  • Kabut belum menyingsing

Sampai hari ini, saya dapati tajuk “manfaat PAS memboikot PRK Batu Talam” masih lagi dibincangkan di kedai-kedai kopi di Kota Bharu, walaupun tidak sehangat sebelum berlangsungnya PRK ini.

Darihal fokus debat kini, saya amati isu tentang pemboikotan PRK ini telah berubah dari “wajarkah boikot” kepada “betulkah boikot berkesan.”

Saya congak, debat samada wajar atau tidak, berkesan atau tidak boikot ini, sebenarnya tidak perlu timbul sekiranya PAS mempunyai seorang dua “superstar” di kalangan pemimpinnya. Superstar dalam ertikata pemimpin yang mempunyai appeal massa yang dapat membangkitkan ghairah dan sentimen rakyat yang merentasi batas fahaman politik, kaum dan generasi.

Tetapi sayang, diamati PAS sudah ketiadaan “demagogue” yang dapat memukau audiens disegenap segmen masyarakat semenjak terpelanting keluarnya Almarhum Datuk Asri Muda dari tampuk kepimpinan PAS dalam dekad 80han dulu.

Hinggalah keadaannya hari ini, pemimpin PAS boleh menceritakan seribu satu keburukkan perbuatan UMNO dan pemimpinnya, yang mana semuanya adalah cerita benar lagi sohih, tetapi impak cerita hanya berlaku di kalangan penyokong dan ahli. Dan dalam itu pun, saya teka, tidaklah begitu mendalam. Sebaliknya, bila Tun Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulang sebut cerita yang sama, emosi rakyat secara meluas bangkit meluat kepada UMNO dan/atau pemimpinnya.

Itulah nasib PAS dari segi mass appeal. Ibarat seorang penyanyi nasyid atau ghazal. Waima merdu suara laksana buluh perindu, gurindam lagunya syahdu lagi berfalasafah tinggi, popularitinya adalah terbatas. Manakala di pertimbangan yang lain pula, seorang penyanyi rock mungkin bersuara laksana katak demam, senikata lagu lintang pukang laras bahasanya, keluar masuk lokap adalah hobinya, peminat setia berjuta ramainya.

Kerana inilah masalah PAS, maka, jangan kata pengundi biasa, penyokong dan ahli sendiri pun susah hendak nampak bahawa pemboikotan ini berpunca dari sebab-sebab yang sememangnya tepat lagi profound dan berserta itu -- adalah juga merupakan satu eksperimen, satu mujarrobat politik yang hebat.

Untuk mengeksplikasi pendapat ini, izinkan saya membincangkan keputusan PRK ini untuk Peti Undi Cheroh.


  • Mengapa hanya pilih Cheroh?

Kerana dalam pandangan saya di situlah terletak objek paling bernilai sehubungan pemboikotan ini – peluang menilai tahap hakisan sokongan terhadap UMNO di kalangan pengundi bukan Melayu (khususnya China).

Kaum China, yakni kelompok pengundi yang dalam tahun 1999 dulu, telah menyelamatkan wakil-wakil rakyat UMNO dari menjadi penganggur. Grup pengundi yang menyelamatkan UMNO dari hilang kuasa (mungkin buat selama-lamanya). Kelompok pengundi yang menjadi penghadang bagi UMNO yang sedang diterpa kemarahan bangsa Melayu.

Di Peti Undi Cheroh, pengundi Bukan Melayu mewakili hampir 80% dari semua pengundi. Pengundi China 57% dan selebihnya 23% pengundi India.

Ya, saya boleh terima, dan adalah wajar jika tuan/puan bertanyakan: Macam mana pula boleh dikaitkan corak mereka mengundi dengan sepupu sepipi mereka di kawasan bandar, sedangkan pengundi Bukan Melayu (khususnya China) di Cheroh adalah warga pendalaman, bukan warga urban?

Menjawab soalan tuan/puan, saya tidak melihat kepada perbezaan, tetapi kepada persamaan yang ada antara China di Cheroh dengan China di Kuala Lumpur atau Petaling Jaya.

Persamaan China kampung dengan China bandar adalah juga titik perbezaan antara Melayu dengan China. Tolak tepi lain-lain ciri, beza utama Melayu dengan China di Malaysia ialah tahap pergantungan ekonomi kepada kerajaan (yang kini dikaitkan dengan UMNO).

Amnya tahap kebergantungan ekonomi bangsa China dengan kerajaan adalah sederhana. Tidak di tahap “miss soru” atau hampir kebulur jika tidak disuap kerajaan. Kalau di bandar China berniaga kedai runcit, di kampung pun China berniaga kedia runcit juga. Dan begitulah dengan aktiviti ekonomi lain.


  • Taat Melayu-taat China terhadap UMNO

Berbeza pula dengan bangsa Melayu. Yang mana amnya, kecuali di Kelantan dan di sesetengah tempat di Kedah, Melayu adalah terlalu bergantung sumber rezeki dengan kerajaan. Amnya Melayu “makan gaji” dengan kerajaan. Kalau tidak sebagai penjawat awam, sebagai kontraktor kerajaan. Kalau tidak bergantung punca "makan persen," bergantung sebagai “peneroka” FELDA atau KESEDAR atau agensi-agensi lain.

Pilihanraya yang lengang. Di mana gambar calun nampaknya tidak berani dipamerkan.

Maka itu kita dapati Melayu amnya tidak berani menderhaka kepada UMNO yang dikaitkan sebagai “kerajaan.” Tidak mahu sokong/pangkah UMNO? Penentang mungkin akan dimangsakan dari segi ekonomi. Dibuang kerja. Ditahan pangkat. Dinafikan projek dan kontrak. Dinafikan subsidi. Disingkir dari tanah rancangan. Umum sedia maklum peras ugut seperti ini.

Siapa yang berani melawan, dalam keadaan tanah rancangan sudah pun dikerjakan selama 20 hingga 30 tahun, tetapi geran dan hakmilek tanah masih belum diperolehi? Tak kan keringat dan jerih pedih berpuluh tahun hendak dilepaskan begitu saja, berdepan pula risiko dibuang dari skim tanah rancangan, semata-mata kerana marahkan UMNO dan mengundi pembangkang?

Mengambil kira realiti ini, PAS seperti juga dengan watak utama wayang kulit Seri Rama, terpaksa menerima hakikat bahawa isterinya Sita Dewi semasa diculik oleh Maharaja Wana (Rawana) telah diperkosa. Dan terpaksa menerima pengakuan dan alasan Sita Dewi bahawa cuma batang tubuh yang tidak berdaya melawan diserah, tetapi hatinya tetap sentiasa bersama, dan adalah milek kekal Seri Rama.

Yakni, saya taksir, PAS pun faham bahawa sebilangan besar pengundi di FELDA Gugusan Tersang menyimpan PAS di dalam hati, tetapi mereka terpaksa mengundi, membiarkan pemerkosaan UMNO.


Dalam komentar sebelum ini saya ada menyebut bahawa saya menganggap pengundi China di Cheroh sebagai microcosm pemikiran China Malaysia.

Dalam membuat statemen ini saya sebenar mengandaikan pengundi China di Cheroh sebagai “representative Chinese voter” atau “minda tipikal pengundi China.” Yang mana istilah ini saya gunakan selari dengan konsep “representative consumer” yang digunakan dalam analisis kesetaraan am makroekonomi ( general equilibrium macroeconomics analysis).

Cubalah bagaimana pun pemimpin Barisan Nasional membelit fakta, hakikatnya pengundi China di Cheroh telah menolak UMNO. Namun disebabkan mereka adalah manusia cerdik, secara kelompok mereka telah memberontak ke satu tahap yang tidak terlalu ketara, hingga mengundang tindak balas UMNO yang boleh menjejaskan kebajikan kelompok mereka.

Dari jadual di atas, adalah jelas bahawa UMNO telah kehilangan hampir 6% dari undi yang secara tradisional mereka patut dapat. UMNO boleh warwarkan bahawa pengundi Saluran 1 (warga emas) menyokong mereka, tetapi hakikatnya masih ramai lagi yang tidak sanggup memberi undi kepada UMNO. Hakikat ini menyaksikan UMNO kehilangan 54 undi China (andaian pukal bahawa mereka semua adalah dari kaum China).

Berbalik kepada andaian teoretis bahawa pengundi China di Cheroh adalah mewakili pemikiran China se Malaysia, maka bolehlah dirumuskan bahawa dalam tempoh tiga tahun Dolah dan Menantunya mentadbir Malaysia, sokongan pengundi China terhadap UMNO telah merosot 6%.

Hakisan sokongan meningkat 6%? Ya, memang begitulah inferensi statistiks yang boleh dibuat.

Selain hakisan sokongan, perhatikan dari jadual di atas bahawa seramai 125 dari mereka-mereka yang secara tradisionalnya memilih pembangkang (PAS) telah tidak keluar mengundi. Dan bila mereka dipaksa keluar mengundi (seramai 247), mereka telah berprotes melalui jalan memilih calun seorang budak hingusan yang langsung tidak berkempen, yang mana calun sendiri tidak membuang undi. Maksudnya, pengkalan penentangan terhadap UMNO di kalangan kaum China sebanyak 28% masih lagi intact, kekal.

Di tambah pula dengan jumlah yang baru belajar meluat dengan UMNO sebanyak 6%, ini bermakna kadar baru tentangan terhadap UMNO di kalangan kaum China ialah 34%! Itu belum lagi PAS yang dibantu KeAdilan berkempen secara agresif. Heh heh.

Barisan Alternatif tidak perlu menaruh harapan terlalu tinggi darihal sokongan Bukan Melayu dalam PRU ke-12 kelak. Memadai dengan sokongan pada tahap 34%. Kalau mahu nampak berkerja keras, pastikan sokongan Bukan Melayu berada ditahap 40% ataupun 4 orang dari setiap 10 pengundi. Yang mana jumlah ini pun sudah lebih dari cukup, jika dicampur dengan kadar penentangan semulajadi di kalangan Melayu, untuk memporak perandakan cengkaman UMNO dalam Parlimen.

Perkiraan berapa banyak kerusi Parlimen yang PAS dan KeAdilan boleh sapu kelak dalam PRU ke-12; diberi andaian kadar baru kemeluatan rakyat Malaysia terhadap UMNO yang dipimpin Dolah dan Menantunya, pun adalah satu jimnastik mental yang menyeronokkan.


Nota: Komentar ini telah di upload pada tengah hari Februari 4, 2007 dan kemudian di-edit pada sebelah malamnya.