Monday, November 27, 2006

Harimau Mengganas Di Jeli (Wah! Datuk Pa, Awal Berkempen Kali Ini. Besar Benar Masalah UMNO Jeli?)


Saya bukan asal Jeli, tetapi anak-anak saya adalah orang Jeli. Maka itu saya rasa saya faham sangatlah reaksi orang Jeli terhadap cerita harimau berkeliaran dalam kebun-kebun mereka.

Reaksi pertama ialah, dusun kita menjadi tahun ini. Sebab itu harimau pun menjadi. Pembaca mungkin menganggap saya berjenaka, tetapi hakikatnya memang begitu.

Bila dusun buah-buahan yang banyak dalam Jajahan Jeli berbuah lebat, maka jangan kata penyokong UMNO, segala monyet dan babi hutan pun mula malas. Warga hutan tidak perlu lagi bersusah payah mencari rezeki di belantara, sebaliknya hanya perlu masuk dusun dan nganga mulut, dijamin rezeki akan masuk. Buah-buah ranum yang gugur berselerak di atas tanah membuat babi hutan tidak perlu menyondol lebih-lebih.

Tetapi, harimau tidak makan rambutan atau dokong – apa punya temberang ni? Betul, harimau tidak makan buah, tetapi mereka lazimnya mengekori migrasi babi hutan. Di mana sahaja babi berpesta, di situ harimau mengintai. Dan kalau bertemu insan penoreh getah yang malang, maka itu di kira bonus.

26 November, 2006

Pisau Toreh Selamatkan Wanita Daripada Serangan Harimau

KOTA BAHARU, 26 Nov (Bernama) -- Pisau menoreh getah dan sebatang kayu dipercayai menjadi senjata menyelamatkan nyawa seorang wanita warga emas yang diserang harimau ketika sedang menoreh di kebun getahnya di Sungai Long, di Jeli hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi, Mek Jah Ismail, 65, mengalami kecederaan parah di kepala, tengkuk, bahu dan dada akibat diterkam harimau yang kemudiannya lari setelah ditakutkan dengan sebatang kayu.

Adik ipar Mek Jah, Hussein Yusuf, 65, ketika ditemui Bernama di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini berkata kakak iparnya itu bersendirian ketika diserang seekor harimau belang dan sempat memaklumkan kepada seorang jiran yang menoreh di kebun berhampiran yang dia diserang harimau.

"Dia (Mek Jah) sempat memberitahu seorang jiran yang menoreh berdekatan untuk membawanya ke hospital kerana dia diserang harimau, sebelum terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya.

Mek Jah kemudiannya dihantar ke Hospital Jeli sebelum dipindahkan ke HRPZ II.

Hussein berkata Mek Jah pernah memberitahu dia pernah beberapa kali melihat kelibat harimau di kebunnya yang seluas 4.8 hektar itu.

"Memang dia pernah beritahu rasa takut tu ada dan nak berhenti dari menoreh getah, tapi nak buat macam mana, menoreh tu dah jadi punca rezeki dia (Mek Jah) sekeluarga, kalau tak keluar menoreh, nak makan apa," katanya.

Beliau berkata Mek Jah menoreh berseorangan sejak suaminya Ismail Hamid, 82, lumpuh, manakala enam anaknya yang lain telahpun berkeluarga dan tinggal berasingan.

"Saya pun sering berjumpa dengan haiwan itu, ada yang setinggi pinggang orang dewasa. Setiap kali terserempak dengan harimau, kami akan sergah atau baling batu, haiwan itu akan lari," katanya.

Seorang anak saudara Mek Jah, Mohd Azman Mohammad, 17, berkata dia sedang mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang dihadapinya apabila seorang jiran membawa ibu saudaranya itu ke rumahnya untuk dihantar ke hospital.

"Belakang kepala dan dadanya luka teruk, melihat keadaannya, saya terus hantar dia ke hospital. Masa tu dia dah tak sedar (pengsan), mungkin kerana darah banyak keluar," katanya.

Menurut seorang anak tiri Mek Jah, Hani Rashid, 50, keadaan ibu tirinya agak membimbangkan namun ketika beliau melawat Mek Jah di Unit Rawatan Rapi HRPZ II, ibunya itu sudah mulai sedar.

Sementara itu, Ketua Bahagian Kententeraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), ASP Wan Abdul Razak Ismail berkata polis menerima laporan mengenai kejadian pada 12.30 tengah hari.

"Ketika membuat pemeriksaan di tempat kejadian, polis menjumpai kesan darah mangsa dan beberapa kesan tapak kaki harimau serta pisau toreh milik wanita berkenaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Wan Azali Wan Alwi ketika dihubungi Bernama berkata beberapa orang kakitangannya telah dihantar ke tempat kejadian untuk menyiasat.

Wan Azali berkata operasi mengesan harimau berkenaan dimulakan petang ini. Beberapa pegawai Perhilitan Kelantan juga dihantar ke hospital untuk melawat mangsa.

Ogos lepas, seorang penoreh getah, Rokiah Latif, 45, ditemui mati dengan kepala dan badannya terputus dipercayai diserang harimau ketika sedang menoreh di Kampung Pasir Dusun, Jeli.

-- BERNAMA

Selain dari hubungkait musim dusun menjadi (kitarannya setiap dua tahun) dengan kehadiran harimau, warga Jeli ada satu lagi teori mengapa harimau muncul. Teori ini mengatakan bahawa UMNO dengan sengaja telah melepaskan harimau sarkes atau zoo untuk menakutkan dan menghalang warga Jeli dari keluar menoreh.

Dalam keadaan orang kampung kesesakkan wang tunai kerana tidak dapat menoreh, wakil rakyat Jeli (Parlimen dan DUN) Datuk Mustapha Mohamed (gelaran akrab, Datuk Pa) akan masuk kampung menghulur “bantuan.”(Kelak, sebagai “follow-up,” pada dini hari pilihanraya, petugas Datuk Pa pun akan sibuk mengetuk pintu untuk menghulur “buah tangan,” sambil mengingati pengundi – Datuk minta tolong sekali).

Satu lagi versi teori mengatakan bahawa harimau masuk ke Jajahan Jeli dengan banyak kerana mereka pun mahu merasai duit kempen pilihanraya yang Datuk Pa taburkan laksana daun getah berguguran di musim kemarau.

Saya tidak dapat pastikan teori mana yang boleh dipakai untuk menghuraikan kemunculan harimau kali ini, kerana peristiwa ini pun adalah diluar lumrah -- harimau lazimnya tidak turun ke tanah rendah (kawasan kampung) di musim tengkujuh. (Tidak tahulah kalau kali ini harimau pun masuk kampung untuk tumpang sekaki intai betis Puteri UMNO bermain air bah.)

Pembaca ada apa-apa teori tentang hal ini?

No comments: