Sunday, January 14, 2007

SPR & Aktanya: Kesyaitanan Tersembunyi Dalam Undang-undang Lapok

Sebelum tuan/puan meneruskan pembacaan, sila fahami fakta bahawa saya bukanlah seorang loyar, peguam. Pengetahuan saya tentang jurisprudens hanyalah setakat lulus periksa undang-undang lalulintas untuk dapatkan lesen memandu.

Kalau ada pun pengetahuan undang-undang yang lebih sikit dari itu, maka ketika sekali sekala masuk menadah kitab di pondok-pondok atap, adalah saya tumpu pendengaran kepada hukum-hukum syariat yang bersabit hal-hal haid dan nifas. Lebih dari itu, pengetahuan saya tentang undang-undang adalah lagi cetek dari apa yang ada dalam dada tuan/puan.

Oleh kerana saya tidak buta huruf, maka sekali sekala adalah juga saya terbaca akta-akta perundangan demi memenuhi rasa ingin tahu. Dan pembacaan saya adalah secara harfiah, berserta kefahamannya sekali, pun harfiah, literal.

Namun di sini saya telah memberanikan diri untuk meng-highlight-kan sesetengah seksyen yang ada dalam AKTA 19 (AKTA PILIHAN RAYA 1958) dan PERATURAN PILIHAN RAYA (PENDAFTARAN PEMILIH) 2002.

Sebab saya berbuat begini ialah untuk menyediakan satu pletfom kefahaman bersama, a common platform of understanding, yang membawahi tuduhan (yang sesetengahnya akan berbunyi liar) yang saya akan buat tentang apa yang mungkin telah menyebabkan keputusan pilihan raya di sesuatu tempat terjadi seadanya.

Sebermula, Rashid Penggemar Mohon Tanah Kurnia Sana Sini, Pengerusi SPR, sendiri telah mengakui bahawa Akta Pilihan Raya yang ada kini adalah sudah tidak relevan dengan zaman dan mengandungi terlalu banyak kepincangan. Namun setelah menuturkan apa yang dia kata, dalam tempuh tidak sampai seminggu, Rashid telah menuduh PAS bodoh kerana memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Batu Talam.

Sehubungan itu, ramailah pembesar UMNO yang berkepentingan menyokong Rashid, malah mempertahankan Rashid. (Namun kita boleh agak, bahawa hari-hari Rashid selaku Pengerusi SPR adalah “sudah bernombor”).

Dalam taksiran saya, antara sebab utama yang mendorong PAS memboikot PRK Batu Talam ialah pengkhianatan yang telah Rashid lakukan kepada Seksyen 9, PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA (PENDAFTARAN PEMILIH) 2002, BAHAGIAN II, BENTUK DAFTAR PEMILIH.

Di hari Rashid mengumumkan kekosongan kerusi DUN Batu Talam, dia juga mengumumkan bahawa daftar pemilih untuk PRK ini mempunyai 10,525 nama.

Dari hal pengumuman jumlah pemilih ini, apa yang menyebabkan timbul kesangsian di kalangan ramai pemerhati politik tentang kesihatan hati perut Rashid, ialah, sebelum ini, SPR telah mengisytiharkan bahawa daftar pemilih yang disahkan tepat sehingga 30hb September 2006 telah diwartakan, digazetkan pada 30hb November 2006, Daftar pemilih ini yang telah dijual kepada umum mengandungi 10,734 nama.

Beza antara apa yang Rashid umum dengan apa yang digazet ialah 209 nama.

Malah yang lagi menimbulkan syak ialah di masa yang sama, UMNO mengumumkan bahawa daftar mereka mempunyai 10,789 nama. Beza 264 nama dari apa yang Rashid isytihar. Beza 55 nama dengan apa yang parti lain dapat!

Mana satu angka yang betul? Dan mengapa kekeliruan ini boleh timbul? Bila masa daftar pemilih yang digazet diubah? Mengapa parti-parti politik penentang UMNO tidak diberitahu/dilibatkan dalam proses meminda daftar?

Jawapannya mungkin terletak dalam beberapa syeksyen lapok dalam PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA (PENDAFTARAN PEMILIH) 2002 BAHAGIAN V - PELBAGAI. Seksyen 25 khususnya, telah memberikan SPR kuasa tidak terbatas berbuat sesuka hati, untuk potong-masukan nama pemilih ke dalam daftar pemilih.

Dan adalah disyakki bahawa semenjak 50 tahun dulu UMNO telah memperalatkan SPR dari aspek syeksyen ini untuk memanipulasikan daftar pemilih bagi “menjuruterakan” keputusan pilihan raya bagi sesetengah kawasan yang dihajati.

  • Pernah terdengar cerita pemilih “hilang” nama dari daftar di tempat mengundi, wal hal semakan pada hari sebelumnya menunjukan namanya masih ada?

  • Pernah terdengar cerita bagaimana di hari membuang undi seorang pemilih warga emas yang telah mengundi di satu-satu peti undi untuk sekian kali, telah di arah untuk pergi membuang undi di satu tempat yang lain, malah di daerah yang lain?

  • Pernah terdengar cerita bagaimana petugas parti pembangkang jadi kelam kabut kerana daftar pemilih yang dibekalkan pada minggu sebelum mengundi adalah berbeza dengan apa yang SPR gunakan di hari mengundi?

Cerita-cerita seumpama di atas bukanlah tahyul. Insiden-insiden seumpama adalah terlalu kerap. Telah berlaku berulang kali, dan akan terus berlaku di masa depan. Kerana ruang undang-undang wujud untuk memungkinkan insiden sebegitu terjadi. Ruang pencabulan proses demokrasi yang bersandarkan peruntukan undang-undang yang berniat baik.

Sikap memihak SPR kepada UMNO telah pun lama didokumentasikan oleh banyak pihak. Namun untuk sekian lama ini, SPR masih lagi kebal dari sebarang tindakan pembetulan. Pemboikotan PRK ini oleh PAS sepatutnya menyedarkan Rashid (dan pegawai-pagawai lain SPR), bahawa satu hari kelak mereka akan pencen jua.

Janganlah nanti disebabkan sikap mereka sendiri, pemboikotan ini terbawa-bawa hingga ke hari mereka perlu dihantar ke alam barzah. Di hari itu mungkin tiada imam UMNO yang dapat hadir untuk solatkan mayat (semua sibuk dengan meeting atau sedang bercuti di Australia), dan tiada petugas Pemuda UMNO yang kelibat untuk uruskan kubur dan mandikan jenazah (semua sibuk uruskan projek-projek RMK-9).


Epilog: Pesan Saiyidina Ali Karamallah Huwajjah -- semua yang ada dibumi ini adalah dari tanah, dan akan pulang ke tanah jua. Yang mana mahfumnya, bagi saya ialah, tanah kurnia yang banyak kita perolehi semasa di dunia ini bukanlah boleh memuliakan kita. Akhirnya, lot hakiki kita hanyalah berukuran 6 kaki X 3 kaki X 6 kaki.

No comments: