Sunday, August 31, 2008

Bajet 2009 (Bahagian 3a): Ubatnya Lagi Teruk Dari Penyakit

Sekali imbas, memang nampaknya kurang sopan dipihak saya bila menuduh pengurusan ekonomi Dolah & Menantunya itu lintang pukang tanpa menyertakan bukti.

Sehubungan, saya tidak perlu bersumpah laknat atau sumpah berkanun kos RM4/= kerana antara buktinya ada terpampang di depan mata kepala pembaca. Contoh mudah ialah cara mengatasi inflasi.

Punca Inflasi

Perlu diingat bahawa punca inflasi mendadak yang berlaku kini adalah kesalahan Dolah & Menantunya bergegas menaikkan harga petrol pada kadar 42% tanpa fikir panjang.

Tiada gunanya mengambil jalan sukar dengan kos yang tinggi memberi rakyat pelepasan cukai itu dan ini, atau dicampak kepada rakyat subsidi itu dan ini, yang mana semuanya ini dipanggil “langkah meningkatkan kuasa beli rakyat” bila penyebab inflasi itu tidak dibasmi!

Segala langkah "meningkatkan kuasa beli rakyat" adalah merupakan tindakan off-tangent yang nampak seperti hendak menunjuk bijak. Clever by half.

Cantas dulu punca penyakit yang disering disebut menyebabkan inflasi. Kembalikan harga petrol ke paras asal RM1.92/liter. Tengok apa jadi, kemudian kalau langkah ini tidak boleh membendung inflasi, cubalah jalan lain.

Alasan menaikkan harga petrol kerana kononnya kerajaan tidak mampu berterusan membayar subsdi RM42 bilion setahun atau RM3.5 bilion sebulan adalah karut kerana dua sebab.

  • Harga Jualan Minyak Mentah Malaysia Meragukan

Pertama, pengeluaran minyak mentah Malaysia ialah ditahap 20 juta tong sebulan. Jika minyak ini telah dijual pada harga semasa minyak mentah dunia, katakan, purata US$80/tong, ini bermakna Malaysia sudah dapat hasil jualan sebanyak US$1.6 bilion/bulan.

Jumlah ini pada kadar pertukaran US1 = RM3.5 bermakna Malaysia sudah dapat hasil RM5.67 bilion sebulan.

Itu perkiraaan untuk minyak mentah. Belum lagi diambil kira gas asli dan lain-lain produk petroleum.

Tetapi malang hasilnya tidak begitu. Hasil yang Malaysia perolehi dari jualan minyak mentah yang dikeluarkan hanyalah RM3.5 bilion/bulan.

Mengapa ini terjadi?

Bukti-bukti yang ada terpampang di depan mata menunjukan Malaysia telah menjual minyak mentah keluarannya pada harga purata US$52/tong. Maksudnya kita rugi US$28/tong atau US$567 juta sebulan yang bersamaan dengan RM1.92 bilion.

Mengapa jadi begitu? Adakah Malaysia terlalu banyak menjual melalui “kontrak hadapan”? Atau ada sesuatu yang “tidak kena” dengan pengurusan di Petronas?

Jika silapnya pada kontrak hadapan, sedar lah bahawa tiada kontrak di dunia ini yang tertulis atas batu. Kontrak boleh dikaji semula, dirunding semula dan macam-macam.

Lagikan ajal maut yang tertulis di Luh Mahfuz boleh “dirunding” lewat doa dan munajat – inikan pula kontrak yang manusia buat!

Dari hal mengurus, meletak harga jualan hasil sumber asli negara, bukti menunjukan masih wujud terlalu banyak ruang untuk penambahbaikkan. Mengapa tidak mula tunjuk bijak di sini?

Itu baru perkiraan untuk minyak mentah. Yang mana berpandukan maklumat awam (publicly available information) – tidak perlu korek apa-apa fail rahsia -- pun sudah cukup untuk rakyat mengumpul bukti menuduh Dolah & Menantu tidak cekap mengurus hasil nombor satu negara.

Berbalik kepada cerita subsidi minyak yang Khairy Menantu Dolah bisingkan berjumlah RM42 bilion setahun atau RM3.5 bilion sebulan. Maklumat awam menunjukan jumlah tersebut adalah lebih kecil berbanding hasil jualan (a) minyak mentah + (b) gas asli + (c) lain-lain produk petroleum yang berjumlah RM9 billion sebulan.

RM9 bilion tolak RM3.5 bilion masih ada lagi RM5.5 bilion.

Maka sampai saya kepada “soalan pandir” – apa yang memekak sangat seolah-olah wujud satu krisis, satu kegawatan kewangan yang maha dasyat, hinggakan tidak menyempat untuk naikkan harga petrol?

… bersambung di kelapangan yang lain.

Bajet 2009 (Bahagian 2): Prihatin Untuk Siapa?


Persepsi manusia adalah begitu sifatnya – diberi sesuatu gambar, kita akan tumpu pandang kepada apa yang kita mahu lihat, dan sering pula kita akan fokus kepada apa yang orang lain mahu kita lihat.

Begitulah halnya kita dengan Bajet 2009. Kita cari di mana habuan kita dalam bajet tersebut. Jika ada, dan pada jumlah yang kita nilai ‘selesa,’ kita puji karyawan bajet. Jika sebaliknya, kita akan caci dan nista. Itu di peringkat peribadi.

Dan dalam hal inilah Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar itu tersangat bijak semasa mereka berkuasa dulu. Mereka tahu bahawa rakyat tidak akan terlalu peduli bahagian habuan yang mereka rembat, selagi rakyat turut serta dapat “menumpang tulang dan kuah.”


Walau pun sudah agak lambat, Dolah Badawi, Anak & Menantunya nampaknya sudah mula belajar realiti kenegaraan ini. Jika selama ini mereka bersikap “pulun semua hingga mangkuk pun nak digalas” kini mereka sudah mula belajar tinggalkan “kuah” kepada rakyat. Dah kenyang sangat lah tu agaknya.

Berbalik kepada cerita Bajet 2009, ada beberapa item besar yang saya dapati meragukan dari segi naiwatu dan hasrat sebenar.

Muka depan Utusan Malaysia Ogos 30, 2008.  Maka mencurahlah peruntukan ke sektor pengangkutan awam.

Ambil contoh peruntukan kepada pengangkutan awam. Falsafah yang saya amati tentang subjek itu ialah – Belanja, Buat Baru – Belanja, Buat Baru – Belanja, Buat Baru! Langsung tidak sebut usaha atau keinginan untuk membaikpulih aset dan infrastruktur yang sedia ada.

Sikap sedemikian memberi kredibiliti kepada sindiran Tun Dr Mahathir (melalui blog beliau) tentang cara Dolah & Menantunya mengurus aset angkutan awam. Di mana mengikut sindiran Tun Mahathir, demi membolehkan Scomi syarikat Kamaluddin anak jantan Dolah mendapat tender membina bas-bas baru, 1,000 bas milik Rapid KL yang masih elok dan boleh digunakan telah dilupuskan begitu saja.

Rupa rupanya Scomi syarikat anak Pak Lah ada terlibat dalam bisnes buat koc keretapi dan bas.  Bertuahnya sektor pengangkutan awam.

Jika sebegitu blatant – terang terangan – Dolah boleh buat kepada harta dan kemudahan rakyat demi mengkayakan anak dia seorang, agaknya berapa banyak item tersorok, kunci harta karun tersembunyi, telah diselitkan dalam bajet tahun depan demi memboncitkan perut anak beranak beliau?

Saturday, August 30, 2008

Bajet 2009 (Bahagian 1): It’s Now Or Never

‘It’s now or never’ adalah satu lagu Inggeris nyanyian Elvis Presley yang sentiasa segar – evergreen. Lagu ini mungkin tidak membunyikan apa-apa loceng dalam kepala rakyat Malaysia generasi 1970han ke atas, tetapi bagi OTAI (old timer) – orang-orang lama -- lagu ini mungkin boleh membangkitkan 1,001 nostalgia.

Lupakan terjemahan harfiahnya, lagu ini sebenarnya membawa erti – jika tidak sekarang tiada esok lagi bagi ku.

Dan begitulah penampilan bajet yang Dolah Mertua Khairy baca di parlimen kelmarin. Satu bajet yang menampakkan betapa terdesak dan tertekannya Dolah kebelakangan ini.

Saya belum lagi habis membaca bajet itu pada keseluruhannya, tetapi sepanjang apa yang saya baca saya sudah berani bersetuju dengan pendapat pemerhati antarabangsa bahawa bajet itu adalah satu karya yang terbit dari pemikiran yang tidak cerdik.

Bajet defisit membawa maksud negara akan belanja lagi banyak dari hasil. Amnya di tahap intrinsik sesuatu bajet itu – defisit, seimbang atau lebihan – tidak mempunyai apa-apa signal buruk atau baik yang hakiki, dan mesti dinilai dalam konteks ekonomi keseluruhan. Sama seperti dengan meminjam duit (hatta dari Ah Long) di peringkat ekonomi individu.

Tetapi kalau dah tahun berganti tahun asyik meminjam, asyik bajet defisit, ini mengisyaratkan sesuatu yang tidak kena dengan pengurusan ekonomi.

Dan dalam kes kebijaksanaan Dolah dan Menantunya mengurus ekonomi negara, bajet yang mereka persembahkan tidak pernah surplus atau berlebihan, atau seimbang (balanced) sejak belanjawan 2003!

Sehubungan, saya menjangka reaksi pasaran wang antarabangsa yang lebih drastik lagi dalam minggu-minggu yang mendatang yang akan melemahkan lagi nilai matawang Ringgit.

Geraf menunjukan untuk tempoh 1 tahun ke belakang berapa banyak (sen) duit US boleh dapat bila RM1/= ditukar.

Nilai Ringgit yang lemah akan menyebabkan satu lagi pusingan inflasi berlaku kerana pengimport akan terpaksa bayar lebih bagi sesuatu barangan yang diimport – tanpa berlaku apa-apa perubahan kepada kuantiti atau mutu barangan tersebut.

Siap lah – harga daging import, harga segala makanan berasaskan gandum, jagung, beras segala rempah ratus akan melonjak lagi. Apatah pula kita rakyat bakal menghadapi musim perayaan.

Saya boleh perincikan (apa yang saya fikir) segala “silap tahap gaban” yang terkandung dalam bajet terbaru Dolah. Tetapi memadai saya katakan bajet ini jahil ekonomi yang amat-amat. Seolah-olah semasa bersekolah dulu karyawan bajet langsung tidak pernah bertemu istilah “built-in inflation” – inflasi sedia tertempek.

Built-in inflation adalah satu kitaran ganas yang berlaku bila gaji, subsidi, atau lain-lain imbuhan dinaikkan dalam mengejar dan mengatasi kadar inflasi. Dan inflasi jenis ini berlaku bila sebab-sebab hakiki yang menyebabkan inflasi sedia ada tidak dibaiki.

Dolah dan Menantu sepatutnya cuba dulu membaikpulih penyebab kepada inflasi yang sedang berlaku sebelum menaikkan gaji, memberi bonus, atau memperkenalkan subsidi baru.

Sayang sungguh, dalam bab-bab mengenalpasti masalah ekonomi negara, berbanding Dolah dan Menantunya, pemimpin dari Sabah – masyarakat yang kita di Semenanjung sering anggap sebagai ‘Sakai baru belajar pakai seluar’ adalah jauh lebih bijak.

Kat mana kita patut campak Dolah dan Menantunya?

Friday, August 29, 2008

Aku & Permatang Pauh (2): Ke Mana Hilang 569 Undi UMNO-BN?


Kalau diikutkan rekod prestasi Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, tidaklah menjadi sesuatu yang sukar bagi beliau mendapat majoriti 20,000 undi dalam apa-apa pilihan raya.

Ini kerana kali akhir beliau bertanding di situ dalam tahun 1995, beliau berjaya memukat majoriti 23,515 undi. Sebab itulah ada pihak yang memperlekehkan kemenangan beliau dengan majoriti 15,671 undi – penambahan 857 undi berbanding dengan majoriti 13,388 yang diperolehi oleh Wan Azizah isterinya semasa PRU-12 dulu.

Dan seperti biasa dengan karisma Anwar, apa juga tindakan yang dilihat menyentuh “aura keunggulan” beliau akan mengundang reaksi bengkeng dari penyokong.

Tetapi begitulah adanya, Anwar yang sepatutnya dapat memperbaiki rekod Wan Azizah dengan penambahan 6,600 cuma dapat menokok 857 undi sahaja.

Apa sudah jadi? Karisma Anwar sudah sedikit luntur? Atau pukauan Dolah Badawi ke atas pengundi masih tebal? Atau jentera dan strategi kempen Pakatan Rakyat tidaklah sehebat yang di-mistik-kan?

Apapun sebabnya, itu semua tidak menghairahkan saya.

Saya melihat semua itu dari kacamata proses matematik. Bagi saya apa yang berlaku adalah tidak lebih dari satu proses logical incrementalism. Di mana kadar perbedaan – the rate of changekadar pertambahan benci terhadap Regim Dolah Badawi telah mula menurun dan hampir bertemu satu titik minima semulajadi dalam geraf keseluruhan.

Sebaliknya apa yang boleh menaikkan “sheikh” saya ialah natijah bagaimana penyokong setia UMNO-BN bertindak bila diasak realiti kejelikkan parti politik yang mereka sokong. Khususnya kejelikkan cara UMNO-BN itu berkempen.

Sebenarnya angka 857 undi tambahan bagi Pakatan Rakyat kali ini bukanlah satu jumlah yang besar berbanding 1,426 undi atau 8% yang UMNO-BN hilang berbanding angka sokongan semasa PRU ke-12.

  • Ke mana perginya undi-undi tersebut? Yang jelas 857 undi telah menyeberang ke pihak Pakatan Rakyat. Selebihnya ke mana perginya baki 569 undi (1,426 – 857)?

  • Sehubungan, satu andaian yang saksama tentang apa yang terjadi kepada baki 569 undi ialah sebanyak 184 penyokong UMNO-BN telah tidak keluar mengundi!

  • Seterusnya apa jadi kepada baki 385 undi (569 – 184) lagi? Besar kemungkinan undi-undi inilah yang menjadi komponen terbesar 447 undi yang rosak.

Wow! Satu penemuan yang menginsafkan. Rupa-rupanya jiwa penyokong UMNO-BN adalah persis jiwa penyokong PAS Kelantan. Mereka boleh benci dengan calon, boleh benci dengan rekod khidmat parti keseluruhannya – seperti apa yang berlaku di Kelantan dalam tahun 2004 semasa PRU ke-11 – tapi bagi sebahagian besar dari penyokong setia, sekali-kali mereka tidak akan pangkah parti lawan.

Ya, berontak mereka tetap berontak. Cuma cara mereka berontak adalah lebih seni. Mereka tidak keluar mengundi, mereka rosakan kertas undi.

Andaikan pengamatan saya tepat, apakah pendekatan psaikologi yang harus diambil untuk memastikan ketidak-puasanhati penyokong UMNO-BN itu diterjemahkan secara lebih konstruktif, khususnya mengambil bentuk memangkah calon-calon Pakatan Rakyat?

Aku & Permatang Pauh (1): Salah Sangka Kepada Jangka


Dalam penulisan Mustahil Anwar Dapat Majoriti 15,000 Undi? saya telah membuat jangkaan Anwar Ibrahim akan menang dengan majoriti 20,000 undi. Namun realitinya Anwar cuma menang dengan majoriti 15,671 undi -- maksudnya saya telah buat silap, terlebih anggar, pada darjah 22%.

Diakui saya membuat jangkaan dari jauh. Kerana sewaktu dengan tempoh kempen, isteri saya masih lagi dalam pantang, dan kurang sopan jika saya keluar ‘makan angin’ di waktu itu, maka saya terpaksa ikuti perkembangan pilihan raya kecil Permatang Pauh dari Kota Bharu. Mengikuti dari membaca komen dan lapuran internet, dari mendengar lapuran “lintas langsung” atau sms dari kawan-kawan yang berkesempatan berada di tapak untuk turut serta berkempen atau menjalankan kerja-kerja lain yang berkaitan.

Apapun alasannya saya tidak sepatutnya silap ke tahap 22%.

Pengalaman harian saya menunjukan kebencian terhadap Regim Dolah Badawi adalah menyeluruh, malah merebak menjangkiti penyokong-penyokong setia UMNO-BN yang sanggup memberi peluang kedua (second chance) kepada Dolah semasa PRU ke-12 dulu. Yang mana ramai di kalangan mereka kini menyesal sakan berbuat demikian setelah melihat telatah Dolah yang degil tidak mahu akui kesilapan. Malah bebal tidak mahu iktiraf wujud masalah dalam batang tubuh UMNO-BN.

Dalam konteks itu jangkaan saya, 1 dalam 5 atau 20% dari saki baki penyokong UMNO-BN semasa PRU ke-12 dulu akan berpaling tadah adalah satu sangkaan yang agak saksama. Yang mana jika itu berlaku Anwar sepatutnya mendapat majoriti sekitar 20,000 undi.

Malah sangkaan saya bukanlah dibuat semata-mata di alam khayalan. Ia sebenarnya mempunyai benih di alam nyata, berpasak pada fakta sejarah – kali terakhir Anwar bertanding di Permatang Pauh dalam tahun 1995, beliau menang dengan majoriti 23,515 undi.

What went wrong? Or is it that I am getting old hence not getting any sharper? I suppose forecasting has become like what golf or sex has become of me – I am not getting any better it seems.

Monday, August 25, 2008

Tanah Jerlus Di Jalan Bellamy* -- Majoriti Anwar 42,000 Undi

Suspens? Hingga menggigit jari? Ya, saya pun begitu. Terlalu banyak berita dari Permatang Pauh dalam internet dan yang melimpah masuk ka inbox handphone. Hampir semuanya pendapat dan luahan harapan, luahan kekhuatiran, spekulasi atau luahan fear of the unknown.

Kepada apa kita harus bersandar untuk menyaring berita?

Kalau dalam budaya pengajian sekular, kita sandarkan pertimbangan kepada bukti empirik. Namun sayang di Malaysia kita jarang ketemu bukti empirik – bukti sumpah lahanat atau sumpah berkanun kos RM4/= berlambak.

Cuba kita imbas kembali apa bukti empirik yang ada.

Salah satu implikasi, walaupun agak totok yang dapat dibuat dari penemuan-penemuan empirik tersebut ialah “karat biru,” sokongan tegar, di kalangan saki baki penyokong UMNO-BN semasa PRU-12 dulu kini sudah tinggal 11% atau pun paling tinggi 26%.

Maksudnya jika kita jadikan 16,950 orang -- yakni jumlah pengundi UMNO-BN di Permatang Pauh semasa PRU-12 sebagai asas perkiraan, kita akan dapati saki baki penyokong UMNO-BN di Permatang Pauh kini hanya tinggal sekitar 1,800 hingga 4,400 orang sahaja.

  • Di samping penemuan kajian Merdeka Center, pengamatan sepintas lalu (dalam slanga pengajian metodologi kajian di panggil “eye ball test”) mendapati kehadhiran ceramah Pakatan Rakyat berbanding UMNO-BN ialah dalam nisbah 25:1.

Sebagai contoh, wartawan Harakah semalam mendapati kehadhiran sekitar 500 orang di ceramah Dr Hatta Ramli di Seberang Jaya, berbanding kehadhiran 20 orang di ceramah UMNO-BN yang dijalankan pada waktu yang sama di tempat yang terpisah jaraknya hanya 50 meter.

Nisbah ini membayangkan saki baki penyokong UMNO-BN di Permatang Pauh hanya tinggal lagi sekitar 4% sahaja. (Anggaran ini pun tidak boleh di “pooh-pooh”kan begitu saja kerana pengamatan semalam menunjukan hampir semua bilek gerakan UMNO dari negeri-negeri lain sudah pun ditinggalkan kosong. Fenomena ini tidak akan berlaku sekiranya petugas tidak menjangka satu kekalahan besar).

Seperti simulasi sebelum ini, jalan cerita jadual di atas adalah seperti berikut. Bermula dengan undi majoriti yang Wan Azizah perolehi dalam PRU-12 dulu, di andaikan:

(a) tiada pengundi baru didaftarkan,

(b) tiada tambahan pengundi pasif keluar mengundi,

(c) penyokong Pakatan Rakyat semuanya masih setia,

(d) semua undi UMNO-BN yang lari diberikan kepada Anwar, dan

(e) peratus keluar mengundi kekal 81%.

Diberi andaian di atas, sebagai contoh, jika dikatakan saki baki penyokong UMNO-BN sekarang hanya tinggal 11% lagi, maka adalah wajar dirumus paling banyak undi calon UMNO-BN mampu perolehi ialah 1,865. Jika itu sememang berlaku, maka majoriti Anwar ialah 43,559 undi. Itu satu senario.

Kerana kita mempunyai 3 senario saki baki penyokong UMNO-BN yang berbeza, maka untuk menjurus kepada satu pertimbangan saksama, kita harus ambil purata dari ketiga-tiga senario. Dan puratanya ialah Anwar mendapat majoriti sekitar 42,500 undi.

Satu rumusan yang keterlaluan? Sama-samalah kita saksikan kesudahannya esok.

*Nota: Jalan Bellamy, Kuala Lumpur ialah di mana letaknya kediaman peribadi Abdullah Ahmad (Badawi)

KEMASKINI: Darihal Mengundang Bala Lewat Sumpah Lahanat

Agaknya niat drama sumpah laknat Saiful ialah meledakkan karisma Anwar Ibrahim. Sebaliknya reputasi UMNO & Barisan Nasional yang termusnah. Agar episod ini menjadi pengajaran bagi semua strategis dan pemikir politik Melayu-Islam hingga ke hari kiamat.

Darihal sumpah Saiful, terdahulu saya telah rumuskan seperti berikut:

Sehubungan, apakah Saiful dan bapanya yang nampak bersikap lebih sudu dari kuah itu masih lagi menunggu dipanah petir? Sebelum mereka mengakui fakta bahawa mereka telah berdusta!

Dan nampak gayanya, bala yang diundang kini telah datang satu demi satu silih berganti. Kalau saksi terpenting upacara tersebut telah tebarkan keraguan, di mana Saiful dan abahnya kini sorokkan muka?

Sunday, August 24, 2008

Mustahil Anwar Dapat Majoriti 15,000 Undi?

Sebelum menulis selanjutnya, saya mohon maaf kepada pembaca berugama Hindu jika tulisan saya kali ini menyinggung perasaan. Saya tidak berniat menghina tuan/puan atau ugama tuan/puan, sekadar meminjam istilah dari budaya tuan/puan dan menggunanya dalam konteks kefahaman marhaen akan istilah tersebut.

Ada pun kemudian dari itu.

Bagi saya, UMNO adalah satu perkumpulan manusia pariah yang bercita-cita menjadi bangsawan. Sebaliknya PAS adalah parti politik untuk elit yang ingin merasa jadi marhaen.

Segala kaki busuk masyarakat, segala haprak masyarakat menganggotai UMNO demi mengejar kekayaan, pangkat dan darjat – menjadi bangsawan. Ada masalah dengan polis? Masuk UMNO dan sertailah PEKIDA. Ada masalah dengan bank? Masuk UMNO dan sertailah Dewan Perniagaan Melayu. Hanya melalui UMNO seorang penjaga get keretapi berjiwa samseng, kaki pukul, mampu menjadi hartawan sambil bermegah dengan darjah kebesaran.

Dan hanya UMNO meraikan dan menggalakkan si-rendah IQ membeli ijazah dan bermegah dengan PhD palsu. Malah melantik pemegang- pemegang ijazah palsu ini menerajui think tank dan lain-lain istitusi ilmu yang ditaja lumayan dengan dana negara.

Yang mana, “hasil kajian,” pendapat dan pemikiran dari “institusi- institusi” inilah yang dijadikan input dalam ucapan pembesar UMNO, malah dijadikan dasar negara, hatta strategi UMNO berdepan dengan Pakatan Rakyat.

Bagaimana pula dengan PAS?

PAS adalah sebuah wadah bagi intelligensia masyarakat merasai tawadho’ (humility). Parti di mana segala pensyarah, artis, doktor, jurutera, pakar fizik nuklear dan lain-lain profesional duduk bersimpuh bergaul dengan pemandu teksi, penarik beca, nelayan tua, si-postmaster pencen, si-penjual air tebu, air soya, si-penjual ayam dan segala marhaen lain.

Panjang bebelan, nampak! Ya, satu mukaddimah yang tersangat perlu untuk membingkaikan idea yang hendak diketengahkan.

Untuk memahami apa yang sedang dan bakal berlaku di Permatang Pauh pada tanggal 26 Ogos kelak, pembaca perlu tahu apa yang telah berlaku kepada UMNO-BN pada PRU-12 yang lalu.

Keputusan PRU-12 untuk Pulau Pinang menunjukan UMNO-BN telah hilang sebanyak 156,095 undi atau mengalami kemerosotan sokongan 26% berbanding yang diperolehi dalam tahun 2004 untuk PRU-11.

Ke mana perginya sokongan tersebut?

Mudah sekali jawapannya -- penyokong UMNO-BN telah lari ke Pakatan Rakyat, di mana untuk PRU-12 sokongan telah melonjak sebanyak 250,677 undi atau peningkatan sokongan 64% berbanding tahun 2004.

UMNO-BN hilang 156,095 undi, Pakatan Rakyat dapat tambahan 250,677 undi, dan kalau diandaikan semua 156,095 undi UMNO-BN yang lari itu telah diberi kepada Pakatan Rakyat, wajar ditanya mana datang limpahan 94,583 (250,677 – 156,095) undi lagi untuk PR?

Pun jawapannya mudah.

94,583 undi itu datang dari hampir semua pengundi muda, atau warga tua yang baru pertama kali daftar mengundi, serta semua “pengundi pasif,” maksudnya warga negeri yang selama ini telah didaftarkan tetapi tidak ambil pusing untuk keluar membuang undi. Dan sekali-sekali pengundi pasif ini keluar mengundi – mereka pangkah DAP, PKR atau PAS tetapi sama sekali tidak UMNO-BN.

Huh, yakin benar Rudin X dengan rumusannya, khususnya tentang pengundi pasif!

Ya, saya yakin kerana peratus keluar mengundi di Pulau Pinang dalam tahun 2008 meningkat 8% kepada 81% dari 73% dalam tahun 2004. Maksudnya 53,789 warga yang selama ini tidak ambil pusing – pasif -- tentang hal-hal politik telah bertindak keluar membuang undi, memangkah parti-parti komponen PR, demi mendajjalkan Pak Lah dan UMNO-BNnya.

Dan itu semua berlaku sebelum Pak Lah berbohong tentang kenaikkan harga petrol dan rakyat seluruh negara dihimpit inflasi mendadak.

Kini rakyat, baik penyokong atau penentang, telah tahu dengan maha jelas hati budi Pak Lah. Tak kanlah dalam keadaan sebegitu pun, 1 dalam 10 penyokong “karat biru” masih belum berani menukar selera? 1 dalam 5 penyokong totok UMNO-BN masih belum berani menyeberang untuk menyokong parti-parti yang bersekutu dengan PAS?

Jadual di atas adalah satu simulasi menunjukan majoriti yang Anwar Ibrahim bakal perolehi jika hanya sekian peratus (X%) penyokong UMNO-BN lari menyokong Anwar.

Jalan cerita jadual adalah seperti berikut. Bermula dengan undi majoriti yang Wan Azizah perolehi dalam PRU-12 dulu, di andaikan:

(a) tiada pengundi baru didaftarkan,

(b) tiada tambahan pengundi pasif keluar mengundi,

(c) penyokong Pakatan Rakyat semuanya masih setia,

(d) semua undi UMNO-BN yang lari diberikan kepada Anwar, dan

(e) peratus keluar mengundi kekal 81%.

Diberi andaian di atas, katakanlah 1 dalam 20 penyokong UMNO-BN, atau 5% dari 16,950 ahlul “karat biru” berubah hati -- Anwar sudah boleh dapat majoriti 15,083 undi! Ya, Anwar hanya perlukan 848 orang UMNO-BN terpukau dengan karismanya untuk meng-tong-sampahkan perkiraan Arif Shah.

Mustahil sangatkah 1 dalam 20, atau 1 dalam 10, bahkan 1 dalam 5 penyokong UMNO-BN berpaling tadah diberi segala perkembangan negatif ekonomi dan pertualangan politik yang berlaku dalam tempoh 4 bulan selepas PRU-12?

Di samping itu ingat – trend kemorosotan undi UMNO-BN di Pulau Pinang ialah 26%!

Ya, rakyat mungkin simpati dengan dubur Saiful yang mungkin bernanah akibat diliwat Anwar, tetapi saya jangka rakyat lebih prihatinkan tangisan berpanjangan anak-anak mereka yang kehabisan susu. Kerana mereka tidak mampu harga susu yang melambung. Dubur Saiful mungkin sengasara untuk seketika, tapi inflasi tajaan Pak Lah membuat semua rakyat sengsara berpanjangan.

Maka itu saya yakin rakyat akan persetankan sumpah dan dubur Saiful. Rakyat boleh beri simpati, tetapi yang lebih penting, sepengamatan saya, rakyat mahukan harapan. Melalui Anwar mereka merasakan ada harapan, dengan Pak Lah mereka tahu gelap masa depan (kecuali untuk Khairy dan Kamaluddin).

Kerana itu saya jangka 1 dalam 5 atau 20% peratus penyokong UMNO-BN di Permatang Pauh akan berpaling tadah menyokong Anwar. Yang mana dengan itu akan memberi Anwar majoriti 20,000 undi dalam pilihan raya kecil ini.

Saturday, August 23, 2008

Terpaksa Turunkan Harga Petrol? Tu Lah, Ikut Lagi Telunjuk Menantu

Dah terlewat sebenarnya. Momentum kebencian rakyat semakin membukit.

Alhamdulillah, mulai hari ini harga petrol turun 15 sen. Umum percaya tindakan Pak Lah mengarahkan penurunan ini ada hubungkait dengan asakan Anwar Ibrahim dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh. Apa juga alasan Pak Lah berbuat demikian, saya tidak mahu tahu.

Sebaliknya apa yang saya mahu ialah rakyat tahu bahawa sengsara kita menanggung inflasi dalam tempoh dua bulan lepas ekoran kenaikkan mendadak harga petrol adalah kerana salah menantu Pak Lah. Bukan kecil anak punya sengsara, tetapi sengsara mengharung inflasi terburuk dalam tempoh 26 tahun kebelakangan ini.

Kita rakyat sengsara kerana Khairy menantu Pak Lah mempunyai kefahaman cetek yang tidak realistik serta songsang tentang falsafah ekonomi pasaran bebas dan peranan subsidi dalam skema itu. That smart ass has got an unrealistic, shallow and a convoluted understanding of the free market philosophy and the role of subsidy therein. Apa yang jelas menantu Pak Lah mempunyai satu kebencian tidak rasional tentang subsidi.

Walhasil, pengurusan ekonomi Malaysia kini lintang pukang.

Pengurusan harga petrol sebagai contoh. Khairy bencikan "subsidi am" petrol, maka Pak Lah pun demi menjaga hati menantu arahkan "subsidi am" ditarik balik. Kesannya harga petrol naik mendadak. Tetapi dalam pada itu cuak juga Pak Lah akan libas balik rakyat, maka subsidi langsung dalam bentuk tunai diberi kepada pemilik kenderaan. Tidakkah komedi jadinya kesemua itu? Tangan kanan tarik subsidi, tangan kiri hulur subsidi. Itu satu bab.

Dalam bab yang lain pula, dengan mengambil perspektif yang menyeluruh, ramai pakar ekonomi dan ahli politik berpendapat mereka boleh mengawal-urus harga petrol dalam negara dengan lebih bijak, lebih cakna kebajikan pengguna.

Tetapi dalam bab ini pun saya tidak mahu tahu apa pendekatan dan teknik yang mereka akan gunakan.

(Dan sememangnya pun, hingga hari ini tiada seorang pun dari kalangan yang mengaku boleh turunkan harga petrol jika mentadbir negara telah mendedahkan “resepi” bagaimana harga boleh diturunkan ke tahap yang memuaskan hati rakyat. Tengku Razaleigh tidak beritahu, dan Awar Ibrahim pun tidak beritahu.)

Apa yang saya mahu, ialah melihat harga petrol dalam negara turun ke paras RM2.00/liter sebelum tanggal 31 Disember. Apakah ekspektasi saya itu tidak realistik? Bahkan sebalik!

Dari memerhatikan pergerakan harga minyak mentah dunia (bukan setakat dari geraf-geraf yang dipamerkan di sini) saya menjangka harganya akan stabil dan berlegar dalam julat US$80 hingga US$90 dalam tempoh 6 hingga 12 bulan lagi. Di tahap itu harga petrol di Malaysia sepatutnya berada dalam julat RM1.80/liter hingga RM2.05/liter.

Satu ekspektasi yang rasional? A rational expectation? Ya. Satu lagi subjek dalam ekonomi yang Khairy nampaknya tidak begitu cerap.

Friday, August 22, 2008

Darihal Mengundang Bala Lewat Sumpah Lahanat

Bagi ramai penganut Islam di Malaysia gambar mental yang dikaitkan dengan perkataan ‘bala’ ialah satu malapetaka – khususnya bencana alam -- yang menimpa seseorang atau sesuatu komuniti ekoran berbuat satu dosa besar. Dipanah petir atau ditelan bumi jerlus adalah gambar mental yang paling kerap muncul bila seorang penganut Islam itu membayangkan ‘bala.’

Komuniti dilanda ribut taufan, kampung halaman digegarkan gempa bumi atau dilanda tsunami akan dianggap telah ditimpa bala. Begitu jika individu atau komuniti itu diserang wabak penyakit jelik seperti seperti taun, typhoid dan seumpamanya.

Ringkasnya sesuatu kecelakaan yang menimpa individu atau komuniti itu akan dianggap bala sekiranya kejadian itu menepati tiga ujian:

(a) datangnya langsung tidak diduga,

(b) magnitude kecelakaan itu tersangat besar jika dibandingkan entiti yang ditimpa, dan

(c) kesannya ke atas entiti yang ditimpa bala itu kekal selama-lamanya.

Agaknya itulah bayangan ‘bala’ yang bermain dalam otak Mohd Saiful Bukhari Azlan bila dia bersumpah mubahalah (sumpah laknat) bahawa pelir Anwar Ibrahim telah menerobosi duburnya.

Namun sayang, ulamak-ulamak yang dikatakan telah menasihati Saiful telah lupa memperingati Saiful bahawa Tuhan di depan mana dia bersumpah itu bersifat Quddus – Maha Suci.

Yakni mutlak suci, mutlak bersih dan semestinya bersalahan dengan apa yang disangka atau boleh difantasikan manusia tentang sifatNya, kehendakNya, perbuatanNya dan apatah lagi hakikiNya. Konstan alam ini mempunyai pelbagai aplikasi dan falsafah praktis. Sebagai satu contoh, mudah cakap, usahlah hendak diteka tindakan Allah. Semestinya tekaan manusia akan salah.

Disebabkan kealpaan tentang konstan alam ini (dan besarnya kerana kesempitan ilmu), maka Saiful dan ulamak-ulamak di belakangnya telah tidak dapat menduga bentuk bala yang bakal menimpa Saiful sekiranya bersumpah dusta.

Maka itu Saiful dan ulamak-ulamak yang menyokongnya telah gagal menafsir fakta sebilangan besar audiens Melayu-Islam mempertikaikan sumpahnya itu, sebenarnya, adalah satu bala besar.

Konsekuensi tindakan Saiful itu telah dizahirkan melalui kehadiran 100,000+ rakyat Malaysia meraikan Anwar Ibrahim di hari dia dinamakan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh. Walhal pada malam sebelumnya, dalam tempoh tidak sampai 24 jam, mereka semua telah menyaksikan sendiri “pertuduhan suci” yang Saiful buat bersaksikan, bersandarkan, dan yang dipulangkan kepada Allah.

Yang mana episod ini semua – dengan nama dan gambar watak-watak yang melakunkan dan mendalanginya -- telah terpahat dalam lembaran sejarah bangsa Melayu-Islam hingga ke hari kiamat.

Sehubungan, apakah Saiful dan bapanya yang nampak bersikap lebih sudu dari kuah itu masih lagi menunggu dipanah petir? Sebelum mereka mengakui fakta bahawa mereka telah berdusta!