Tahajjud masih selekeh. Maksud al Quran baik dalam bahasa Melayu atau Inggeris masih tidak hafal. Walhal hanya 6,666 stanza. Jangankan itu, Hadith 40 sudah entah berapa kali ulang baca pun, masih tidak boleh ingat. Membuat saya rasa terlalu kodi, berbanding dulu-dulu zaman remaja, di mana sifir logarithma pun boleh dihafal sambil-sambil makan kuaci.
Dari faset politik, saya bukanlah pengamal atau sarjana, hanya pembaca berita seperti tuan/puan. Saya dapati mentafsir maksud tersirat berita-berita politik politik adalah kompleks lagi intrikat (intricate). Maka itu saya mohon pertolongan pembaca untuk mentafsirkan maksud perkembangan berita berikut:
- Percaturan korporat melibatkan RM26.8 bilion
Timbalan Perdana Menteri Najib Al Marhum Tun Abdul Razak (TPM Najib) mengumumkan kerajaan telah mempersetujui penggabungan tiga syarikat gergasi sektor perladangan, yang mana setakat kelmarin mempunyai nilai pasaran aggregat RM26.8 bilion.
Keluasan tanah milik syarikat-syarikat tersebut bila digabungkan adalah tidak kurang dari 600,000 hektar atau 1.32 juta ekar. Hampir sama besar dengan keluasan negeri Johor, dan beratus kali ganda besarnya dari daerah Pekan, Pahang.
(Lantaran, jika TPM Najib bersara awal atas apa sebab sekalipun, beliau tidak perlulah pulang ke kampung untuk menghabiskan sisa-sisia hidup menimang cucu. Perlantikan sebagai Pengurusi atau Penasihat entiti korporat gergasi yang bakal muncul itu pun sudah lebih dari mencabar untuk memenuhi masa hingga tidak perlu memberi tumpuan kepada isu-isu usang yang lain.)
Perlaksanaan cadangan ini sedang ditangani oleh CIMB di mana adik TPM Najib, iaitu Nazir adalah Ketua Eksekutif.
Sehingga blog ini ditulis, Perdana Menteri masih belum lagi diberitakan membuat apa-apa komen.
- Mengizinkan kemungkinan beberapa watak ekstremis UMNO di”pancung”
TPM Najib telah menarik balik status “spesis terlindung” bagi beberapa pemidato UMNO yang dikatakan telah menyampaikan ucapan “keterlaluan” pada Perhimpunan Agung UMNO lalu.
Dengan menjawab wartawan ‘‘Terpulanglah kepada pihak berkuasa,’’ ketika ditanya tentang perkara itu, TPM Najib sebenarnya bercakap seolah-olah Majlis Tertinggi UMNO (MT) telah membuat keputusan tentang perkara tersebut, kalau tidak pun mendahului MT.
Sejurus mendapat isyarat yang ditunggu-tunggu, akhbar kemudiannya memberitakan DAP melalui Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Lau Weng Sang membuat laporan polis pada 18 November lalu, berhubung perbahasan yang didakwa berbau perkauman semasa Perhimpunan Agung UMNO 2006 baru-baru ini.
Dalam laporannya, DAP menamakan lapan pemidato UMNO yang kononnya berhujah dengan ayat-ayat menghasut yang boleh merosakkan keharmonian kaum, integrasi dan perpaduan nasional.
Antara perwakilan yang dinamakan dalam laporan beliau ialah Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Razali Idris; Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Reezal Merican Naina Merican dan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Salamon Salamat.
Berita-berita yang sedang membentang membolehkan tafsiran berikut dibuat.
Adakah tindakan yang nampak seperti TPM Najib adalah de facto kuasa tertinggi dalam hal percaturan korporat puluhan bilion ringgit ini membayangkan Perdana Menteri sudah semakin tidak berkuasa lagi?
Atau adakah pencak dan tari yang kita saksikan ini membayangkan Abdullah A. Badawi sengaja memberi TPM Najib peluang hari-hari pengesut untuk bermandi cahaya, dan menjadi tumpuan umum bak “raja sehari.” Kerana selepas ini dalam tempuh terdekat TPM Najib akan dihantar pulang ke kampung?
Lapuran polis oleh DAP tidak bermakna tindakan akan menyusuli. Hakikat ini adalah pengetahuan umum. Malah kalau bertindak pun, tidak semestinya polis akan bertemu salah. Sebab jangan lupa, ini kes politik yang melibatkan menantu Perdana Menteri.
Macam-macam boleh berlaku – polis mungkin boleh menyelesaikan siasatan, tetapi tidak semestinya Pendakwa Raya akan bersetuju hasil siasatan adalah mencukupi untuk mendakwa orang-orang yang disiasat.
Sekali jangan lupa, ini kes politik yang melibatkan menantu Perdana Menteri dan pasukannya yang dalam jangkaan rakyat akan mengambil alih tampuk pentadbiran negara.
Selari dengan perkembangan UMNO, ada satu berita lain yang cukup membangkit minat tetapi sayang tidak disiar media arus perdana. Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI) diberitakan telah memberi pendapat bahawa menantu Perdana Menteri kini sedang ketakutan akan hilang jawatannya dalam UMNO.
Sangkaan DSAI mungkin meleset mungkin tidak. Tetapi jika diambil kira penonjolan TPM Najib dalam tempuh sehari dua ini, maka saya cenderung merumusakan bahawa UMNO kini sedang memfasakeluarkan (phasing out) Abdullah A. Badawi.
Nota: Amacam PAS? Peluang untuk memijak poster gambar Abdullah A. Badawi dalam PRU ke 12 kelak, sepertimana mudahnya bertepuk bertampar memijak poster gambar Tun Dr Mahathir seperti dalam PRU 1999 dulu sudah malap nampaknya. Apakah para *sarjana* PAS mempunyai Pelan B?
No comments:
Post a Comment