Thursday, May 31, 2007

Kes Lina Joy: Soalnya Sikap Terhadap Melayu

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Teramat Arif Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Yang Arif Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Alauddin Mohd Sherif kerana menyelesaikan kemelut “Lina Joy” dengan sungguh bijaksana dan penuh sopan santun bangsa Melayu [1].

Saya belum lagi berkesempatan membaca keputusan asal sepenuhnya, cuma mengikuti lapuran akhbar dan komentar blog [2] akan keputusan yang dibuat. Namun itu sudah cukup membuat saya amat terharu bila membaca betapa Yang Teramat Arif (YTA) dan Yang Arif (YA) telah mempamirkan satu contoh sukar ditandingi, akan keheningan minda dan keupayaan menganalisis bebas emosi akan isu-isu yang dibicarakan.

Bagi saya, tanpa menyebut sepatah ayat, YTA dan YA telah mengajak rakyat, khususnya orang Melayu menilai isu Lina Joy dari sudut:

  • Pendokong dan agents provocateur [3] di belakang Lina Joy [4] telah bertindak melalui saluran yang salah, dan

  • Meletakan Mahkamah Syariah pada martabatnya yang wajar.

Amati bahawa Jabatan Pendaftaran Negara telah akur dan bersetuju menukar nama “Azlina binti Jailani” kepada “Lina Joy” kerana pemohon telah mengemukakan permohonan yang sah -- yakni kesaksian dan pengesahan mahkamah sivil akan hakikat Azlina mahu dipanggil Lina Joy.

Amati bahawa hal-hal pengesahan tukar nama adalah dalam bidang kuasa mahkamah sivil.

Menukar nama adalah hak asasi semua manusia, termasuk Lina Joy. Begitu juga dengan hak menukar ugama. Sesiapa pun boleh dan berhak menukar ugama mereka. Tiada siapa yang boleh menghalang. Malah Allah pun tidak menghalang. Bab kesan perbuatan tersebut, itu soal lain. Pokoknya Allah tidak pernah menghalang.

Tetapi.

Tetapi di Malaysia sebuah negara yang berdaulat, seperti dengan hak mengsohihkan dan mewartakan penukaran nama itu adalah hak mahkamah; hak mengsohihkan dan mewartakan perbuatan menukar ugama adalah hak mahkamah -- hak Mahkamah Syariah.

Kes Lina Joy tidak sepatutnya menjadi sensasi negara dan menarik perhatian serong dunia terhadap undang-undang dan penghakiman tentang Islam di Malaysia, sekiranya Lina Joy dan agen-agen provokator di belakangnya mempunyai hormat sebesar zarrah, sebesar tungau, terhadap PERLEMBAGAAN MALAYSIA dan Mahkamah Syariah.

Pengesahan murtad atau pun santunnya di panggil “penukaran ugama” Lina Joy sepatutnya diselesaikan di saluran Mahkamah Syariah. Sebaliknya Lina Joy dan sekutunya enggan berbuat demikian dalam saluran Mahkamah Syariah, tetapi berkeras untuk mengesahkan hasrat itu dalam saluran Mahkamah Sivil yang jelas tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara ini.

Yang dalam berbuat demikian Lina Joy dan sekutunya mempamerkan hati perut yang menghina Mahkamah Syariah. Yang sekaligus dengan itu menghina Perlembagaan.

Bagi saya kes Lina Joy bukanlah soal ugama atau hak asasi manusia. Kes Lina Joy ialah soal sikap. Soal sikap Melayu yang sudah tidak lagi merasa dirinya Melayu serta sahabat handai barunya yang dari kalangan bukan Melayu terhadap Melayu dan segala institusi Melayu.

Sikap bukan Melayu yang memandang rendah akan segala-gala tentang Melayu. Hatta apa juga sebutan tentang Melayu dalam kontrak sosial yang di panggil PERLEMBAGAAN MALAYSIA. Dan sikap Melayu yang tersangat toleran dengan semua penghinaan itu.


Epilog: Semasa menadah kitab di pondok dulu, saya ada jugalah terbaca sebiji dua kitab-kitab statistik dan kebarangkalian. Khususnya kebarangkalian. Malah seingatan saya, hampir lapan tahun saya menadah kita-kitab tersebut. Yang mana ekoran itu telah mewarnai kefahaman saya, bahawa setiap fenomena yang wujud dalam alam maya ini, fenomena seperti perkahwinan atau perceraian, adalah takluk hukum statistiks dan kebarangkalian. Lalu di sini saya mengucapkan kepada Lina Joy agar hukum statistik dan kebarangkalian berada di pihak, dan menyebelahi puan. May the parameters, the alphas, betas and gammas be with you.

1 comment:

Anonymous said...

Salam;

Isu sebenar adalah "kenapa boleh jadi sampai murtad tu".

Namun, saya tabik abang-abang semua yang bersungguh-sungguh dalam hal ini.

Saya masih gagal dalam memperjuangkan reformasi dan peranan alim ulama hatta dalam dalam thread semudah Islam dan Bangsa Melayu di KMU satu ketika dahulu. Sayapun dah quit forum KMU di sana... susah nak perjuang isu secara ilmiah di sana sehinga terpaksa merendahkan taraf diri sendiri.

Para alim ulama sekarang dan masyarakat Islam berada Thawilul lahm dan ghazwatul fikri.

Sekarang, saya baharu memahami pemikiran dalam perjuangan BGDC, CWT, ManJoki dll.

TM-Blitz