Monday, October 06, 2008

Objektif Pendidikan dan Masa Depan Politik Negara -- I

Jangkaan saya, topik hari ini akan membuat pembaca yang pernah melalui latihan di maktab-maktab perguruan mencemuh – eleh, you are out of your league (kamu berada di luar liga/bidang kamu).

Yang mana diakui kelayakkan saya untuk membincangkan topik sebesar ini adalah sekelumit; setakat pernah jadi guru sementara untuk beberapa bulan di sebuah sekolah menengah swasta -- Kelantan English School (KES) -- sekitar 30 tahun dulu.

Selain itu, dalam tempoh 20 tahun kebelakangan, adalah juga sekali sekala saya ambil alih peranan 'tutor' kepada anak-anak saya menyiapkan tugasan sekolah (rendah) mereka apabila isteri saya tidak berkelapangan untuk menolong.

Tetapi memandangkan pendidikan dan politik adalah topik-topik ruji yang dibincangkan oleh tukang-tukang gunting dan pemandu teksi dengan bunyinya begitu berwibawa, maka saya taksir saya pun layak untuk mengupas permasalahan ini, dari perspektif saya.

Model Objektif Pendidikan

Subjek yang saya ingin ajak pembaca fikirkan bersama hari ini ialah -- objektif pendidikan formal. Maksud saya di sini ialah, secara naiwatu, secara terancang, secara usaha menjurus, apakah sebenarnya yang ingin dibentuk, yang ingin dihasilkan oleh sesuatu sistem pendidikan formal, khususnya sistem persekolahan negara, bermula dari peringkat pra-sekolah hingga ke peringkat universiti?

Sehubungan, izin saya merujuk Bloom’s taxonomy, yakni model yang paling mudah difahami, popular diseluruh dunia, paling kerap digunakan untuk menghuraikan, dan dijadikan landasan serta tanda aras untuk memastikan pencapaian objektif pendidikan.

Sebermula, Bloom’s taxonomy adalah satu teori yang membincangkan tiga objektif umum pendidikan:

  • cognitive (pembentukan minda/otak – perolehan ilmu),
  • psychomotor (pembentukan otot dan saraf), dan
  • affective (pembentukan konsep kawalan diri dan perhubungan antara manusia – pembentukan sikap).

Sepengamatan saya (dan saya mungkin silap) Bloom’s taxonomy ini sebenarnya adalah satu falsafah pendidikan, satu perspektif makro yang menyeluruh tentang objektif pendidikan, tetapi malangnya dari segi kefahaman dan amalan, teori ini telah di-mikro-kan kepada satu sifir yang digunakan secara mekanikal.

Objektif Pendidikan Minda Mengikut Bloom Taxonomy

Walaupun model ini mempunyai tiga komponen besar, dari segi amalan, penekanan hanya diberi kepada aspek kognitif.

Secara mudahnya, hiraki objektif pendidikan kognitif/minda mengikut Bloom, bermula dari peringkat yang paling bawah, menghafal, bawa kepada skill (kebolehan) paling tinggi iaitu mencipta, adalah seperti berikut:

  • Hafal
  • Faham
  • Aplikasi (Guna)
  • Analisis
  • Menilai
  • Cipta

Imbasan di bawah mengambarkan titik mula huraian maksud rumusan saya sebelum ini, bahawa Bloom taxonomy itu dalam amalannya telah disifirkan.

Ingatkah lagi pembaca betapa di zaman persekolahan dulu, di dalam kertas peperiksaan atau tugasan, bertemu soalan yang mengandungi perkataan “definasikan,” “huraikan,” “bandingkan,” “bezakan” atau seumpamanya?

Perkataan-perkataan seumpama itu sebenarnya adalah kata kunci atau isyarat untuk menunjukan di tahap mana – penghafalan, kefahaman, analisis dsb., -- sesuatu soalan itu berada.

Sebagai contoh, pembaca yang pernah melalui peperiksaan MCE (Malaysian Certificate of Education – SPM dekad 1970han) mungkin masih lagi boleh ingat kertas peperiksaan yang mengandungi soalan berbunyi “Compare and contrast between …” Soalan seumpama ini mengisyaratkan (kepada pemeriksa luar khususnya) bahawa pelajar yang berjaya menjawab sememang pun telah diajar, dan sudah pun tahu (pandai) menganalisis. Itu pada teorinya.

Dan sebelum pun kertas peperiksaan diluluskan untuk kegunaan, skema seperti di atas akan digunakan oleh guru/pensyarah penyelia (guru kanan, guru besar, ketua kajian, dekan dsb.,) untuk menilai samada sesuatu kertas peperiksaan yang dicadangkan itu menepati kriteria yang ditetapkan.

Sebagai contoh, sesetengah kolej/universiti swasta mungkin mensyaratkan bagi sesuatu jabatan/fakulti itu, jenis-jenis soalan peperiksaan hujung semester mestilah mengikut skema: 10% Hafal; 20% Kefahaman; 30% Aplikasi; dan 40% Analisis. Itu pada teorinya.

Antara Langit Teori dan Bumi Praktis

Pada teorinya banyak benda yang patut dan mesti berlaku. Guru/pensyarah sepatutnya mempunyai pelan mengajar; mengajar ikut pelan; mewujudkan aktiviti pembelajaran ikut pelan; dan menyediakan soalan periksa yang mencerminkan pelan. Yang mana pelan itu sendiri menzahirkan niat pengajar (atau dasar pendidikan) untuk membolehkan murid pandai 'apa.'

Pandai setakat tahu, yakni sudah hafal? Pandai hingga boleh faham dan boleh aplikasi ilmu? Pandai hingga tahu menganalisis sesuatu masalah berkaitan dengan menggunakan ilmu yang ada? Dan seterusnya.

Namun pada praktisnya saya tidak fikir perkara ini berlaku – khususnya dengan pengajaran di peringkat kolej/universiti. Sebab setahu saya, sehinggalah dekad 1990han, secara formalnya, pensyarah kolej/universiti tidak pernah diajar untuk mengajar.

Andaian besar tentang pensyarah umumnya ialah mereka boleh/tahu mengajar. Ya, memang mereka semua punyai kelulusan tinggi dalam bidang masing-masing, itu kita tidak nafi, tetapi hakikatnya adakah mereka berkebolehan untuk menyebarluas (impart) ilmu yang mereka ada?

Menjadikan situasi ini tidak ubah seperti mengandaikan bahawa ‘wahyu’ dan skill mengajar (bersyarah) itu datang secara semulajadi dengan jawatan yang disandang.

Tidak dinafikan sesetengah institusi ada mempunyai program dalaman untuk kakitangan akademik belajar sambil mengajar/kerja. Tetapi sebagaimana umum boleh agak, kelaziman dengan sifat sesuatu program/kursus dalaman itu adalah lebih menjurus kepada santai sambil ‘holiday.’ Maka itu keberkesanan program dalaman ini adalah diragukan.

Kesan Ke atas Anak Cucu Kita

Rumusnya? Jika bermulanya kilang (institusi pendidikan) itu sendiri tidak punyai satu objektif jelas tentang mutu produk (graduan) yang hendak dikeluarkan, tambah pula operator pengeluaran (guru/pensyarah) pula tidak sebegitu terlatih, maka adakah menjadi satu kehairanan jika mutu produk (graduan) sistem pendidikan kita itu tidak boleh dibanggakan?

Antara sebab-sebab lain, kepincangan pada aspek objektif dan perlaksanaan objektif pendidikan inilah yang menjadi punca mengapa Malaysia kini mempunyai jumlah siswazah menganggur yang besar.

Oleh itu, jangankan kata negara terlintas di peringkat dasar untuk mengeksport hasil sistem pendidikan kita (seperti mana berlaku dengan India), majikan tempatan sendiri pun sudah cukup susah hati – rata-ratanya graduan dewasa ini tidak punyai kemahiran mental peringkat tinggi.

Sebagai pekerja, graduan sistem pendidikan kita lazimnya taat dan patuh ikut perintah, boleh sangatlah untuk buat kerja-kerja rutin. Tetapi dari segi kebolehan analisis, daya sintesis, kebolehan mencipta – yang mana sepatutnya mereka miliki semua skill/kebolehan ini – bab ini mereka hancur.

Langsung membawa kita kepada komplen majikan/bos/penyelia yang kita terlalu kerap dengar tentang graduan kita – tulis surat pun tak reti!

Bersambung.

4 comments:

Fazrulls said...

Salam Tuan,

Satu pendedahan yang menarik dan berinfomasi...

Selamat hari raya...

Anonymous said...

Salam Saudara RudinX.

Satu kupasan beserta analogy yang mantap.

Saya ambil MCE tahun 78. Betul lah tu mengenai soalan peperiksaan. Setakat menjawab soalan Fizik, Kimia dan Biology dengan hafalan tanpa fakta comparative yang di ulas dengan jitu boleh le dapat C3 atau C4 je.

Perubahan harus bermula dari Kementerian Pendidikan Tinggi agar graduan yang dihasilkan mampu membuat analysis dan synthesis untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan berkesan di alam pekerjaan kelak.

Rakan saya menjadi panel temuduga pengambilan Jurutera muda (fresh graduate. Feedback yang dikongsikan adalah fresh graduate (Melayu) datang tak prepared langsung. Hanya tahu menangis bila gagal menjawab soalan yang begitu mudah berkaitan dengan jawatan yang dipohon.

Mingguu depan giliran saya pula menjadi panel temuduga fresh graduate. Saya nak tengok sejauh mana graduate Melayu datang temuduga setelah buat homework dan well prepared.

Bila kah keadaan ini akan berubah?

Anonymous said...

Pendedahan yg baik dan berani..sbg rakyat msia,anak2 muda skrg ni brjaya hnya dri teori shja..dunia ketika msh di univrsti x sma spt sesudah bekrja..klau dulu hafal teori, bla kja kena lah bljr dri mula.bljr mnghormati org yg dh lma dlm servis wpun jwtn mrka rendah,stakt pkai pmr @ spm..jgn pdg jwtn tinggi,pengalaman yg plg ptg..org yg suka merendah dri tak rugi dri segi ilmu,malah untng dpt bljr dri org lma..kta org tua, ular yg mnyusur akar,xkn hilang bisanya..terima ksh saudara....

Anonymous said...

Salam Sejahtera Saudara Rudin X.
Ada yang ingin saya kongsikan di sini. Sepanjang pengetahuan saya, Objektif pendidikan ada TIGA DOMAIN iaitu kogitif, afektif dan psikomotor. Taksonomi Bloom pula hanya menerangkan domain kognitif sahaja dan ia ada dua versi. Versi asal daripada Bloom (1956)adalah seperti ini: Pengetahuan, Kefahaman, Aplikasi,Analisis,Sintesis dan Penilaian. Apa yang saudara paparkan adalah versi yang diperbaharui daripada Anderson dan Krathwohl (2001). Dua domain yang lain juga ada taksonominya sendiri. Sekian untuk perkongsian kita. Terima kasih.