Tuesday, September 09, 2008

Jawapan UMNO Kepada Kemaraan Anwar: Triniti* Mahathir-Tengku Razaleigh-Muhyiddin?


Terdahulu saya pernah tuduh Tun Mahathir itu membuat silap besar, bertindak emosional, bila beliau isytihar keluar UMNO.

Jika berita-berita yang berlegar kini terbukti benar – bahawa Tun Mahathir telah rujuk kepada UMNO – maka tepatlah bacaan sepintas lalu saya akan pertimbangan Tun Mahathir di ketika itu.

Lebih-lebih lagi jika alasan Tun Mahathir menganggotai semula UMNO ialah untuk membolehkan beliau menggembelingkan faksyennya yang sebelum ini bertebaran, supaya dapat bergabung secara efektif dengan faksyen-faksyen Tengku Razaleigh Hamzah dan Muhyiddin Yassin, dalam usaha melakukan tolakan terakhir menumbangkan regim Abdullah Ahmad Badawi.

Di sudut yang lain pula, saya takjub melihat darjah Abdullah itu tidak rasional.

Jika selama ini Abdullah berkeras pertahankan jawatan demi membolehkan menantunya Khairy mengukuhkan kedudukan dalam UMNO supaya dalam tempoh terdekat boleh mempusakai kerusi Perdana Menteri Malaysia; kini nampaknya raison d’etre (sebab yang menjustifikasi kewujudan) itu pun sudah musnah.

Imej kesesuaian Khairy untuk jawatan tinggi dalam UMNO, apatah lagi jawatan menerajui negara, adalah begitu buruk hinggakan untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO yang dia idamkan selama ini pun, Khairy sudah tidak berani bertanding.

Sebaliknya Adnan Yaakob menteri besar Pahang yang dilihat sebagai “projek sulung” dan anak didik politik Abdullah telah diwakil-wali bertanding.

Dikepung perkembangan:

  • parti-parti komponen Barisan Nasional sedang memberontak,
  • Anwar sedang mengasak, dan
  • UMNO itu sendiri bergolak sudah jelak menjulang,

tidak kah masanya sudah tiba untuk Abdullah Tiga Beranak pertimbangkan dengan tenang nasihat Matthias Chang pakar rujuk Tun Mahathir: retire gracefully even with his ill-gotten gains? Pencen secara terhormat dengan membawa pergi segala harta haram yang diperolehi.

*Nota: Maksud perkataan ‘triniti’ ialah ‘tiga dalam satu.’

1 comment:

Samad said...

Alamat lingkup lagi la UMNO bila Dr Mahathir sertai semula. Sebelum ni masa Dr M dalam UMNO pun, UMNO tetap ada masalah juga. Sekarang ni beliau cuba nak jadi hero yang kononnya bangkit atas desakan peristiwa-peristiwa berbangkit semenjak kebelakangan ini... Hero la konon...