Wednesday, January 24, 2007

Banjir Johor: Membidani Kelahiran Satu Regional Superpower

Penat. Krisis, tidak kiralah dalam bentuk apa, adalah penat lagi memenatkan jika dilayan atau ditangani. Apatah lagi jika krisis yang timbul itu adalah akibat bencana alam yang melanda masyarakat.

Memang penat. Hiba dan sebak mengiring penat. Apakan pula bila kita sendiri yang memilih untuk menjadi saksi kerdil Kehendak Ilahi. Bila kita yang memilih untuk berendam kesal kerana hanya mampu bersimpati, dan tidak upaya berbuat lebih dari itu.

(Walhal kita punyai pilihan untuk bersantai di Australia atau bermandi cahaya spotlight dalam mengejar agenda melonjak-pamerkan diri di pentas London atau Davos).

Mengikut pendapat popular dunia, kata “krisis” dalam dialek Mandarin boleh difahami sebagai “bahaya + peluang.” Maksudnya, dalam dialek Cina itu, gambar mental bagi perkataan “krisis” ialah, ada peluang yang datang bersama musibah/kecemsan.

Andaikan buat seketika, kita turut menjiwai konsep krisis sebagaimana pengguna bahasa Mandarin memahaminya – bahawa berserta bahaya/kecemasan ada peluang keemasan. Demikian itu bolehlah kita katakan bahawa dalam kemusnahan dan kehibaan yang datang bersama banjir Johor, wujud peluang keemasan.

Diakui statmen di atas berbunyi seolah-oleh saya mencurigai keikhlasan mereka-mereka yang telah melakukan amal. Dan memandang remeh kesusahan yang menimpa mangsa banjir Johor. Nauzubillah saya tidak bermaksud begitu.

Bahkan, saya yakin ramai warga yang telah ke Johor menabur bakti, yang sukarela pergi untuk membantu mangsa dengan apa cara yang terdaya; mereka berbuat demikian semata-mata kerana Bisikan Ilahi. Bertindak kerana merasa terpanggil untuk meng-infaq-kan masa, menghulur dana, atau menyumbang upaya, semata-mata kerana menghambat keredhoan Ilahi.

Berbakti bukan kerana upah dan anugerah kini dan di sini.

Saya teka, seperti juga dengan ratusan ribu mangsa banjir Johor, ratusan ribu ahli dan penyokong PAS di negeri lain yang terngidam-ngidam untuk turut serta ke Johor membantu; banjir Johor juga telah menjadi satu medan uji dalam banyak dimensi.

Bagi penyokong dan ahli PAS, kerana kita semua telah memilih untuk mendokong prinsip dan pegangan satu tamadun tinggi, dalam satu dimensi kita semua terpaksa merantai rengetan hati kecil kita. Kita semua terpaksa menguji iman kita sendiri. Menguji sejauh mana keyakinan kita akan kemurahan Ilahi.

Kita telah sama-sama menghulur derma serta bakti dalam kadar yang kita mampui. Kita telah ramai-ramai bersolat hajat dan munajat memohon Kasihan Ilahi kepada insan-insan yang kita tidak kenali. Memohon limpah Belas Ilahi ke atas makhluknya, merentasi bangsa dan ugama.

Tetapi setelah berbuat demikian, kita diperingati bahawa tamadun kita mengajar kita bahawa infaq oleh tangan kanan tidak seharusnya diketahui oleh tangan kiri. Lantaran itu, walaupun kita di hadapan, kita tidak tergamak mencanang kepada dunia sumbangan kita kepada saudara sesama anak cucu Adam. Demikian itu kita tidak membandingkan jumlah dan mutu sumbangan kita dengan sesiapa.

Kita semua didepani situasi – bangga dan puas tetapi tidak diizinkan mempamer rasa di hati.

Kita semua teruji. Tekaan saya, seperti jugalah pejuang Hizbullah di Lebanon telah diuji. Kemenangan dan kehebatan Hizbullah membelasah Israel di Lebanon telah diiktiraf dunia. Diiktiraf oleh musuh dan kawan.

Tetapi sebenarnya, pengikhtirafan terhadap Hizbullah oleh dunia adalah terlalu remeh jika dibanding pengiktirafan yang diberi oleh rakyat Lebanon kepada Hizbullah. Akan apa erti Hizbullah kepada warga Lebanon. Yang mana, lebih dari satu kuasa tempur di medan perang yang digeruni, rakyat Lebanon melihat Hizbullah sebagai inang serta pendekar setia dalam hal-hal kerja dan bantuan masyarakat. Inang dan pendekar yang tidak memilih bangsa atau agama untuk menabur khidmat bakti dan bantuan.

Hizbullah di Lebanon mendokong prinsip-prinsip tamadun tinggi. Pun setandinglah kita, PAS, yang telah mempamer jalur itu di Johor. Sesungguhnya, dalam penilaian saya, banjir besar Johor telah menyaksikan era baru PAS. Di mana PAS bukanlah lagi satu parti politik yang mabuk politik semata-mata. Tetapi PAS kini adalah Parti Mendokong Ajaran Allah, “Hizbullah” – yang juga inang dan wira kerja dan bantuan kemasyarakatan.

Jika UMNO yang kini menggendong saf pemimpin petulang bangsa berbangga titih dilahirkan dalam Istana Johor; PAS sebagai inang dan wira setia masyarakat dilahirkan dalam tangisan pilu marhain Johor.

Persetankan kemenangan kecil (yang mungkin) di Batu Talam, rantau Asia Tenggara adalah medan sebenar PAS.


Nota: Komentar ini pertama kali di-upload pada Januari 24, 2007 pada sebelah pagi, dan kemudiannya di-edit di sebelah petangnya.

1 comment:

Anonymous said...

harap PAS boleh teruskan kerja amal ni dilain waktu di lain tempat..tp, niat kene la bukan utk ambik hati rakyat.sekian....