Friday, August 29, 2008

Aku & Permatang Pauh (2): Ke Mana Hilang 569 Undi UMNO-BN?


Kalau diikutkan rekod prestasi Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, tidaklah menjadi sesuatu yang sukar bagi beliau mendapat majoriti 20,000 undi dalam apa-apa pilihan raya.

Ini kerana kali akhir beliau bertanding di situ dalam tahun 1995, beliau berjaya memukat majoriti 23,515 undi. Sebab itulah ada pihak yang memperlekehkan kemenangan beliau dengan majoriti 15,671 undi – penambahan 857 undi berbanding dengan majoriti 13,388 yang diperolehi oleh Wan Azizah isterinya semasa PRU-12 dulu.

Dan seperti biasa dengan karisma Anwar, apa juga tindakan yang dilihat menyentuh “aura keunggulan” beliau akan mengundang reaksi bengkeng dari penyokong.

Tetapi begitulah adanya, Anwar yang sepatutnya dapat memperbaiki rekod Wan Azizah dengan penambahan 6,600 cuma dapat menokok 857 undi sahaja.

Apa sudah jadi? Karisma Anwar sudah sedikit luntur? Atau pukauan Dolah Badawi ke atas pengundi masih tebal? Atau jentera dan strategi kempen Pakatan Rakyat tidaklah sehebat yang di-mistik-kan?

Apapun sebabnya, itu semua tidak menghairahkan saya.

Saya melihat semua itu dari kacamata proses matematik. Bagi saya apa yang berlaku adalah tidak lebih dari satu proses logical incrementalism. Di mana kadar perbedaan – the rate of changekadar pertambahan benci terhadap Regim Dolah Badawi telah mula menurun dan hampir bertemu satu titik minima semulajadi dalam geraf keseluruhan.

Sebaliknya apa yang boleh menaikkan “sheikh” saya ialah natijah bagaimana penyokong setia UMNO-BN bertindak bila diasak realiti kejelikkan parti politik yang mereka sokong. Khususnya kejelikkan cara UMNO-BN itu berkempen.

Sebenarnya angka 857 undi tambahan bagi Pakatan Rakyat kali ini bukanlah satu jumlah yang besar berbanding 1,426 undi atau 8% yang UMNO-BN hilang berbanding angka sokongan semasa PRU ke-12.

  • Ke mana perginya undi-undi tersebut? Yang jelas 857 undi telah menyeberang ke pihak Pakatan Rakyat. Selebihnya ke mana perginya baki 569 undi (1,426 – 857)?

  • Sehubungan, satu andaian yang saksama tentang apa yang terjadi kepada baki 569 undi ialah sebanyak 184 penyokong UMNO-BN telah tidak keluar mengundi!

  • Seterusnya apa jadi kepada baki 385 undi (569 – 184) lagi? Besar kemungkinan undi-undi inilah yang menjadi komponen terbesar 447 undi yang rosak.

Wow! Satu penemuan yang menginsafkan. Rupa-rupanya jiwa penyokong UMNO-BN adalah persis jiwa penyokong PAS Kelantan. Mereka boleh benci dengan calon, boleh benci dengan rekod khidmat parti keseluruhannya – seperti apa yang berlaku di Kelantan dalam tahun 2004 semasa PRU ke-11 – tapi bagi sebahagian besar dari penyokong setia, sekali-kali mereka tidak akan pangkah parti lawan.

Ya, berontak mereka tetap berontak. Cuma cara mereka berontak adalah lebih seni. Mereka tidak keluar mengundi, mereka rosakan kertas undi.

Andaikan pengamatan saya tepat, apakah pendekatan psaikologi yang harus diambil untuk memastikan ketidak-puasanhati penyokong UMNO-BN itu diterjemahkan secara lebih konstruktif, khususnya mengambil bentuk memangkah calon-calon Pakatan Rakyat?

No comments: