Thursday, March 01, 2007

Trust Betrayed (Kepercayaan dikhianati): Bila Yang Disangka Wira Bangsa Menunjukan Jalur Petualang

Setelah lama tidak berkarya, hari ini saya gagahkan diri untuk menulis. Bukanlah ketidakaktifan saya dalam internet membayangkan atau disebabkan oleh apa-apa unsur yang sinister. Sebaliknya tekanan terhadap masa santai saya sejak kebelakangan ini sudah bertambah. Al-maklumlah, sebagai seorang penggemar menonton aktiviti politik dan kerja masyarakat, kebelakangan ini saya agak sibuk sikit. Ini kerana mengikut khabar anginnya, parlimen akan dibubarkan pada bulan Mei tahun ini.

Bertolak dari catitan di atas, topik sebenar yang saya ingin sampaikan hari ini adalah bersangkut dengan apa yang saya timbangkan sebagai pengkhianatan peringkat tertinggi oleh seorang tokoh yang selama ini orang Melayu sangka sebagai wira dan tempat bergantung harap.

Kerana saya rasakan topik ini teramat penting, maka izin saya meleret sedikit demi membayangkan sentimen dalam hati. Untuk tujuan ini, saya mulakan dengan berbicara tentang sumbang mahram.

Sumbang mahram adalah satu frasa yang tidak perlu pengenalan mendalam atau rujukan berkajang. Saya kira, cukup dengan menyebut frasa ini, seorang dewasa Melayu akan diterpa pelbagai gambar mental tentang perlakuan yang dimaksudkan frasa.

Tetapi di suatu ketika dulu, di zaman orang Melayu belum lagi petah menyebut frasa sumbang mahram, pembayang maksud kepada perbuatan yang sama telah pun wujud – zaman dulu (sebelum tahun 1993) perlakuan ini dikenali dengan simpulan bahasa – haruan (tuman) makan anak.

Saya bukanlah seorang ahli bahasa, tetapi sepengamatan saya, orang Melayu memahami perbuatan “sumbang mahram” dan “haruan makan anak” dalam dua konotasi atau penekanan maksud yang berbeza.

Kedua-dua frasa merujuk kepada perbuatan yang sama. Tetapi “sumbang mahram” lazimnya lebih dikaitan dengan perlakuan seks antara pasangan yang ada pertalian keluarga. Maksudnya, frasa hanya memperihalkan perlakuan fizikal semata-mata, tanpa konotasi moral yang keras.

Sebaliknya “haruan makan anak” membawa maksud yang lebih emosional, yakni dikaitkan dengan satu pengkhianatan kelas terhina oleh satu pihak yang berada dalam kedudukan otoriti, ke atas satu pihak yang mengharapkan perlindungan. Sekaligus, frasa haruan makan anak merujuk kepada satu perlakuan yang mempunyai dimensi celaan moral yang keras.

Bagi saya, celaan terhadap perbuatan haruan makan anak tidak sepatutnya dikhususkan kepada perlakuan seks. Bahkan, apa juga perlakuan yang mirip mengkhianati kepercayaan dan tanggung jawab moral adalah dalam kelas yang sama hina.

Samalah dengan perbuatan Musa Hitam yang cuba mendodoi umat Melayu bahawa “Singapura itu tidak perlu ditakuti.” Mentang-mentanglah beliau telah dilantik menjadi orang besar dalam organisasi yang kini mempromosikan penjualan bumi Johor kepada Singapura. Kerana ganjaran bulanan dan elaun mesyuarat yang sedikit, sanggup beliau berkhutbah memperdayakan bangsa dia sendiri.

Dalam menjustifikasikan gesaan beliau, Musa Hitam telah mengungkapkan bahawa kerana “globalisasi” maka “kedaulatan negara bukan isu.”

Masih waraskan Musa Hitam dalam berkata demikian?

Mengapa saya tergamak bertanya sampai ketahap itu? Apakah natijah yang telah datang dalam muraqabah (meditasi) saya dalam tempuh seminggu dua yang lepas, langsung saya berkurang ajar? Bukan kurang ajar, cuma meluahkan merasa teramat kecewa dengan pendirian seorang yang selama ini telah dipercayai oleh bangsa. Saya kecewa kerana:

  • Kedua, umum pun tahu bahawa “kedaulatan” adalah juga gantinama kepada kata “kemerdekaan.”

Lantas bila saya terbaca statemen Musa Hitam, terlintas dalam hati saya -- semata-mata kerana ingin menjayakan hasrat ingin kaya segelintir pemimpin yang jelas telah menjadi talibarut asing, maka itu kita disaran untuk menyerah kemerdekaan dengan mudah, melutut ikut kemahuan dan telunjuk asing.

Dalam pemikiran dan penilaian saya yang bersekolah tidak seberapa ini, saya dapati segala tindakan dan dasar Dolah & Menantunya yang terlalu condong kepada Singapura kebelakangan ini adalah semua langkah-langkah kecil dalam persiapan kepada satu loncantan besar, malah agenda maha besar yang ada dalam kepala Dolah & Menantunya – penyatuan semula Malaysia dengan Singapura.

Sehubungan sangkaan ini, izin saya rakamkan di sini bahawa saya bukanlah seorang peminat Al-Marhum Tenggu Abdul Rahman. Tetapi jika ada satu keputusan yang pernah dibuat oleh Perdana Menteri Pertama itu yang saya tersangat kagumi, maka keputusan tendang dan nyah keluar Singapura dari Persekutuan Malaysia, adalah keputusan yang paling tepat lagi terbijak.

Hakikat demografi (kependudukan) mendorong saya menyokong Al-Marhum Tenggu Abdul Rahman. Ketika Singapura dinyah halau dari Malaysia dulu, penduduk etnik Cina di pulau tersebut adalah sekitar 1.5 juta orang. Maksudnya jika dicampur dengan jumlah etnik Cina yang ada di Semenanjung Malaya ketika itu, yakni sekitar 3.5 juta, jumlah etnik Cina dalam Persekutuan Malaysia adalah sama banyak, kalau tidak pun melebihi jumlah umat Melayu yang ada ketika itu. Yang membawa implikasi bahawa UMNO dan bangsa Melayu ketika itu sebenarnya tidak berdaya menjadi kuasa dominan dalam parlimen.

Maksudnya, jika Singapura terus berada dalam Persekutuan Malaysia, tok sah mimpilah Melayu nak rasa biasiswa belajar di England atau Amerika Syarikat, hatta nak lihat menara UiTM di Shah Alam, atau rasa dapat tanah rancangan FELDA. Kerana jika terus bergabungnya Singapura dengan Malaysia, Melayu tidak akan mempunyai jumlah penduduk yang cukup untuk menjadi kuasa politik dominan untuk berbuat semua itu.

Hari ini Singapura mempunyai penduduk seramai (hampir) 5 juta orang. Yang mana 70% atau hampir 3.5 juta orang adalah etnik Cina. Maksudnya, jika dicampur jumlah itu dengan 6.2 juta etnik Cina yang ada di Malaysia kini, potensi kuasa undi Cina di Malaysia ialah 9.7 juta atau hampir 10 juta orang. Itu belum ambil kira lagi entah berapa ratus ribu “pelancung” dari China yang “hilang” selepas mendarat di Malaysia.

(Anda tidak perlu ada MSc atau PhD dalam bidang statistiks untuk congak berapa ramai umat Cina yang ada di Malaysia. Atau di mana menyoroknya pelancung Cina yang diberitakan “hilang” itu. Anda hanya perlu amati secara kasar berapa ramai penghuni yang boleh muat dalam satu kondo atau apartmen yang anda nampak. Perhatikan bahawa setiap kondo atau apartmen yang baru siap wajib akan dipenuhi. Tetapi dimasa yang sama, jumlah penghuni rumah teres dan lain-lain kediaman yang sedia ada tetap sebanyak itu juga. Dari mana datang penghuni kondo-kondo baru?)

Mungkin, penggabungan semula Singapura dengan Malaysia akan menjadi manifesto UMNO untuk PRU ke 12 kelak. Dan kalau agenda ini tidak tertulis sekalipun setakat ini, perlaksanaan hasrat ini, dengan Lee Kwan Yew atau anaknya Lee Hsian Loong berkongsi kerusi Perdana Menteri dengan Menantu Dolah, akan dilakukan jika UMNO dibiarkan menang dengan kuasa lebih dari 2/3 dalam PRU ke 12 kelak.

Semua ini mungkin ya, mungkin tidak. Tetapi percayalah, apa yang saya tuliskan di sini hari ini bukanlah satu perkara yang mustahil. Khususnya bila dilihat rekod trak tindak tanduk Dolah & Menantunya dalam tempuh 3 tahun yang lepas.

Berbalik kepada cerita Musa Hitam, saya merasa teramat ralat bila mendapati seorang Warga Emas yang belum lagi dimaafkan oleh anak cucu mangsa Insiden Memali, masih lagi tidak serik, dan masih enggan berdamai dengan bangsanya sendiri. Langsung saya tertanya kepada diri sendiri, apakah yang sebenar hitam dalam nurani Musa Hitam?

No comments: