Tuesday, November 14, 2006

Mampukah Abdullah A. Bardawi Bertahan? Jawapannya Banyak Bergantung Pada SPR

Bagi anda pelayar siber, usahlah dimimpi bahawa gambar atau penulisan internet yang bersifat “negatif” akan dapat menjatuhkan mana-mana politikus atau selebriti Malaysia. Berpandukan sejarah pergolakan masyarakat, khususnya pergolakan politik sejak 1997, pendedahan internet tentang apa juga khilaf sulit seseorang politikus atau selebriti sebenarnya tidak membawa banyak kesan di alam nyata.

Di zaman Reformasi dulu, di alam siber, Tun Dr Mahathir dimaki hamun 24 jam sehari, 7 hari semingu, 365 hari setahun. Namun beliau tetap kekal mentadbir Malaysia hingga ke suatu tarikh yang beliau sendiri pilih, yang beliau sendiri rasa sesuai untuk bersara. Begitu juga dengan nasib dua tiga orang artis muda. Gambar-gambar disaat intim disimbah ke dada siber, namun populariti mereka kalis pendedahan, malah makin menebal, bertambah popular ekoran pendedahan.

Seperti dengan negarawan yang beliau gantikan, Abdullah A. Bardawi kini diserang hebat melalui internet. Serangan dibuat bukan sahaja terus kepada beliau, malah secara tidak langsung melalui menantu beliau. Begitu hebat serangan hinggakan pemerhati politik asing pun sudah berkeyakinan untuk membuat telahan akan nasib politik beliau. Tubian serangan siber adalah sebegitu rupa hinggakan Abdullah Bardawi terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa beliau bermaksud untuk pertahankan kedudukan waima sehebat manapun dikritik.

Ramai berpendapat tempo dan irama perhimpunan agung UMNO yang sedang berlangsung adalah pembayang samada Abdullah A. Bardawi mampu bertahan sehingga PRU 12 dan selepas itu. Saya walau bagaimanapun mempunyai pendapat yang berbeza.

Penguasaan Presiden UMNO ke atas ahlinya adalah mutlak lagi total. Ya, mungkin ada secalit dua rungutan dan rajukan kecil di sana sini, tapi rata-ratanya sokongkan ahli UMNO terhadap Abdullah A. Bardawi adalah padu.

Kesepaduan UMNO dalam berfikir selari (groupthink), itu satu faset (facet). Tetapi sebenarnya faset yang mengizinkan monopoli UMNO dalam politik negara ialah kesediaan SPR untuk bersekongkol.

Gambar di bawah ialah screen shot satu halaman yang dipilih secara rawak dari Rang Daftar Pemilih Tambahan Untuk Suku Pertama tahun 2006 bagi Kelantan. Halaman yang dipaparkan adalah tipikal dalam ertikata menunjukan perincian perubahan dalam daftar pemilih. Kebetulannya, saya terjumpa daftar bagi Unit Peti Undi (UPU) Larat, dalam DUN N17 Salor, Parlimen P24 Kubang Kerian, Kelantan.

Izin saya menarik perhatian pembaca kepada dua perkara besar dalam halaman ini:

  • Penandaan Pemotongan – Tiada Rekod di JPN
  • Penandaan Pemotongan – Masuk Polis


Sebelum tuan/puan membaca selanjutnya, izin saya tegaskan di sini bahawa apa juga yang saya bincangkan selepas ini adalah semata-mata dalam konteks menyerlahkan konsep, dan sebesar zarrah pun saya tidak berniat untuk mengaibkan nama-nama yang tersenarai sebagai Bilangan 33 dan 34.

Penandaan Pemotongan – Tiada Rekod di JPN

Apa yang menghairankan tentang perkara ini ialah SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah dua jabatan kerajaan yang sebahagian besarnya telah dikomputerkan sejak tahun-tahun lewat 80han lagi. Persoalannya kini ialah mengapa hanya dalam tahun 2006 baru SPR bertemu nama pemilih yang tidak wujud dalam rekod JPN? Sejak bila nama tersebut terdaftar? Adakah nama-nama sebegini yang dimaksudkan dengan “pengundi hantu”?

Dan lagi, sebelum penemuan ini, sudah berapa kali “pengundi” dengan nama dan kad pengenalan ini keluar mengundi? (Tidak pernah? Berani bersumpah dalam mahkamah?) Amnya, dalam kes sebegini apa kepastian dan jaminan yang berani SPR beri?

Penandaan Pemotongan – Masuk Polis

Isu pengkomputeran, itu satu perkara. Tetapi isu kedua yang lebih besar ialah bagaimana seorang anggota polis, yang lazimnya sebelum lagi tamat latihan pun telah diberikan kad pengenalan baru (kad kuasa) menggantikan kad pengenalan awam, boleh tersenarai sebagai pemilih dengan kad pengenalan lama.

Sehubungan ini timbul soalan cepumas: penama mengundi dengan menggunakan kad pengenalan mana? Kad pengenalan awam atau kad kuasa polis? (Kalau jawabnya ialah kad pengenalan awam, maka sekaligus ini bermakna pengundi ada dua kad pengenalan!).

Bolehkah SPR memberi jaminan bahawa selama pemilih terdaftar dengan kad pengenalan awam, penama hanya mengundi sekali sahaja dalam setiap pilihraya? Dan tidak mengundi di UPU X dengan kad pengenalan awam, tetapi dalam waktu yang lain pula telah mengundi di “peti undi POS Y” dengan menggunakan kad kuasa polis?

Respon rutin UMNO dan SPR bilamana soalan sebegini dibangkitkan ialah menggonjengkan (meremehkan sambil menghina) parti-parti pembangkang. Lazimnya menuduh parti pembangkang berhisteria untuk menutup kelemahan. Dan malangnya ramai pula pengundi yang bersependapat dengan UMNO dan SPR.

Tetapi percayalah, kepincangan daftar pemilih seperti inilah (yang diperbetulkan dikit demi sedikit, seolah-olah penyu bunting naik bertelur), jika ianya disalahgunakan, yang boleh memenangkan parti yang SPR sokong. Atau membuat tokoh tertentu nampak begitu popular.

Apa? UMNO selama ini tidak pernah menyalahgunakan kuasa?

No comments: