Untuk berlaku saksama, diakui bahawa bahawa setakat ini, rincian tentang cadangan penggabungan ini adalah kabur. Namun dua perkara adalah jelas.
Pertama, syarikat yang disasarkan untuk bergabung akan disatukan di bawah sebuah syarikat yang bernama “Synergy Drive Sdn Bhd,” yang mana pemilik sebenarnya masih lagi satu misteri Kedua, Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kerajaan menyokong usaha penggabungan ini.
Perhatikan bahawa setakat maklumat yang ada kini, rakyat masih lagi belum boleh menilai dengan jelas apa nawaitu sebenar disebalik cadangan penggabungan ini. Tolak tepi isu naiwaitu buat sementara, dan kita tumpukan perhatian kepada implikasi praktikal penggabungan ini.
Jika berjaya di laksanakan, maka cadangan ini akan mewujudkan satu syarikat gergasi yang mengkhusus dalam bidang perladangan kelapa sawit.
Oleh kerana dalam tempuh lebih satu dekad yang lepas kita sudah terlalu selesa dengan frasa “projek mega” maka kita mungkin beranggapan bahawa penggabungan ini hanyalah projek mega versi Abdullah A. Badawi & Menantunya Sdn Bhd. Maka tiada apa yang perlu dihinggarkan.
Cop. Dan ooopocot. Sebelum pembaca merumuskan sedemikian, izin saya katakan dan renungilah sejenak bahawa – tidak semua yang gergasi lagi mega itu bagus. Malah, benda-benda dalam hidup yang kita sangat perlukan, dalam bentuk kecil moleknya, kadang-kadang bila menjadi mega, akan menjadi hodoh langsung menumpulkan ghairah kita. Malah kalau boleh, kita mahu nyahkan kehadirannya dari hidup kita. (Atau paling tidaknya, dinyahkan dari pandangan kita).
Idea yang saya ingin sampaikan ini telah pun disimpulkan oleh nenek moyang kita sebagai – ibarat api, kecil jadi kawan bila besar jadi lawan.
Merujuk entiti perniagaan, idea yang sama telah lama dijadikan satu bidang pengajian khusus yang dipanggil “industrial economics” yang mana tema teras bidang ini ialah “konsentrasi kuasa pasaran” (market concentration).
Fenomena konsentrasi kuasa pasaran adalah satu kejelekan yang dibenci lagi ditakuti di negara-negara maju di barat yang sudah merasakan kesannya dalam evolusi ekonomi mereka. Hinggakan keadaan memaksa masyarakat mereka mewujudkan undang-undang anti-monopoli.
Diakui bahawa penggabungan ini tidak akan melahirkan satu entiti monopoli jati (pure monopoly), sebaliknya sebuah entiti yang monopolistik. Tetapi ini bukanlah isunya. Isu tunjangnya ialah kesan persaingan monopolistik terhadap kebajikan pengguna (consumer welfare).
Amnya, telah dibuktikan secara ilmiah, malah dari pengalaman sejarah, bahawa apa juga entiti perniagaan yang menjurus monopoli, atau terwujudnya keadan pasaran yang monopolistik akan membawa mudarat kepada pengguna. Pengguna, maksudnya tuan/puan pembaca,sanak saudara tuan/puan, dan ekonomi negara am.
Nota: Catitan ringkas ini tentang monopoli dan kesannya terhadap masyarakat adalah bertujuan menyediakan pembaca dengan maklumat latar yang paling asas untuk membolehkan isu penggabungan ini difahami dengan lebih jelas bila ianya dikupas kelak.
No comments:
Post a Comment