Sunday, December 17, 2006

Terima Kasih TRANUNGKITE ONLINE. Ini Ada Sedikit Buah Tangan

Saya sungguh terharu dengan penghormatan yang tuan-tuan WebMasters TranungKite Online beri kepada blog saya. Terima kasih kerana telah menyenaraikannya sebagai salah satu link di TranungKite Online.

Kita saling tidak mengenali, baik secara zahir atau maya. Kita tidak pernah bertukar e-mail, atau ber-SMS, dan saya tidak pernah selami apa kriteria yang tuan-tuan gunakan untuk “memperakukan” sesuatu blog kepada pengunjung laman web tuan-tuan. Apapun, dan sekali lagi – terima kasih.

Orang berbudi kita berbahasa. Dalam membalas budi baik dan penghormatan tuan-tuan, terimalah sedikit sumbangan ikhlas dari saya.

Tetapi sebelum saya pergi lebih jauh, sila ambil perhatian tentang dua perkara.

Pertama, saya tidak berniat sama sekali untuk memburukkan nama sesiapa. Kalaupun saya terpaksa menyebut nama seseorang, ianya semata-mata kerana hendak menjelaskan konsep apa yang berlaku, atau menyerlahkan implikasi sesuatu penemuan.

Kedua, saya “tersepak,” “terpijak” satu pen drive yang mengandungi maklumat berikut. Tetapi sebelum tuan-tuan melatah atau melenting, lantas bertindak tanpa strategi, bertindak tanpa fikir panjang, sila pertimbangkan segala kemungkinan berikut.

  • Kononnya, data yang saya perolehi itu adalah berpunca dari Sistem Semakan Daftar Pemilih 2003 oleh Jabatan Teknologi Maklumat PAS Pusat (2000 – 2003) yang dikemaskini sehingga 18 Jun, 2005.

Amnya, setelah meneliti data, saya dapati ianya “tidak menyakinkan” kerana terdapat banyak nama pemilih yang bertindih bagi sebilangan besar DUN Terengganu. Perkara berikut adalah munasabah dalam menyebabkan tersenarainya nama-nama yang bertindih.

  • Nama bertindih sememangnya sifat hakiki daftar sejak dari SPR.
  • Terdapat kesilapan dalam aturcara (program) komputer yang menyediakan senarai tersebut di peringkat Jabatan Teknologi Maklumat PAS Pusat.
  • Tiada silap yang berpunca di SPR mahupun rekabentuk sistem yang digunakan oleh Jabatan Teknologi Maklumat PAS Pusat, tetapi sistem dan data di peringkat pengguna telah dijangkiti virus hingga menyebabkan kerosakan kepada sistem dan/atau data.
  • Jikapun tidak disebabkan virus, terdapat kecacatan atau kerosakan fizikal pada hard disk atau pen drive atau komponen lain komputer di peringkat pengguna hingga menyebabkan Sistem SDP 2003 menjadi rosak.

Bertolak dari peringatan di atas, berikut ialah pengamatan saya.

Jika tuan-tuan di Terengganu masih kebingungan mengapa PAS boleh kalah teruk dalam PRU 2004 dulu, maka sifat daftar pemilih seperti contoh di atas ialah puncanya. Dalam contoh di atas, nama pengundi “Kamariah binti Awang” dengan nombor kad pengenalan yang sama telah tersenarai sebanyak 205 kali dalam daftar pemilih DUN Bukit Payong.

Nama pengundi ini bukanlah unik. Malah untuk daftar pemilih DUN Bukit Payong, ada tidak kurang dari 500 nama yang sama tersenarai dilebih dari dua UPU. Namun apa yang unik tentang pengundi “Kamariah binti Awang” ialah alamat penama didaftarkan. Perhatikan bahawa alamat penama adalah satu siri belari, running series, kuarters kerajaan di Terengganu.

Perhatikan bahawa alamat “Kamariah binti Awang” adalah JKR 58-180, JKR 58-181, JKR 58-182 dan seterusnya.

Malah saya boleh tunjuk 1,001 contoh lain tentang “kejanggalan” daftar pemilih Terengganu yang digunakan dalam PRU 2004 dulu. Tetapi untuk sementara waktu ini, sila semak daftar pemilih bentuk hard copy yang digunakan di hari mengundi dulu untuk kepastian dan mendapat kesohihan.

Jika saya didapati salah, sila beritahu, dan saya akan berhenti di sini saja. Dan terlebih dahulu saya mohon maaf di atas segala kegusaran yang berlaku.

Tolong sampaikan salam hormat saya kepada Tuan Guru Haji Hadi, keluarga beliau, dan keluarga tuan-tuan.

1 comment:

Unknown said...

Adakah ini data pemilih daripada SPR?
Kalau pun betul ini yang dikeluarkan oleh SPR, tak kira parti PAS atau BN, tentunya merasa hairan dan akan menyalahkan SPR. Ini kelemahan sistem yang SPR pakai.

Tapi saya tengok No. K/P Kamariah ni tetap sama walaupun namanya keluar banyak kali. Dan tentunya dia hanya boleh mengundi sekali sahaja kerana No. K/P dia sama saja. Adakah mungkin dia akan mengundi 100 kali kerana namanya disenaraikan 100 kali.

Penama Kamariah bt. Awang ini pengundi apa... PAS ke BN. Tak ada sesiapa rasanya yang boleh menentukan dia undi apa.