Wednesday, May 09, 2007

Apa Ada Pada Sukhoi? – (3)


Pembacaan Sejarah Melayu akan menyakinkan tuan/puan tentang tiga perkara [i].

Pertama, Melayu adalah bangsa yang romantis. Gemar akan nama-nama dan intonasi (sebutan) indah. Sebagai contoh, dalam apa cerita raja-raja Melayu sekali pun, merangkaikan nama Wan Empok dan Wan Malini [ii]. Kedua, sejak dari zaman Tok Kadok, Temasek tidak pernah lekang dari menyebok dan menyusahkan politik orang Melayu. Ketiga, sejarah Melayu tidak pernah sunyi dari petualang, tali barut asing, yakni pengkhianat bangsa [iii]. Itu cerita 1,000 tahun dahulu, di zaman antah berantah dan Hikayat Raja-raja Pasai.

Mungkin 1,000 tahun akan datang, di zaman kebanyakan Melayu sudah kembali kepada agama nenek moyang mereka [iv] setelah kes Lina Joy diputuskan, dalam bab Hikayat Raja-raja Ijok [v], nama-nama romantis yang bakal dirakam ialah Siti Scorpene dan Nik Sukhoi, dengan penyebok dalam politik Melayu ialah Singapork melalui tali barut asing yang kita semua kini sudah tahu tapi malas nak sebut.

Wallahu ‘alam bissawab. (Bila dah malam susah nak jawab).


Begitulah sub-teks kepada cerita Sukhoi ini [1]. Dan seterusnya sebelum pergi lebih lanjut, ada moleknya jika kita ringkaskan poin-poin penting dari perbincangan sebelum ini.

  • Singapura sebagai negara-pelanggan (client state) Amerika Syarikat tiba-tiba mendapati Malaysia yang selama ini dipandangnya hina dalam semua aspek sudah ke hadapan dengan pembelian Sukhoi [2].

  • Australia yang tidak pernah senang dengan Indonesia (negara yang banyak menanda tangani pakatan pertahanan dengan Malaysia, khususnya dalam aspek perkongsian alat ganti ketenteraan) mendapati Sukhoi menggugat, bakal menulis semula perenggan tentang kesetaraan strategik rantau Asia Tenggara [3]. And by extension, Australia tidak senang dengan Malaysia kerana akan memiliki Sukhoi sama seperti Indonesia.

Ringkasan di atas memberi konteks kepada beberapa misteri yang sedang berlaku dalam berita politik tanah air.

Sebagai contoh, sehebat-hebat Tun Mahathir. Sebijak-bijak Si Menantu. Seramai-ramai sumber dalaman Raja Petra. Semuanya tidak tahu siapa pemilik sebenar sebuah rumah mewah bernilai RM60 juta di Australia Barat [4a], [4b]. Rumah “Orang Itu,” tidak [5]. Rumah Si Ipar pun, tidak [6]. Terkini khabarnya, rumah Si Biras pula [7].

Tetapi di dalam konteks di atas, yang kalau di superimpose dengan konteks perkahwinan sebagai jalan menjalin ikatan antara kerajaan, keluarga, politik dsb. Dalam konteks ufti dan bunga mas sebagai balasan bagi satu negara tidak menyerang negara yang berbudi.

Dalam konteks menghadiahkan istana hinggap dan kunci ibu kota, rumah mewah di Australia itu boleh dilihat sebagai sebuah “safe house” – rumah selamat [8], [9], [10] – hadiah John Howard kepada “Orang Itu.” Dengan harapan, supaya jangan sampai Sukhoi Malaysia merewang sampai ke sana, ya, kerana Australia pun kampung halaman "Orang Itu" juga.

Juga dalam konteks ringkasan di atas pembaca akan mendapat satu natijah tentang hati budi Tun Mahathir.

Setentunya, pembelian Sukhoi bukanlah hasil pemikiran dan usaha Najib (dan Razak Baginda). Dalam hal Sukhoi peranan Najib adalah tidak lebih dari seorang pak pacak istana, yang khabarnya gemar menggatal dengan inang-inang, serta dayang-dayang berbelakang lentik.

Pemilikan Sukhoi ialah karya Tun Mahathir [11]. Pembelian Sukhoi adalah urusan G-to-G [12]. Urusan antara kerajaan, rundingan terus antara kerajaan Malaysia dengan Rusia. Hasil perbincangan empat mata antara Mahathir dengan Putin [13], [14].

Sehubungan Sukhoi, walaupun tidak pernah diumumkan, nampak jelas bahawa Mahathir tidak berpuas hati dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara “Ekonomi Harimau” [15]. Sebaliknya Mahathir juga ingin melihat Malaysia sebagai satu kuasa tentera serantau -- regional military power. Dalam ertikata Malaysia itu benar-benar sebuah regional super power -- serentaknya kuat dari aspek ekonomi dan ketenteraan.

Itu Tun Mahathir untuk penilaian tuan/puan [16], [17]. Tentunya pemikiran dan hati budi Mahathir itu jauh panggang dari api, terpisah langit dari bumi, dengan pemikiran “Orang Itu,” Anak Lelakinya serta Menantunya [18]. Yang mana tuan/puan pun sudah perasan, bahawa Kerajaan Tiga Beranak kini hanya berminat untuk menjadikan Malaysia serambi Singapork sahaja.

Bersambung dan dirumus di Bahagian 4.

No comments: