Sunday, July 15, 2012

Pencen dan Islam – Bahagian 1


           Ilmuan Malaysia masih tidak terfikir untuk kaji fenomena "krisis rohani" (spiritual crisis)


Saya pernah jadi “tambi”(budak pejabat) kepada Allahyarham Tan Sri Jaafar bin Abdul.  Dari kalangan peristiwa yang saya ingat semasa berkhidmat bawah beliau, ialah satu insiden kecil di mana beliau kelihatan kecewa bila satu temujanji dengan seorang personaliti besar di zaman itu dibatalkan di saat akhir.

Kebetulan saya berada di bilik beliau ketika itu.  Beliau merenung saya bila setiausahanya memberitahu tentang pembatalan itu.  Tiba-tiba terpancut dari mulut beliau.   “Hah ... ingat Mat, inilah nasib kamu bila pencen kelak.  Semua orang yang pernah rapat dengan kamu akan kena foot and mouth disease (sakit kuku [kaki] dan mulut)”.

Tan Sri Jaafar Abdul.  Seorang 'bos' yang pemurah
Saya terpingga tidak faham apa maksud beliau, tetapi belum sempat saya buka mulut untuk bertanya,  beliau menyambung ... “masa kamu dalam khidmat, semua orang berebut nak jumpa kamu.  Tapi bila kamu pencen, semua tak senang nak jumpa kamu.  Kamu talipon dia orang tak senang nak bercakap.  Sakit mulut lah tu.  Kamu ajak jumpa mereka tak boleh datang.  Sakit kaki”.

Saya ketawa terkikik (nak ketawa nyaring tidak berani depan Tan Sri itu).  Tetapi ketawa bukan lah kerana apa yang beliau cakapkan itu lucu, tetapi kerana gaya beliau ungkapkan ayat tersebut.  Siap dengan mimik muka.

Ketika itu, insiden itu tidaklah mengusik kalbu.  Seepas itu adalah saya ceritakannya sebagai bahan bualan jenaka kepada dua tiga orang sahabat.  Namun suatu hari selang 15 tahun kemudian insiden itu menerjah saya dalam bentuk flashback (imbas kembali) yang sangat vivid (seakan-akan gambar hidup). 

Hari itu secara kebetulan saya bersua seorang bekas pembesar satu kementerian dalam masjid (tidak perlu sebut siapa) selepas solat zohor.  Saya merenung ke matanya, tetapi karektor itu cuba mengalihkan pandangan.  Gerak tubuh beliau kelihatan seolah-olah mahu mengelak dari bertemu saya.  Tetapi saya buat bodoh, terus menghulur kedua-dua tangan untuk bersalam.  Beliau berlakun terkejut, tetapi dari air muka beliau saya pasti dia tersangat gembira dengan salaman saya.  Bukan setakat gembira, tetapi kelihatan seolah-olah terangkat setabir mendung yang menyelubungi kewujudan beliau.

Sakit kuku dan mulut lazimnya dikaitkan dengan lembu

Di pendekkan cerita, saya borak kosong sambil menemani beliau ke parkir.  Dan ayat yang keluar dari mulut beliau ketika melangkah masuk ke dalam kereta menjentik hati saya ... "Inilah orang pencen ... nak cari kawan kena datang masjid". 

Sekoyon-koyon itu juga flashback insiden saya dengan Allahyarham Tan Sri Jaafar Abdul datang menerpa. 

Semenjak insiden itu, setiap kali saya terdengar, berdepan atau terbaca tentang gelagat orang pencen, saya akan tersenyum sendirian terkenang akan cakap “foot and mouth disease” Tan Sri Jaafar.

Bersambung.

No comments: