Saturday, September 27, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Hijrah 1429

dari saya
Rudin X
serta Keluarga

Buang Kerja: Notis Tiga Bulan

Pak Lah ... Pak Lah ... tak kesian, nak kesian ... tapi kalau kesian, lain pulak jadinya ...

Penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke bulan Mac 2009 – tiga bulan – selepas tarikh asalnya dijadualkan pada pertengahan bulan Disember 2008, bolehlah dilihat sebagai ‘tempoh ehsan’ kepada karektor-karektor yang bakal dipelantingkan keluar dari jawatan-jawatan tinggi dalam UMNO.

Tempoh ehsan tiga bulan bagi kaki tangan yang diberhentikan kerja adalah satu amalan rutin bagi badan-badan korporat di seluruh dunia. Ganti kepada notis tiga bulan ialah majikan membayar gaji tiga bulan dengan kaki tangan diberhentikan serta merta.

Sangkanya Panas Hingga Ke Petang

Sebelum ‘pemberontakan senyap’ yang berlaku dalam tempoh seminggu-dua kebelakangan ini di kalangan pasukan pengurusan, saya tidak jangka ada pihak yang terfikir -- termasuklah Pak Lah dan Menantunya sendiri -- bahawa pemegang pemegang saham (koperasi) UMNO (Bhd) akan mengambil sikap tegar, sanggup membuang Pak Lah dari jawatan ketua eksekutif yang disandangnya. Ini kerana tidak lama sebelum ini Majlis Tertinggi UMNO telah pun bersetuju menyambung kontrak perkhidmatan Pak Lah selama dua tahun ke tahun 2010.

Seperti gelagat biasa yang Pak Lah tunjukan dalam tempoh lima tahun menerajui Malaysia, dalam banyak isu kepentingan masyarakat, bila ditanya wartawan Pak Lah akan berlakun bagak dan tinggi, mahu tunjuk dia punyai kawalan mutlak ke atas isu. Tidak terkecuali kali ini.

Bila ditanya wartawan samada beliau akan mengundur diri secara aman lagi sukarela, Pak Lah jawab bahawa hanya dia yang boleh tentukan kemungkinan itu. Jawapan itu adalah cukup tidak cerdik (seperti biasa).

Gelecek Yang Tidak Menjadi

Saya merumuskan sebegini setelah mengambil kira bahawa hajat sebenar Pak Lah di pagi Jumaat September 26 (kelmarin) ialah supaya MT UMNO bersetuju untuk menangguhkan bukan setakat PAU, tetapi sekaligus Mesyuarat Perwakilan 191 Bahagian UMNO yang dijadualkan berlangsung dari Oktober 9 hingga November 9, 2008. Yang malangnya bagi Pak Lah, rintihan yang ini telah tidak dilayan oleh Najib Tun Razak dan lain-lain ahli MT yang berpengaruh.

Bolehkah Pak Lah dapat 14 pencalonan dari Kelantan? 13 dari Pulau Pinang?

Saya berpendapat pemilihan presiden, timbalan, naib, dan ahli-ahli MT yang menjadi kemuncak PAU kali ini adalah tidak lebih dari buah cherry merah dan icing di atas kek. 90% dari (ramuan) keputusan sebenar akan dibuat (digaul, dibancuh) dan diumumkan semasa Mesyuarat Perwakilan 191 Bahagian UMNO. Hakikat ini akan boleh dilihat jelas dari pola pencalonan yang diputuskan.

Tipu Diri Sendiri?

Justeru, tarikh PAU itu boleh dianjak sesuka hati, anjaklah semahunya, tetapi keputusan sebenar siapa presiden, timbalan, naib dan ahli majlis tertinggi UMNO akan terpahat pada tengah malam November 9, 2008.

Mana-mana penyandang jawatan yang menawarkan diri bertanding tetapi gagal mendapatkan kuota pencalonan yang mencukupi, bolehlah menganggap diri mereka sudah dijatuhkan hukuman mati (kerjaya politik).

Bermula dari tarikh itu, hinggalah ke tarikh PAU, mereka-mereka itu adalah tidak ubah seperti bangkai berjalan. Lagi lambat dikebumikan, lagi membusuklah bangkai itu di hidung masyarakat. Semulajadinya akan dihina masyarakat, tanpa mengira jawatan dalam kerajaan.

Melayu Bangsa Pemaaf, Bangsa Pengamuk

Kedegilan Pak Lah tidak mahu merendah diri dan mengaku kalah secara terbuka, sebaliknya berdolak dalih tentang tarikh perletakan jawatan, malah keengganan beliau berterus terang samada mahu pertahankan jawatan atau sebaliknya, hanya akan melipat gandakan marah dan azam grass root (akar umbi) UMNO untuk menyingkir beliau di peringkat pencalonan.

Jika sebelum ini ada 30-40 bahagian yang mungkin ‘masuk hati’ dengan ‘aura dan kemurahan hati’ Pak Lah, sikap berdolak dalih yang beliau pamerkan mungkin boleh menyebabkan sokongan itu terhakis ke tahap 15-20 bahagian saja.

Si Kudung Yang Tamakkan Cincin

Ini kerana dan lebih-lebih lagi, sebagai satu-satunya manusia dalam negara yang ada kuasa mutlak untuk mengarahkan bagaimana RM440 billion rizab antarabangsa Malaysia itu digunakan – atau dalam kata lain lelaki paling berkuasa di kalangan 26 juta umat Malaysia -- apa juga jawapan yang teragak-agak, mambau dan tidak tegas yang keluar dari mulut Pak Lah adalah cerminan kepada hakikat impotensi -- mati pucuk -- zahir dan batin yang tidak boleh diubati lagi.

ps/

Mengikut jadual UMNO, sepak mula mensyuarat perwakilan bahagian akan dibuat oleh UMNO Bahagian Tenggara, Johor (10 Oktober). Pak Lah tidak boleh terlalu yakin Hishamuddin Tun Hussein selaku ketua bahagian akan dapat mencalonkan beliau sebagai presiden. Dan kalau dicalonkan sekalipun, Pak Lah tidak boleh mengharapkan pencalonan itu menjadi momentum dan petunjuk kepada bahagian-bahagian lain. Ini kerana, selepas Tenggara, UMNO Bahagian Pagoh yang diketuai Muhyiddin Yassin akan bermesyuarat (12 Oktober). Keputusan mensyuarat yang ini mungkin akan menjadi momentum …

Thursday, September 25, 2008

Harga Petrol: Muka Seposen Regim Pak Lah

Kadang-kadang saya ragu akan kelayakan pakar-pakar ekonomi Malaysia sekarang. Nampak sangat macam mereka tidak mahir dengan istilah dan konsep asas ekonomi seperti prices are 'sticky downward' -- harga barangan melekit nak turun. Fenomena ini adalah cerminan sifat manusia; siapakah yang rela diturunkan untung (gaji) selepas mengecap kenaikkan? Kenaikkan harga barangan adalah persis metafora jin ifrit mata satu yang dilepaskan dari botol. Sekali terlepas sukar hendak kembali semula ke tempat asal. Maka itu ada baiknya jika kerajaan selepas ini ambil iktibar dari episod ini dan jangan pandai-pandai buat eksperimentasi bingai dengan kenaikkan harga barangan. Kesannya menyesal tak sudah. Dalam banyak hal insentif kewangan adalah tidak mencukupi untuk mengawal gelagat manusia. Tindakan undang-undang adalah mandatori.

Penurunan sepuluh (10) sen harga petrol yang berkuat kuasa hari ini, dicampur dengan penurunan 15 sen semasa kemuncak kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh dulu, menjadikan jumlah ‘besar’ penurunan harga petrol hingga kini 25 sen.

Sekali imbas penurunan ini nampak masih lagi short, atau kurang 53 sen berbanding kenaikkan 78 sen dipertengahan tahun.

Justeru, sebagai rakyat kita rasakan kita mesti tuntut regim Pak Lah supaya mengembalikan baki yang selebihnya (53 sen) supaya harga petrol kembali ke paras asal RM1.92 seliter.

Tetapi sebelum pembaca menyingsing lengan baju, izin saya ingatkan bahawa pertimbangan dalam hal turun-naik harga runcit petrol dalam negara adalah tidak semudah ‘regim Pak lah akan akur bila didesak’.

Sebermula, penurunan 25 sen yang kita ‘nikmati’ kini sebenarnya sudah pun lebih satu (1) sen dari jumlah subsidi 24 sen seliter yang diberi kerajaan Barisan Nasional sejak zaman antah berantah lagi. (Baiknya hati Pak Lah, kan? Di tambahnya pula subsidi pada kadar satu sen).

Berasaskan fakta ini maka secara tersirat Khairy si-Menantu, petualang yang beria-ia mahukan penghapusan subsidi petrol, sebenarnya telah menempelak rakyat Malaysia – kamu beruk-beruk sudah tidak boleh tuntut apa-apa subsidi lagi, aku dah arah Pak Mertua aku kembalikan subsidi petrol seperti sedia kala. Apa korang mahu lagi?

Dan bila muka depan akhbar menyiarkan hujah itu dalam tempoh dua-tiga hari yang mendatang, kita semua pun akan terkedu, tergigit lidah.

Terlumpuhlah tindakan kita? Tidak semestinya. Sebaliknya kita rakyat patut tuntut supaya satu suruhan jaya di raja dibentuk untuk menentukan secara telus kaedah bagaimana regim Pak Lah menetapkan harga runcit petrol.

Ini kerana dari meneliti penjelasan masa lepas yang dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (rujuk di sini), saya dapati wujud satu ‘kejanggalan’ besar tentang kos bahan mentah (minyak mentah?).

Sebagai contoh, regim Pak Lah mendakwa kos bahan (minyak) mentah untuk tahun 2005 ialah 164.21 sen seliter. Yang mana kos ini bila di convert, ditukar kepada harga setong minyak mentah adalah bersamaan dengan kos US$69.61.

Ini nyata satu kejanggalan besar kerana harga purata minyak mentah dunia untuk tahun 2005 ialah US$50.04 setong. Perbezaan 39%.

Kejanggalan ini boleh ditafsirkan dari dua sudut.

  • Pertama, pegawai-pegawai JPM adalah terlalu pasif mempercayai 100% apa juga harga yang diberikan oleh syarikat-syarikat minyak. Atau dalam kata lain, darihal harga minyak mentah, kerajaan telah kena tipu.

  • Kedua, kerajaan sebenarnya tidak kena tipu, sebaliknya menipu. Maksud saya ialah kerajaan hanya berdrama kononnya tidak mengenakan cukai jualan, malah sebaliknya memberi pula subsidi ke atas setiap liter petrol yang dijual; walhal realitinya kerajaan siang-siang sudah rembat cukai minyak yang tinggi, kalau tidak pun telah berkongsi untung dengan syarikat minyak di tahap transaksi/manipulasi harga minyak mentah.

Objektiknya saya tidak boleh agak apa sebenarnya regim Pak Lah buat dengan harga minyak mentah yang dijadikan asas perkiraan harga runcit petrol. Dari segi sentimen, kecenderongan saya ialah menuduh regim Pak Lah menipu.

Mungkin penyudah yang saksama bagi merungkai misteri ini ialah melalui penubuhan sebuah suruhan jaya di raja mengkaji kaedah yang kini digunapakai dan memperakukan kaedah yang seeloknya untuk menentukan harga runcit petrol.

ps.

A simple simulation of the theoretical price given prevailing exchange rate, world crude oil price, refinery and retailing charges adjusted for inflation at the rate of 9% over those of 2005, suggest that without sales tax, petrol should retail at RM2.53 per liter. A cash subsidy or that in-kind of 8.5 sen is required to support the retail price of RM2.45 per liter. I wonder who is paying and who is receiving. But as usual I don’t think Pak Lak’s regime can tell things straight even if they were in the right, and worse yet if they are unsure.

Wednesday, September 24, 2008

Pemilihan Kepimpinan: Antara UMNO & Amerika Syarikat

Jika tidak pun iradat Tuhan, suara rakyat adalah suara keramat. Suara rakyat kini bersama Muhyiddin.

Dari segi zat (substance) dan pendekatan, manfaatnya mungkin besar jika puak-puak yang bertarung dalam pemilihan UMNO 2008 belajar dan mengambil iktibar dari proses dan mesej pilihan raya presiden Amerikat Syarikat (AS) 2008.

Politik AS Penuh Mesej Tersirat

Lumba merebut kerusi presiden AS – tampuk kuasa dunia -- antara parti Democrat dengan parti Republican tahun ini telah menyaksikan penampilan calon-calon yang berwarna warni; baik dari segi sejarah hidup peribadi, progresi kerjaya politik, mahupun keunikan karektor dan falsafah.

Parti Democrat mempertaruhkan gandingan Barack Obama (calon presiden) dan Joseph Biden (calon naib presiden); manakala parti Republican memperjudikan John McCain (calon presiden) dan Sarah Palin (naib presiden).

Perlumbaan ke kerusi presiden AS kali ini menonjolkan satu aspek yang menakjubkan. Buat pertama kalinya dalam sejarah AS seorang kulit hitam telah berjaya menjadi calon presiden -- yakni berjaya melepasi tembok prejudis dan sentimen perkauman tebal di kalangan puak kulit putih yang menjadi penduduk majoriti AS.

Tetapi bagi saya fenomena itu tidaklah sepenting persamaan mesej tersirat yang dihantar oleh kedua-dua parti melalui gandingan calon yang dilagakan.

  • Ketengahkan/raikan kepentingan minoriti

Dalam kes parti Democrat, pencalonan Barack Obama adalah kemuncak isyarat bahawa masyarakat AS yang sejak tertubuhnya negara itu didominasi budaya kulit putih (juga dipanggil dominasi budaya WASP – White Anglo Saxon Protestant) kini telah berjaya mengatasi prejudis kolektif mereka dengan sanggup menerima seorang kulit hitam sebagai kepala negara.

Di masa yang sama, parti Republican dengan menawarkan Sarah Palin juga telah mengisyaratkan bahawa budaya WASP telah berjaya memecahkan belenggu pemikiran yang selama ini tidak meletak status perempuan setaraf dengan lelaki, apatah boleh menerima perempuan sebagai ketua.

  • Gandingan dua generasi – pengalaman dan tenaga

Satu ciri menarik tentang gandingan calon kedua-dua parti ialah, tidak kira parti mana yang menang, kemungkinan besarnya salah seorang dari gandingan akan mati dalam jawatan. Ini kerana kedua-dua parti telah mempertaruhkan pasangan calon yang mempunyai jarak umur yang ketara.

Joseph Biden (lahir 1942) calon naib presiden parti Democrat kini berumur 66 tahun berbanding dengan calon presiden Barack Obama (lahir 1961) yang berumur 47 tahun.

Untuk parti Republican, calon presiden John McCain (lahir 1936) kini berumur 72 tahun, berbanding Sarah Palin (lahir 1964) calon naib presiden yang berumur 44 tahun.

Idealisme Dalam Politik AS

Jarak umur pasangan calon adalah satu aspek yang ketara. Tetapi apa yang lagi halus dan subliminal ialah isyarat dari kedua-dua parti Republican dan Demokrat bahawa mereka menawarkan pengundi gabungan daya tenaga muda dengan pengalaman dan kematangan – a combination of youth, experience and wisdom. Yang mana kombinasi ini adalah salah satu dari kedahagaan umat manusia sejak anak-anak Adam a.s., – mahu muda, kuat, sihat, tahan lama, banyak duit, dan sekaligus dengan itu; banyak pengalaman, matang dan seumpamanya.

Jika parti-parti politik AS boleh bermain dengan idealisma dan apa yang manusia kepingin, saya tidak nampak sebab mengapa puak UMNO yang menentang regim Pak Lah tidak boleh berbuat serupa.

Yang Jelas Tentang Politik UMNO

Dewasa ini jelas dan bukan lagi andaian kabur di serambi masjid selepas tarawih, bahawa tidak boleh tidak, dalam menawarkan dirinya sebagai presiden UMNO, Pak Lah akan berganding dengan Najib sebagai calon timbalan presiden.

Percaturan ini ialah untuk memastikan Pak Lah dapat pencalonan yang cukup untuk bertanding, dan Khairy si-Menantu mempunyai harapan untuk bersaing dalam pemilihan Pemuda UMNO.

Ya, saya tahu pendapat saya ini tidak senada dengan hasrat sebilangan besar rakyat Malaysia dan khususnya orang-orang UMNO yang ingin melihat gandingan Najib sebagai presiden dengan Muhyiddin sebagai timbalan presiden.

Tetapi bagi saya, perbuatan Najib mencabar Pak Lah adalah satu kemustahilan.

Kerana setahu saya, mengikut apa yang digossipkan sejak tahun 2005 lagi, yakni setahun sebelum kes Altantunya si-Mongolia meletup, Khairy si-Menantu telah pun memeras ugut kesetiaan Najib dengan mengemukakan bukti kepada beberapa kes silap-tadbir Najib.

Najib Korban Pertembungan Dalaman UMNO

Kini Najib tersepit dan tercekik. Telan mati emak – kerana Khairy sudah ugut. Luah mati bapa – kerana Tun Mahathir juga pun ugut, akan mendedahkan pekung Najib jika enggan menari rentak yang dikehendaki.

Dalam kes ini, pilihan terbaik Najib ialah untuk menarik diri dari politik Malaysia keseluruhannya. Kaya dah kaya, harta makan tidak habis untuk tiga-empat generasi. Apa lagi yang mahu?

Maka tinggallah Muhyiddin dengan akar umbi UMNO yang tidak mahukan Pak Lah yang pada masa yang sama nampak disorganise, tidak tersusun jurus penentangan-nya.  Nampak masih meraba taktik dan strategi.

Model Politik AS Untuk UMNO

Jalan keluar dari kebuntuan ini ialah dengan meniru pendekatan politik AS. Untuk musim ini, Muhyiddin ambil dulu Tengku Razaleigh sebagai calon presiden UMNO dengan dia sendiri sebagai timbalan.  Untuk menjayakan strategi ini UMNO harus berani runtuhkan apa juga tembok prejudis yang wujud terhadap Ku Li.  (Jika parti-parti politik AS boleh atasi prejudis mereka, saya tidak nampak sebab mengapa UMNO tidak boleh berbuat serupa.  Semuanya soal hati dan azam.) 

Bentuklah satu tim bersama Mukhriz di sayap Pemuda UMNO dan promosikan satu jenama perjuangan, katakan: Idealisme, Tenaga Muda dan Kematangan. Yang mana Idealisme ialah kata kod bagi Mukhriz: Tenaga Muda = Muhyiddin; dan Kematangan = Ku Li.

Insya Allah, gandingan Ku Li-Muhyiddin-Mukhriz akan dapat menumpaskan apa juga tim kerepot yang Pak Lah, Khairy dan Annuar Musa SiPenyamun PPRT boleh gembeling.

Jika berkelapangan sila rujuk penulisan yang berkaitan dengan tajuk ini.

Tuesday, September 23, 2008

KEMAS KINI (1): Dua Pilihan Untuk Pak Lah

Dari Utusan Malaysia. Apa yang tidak gila tentang Pak Lah & Kerajaan Tiga Beranaknya?

Dalam penulisan bertajuk Dua Pilihan Untuk Pak Lah -- Anwar atau Najib saya telah membuat saranan berikut:

Anwar adalah pilihan terbaik untuk Pak Lah. Berdamailah dengan Anwar dan yakinilah hati budi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya mereka yang dari PAS.

Saranan adalah tidak lebih dari satu reaksi spontan – penaakulan dua minit -- terhadap sms yang berterebangan masuk ke inbox talipon saya sejurus tamatnya mesyuarat MT UMNO pada petang September 18.

Maka itu sederhana terkejutlah saya bila terbaca berita berikut dari mStar.

Selasa September 23, 2008

Pak Lah nafi sudah ada pertemuan dengan Pakatan

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan sehingga kini tiada sebarang pertemuan berlangsung antara Pakatan Rakyat dengan pihaknya bagi membincangkan masa depan politik dan pembentukan kerajaan baru oleh pembangkang.

"Tidak ada sebarang mesyuarat dengan orang-orang Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi 2008 yang kedua di sini.

Seperti biasa dengan hampir semua penafian atau pengesahan akhbar Pak Lah, pembaca boleh yakini bahawa perkara sebaliknya adalah benar.

Berita pembinaan jambatan antara regim Pak Lah dengan Pakatan Rakyat ini bukan saja telah menimbulkan reaksi keras dari barisan penentang Pak Lah dalam UMNO, tetapi telah menarik perhatian positif dunia luar (Rujuk 1; Rujuk 2).

Secara sipi Tengku Razaleigh telah membentak perkembangan ini dengan komen berikut:

Ku Li attacks Abdullah-Najib pact, it 'fools no one'

Sep 23, 08 5:41pm

Former finance minister Tengku Razaleigh Hamzah today attacked Prime Minister Abdullah Ahmad Badawi for insisting on going through with the power transition pact made with his deputy, Najib Abdul Razak.

Dalam perkembangan selari, Anwar Ibrahim telah pun masuk menghadap pucuk kepimpinan PAS untuk mejelaskan keadaan. Berita tersebut boleh dibaca di sini dan di sini.

Sudilah kiranya membaca penulisan yang berkaitan dengan tajuk ini.