Tuesday, December 19, 2006

Talkin Untuk UMNO: Kesimpulan

Sudah jelak dan muak dengan cerita “real politics,” politik sebenar?

Tuan/puan tidak perlu jawab. Sebab saya boleh agak. Catitan-catitan saya sebelum ini tentang A-B-C berpolitik diakui adalah “kering,” menjurus kepada perbincangan akademik. Tidak seronok baca. Semuanya cerita yang tidak sesuai dengan jiwa politik ramai pembaca, kerana hampa-sensasi.

Begitulah hakikat politik, terlalu banyak kerja remeh temeh yang perlu dilakukan. Kerja-kerja yang tidak glamer lagi membosankan. Kerja yang tidak nampak di mata audiens, lantaran tiada peminat yang bertepuk atau bertakbir.

Malah bagi saya, tiada beza kerja politik sebenar dengan hakikat menjaga seorang bayi. Seorang bapa lazimnya terlalu megah memperagakan dan memperkenalkan – baby ini anak sulung/bongsu saya. Senyumnya kiut (cute). Sentiasa riang, rupanya hensem, mirip Tok Wan dia. Mata mengikut Mak Nik dia.

Kucii .. kuciii .. boboiiii ... baby diagah. Audiens tumpang senyum sama.

Siapa yang nak dengar cerita tentang cuci/tukar lampin? Tentang kena bangun pukul 3.00 pagi buat susu? Tentang betapa mem-boring-nya kena dodoi baby yang tak nak tidur? Itu belum cerita baby kembung atau demam tumbuh gigi lagi. Terlalu menjelakkan ceritanya. Tiada unsur sensasi.

Tetapi ini semualah hakikat sebenar dapat anak dan membesarkan anak. Aspek “bangun kena buat.” Silap atau malas dalam aspek ini, kita yang menyesal dan menangis. Dan kerapnya mendapat malu bila disindir oleh doktor atau jururawat.

Seperti juga dengan hal-hal peti undi. Hal-hal pilih calun. Hal-hal cawangan. Hal-hal daftar pemilih. Gagal kita memberi tumpuan kepada aspek begini, kita pembangkang ditertawakan penyokong dan lawan. Kokok aja yang berderai-derai. Nama pengundi tersenarai di lebih dari satu peti undi dalam satu DUN, pun tidak perasan. (Atau saja buat tidak perasan? Apa yang nak dihairankan, ya! Sedangkan di kalangan sahabat Rasulullah pun ramai yang munafik).

Burung yang dah terlepas dari sarangnya, barang yang sengaja dilepas, usahlah ditangiskan. Memekak dan melalak after the fact, perkara dah berlansung, adalah terlalu bodoh dan hodoh rupanya.

Kegagalan dalam aspek yang disebut semasa PRU 2004 dulu, telah menyebabkan PAS di “serang hendap” oleh UMNO dibanyak kawasan, kecuali di Kelantan. Maka ketokohan kepimpinan PAS diperlekeh orang. Cakap PAS tiada siapa nak dengar, dan kalau pun dengar, dipertikaikan dek dunia. Tiada orang yang mahu kenal PAS. Dan inilah nasib PAS hari ini.

Seorang perempuan yang gagal dalam aspek lampin dan susu bayinya, akan dianggap tidak layak jadi seorang ibu. Kata orang Kelantan, menantu jadi menate. Sesebuah parti politik yang tidak tahu nak uruskan hal-hal cawangan, daftar pemilih dan mengurus saluran, sebenarnya tidak layak mentadbir negeri, hatta negara.

Mudah kan? Congak untuk menilai samada PAS sudah bersedia untuk mengambilalih pentadbiran negara dari UMNO.

PERINGATAN: Niat penulis serta gambar di atas dan segala tafsiran darinya hendaklah berlandaskan, disepuh, amaran tentang data yang diberi sebelum ini dalam komentar Terima Kasih TRANUNGKITA ONLINE. Ini Ada Sedikit Buah Tangan.

No comments: