Maka menulislah Joceline Tan* dalam akhbar The Star hari ini bahawa kedudukan Mukhriz Mahathir dalam saf Exco Pergerakan Pemuda UMNO adalah “precarious” – runcing, bak telur dihujung tanduk. Telahan Joceline adalah ekoran melompatnya Presiden UMNO bila mengetahui Mukhriz telah membuat komen bahawa ucaptama Presiden UMNO tahun ini adalah tidak banyak beza dari ucaptama tahun 2005.
Selepas memberi pelbagai reaksi pantas -- yang mengalahkan kederasan masa respon Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Di Raja Malaysia. Dalam nada dan irama sekata bak korus katak buntong di musim tengkujuh, maka hari ini Pergerakan Pemuda UMNO dilapurkan memberi Mukhriz tempuh 2 hari untuk membuat “penjelasan.”
Apa kata jika Mukhriz terus membisu? Atau penjelasan beliau tidak memuaskan hati Abdullah A. Badawi dan menantunya? Apakah hukuman yang bakal bertemu Mukhriz?
Saya bukanlah peminat Mukhriz. Malah saya bukan penyokong UMNO pun. Namun sebagai seorang Melayu saya tunggu dengan penuh debaran penyudah episod ini dalam telenovela UMNO. Mengapa? Kerana saya terlalu gembira melihat UMNO telah menjerat diri sendiri dengan reaksi “over”-nya terhadap komen Mukhriz. Bertindak dan membuat kenyataan seolah-olah kalau boleh, Mukhriz ditelan hidup-hidup.
Pemuda UMNO tak hukum Mukhriz? Salah. Hukum, pun, salah. Hukum ringan, mengundang tuduhan bacul. Hukum berat akan menagih label kejam. Nampaknya haru juga menantu Abdullah A. Badawi dibuatnya kali ini. Bangsa Melayu akan membaca apa juga tindakan Pemuda UMNO sebagai cermin kepada hati perut menantu Abdullah.
Bertolak dari perkiraan moral yang subjektif, pertimbangan praktis dalam menangani isu ini dan sekaligus isu kritikan radikal Tun Dr Mahathir ialah – aset-aset UMNO kini berada di atas nama siapa, sebenarnya?
Jangan migrainkan kepala berfikir tentang saham atau wang tunai, cuma perlu perhitungkan bangunan pejabat UMNO Bahagian. Tidak perlu tahu siapa pemilik sebenar Bangunan PWTC. Cukup dengan mempunyai secebis idea siapakah pemilik sebenar pejabat UMNO Bahagian Kuala Terengganu. Bahagian Ulu Langat? Bahagian Kota Bharu? Dan seterusnya 140+ lagi pejabat UMNO Bahagian di seluruh negara.
Jika bangunan-bangunan yang disangka ramai sebagai milek UMNO, yakni dalam geran tanah/bangunan ada nama UMNO Malaysia, maka silakan hukum Mukhriz. Tetapi jika pemilikan di atas nama individu yang kini tidak lagi menyandang jawatan dalam parti, maka siaplah UMNO kali ini. Mukhriz mungkin hilang kerusi Exco Pemuda UMNO. Tetapi UMNO mungkin akan hilang bumbung tempat berteduh.
Dan begitulah juga kalau Tun Mahathir itu diusik atau diusir.
*Nota: Khabarnya, Joceline Tan yang masih bujang itu, ialah wartawan akhbar The Star yang paling diikuti, lagi berpengaruh di kalangan ramai pembesar UMNO. Yang mana peluang ditemuramah oleh Joceline adalah laksana terkena hadiah pertama dari sesuatu aktiviti sukan.
1 comment:
Unless there is a recent development, Joceline Tan is married. Husband is part of a political think tank.
Post a Comment