Wednesday, January 31, 2007

Batu Talam: Laksana Remaja Beronani Sendirian …

Hijaunya hijau. Apakah erti simbolisme hijau? Kaler Islam Hadhari? Atau, melambang jiwa UMNO yang terlalu ingin jadi PAS? Dan langit biru KeAdilan?

Maaf, saya mohon kepada peminat blog ini, kerana sebelum ini dan untuk tempoh dua tiga minggu ke hadapan saya tidak dapat berkarya dengan baik dan sekerap yang lazim. (Ya lah, bukannya saya boleh bercerita dengan petah macam mana sangat pun, sekadar mampu menulis pada tahap yang saya fikir ramai yang boleh faham bila baca).

Kesuntukkan masa dengan hal-hal merancang punca rezeki keluarga untuk tahun ini terpaksa dibereskan dulu. Berborak hal-hal politik belakang kira sekejap, kata Inggeris, put on the back burner.

Ada pun kemudian dari itu, pengamatan saya tentang PRK Batu Talam adalah seperti berikut.

1. Tidak setuju PAS boikot.

Ramai yang tidak setuju dengan perbuatan PAS memboikot PRK ini. Tuduhan yang timbul dengan jelas kini,malah sejak awal lagi, ialah PAS tiada strategi susulan, bahkan tiada strategi tersusun untuk memastikan boikot PRK ini betul-betul menikam UMNO. Sekali imbas memang sangkaan tersebut nampak tepat, tetapi bagi saya kritikan itu adalah sekadar luahan emosi tertekan, dan bukan intelek yang bertutur.


2. Langkah boikot tiada precedent sejarah

Hakikatnya, tidak banyak yang PAS boleh buat selain dari mengumumkan pemboikotan, dan seterusnya bertindak mirip benar-benar memboikot. Sebab mengapa PAS hanya mampu berbuat demikian ialah klausa 9 (1) UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 5 AKTA KESALAHAN PILIHAN RAYA 1954 BAHAGIAN III

Pengaruh tidak wajar

9. (1) Tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa, atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, menggunakan atau mengancam hendak menggunakan apa-apa kekerasan, keganasan atau halangan, atau yang mengenakan atau mengancam hendak mengenakan, dengan sendirin atau melalui mana-mana orang lain, apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan atau kerohanian ke atas atau terhadap mana-mana orang bagi mendorong atau memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi, atau oleh sebab orang itu telah mengundi atau tidak mengundi, dalam mana-mana pilihan raya, atau yang dengan melarikan pemilih atau pengundi, dengan dures atau apa-apa tipu daya atau muslihat menghindar atau menahan mana-mana pemilih atau pengundi daripada menjalankan hak mengundinya dengan bebas, atau yang dengan yang dengan itu memaksa, mendorong, atau mendesak mana-mana pemilih atau pengundi sama ada memberi atau tidak memberi undinya dalam mana-mana pilihan raya, atau yang secara langsung atau tidak langsung mengganggu atau cuba mengganggu mana-mana orang daripada menjalankan hak pemilihannya dengan bebas adalah bersalah atas kesalahan pengaruh tak wajar.

Diberi klausa undang-undang ini, yang mungkin boleh juga diibaca dengan klausa-klausa undang-undang lain, saya kira PAS sebenarnya tidak boleh bertindak terlalu aggresif darihal pemboikotan ini. Yang mana, kita semua tahu fe’el UMNO bila rasa tersepit (seperti bila sudah dimalukan dengan boikot yang hampir total), akan memangsakan orang lain pula. Lihat contoh tindak tanduk UMNO dalam kes Operasi Lalang. UMNO yang cetus ketegangan, aktivis PAS yang kena ISA.

Malah sehubungan pemboikotan ini, belum lagi PAS sempat menggeliat untuk mula langkah, UMNO sudah panik dan dalam ketakutan pada bayang sendiri sudah buat lapuran polis. Maka itu, kiranya PAS jentik telinga UMNO sikit-sikit pun sudah memada’i.

Biru, simbolisme UMNO yang dalam ketakutan adalah kaler yang mempinaukan mata.

3. Penilaian angka-angka awalan.

Sebab itu, tidak terkecuali apa yang UMNO kokokkan, saya ajak tuan/puan mempertimbangkan sendiri fakta-fakta nombor berikut.

Jumlah penyokong tegar (hardcore)* kedua-dua parti politik PAS dan UMNO di Batu Talam adalah seperti berikut.

  • Penyokong UMNO 5,138: Penyokong PAS: 3,237: Jumlah Pengundi Tegar 8,375.

Di sisi maklumat latar di atas, akhbar melapurkan bahawa SPR kata, seramai 7,080 manusia telah keluar mengundi. Andaikan bahawa memang sohih 7,080 orang telah keluar mengundi, maka implikasinya ialah 1,295 (8,375 – 7,080 = 1,295) umat Batu Talam yang lazimnya keluar mengundi telah tidak mengundi pada 28hb Januari, 2007.

  • 1,295 orang dari 8,375 pengundi yang lazimnya keluar mengundi membawa maksud 15.5% telah memboikot PRK ini.

  • Dan kalau diambil kira anak hingusan yang menentang UMNO telah mendapat 419 undi, maka implikasinya ialah 1,714 telah (1,295 yang boikot + 419 undi bebas) orang atau 20.5% menempelak UMNO.

Bagi diri saya, angka 22,2% ini kira sudah cukup “orait” diberi tindakan boikot adalah satu pengalaman baru bagi semua pihak.

Ya, saya boleh bayangkan penyokong UMNO mendabik dada bahawa jumlah 22.2% yang memboikot PRK ini adalah kecil.

Tetapi dalam menilai samada angka 22.2% atau 1,861 pengundi itu besar atau kecil, kita kena ambil kira fakta bahawa (a) PAS tidak berbuat apa-apa yang agresif selain dari mengisytiharkan boikot, dan (b) calun bebas langsung tidak berkempen, malah dia sendiri tidak membuang undi!

Mempertimbangkan dua fakta yang disebut adalah memadai, dan belum ambil kira usaha mati-matian UMNO untuk pujuk rakyat keluar mengundi, serta penggunaan “trick” lain seperti membuang undi bagi pihak pengundi yang sebenarnya.

Saya akan sambung bebelan di komentar yang lain.


*Nota: Teori statistik mengatakan bahawa purata/min yang digarap dari satu siri masa, (time series), seperti rekod keluar mengundi dari beberapa pilihanraya, boleh di dekomposisikan kepada dua komponen – "komponen tetap" dan "komponen transitori". Untuk segala tujuan praktis, "komponen tetap" sokongan kepada UMNO dan PAS bolehlah dianggap sebagai “penyokong tegar.”

Batu Talam mempunyai seramai 239 orang pengundi yang berfe’el memunah/merosak undi. Sila amati di setiap Saluran dan Peti Undi bilangan undi rosak yang hampir sama dari satu PRU ke PRU yang lain dalam jadual-jadual sebelum ini. Dalam perkiraan dan perbincangan ini, undi dari kumpulan ini telah tidak di ambil kira.

Wednesday, January 24, 2007

Banjir Johor: Membidani Kelahiran Satu Regional Superpower

Penat. Krisis, tidak kiralah dalam bentuk apa, adalah penat lagi memenatkan jika dilayan atau ditangani. Apatah lagi jika krisis yang timbul itu adalah akibat bencana alam yang melanda masyarakat.

Memang penat. Hiba dan sebak mengiring penat. Apakan pula bila kita sendiri yang memilih untuk menjadi saksi kerdil Kehendak Ilahi. Bila kita yang memilih untuk berendam kesal kerana hanya mampu bersimpati, dan tidak upaya berbuat lebih dari itu.

(Walhal kita punyai pilihan untuk bersantai di Australia atau bermandi cahaya spotlight dalam mengejar agenda melonjak-pamerkan diri di pentas London atau Davos).

Mengikut pendapat popular dunia, kata “krisis” dalam dialek Mandarin boleh difahami sebagai “bahaya + peluang.” Maksudnya, dalam dialek Cina itu, gambar mental bagi perkataan “krisis” ialah, ada peluang yang datang bersama musibah/kecemsan.

Andaikan buat seketika, kita turut menjiwai konsep krisis sebagaimana pengguna bahasa Mandarin memahaminya – bahawa berserta bahaya/kecemasan ada peluang keemasan. Demikian itu bolehlah kita katakan bahawa dalam kemusnahan dan kehibaan yang datang bersama banjir Johor, wujud peluang keemasan.

Diakui statmen di atas berbunyi seolah-oleh saya mencurigai keikhlasan mereka-mereka yang telah melakukan amal. Dan memandang remeh kesusahan yang menimpa mangsa banjir Johor. Nauzubillah saya tidak bermaksud begitu.

Bahkan, saya yakin ramai warga yang telah ke Johor menabur bakti, yang sukarela pergi untuk membantu mangsa dengan apa cara yang terdaya; mereka berbuat demikian semata-mata kerana Bisikan Ilahi. Bertindak kerana merasa terpanggil untuk meng-infaq-kan masa, menghulur dana, atau menyumbang upaya, semata-mata kerana menghambat keredhoan Ilahi.

Berbakti bukan kerana upah dan anugerah kini dan di sini.

Saya teka, seperti juga dengan ratusan ribu mangsa banjir Johor, ratusan ribu ahli dan penyokong PAS di negeri lain yang terngidam-ngidam untuk turut serta ke Johor membantu; banjir Johor juga telah menjadi satu medan uji dalam banyak dimensi.

Bagi penyokong dan ahli PAS, kerana kita semua telah memilih untuk mendokong prinsip dan pegangan satu tamadun tinggi, dalam satu dimensi kita semua terpaksa merantai rengetan hati kecil kita. Kita semua terpaksa menguji iman kita sendiri. Menguji sejauh mana keyakinan kita akan kemurahan Ilahi.

Kita telah sama-sama menghulur derma serta bakti dalam kadar yang kita mampui. Kita telah ramai-ramai bersolat hajat dan munajat memohon Kasihan Ilahi kepada insan-insan yang kita tidak kenali. Memohon limpah Belas Ilahi ke atas makhluknya, merentasi bangsa dan ugama.

Tetapi setelah berbuat demikian, kita diperingati bahawa tamadun kita mengajar kita bahawa infaq oleh tangan kanan tidak seharusnya diketahui oleh tangan kiri. Lantaran itu, walaupun kita di hadapan, kita tidak tergamak mencanang kepada dunia sumbangan kita kepada saudara sesama anak cucu Adam. Demikian itu kita tidak membandingkan jumlah dan mutu sumbangan kita dengan sesiapa.

Kita semua didepani situasi – bangga dan puas tetapi tidak diizinkan mempamer rasa di hati.

Kita semua teruji. Tekaan saya, seperti jugalah pejuang Hizbullah di Lebanon telah diuji. Kemenangan dan kehebatan Hizbullah membelasah Israel di Lebanon telah diiktiraf dunia. Diiktiraf oleh musuh dan kawan.

Tetapi sebenarnya, pengikhtirafan terhadap Hizbullah oleh dunia adalah terlalu remeh jika dibanding pengiktirafan yang diberi oleh rakyat Lebanon kepada Hizbullah. Akan apa erti Hizbullah kepada warga Lebanon. Yang mana, lebih dari satu kuasa tempur di medan perang yang digeruni, rakyat Lebanon melihat Hizbullah sebagai inang serta pendekar setia dalam hal-hal kerja dan bantuan masyarakat. Inang dan pendekar yang tidak memilih bangsa atau agama untuk menabur khidmat bakti dan bantuan.

Hizbullah di Lebanon mendokong prinsip-prinsip tamadun tinggi. Pun setandinglah kita, PAS, yang telah mempamer jalur itu di Johor. Sesungguhnya, dalam penilaian saya, banjir besar Johor telah menyaksikan era baru PAS. Di mana PAS bukanlah lagi satu parti politik yang mabuk politik semata-mata. Tetapi PAS kini adalah Parti Mendokong Ajaran Allah, “Hizbullah” – yang juga inang dan wira kerja dan bantuan kemasyarakatan.

Jika UMNO yang kini menggendong saf pemimpin petulang bangsa berbangga titih dilahirkan dalam Istana Johor; PAS sebagai inang dan wira setia masyarakat dilahirkan dalam tangisan pilu marhain Johor.

Persetankan kemenangan kecil (yang mungkin) di Batu Talam, rantau Asia Tenggara adalah medan sebenar PAS.


Nota: Komentar ini pertama kali di-upload pada Januari 24, 2007 pada sebelah pagi, dan kemudiannya di-edit di sebelah petangnya.

Monday, January 22, 2007

Batu Talam: Isy ... isy Tidak Malu Mengumpan Orang Asli

Kampung Pos Satak dalam Peti Undi Hulu Sungai.

Ahhh ... calun UMNO diberitakan berjanji menolong Orang Asli di Peti Undi Hulu Sungai. Nak tolong macam mana tu? Berapa duit nak hulor untuk pusingan ini? RM10 untuk satu nama yang ada dalam senarai pemilih? Dan berapa botol bir/stout?

Tak usah janjilah UMNO. Dan tak usah khianati kepercayaan warga yang kurang terdedah kepada hal-hal dunia luas. Don’t exploit the Orang Asli’s innocence. Itu zalim namanya. Dah lah UMNO gagal berdakwah di kalangan mereka. Awak pergunakan mereka pula. Baik hatikah namanya itu? UMNO masuk kampung Orang Asli empat tahun sekali, dah tu awak berkokok laksana jaguh. Sungguh memalukan.

Perasan kah awak wahai calun UMNO dan UMNO amnya, bahawa setiap hari kaum Orang Asli dieksploitasi oleh peniaga dan pedagang dari parti-parti yang sekongkol dengan awak?

Siapa yang masuk beli hasil hutan dari Orang Asli? Beli pisang mereka. Beli buluh mereka. Beli rotan mereka. UMNO? Tidak! Siapa yang masuk jual barang keperluan harian Orang Asli? UMNO? Jauh sama sekali.

Siapa yang masuk bertanya khabar tentang berapa ramai Orang Asli yang terlantar kerana sakit TB dan lain-lain penyakit yang kini boleh diubati dengan mudah? UMNO? Tidak.

Tahukah UMNO bahawa setiap hari, di seluruh Semenanjung Malaysia taukeh-taukeh dari bandar masuk ke kampung-kampung Orang Asli bertindak laksana lintah darat!

Tidak percaya?

Bayangkan, harga yang taukeh-taukeh ini tawarkan kepada Orang Asli untuk sekilogram kayu gaharu ialah hanya RM40/=. Walhal, seteruk-teruk taukeh-taukeh Cina di Indonesia pun, sanggup menawarkan harga sekitar RM400/= (Rupiah 1 juta) sekilogram!

Ya, kayu gaharu, yang mana ladang/industri ini di Muar, Johor, saya yakin sudah kini musnah akibat banjir.

Tahukah awak UMNO berapa harga sekilo gaharu di Timur Tengah? Tidak kurang dari USD10,000/= satu kilogram. Sepuluh ribu dolar Amerika Syarikat. Bersamaan dengan RM35,000/= sekilogram (kadar pertukaran sehari dua ini).

Mengapa UMNO benarkan eksploitasi ini berlaku? Mengapa untuk sekian lama ini UMNO biarkan bangsa Orang Asli dihisap darah oleh pedagang-pedagang yang tidak berhati perut? Apa strategi jangka panjang dan program jangka pendek UMNO untuk meningkatkan penghasilan ekonomi Orang Asli di Semenanjung Malaysia?

Setakat bina sekolah, itu janganlah didabik dada sangat. Itu tanggung jawab pemerintah. Di Afrika pun, kerajaan-kerajaan kuku besi pun buat sekolah. Malah dalam konteks Malaysia, bukankan perbuatan mendidik Orang Asli itu lagi zalim, kerana setelah mereka celik mata dan tahu akan dunia ini, UMNO yang kini memerintah abaikan peluang ekonomi untuk mereka? Malah sebenarnya, dengan berbuat demikian, awak UMNO mepenjarakan Orang Asli dalam penempatan mereka. Yang mana sekali sekala, jika ada kesesuaian dengan kepentingan awak, mereka awak lawati.

Cukuplah UMNO berdrama dengan sesama Melayu yang sudah bertamadun. Janganlah aniayakan mereka-mereka yang naif lagi tidak berdosa.

Sunday, January 21, 2007

Batu Talam: Heh heh … “Badi” Kalau Silap Pangkah

Imbasan ialah dari Mingguan Malaysia Edisi Timur, Januari 21, 2007.

Cewah, cewah. Bukan main lagi UMNO, ya? Mentang-mentanglah PAS bagi laluan. Bukan hendak berterima kasih, siap kutuk pula. Dah tu, bukan main lagi UMNO “menjulap” rakyat. Sikit punya tabur janji. Berbohong tu, kiranya ruji lah. Lawan calun yang sendiri taja, pun, sikit punya tunjuk bagak.

Buatlah apa yang dapat menjustifikasikan upah yang telah, dan bakal di terima. Namun hakikatnya tetap itu juga – rakyat Batu Talam, khususnya pengundi Melayu tetap akan cuak, ngeri, gerun untuk memberi undi pada UMNO. Ya lah, apa tidaknya, bila mendapati Batu Talam yang kawasan berbukit, daerah di kaki Banjaran Titiwangsa, pun boleh banjir, bila “bala” datang mengekori petugas-petugas UMNO yang tebal dosanya.

Belum lagi beri undi, pertanda dari langit sudah sampai.

(Heh heh. Nampaknya, kali ini, untuk julung kalinya dalam sejarah politik dunia, UMNO kalah di tangan “budak hingusan” yang ditajanya sendiri! Macam mana nak jawab, ya?)

Banyak “teori” kedai kopi yang saya dengar kebelakangan ini tentang punca banjir besar Johor. Antaranya, mengikut buah mulut, sewaktu dengan berita timbunan al-Quran dijumpai dalam longkang di Negeri Sembilan, sejumlah naskah al-Quran juga ditemui dibuang ke dalam Sungai Muar/Batu Pahat. Tidak pasti samada khabar angin itu betul atau tidak; namun, jelas bagi sesetengah orang-orang wara’ di Kelantan, yang Johor kini sedang menjalani “kifarat” (denda).

Spekulasi mengapa Johor di “denda” pun telah menjadi satu tajuk yang rancak di kedai-kedai kopi di serata Kelantan. Antara sangkaan yang popular ialah Johor ditimpakan hukuman dari langit kerana rakyatnya paling kuat menyokong kesongsangan Islam Hadhari, yang mana mengikut tanggapan umum, ramai ulama telah menasihati Dolah dan Menantunya, bahawa ajaran yang mereka bawa itu sebenarnya sesat.

Sama-samalah kita renungi kebenaran di sebalik bencana yang telah menimpa Johor.

Nota: Gambar-gambar satelit di atas jelas menunjukkan Singapura sedang membina satu benteng dalam laut berdepan muara Sungai Johor. Saya tidak pasti tarikh bila gambar satelit diambil, tetapi tekaan saya ialah gambar tersebut di ambil sekitar pertengahan tahun 2003/4 dulu.

Saya tidak mengajak tuan/puan turut sama mempercayai pemikiran saya. Cuma di sini saya berfikir secara “jahar” (suara yang di dengari), thinking aloud, kata Inggeris, bahawa atas diri saya seorang, saya yakin bahawa punca kawasan Kota Tinggi di tenggelami ialah kerana alir keluar air Sungai Johor telah dihadang oleh benteng ini. Sila muat turun perisisan Google Earth untuk puaskan hati sendiri akan punca-punca geografis yang menyebabkan Johor banjir teruk.

Saturday, January 20, 2007

Batu Talam: Kaifiat Kemenangan UMNO-SPR 2004 – (2)

Eleh, Rudin X, Melayu pro-PAS cuba nak bercakap statistik. Buat tuduhan keras lagi kurang ajar terhadap UMNO-SPR berdasarkan pemerhatian sampel satu Peti Undi (Cheroh). Kata Inggeris, conclusion based on a sample of one. Di mana Rudin X belajar statistiks? Inilah contoh penyokong PAS otak jumud yang ingin belagak tahu ilmu sekular.

Begitulah reaksi sesetengah pembaca yang tidak bersetuju dengan kesimpulan yang saya rakamkan sebelum ini.

Ya, memang saya akui, dalam komentar sebelum ini saya telah membataskan perbincangan kepada keputusan undi di Saluran 1 dan 4, Peti Undi Cheroh.

Sebab saya berbuat demikian ialah untuk menyerlahkan perkiraan teknikal yang rumit. Kalau pembaca boleh faham kaifiat, tatacara, atau kata Indonesia, metode, “penipuan” yang telah berlaku di Cheroh, pembaca akan boleh nampak bagaimana metode yang sama telah direplikasi, diulang buat, di tempat-tempat lain.

Grafik di atas adalah jadual yang sama seperti ditunjuk sebelum ini. Tiada satu angka pun yang diubah. Cuma beza jadual ini dengan yang sebelumnya ialah keputusan mengikut Saluran dalam jadual ini telah disaring, sorted, disusun mengikut perubahan jumlah undi.

Sila tumpu perhatian tuan/puan kepada kolum “Ubahan Semua Undi” yakni beza jumlah undi dalam tahun 1999 dengan 2004 (angka ditulis merah).

Perhatikan, sebagai contoh, bagaimana dalam tahun 1999 dulu, untuk Saluran 1 di Peti Undi FELDA Tersang 2 &3, seramai 573 orang telah keluar mengundi. Tetapi dalam tahun 2004 hanya 357 orang yang keluar mengundi. “Hilang” 216 undi.

Seterusnya, sila amati jumlah undi yang “hilang.” Keseluruhannya seramai 1,054 orang pemilih telah “tercicir” dari proses demokrasi PRU 2004.

Persoalan dan kemungkinan jawapan tentang “pengundi” yang hilang ini adalah sama seperti yang dibangkitkan sebelum ini.

  • Sekian ramai pemilih telah boikot pilihan raya dalam tahun 2004?
  • Sekian ramai pemilih telah mati?
  • Sekian ramai pemilih telah pindah?
  • Nama mereka telah di-eksport ke Peti Undi lain, hatta ke DUN lain, tanpa pengetahuan awal mereka, hinggalah di hari membuang undi mereka keliru di mana sebenarnya mereka patut mengundi, langsung mereka tidak mengundi?
  • Atau sekian ramai pemilih telah digugurkan dari daftar pemilih?

Untuk makluman tuan/puan fenomena ini tidak saja berlaku di DUN Batu Talam, malah berlaku hampir di seluruh negara, khususnya di Selangor, Kedah, Perlis, dan tidak ketinggalan di Pahang.

Cerita pengundi yang “hilang” ini tidak habis di situ saja. Perhatikan bahawa serentak dengan “kehilangan” pengundi ini, undi PAS turut “hilang” dalam nisbah berlipat kali ganda “hilangnya” undi UMNO. Sebagai contoh, dari 269 undi yang hilang di Saluran 3 Peti Undi Cheroh, 214 ialah undi PAS.

Amati bahawa bersamaan dengan “kehilangan” 1,054 pengundi, PAS telah kehilangan 903 undi.

Ya, ya, saya nampak, UMNO pun turut hilang undi. Tetapi jumlah undi yang UMNO hilang hanyalah 144. Dan lagi, saya juga nampak, dan saya harap pembaca juga boleh sama nampak, bahawa apa juga undi yang UMNO hilang di tujuh Saluran, UMNO telah rampas semula di 16 saluran.

Corak, atau pattern yang terselah dalam keputusan undi DUN Batu Talam 2004 ialah – undi UMNO boleh “tenggelam” di satu Saluran, tetapi boleh “timbul” di Saluran yang lain. Seolah-olah adegan dalam wayang P. Ramlee, penyamun tarbus keluar pintu depan, masuk semula pintu belakang.

Perhatikan dari kolum “Ubahan Undi UMNO” bahawa kesan dari permainan “tenggelam sini timbul sana” yang berlaku dalam tahun 2004 dulu, UMNO telah mendapat “lonjakkan” sokongan sebanyak 1,165 undi.

Untuk satu tempuh yang lama saya tertanya-tanya macam mana UMNO dan SPR telah berjaya melakukan “stunt” ini tanpa bantahan gumpita rakyat Batu Talam. Dan soalan ini terjawab dengan jelas bila berita di atas tersiar. Perhatikan, belum lagi kekosongan kerusi DUN Batu Talam di umumkan secara rasmi, UMNO telah pun mengerahkan penyokongnya supaya membuat semakan daftar pemilih secepat mungkin. Supaya mereka dapat diberi satu “kad khusus.”

Saya bukanlah jenis manusia yang mudah bersangka buruk (malah Islam tegah fe’el ini), tetapi implikasi pertama berita tersebut yang menerpa saya ialah – wujud dua versi daftar pemilih untuk DUN Batu Talam. Satu untuk UMNO-SPR, satu lagi untuk PAS.

Nama dan jumlah pemilih dalam kedua-dua versi daftar pemilih mungkin sama, tetapi maklumat tempat mengundi mungkin berbeza bagi sesetengah pemilih.

Sebab itulah sebelum ini saya berani menyindir bahawa mungkin wujud dua versi daftar pemilih untuk DUN Batu Talam.

Jika tuduhan ini tepat, maka sah lah bahawa UMNO-SPR itu tidaklah sejahat yang ramai penyokong PAS sangka. UMNO-SPR tidak gugurkan nama-nama penyokong PAS dari daftar pemilih. UMNO-SPR cuma mengelat sikit-sikit. UMNO-SPR cuma kelirukan sikit maklumat tentang tempat penyokong PAS sepatutnya mengundi.

Perbuatan ini pun sudah lebih dari cukup untuk kelam kabutkan pengundi dan jentera pilihan raya PAS di hari mengundi. Diberi pula jarak tempat mengundi dalam DUN Batu Talam adalah berbelas kilometer dari tempat ke setempat, apa juga kekeliruan tentang tempat mengundi akan mengkucar-kacirkan logistik (jentera pengangkutan) PAS di hari membuang undi.

Bayangkan, sebagai contoh, jarak tempat mengundi FELDA Tersang 1 dengan Cheroh ialah sekitar 20 kilometer. Sebarang “kekecohan” tentang tempat mengundi adalah cukup untuk “menumpulkan nafsu” sesetengah penyokong dari mengundi, khususnya pengundi warga emas (yang tidak begitu sihat).

Begitulah adanya. Dollah Nasrul Haq Imam Besar Hadhari boleh tuduh PAS bacul kerana memboikot PRK ini. (Marah benar bunyinya). Tetapi saya pasti saf kepimpinan PAS semuanya tersenyum puas bila mendengar tuduhan tersebut. Kerana mereka semua tahu, dan penyokong pun tahu, bahawa Dollah, Menantu dan UMNOnya telah kalah ditangan PAS dalam PRK ini.

Kerana di mata dunia, penonton yakin bahawa PAS telah menang “TKO” (technical knockout).

Friday, January 19, 2007

KEMASKINI: Pasca Banjir: Kemusnahan Ekonomi Johor

Kelmarin (Januari 17, 2007) dalam komentar saya bertajuk Pasca Banjir: Kemusnahan Ekonomi Johor saya telah membangkitkan persoalan berikut:

Berapa puluh ribu hektar kelapa sawit telah musnah? Berapa puluh ribu ekar kebun getah peneroka Felda yang musnah? Apa pula dengan lain-lain tanaman? Semuanya pokok-pokok tanaman yang digenang air (frasa Kelantan, carok air) akan mati. Berapa tahun pula untuk pulih? Berapa ratus ribu haiwan ternak telah musnah? Ayam? Kambing? Lembu? Lain-lain ternakan?

Berapa bilion ringgit nilai kemusnahan ini semua? Berapa belas tahun diperlukan untuk memulihkan keadaan? Bayangkan dislokasi struktur ekonomi dan masyarakat Johor!

Ya, saya akui persoalan di atas adalah menggusarkan, mencemaskan, khususnya bagi pembaca yang mempunyai kepentingan emosi/material di Johor. Walaupun mengganggu emosi, itulah isu yang kita semua kena sama-sama fikirkan jalan penyelesaiannya.

Ya, saya juga faham, bahawa pendapat dan ujuran seorang blogger pro-PAS tidak mempunyai merit. Saya juga boleh terima hakikat bahawa pendapat seorang Melayu tentang apa juga isu ekonomi, kewangan dan statistiks adalah kerdil nilainya dari pendapat seorang bukan Melayu tentang isu-isu yang sama.

Malah saya tidak hairan dengan hal-hal begitu atau ambil peduli pun, kerana setahu saya kecenderongan mendiskriminasi daya fikir Melayu yang dilakukan oleh Melayu ke atas sesama Melayu adalah satu piawai. Satu perbuatan lumrah yang tidak terbatas kepada daya fikir.

Hinggalah, mengikut cerita borak kosong sesetengah kenalan yang masih lagi hanyut dalam alam jahiliyah, di serata Malaysia, harga GRO (pelacur) Melayu berbanding pelacur bukan-Melayu pun di-diskriminasikan. Untuk jenis layanan yang sama (maaf saya tidak tahu perincian bab ini), umur yang sebaya, tahap kecantikan yang lebih kurang, harga khidmat seorang pelacur Melayu adalah sekurang-kurangnya RM50 lebih murah berbanding seorang pelacur bangsa China-Malaysia. Wallah hu’allam betul begitu atau tidak.

Imbasan berita di atas adalah dari The New Straits Time. Berita yang dimainkan memetik pendapat pengkaji Alliance Bank (sebuah bank yang dikaitkan dengan MCA) yang menaksir kerugian akibat banjir Johor berada di sekitar RM2.4 bilion.

Pendapat saya tentang rumusan tinjauan ekonomi Alliance Bank ialah pemikiran mereka masih terlalu naif lagi cetek. Anggaran kerosakan yang mereka buat hanyalah berdasarkan apa yang nampak di depan mata mereka di masa ini. Kiranya mereka masih lagi buta tentang hakikat kerosakan harta pertanian.

Pendapat MBA atau akauntan bukan-Melayu adalah apa yang selalunya dijulang atau dibanggakan oleh pembesar Melayu, khususnya dari kalangan orang politik dan mereka-mereka yang memegang darjah kebesaran. Bangang macam mana pun idea bukan-Melayu, pasti akan di-amin-kan.

Yang mana kalau dikaitkan dengan anggaran Alliance Bank, adalah terlalu jelas bahawa pengkaji-pengkaji bukan-Melayu di sana telah tidak dapat membayangkan bahawa kerosakan sektor pertanian akibat banjir tidak semuanya berlaku sekelip mata.

Memanglah tanaman atau haiwan ternak yang dihanyutkan arus deras nampak rosaknya. Tetapi tanaman yang ditenggelami air selama dua atau tiga minggu lazimnya akan mati perlahan-lahan setelah air surut. Memang ladang kelapa sawit, getah, atau kebun buah-buahan yang ditenggelami banjir tidak mati serta merta pokok-pokoknya. Tetapi sebulan dua selepas banjir, kesan “mati beragan” akan dapat dilihat dengan jelas. Kalau tidak mati pun pokok, ianya akan “sakit” dari segi penghasilan.

Tekaan saya ialah industri tanaman betik, orkid, pandan dan bunga kantan yang Johor bangga-banggakan selama ini telah pun musnah akibat banjir besar ini. Dan kalau nak diperkatakan tempoh pulih, sebagai contoh, pokok bunga kantan perlukan masa hampir dua tahun untuk betul-betul mula berhasil.

Itu baru aspek kecil sektor pertanian. Belum lagi diambil kira kerosakan kepada sektor kilang dan peruncitan. Bayangkan darjah kerosakan kepada jentera pembuatan kilang-kilang dan stok barangan, baik yang dalam proses pembikinan, separa siap, atau pun stok barangan runcit. Yang mana umum tahu betapa sentitifnya barangan elektronik dengan kerosakan punca air.

Tidak kiralah apa juga langkah dan bantuan yang kerajaan negeri/pusat akan ambil dalam memupuk pemulihan sektor pertanian. Asalkan Dollah & Menantunya tidak pamerkan kecacatan daya fikir yang Dollah peragakan semasa Imam Hadhari itu ditugaskan menangani kemelut industri babi di Bukit Pelanduk yang musnah akibat wabak J.E.

Dari kacamata ramai Melayu yang masih ingat peristiwa itu, Dollah adalah terlalu bermurah hati dengan pengusaha babi darihal pampasan, tetapi di masa yang lain pula tidak dapat tunjukan kepemurahan yang setanding kepada penternak Melayu bila wabak kuku dan mulut menyerang lembu dan kerbau.

Mungkin dalam tempoh sehari dua ini, setelah ditempelak sakan oleh Thailand, Singapura pun ada tergerak hati untuk memberi sedikit kepekaan tentang agenda Melayu di Malaysia. Lantas dapat membisikkan secuit dua nasihat yang agak pro-Melayu ke telinga Dollah dan Menantunya.

Thursday, January 18, 2007

Batu Talam: Kaifiat Kemenangan UMNO-SPR 2004 – (1)

Sebelum ini saya telah kiaskan akan menghurai kisah (versi saya) mengapa PAS kehilangan 1,000 undi dalam PRU 2004 di DUN Batu Talam berbanding prestasi 1999. Oleh kerana penghuraian ini adalah panjang serta komplikated, tambah pula memerlukan kefahaman maklumat latar bentuk undang-undang, maka saya telah memecahkan cerita ini kepada beberapa bahagian untuk memudahkan pemahaman.

Berikut adalah pengamatan saya.

  • Keputusan undi Saluran 1 dan 4

Eksplikasi merosotnya undi PAS dalam tahun 2004 bermula dengan simptom/tanda “penipuan” yang berlaku di Peti Undi Cheroh.

Dari jadual di atas yang menunjukan keputusan undi mengikut Saluran, tumpukan perhatian kepada keputusan undi Saluran 1 dan 4 Peti Undi Cheroh. Amati untuk Saluran 1, seramai 301 manusia telah keluar membuang undi manakala 337 telah mengundi di Saluran 4. Jadikan angka 301 dan 337 nota-nota mental.

Dari jadual di bawah perhatikan pula bilangan pengundi dalam kumpulan umur yang ditunjukan.

  • Peratusan keluar mengundi Saluran 1 yang tinggi

Camkan dan pahatkan dalam mata minda pembaca bahawa jumlah Melayu, China dan India yang terdaftar sebagai pemilih pada PRU ke-11 dulu adalah seperti berikut:

Kumpulan umur 61 tahun hingga 70 tahun -- 250 orang.
Kumpulan umur 71 tahun keatas -- 115 orang.

Maksudnya jumlah pengundi yang berusia 61 tahun ke atas adalah 365 orang.

Bandingkan jumlah 365 dengan jumlah undi Saluran 1 sebanyak 301. Sekaligus angka-angka ini membawa maksud bahawa peratus keluar mengundi untuk Saluran 1 di Peti Undi Cheroh ialah 82%.

Angka 82% keluar mengundi adalah tinggi jika dibandingkan dengan purata keluar mengundi seluruh negara sebanyak 73%. Adakah angka 82% ini “berpatutan?” Tuan/puan boleh nilai sendiri kemunasabahan peratusan keluar mengundi ini dengan taburan umur umur berikut.

Darihal jadual di atas, sila tanya diri sendiri berapa ramaikah pengundi yang berumur 70 tahun, atau 80 tahun ke atas yang masih lagi hidup, dan jika hidup, yang masih lagi terdaya keluar mengundi? Dalam tuan/puan bertanya dan menilai, satu fakta yang perlu diingat ialah purata peratus keluar mengundi seluruh negara ialah sekitar 73%.

  • Jumlah keluar mengundi Saluran 4 yang meragukan

Poin kedua yang perlu di perhatikan ialah jumlah pemilih dalam kumpulan umur 30 tahun ke bawah seramai 215 orang. Di masa yang sama perhatikan bahawa jumlah undi untuk Saluran 4 adalah 337 undi. (Lazimnya Saluran ini ialah untuk pengundi muda atau mereka-mereka yang tidak semestinya muda yang baru pertama kali mendaftar). Maksudnya seramai 337 manusia telah keluar mengundi.

Beza jumlah manusia yang terdaftar sebagai pengundi (215 orang), dengan bilangan kertas undi (337 undi) yang dikira ialah 122. Arakian, molek juga kita bertanya – mana datang 122 pengundi/undi untuk Saluran 4 di Peti Undi Cheroh?

  • Penentuan Saluran oleh SPR meragukan

Ya, saya akui, wakil-wakil pembela SPR dan UMNO boleh pertikaikan pemerhatian ini dari aspek kaifiat atau kaedah jumlah pemilih dalam satu-satu Saluran di tentukan.

(Sayang sekali hari ini saya telah tidak terjumpa di mana saya letak nota-nota saya tentang kaedah SPR menentukan Saluran mengundi. Maka itu saya tidak dapat menuduh secara tepat. Biasalah tu, benda-benda mustahak akan menghilang diri bila diperlukan).

Apapun, seingatan saya, satu Saluran mengundi lazimnya mempunyai sekitar 360 nama. Maksudnya, sebagai contoh, jika Peti Undi ada 1,440 pengundi tersenarai, maka nama pengundi yang pertama hingga kepada nama yang ke-360 akan masuk “Saluran 1,” pengundi nama ke-361 hingga nama ke-720 akan masuk “Saluran 2” dan seterusnya.

Agihkanlah macam mana sekali pun jumlah pengundi dalam satu-satu Saluran, baik 360 orang sesaluran, atau 500 orang sesaluran, poin induk saya ialah macam mana jumlah undi yang dikira adalah lebih banyak dari jumlah pengundi yang ada dalam Saluran 4.

  • Pengundi yang nampaknya “hilang”

Sambil barisan pembela SPR memberi hujah, sila perhatikan juga bawa seramai 518 orang telah “tidak mengundi” dalam tahun 2004. Angka ini ialah perbezaan jumlah keluar mengundi mengikut Saluran antara PRU 1999 dengan 2004.

Perhatikan bahawa untuk tahun 1999, bagi Saluran 1, seramai 401 orang telah mengundi. Tetapi jumlah ini merosot kepada 301 dalam tahun 2004. Ke mana perginya 100 orang pengundi?

100 orang telah boikot pilihan raya 2004?

100 orang pengundi telah mati?

Telah pindah?

Nama mereka telah di-"eksport" ke Peti Undi lain tanpa pengetahuan awal mereka, hinggalah di hari membuang undi mereka keliru di mana sebenarnya mereka patut mengundi, langsung mereka tidak dapat/mahu mengundi?

Atau nama 100 orang pengundi telah digugurkan dari daftar pemilih?

Soalan yang sama boleh ditanyakan tentang kehilangan 149 pengundi di Saluran 2 dan 269 pengundi dari Saluran 3.

  • Penambahan pengundi mendadak

“Hilang” 518 pengundi, itu satu bab. Cuba pula eksplikasikan macam mana tiba-tiba Peti Undi Cheroh dalam tahun 2004 dapat 337 pengundi untuk Saluran 4?

Dalam tahun 1999 seramai 1,553 manusia telah keluar mengundi di Cheroh. Dan SPR telah menentukan tiga Saluran diperlukan tujuan melincinkan perjalanan membuang undi. Tetapi dalam tahun 2004, hanya 1,372 orang telah keluar mengundi, namun empat Saluran diperlukan. Mengapa jadi begitu? Lagi sikit pengundi, lagi banyak saluran mengundi diperlukan!

  • SPR buang/tambah nama pemilih sesuka hati?

Pengamatan sebeginilah yang membuat saya berani tuduh SPR telah bermain kong-kalikong dengan daftar pemilih DUN Batu Talam dalam tahun 2004. SPR telah buang/tambah nama pengundi tanpa pengetahuan pengundi atau parti yang bertanding. (Dan saya separa yakin bahawa saf pemikir, strategis, sarjana dan segala pakar rujuk PAS pun telah turut berfikir di atas landasan yang hampir sama).

Soal apa yang menyebabkan SPR berani bertindak cabul telah pun disentuh sebelum ini dalam komentar tentang kecacatan dalam undang-undang pilihan raya yang ada kini. Tidak perlu soal siapa yang mendorong SPR berbuat demikian. Jawapannya, semua orang boleh teka tepat – UMNO.

Langsung membawa kita ke satu persoalan yang teramat menarik. Jika SPR telah berani potong/tambah nama pengundi sewenang-wenangnya dalam tahun 2004, apakah jaminan mereka tidak akan berbuat serupa dalam tahun 2007?

  • Kesimpulan

Cukup dengan mengamati statistik keputusan pemilihan di Peti Undi Cheroh, kita sudah boleh nampak “kekotoran” yang menunggu parti-parti pembangkang yang berhajat bertanding di DUN Batu Talam. Apa yang SPR tak buat? Buang nama pengundi yang dicula condong kepada pembangkang dari daftar pemilih, nampaknya sudah. Tambah nama pengundi yang dijangka memihak kepada UMNO, pun, sudah.

Sila pertikaikan tuduhan saya jika ianya benar meleset!

Umum ketahui bahawa PAS hanya mahukan satu kepastian/jaminan tentang kejujuran SPR dalam hal ketepatan daftar pemilih. Namun dalam aspek semudah ini pun, SPR nampaknya sudah tidak berani memberi apa-apa isyarat. Apatah lagi mengeluarkan satu kenyataan bertulis. Sekaligus, dalam pandangan saya, mewajarkan PAS meragui kesaksamaan gelanggang yang SPR sediakan untuk pertandingan. Lantaran PAS memboikot PRK Batu Talam.

Syahdan saya bertanya -- diberi maklumat latar sedemikian rupa, apakah yang bacul sangat atau tidak rasional di pihak PAS tentang pemboikotan ini?

Wednesday, January 17, 2007

Pasca Banjir: Kemusnahan Ekonomi Johor

Bulan Januari belum lagi habis. Tetapi volum kemasukan dana pelabur asing ke Malaysia tahun ini sudah pun menjadi satu kesimpulan. Pocit. Lagi teruk dari volum tahun lepas. Pemboikotan PRK Batu Talam oleh PAS telah meletakan status demokrasi Malaysia pada tahap setara dengan Myanmar (Burma), jika tidak lebih rendah. Itu satu bab.

Bab kedua ialah kedudukan Malaysia dalam indeks rasuah, pun akan merudum sakan. Tidak terkecuali usaha Dollah & Menantunya yang konon memerangi rasuah habis-habisan, kecaman Erdogan, Presiden Turki, terhadap Dollah selaku Pengerusi OIC menerima “hadiah” lancang (kapal layar) mewah yang sedang dibina di Turki adalah sungguh merosakan imej Malaysia di pentas dunia. (Tak kan lah pihak perisikan Turki mempunyai apa-apa kepentingan darihal lancang mewah ini langsung membohongi kepala negara mereka dalam briefing mereka).

Gandingkan bab satu dan bab dua, tanpa ada faktor lain sebagai pemangkin, sudah cukup untuk melunsurkan Malaysia sederasnya ke status “republik pisang” (banana republic) yang cermerlang, gemilang lagi terbilang, bacinnya.

Itu semua, bagi saya penyokong PAS, saya boleh tepis sebab saya boleh longgokkan kesalahannya kepada ahli dan penyokong UMNO yang mendokong Dollah & Menantu di tampuk kuasa negara. Kamu orang tanggung lah dosanya. Kamu tanggunglah sumpah dan laknat generasi yang akan datang.

Gerbang Ruhanie risaukan pertolongan selepas banjir. Bagi saya itu semua terlalu enteng.

Tetapi bila saya kenangkan apa yang bakal terjadi kepada nasib ekonomi Johor, itu buat saya tidak tenteram. Macam mana saya nak jawab kepada generasi yang akan datang yang saya telah gagal untuk mempengaruhi umat Melayu supaya bertindak merobohkan tambak Johor. (Sedangkan Tuanku Sultan Johor sendiri pun gagal). Lantaran air hujan (luar kebiasaan) telah tidak boleh mengalir ke laut. Langsung memusnahkan sekurang-kurangnya 50% dari ekonomi sektor pertanian Johor.

Berapa puluh ribu hektar kelapa sawit telah musnah? Berapa puluh ribu ekar kebun getah peneroka Felda yang musnah? Apa pula dengan lain-lain tanaman? Semuanya pokok-pokok tanaman yang digenang (frasa Kelantan, sarok air) akan mati. Berapa tahun pula untuk pulih? Berapa ratus ribu haiwan ternak telah musnah? Ayam? Kambing? Lembu? Lain-lain ternakan?

Berapa bilion ringgit nilai kemusnahan ini semua? Berapa belas tahun pula diperlukan untuk memulihkan keadaan? Bayangkan dislokasi struktur ekonomi dan masyarakat Johor!

Lagikan Amerika Syarikat yang serba canggih lagi kaya, hingga kini, tidak mampu memulihkan New Orleans yang dilanda Taufan Katrina. Apatah Malaysia yang memerlukan pertolongan "conman" untuk mendapatkan dana membayar pencen!

Semua ini terjadi kerana Dollah enggan merobohkan tambak Johor. Semata-mata kerana rancangan Menantunya untuk menjual pasir kepada Singapura telah ditentang. Dan semua ini terjadi juga kerana Dollah adalah terlalu lemah untuk membantah tindakan Singapura menambak pulau-pulau yang berdekatan dengan muara Sungai Johor.

Selamat mengundi wahai saudara-saudara ku Melayu di DUN Batu Talam. Hamper dan habuan RM500 yang kamu terima kelmarin sudah pasti telah pun membutakan pertimbangan kamu akan hakikat kepetualangan Dollah, Menantunya dan parti-parti politik yang mereka ditunggangi.

Tuesday, January 16, 2007

Batu Talam: Hidup, Calun Bebas!

Tahniah, Saudara Ng Chee Pang! Sekiranya anda bukan seorang calun tajaan UMNO-BN, maka saya kira kerja anda dalam Pilihan Raya Kecil ini adalah terlalu mudah! Anda hanya perlu tumpu kepada satu Peti Undi, dan pastikan anda menang besar di situ. Keputusan undian di Cheroh adalah petanda besar bagaimana warga bukan Melayu akan bertindak dalam PRU ke-12 kelak. (Cheroh adalah microcosm sikap dan pemikiran politik Cina Semenanjung).

Untuk meraih undi Melayu, saudara hanya perlu minta, dengan jujur.

Tidak perlu janji, tidak perlu kutuk apa-apa atau sesiapa, tidak perlu madah atau pidato – just plainly and politely ask. Minta tolong undi, sekali ini saja. Nasib saudara baik, mereka akan beri undi mereka. Yang penting, saudara bersalaman (dengan lelaki saja, tau) dengan mereka, dan hadiahkanlah seulas senyuman ikhlas. Dalam berbuat demikian saudara tidak rugi apa-apa, sebaliknya saudara menjadi peluang bagi mereka, malah wadah, untuk meluahkan rasa benci kepada Dollah & Menantunya.

Selamat maju jaya saya ucapkan. Dan selamat menjejaki langkah Lee Lam Thye, yang pertama kali menjadi wakil rakyat pada umur 21 tahun. Pastinya darjah “Tan Sri” dan kerusi pengerusi mana-mana badan kerajaan dan korporat sedang menunggu anda. Masa depan anda cerah.

Sunday, January 14, 2007

SPR & Aktanya: Kesyaitanan Tersembunyi Dalam Undang-undang Lapok

Sebelum tuan/puan meneruskan pembacaan, sila fahami fakta bahawa saya bukanlah seorang loyar, peguam. Pengetahuan saya tentang jurisprudens hanyalah setakat lulus periksa undang-undang lalulintas untuk dapatkan lesen memandu.

Kalau ada pun pengetahuan undang-undang yang lebih sikit dari itu, maka ketika sekali sekala masuk menadah kitab di pondok-pondok atap, adalah saya tumpu pendengaran kepada hukum-hukum syariat yang bersabit hal-hal haid dan nifas. Lebih dari itu, pengetahuan saya tentang undang-undang adalah lagi cetek dari apa yang ada dalam dada tuan/puan.

Oleh kerana saya tidak buta huruf, maka sekali sekala adalah juga saya terbaca akta-akta perundangan demi memenuhi rasa ingin tahu. Dan pembacaan saya adalah secara harfiah, berserta kefahamannya sekali, pun harfiah, literal.

Namun di sini saya telah memberanikan diri untuk meng-highlight-kan sesetengah seksyen yang ada dalam AKTA 19 (AKTA PILIHAN RAYA 1958) dan PERATURAN PILIHAN RAYA (PENDAFTARAN PEMILIH) 2002.

Sebab saya berbuat begini ialah untuk menyediakan satu pletfom kefahaman bersama, a common platform of understanding, yang membawahi tuduhan (yang sesetengahnya akan berbunyi liar) yang saya akan buat tentang apa yang mungkin telah menyebabkan keputusan pilihan raya di sesuatu tempat terjadi seadanya.

Sebermula, Rashid Penggemar Mohon Tanah Kurnia Sana Sini, Pengerusi SPR, sendiri telah mengakui bahawa Akta Pilihan Raya yang ada kini adalah sudah tidak relevan dengan zaman dan mengandungi terlalu banyak kepincangan. Namun setelah menuturkan apa yang dia kata, dalam tempuh tidak sampai seminggu, Rashid telah menuduh PAS bodoh kerana memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Batu Talam.

Sehubungan itu, ramailah pembesar UMNO yang berkepentingan menyokong Rashid, malah mempertahankan Rashid. (Namun kita boleh agak, bahawa hari-hari Rashid selaku Pengerusi SPR adalah “sudah bernombor”).

Dalam taksiran saya, antara sebab utama yang mendorong PAS memboikot PRK Batu Talam ialah pengkhianatan yang telah Rashid lakukan kepada Seksyen 9, PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA (PENDAFTARAN PEMILIH) 2002, BAHAGIAN II, BENTUK DAFTAR PEMILIH.

Di hari Rashid mengumumkan kekosongan kerusi DUN Batu Talam, dia juga mengumumkan bahawa daftar pemilih untuk PRK ini mempunyai 10,525 nama.

Dari hal pengumuman jumlah pemilih ini, apa yang menyebabkan timbul kesangsian di kalangan ramai pemerhati politik tentang kesihatan hati perut Rashid, ialah, sebelum ini, SPR telah mengisytiharkan bahawa daftar pemilih yang disahkan tepat sehingga 30hb September 2006 telah diwartakan, digazetkan pada 30hb November 2006, Daftar pemilih ini yang telah dijual kepada umum mengandungi 10,734 nama.

Beza antara apa yang Rashid umum dengan apa yang digazet ialah 209 nama.

Malah yang lagi menimbulkan syak ialah di masa yang sama, UMNO mengumumkan bahawa daftar mereka mempunyai 10,789 nama. Beza 264 nama dari apa yang Rashid isytihar. Beza 55 nama dengan apa yang parti lain dapat!

Mana satu angka yang betul? Dan mengapa kekeliruan ini boleh timbul? Bila masa daftar pemilih yang digazet diubah? Mengapa parti-parti politik penentang UMNO tidak diberitahu/dilibatkan dalam proses meminda daftar?

Jawapannya mungkin terletak dalam beberapa syeksyen lapok dalam PERATURAN-PERATURAN PILIHAN RAYA (PENDAFTARAN PEMILIH) 2002 BAHAGIAN V - PELBAGAI. Seksyen 25 khususnya, telah memberikan SPR kuasa tidak terbatas berbuat sesuka hati, untuk potong-masukan nama pemilih ke dalam daftar pemilih.

Dan adalah disyakki bahawa semenjak 50 tahun dulu UMNO telah memperalatkan SPR dari aspek syeksyen ini untuk memanipulasikan daftar pemilih bagi “menjuruterakan” keputusan pilihan raya bagi sesetengah kawasan yang dihajati.

  • Pernah terdengar cerita pemilih “hilang” nama dari daftar di tempat mengundi, wal hal semakan pada hari sebelumnya menunjukan namanya masih ada?

  • Pernah terdengar cerita bagaimana di hari membuang undi seorang pemilih warga emas yang telah mengundi di satu-satu peti undi untuk sekian kali, telah di arah untuk pergi membuang undi di satu tempat yang lain, malah di daerah yang lain?

  • Pernah terdengar cerita bagaimana petugas parti pembangkang jadi kelam kabut kerana daftar pemilih yang dibekalkan pada minggu sebelum mengundi adalah berbeza dengan apa yang SPR gunakan di hari mengundi?

Cerita-cerita seumpama di atas bukanlah tahyul. Insiden-insiden seumpama adalah terlalu kerap. Telah berlaku berulang kali, dan akan terus berlaku di masa depan. Kerana ruang undang-undang wujud untuk memungkinkan insiden sebegitu terjadi. Ruang pencabulan proses demokrasi yang bersandarkan peruntukan undang-undang yang berniat baik.

Sikap memihak SPR kepada UMNO telah pun lama didokumentasikan oleh banyak pihak. Namun untuk sekian lama ini, SPR masih lagi kebal dari sebarang tindakan pembetulan. Pemboikotan PRK ini oleh PAS sepatutnya menyedarkan Rashid (dan pegawai-pagawai lain SPR), bahawa satu hari kelak mereka akan pencen jua.

Janganlah nanti disebabkan sikap mereka sendiri, pemboikotan ini terbawa-bawa hingga ke hari mereka perlu dihantar ke alam barzah. Di hari itu mungkin tiada imam UMNO yang dapat hadir untuk solatkan mayat (semua sibuk dengan meeting atau sedang bercuti di Australia), dan tiada petugas Pemuda UMNO yang kelibat untuk uruskan kubur dan mandikan jenazah (semua sibuk uruskan projek-projek RMK-9).


Epilog: Pesan Saiyidina Ali Karamallah Huwajjah -- semua yang ada dibumi ini adalah dari tanah, dan akan pulang ke tanah jua. Yang mana mahfumnya, bagi saya ialah, tanah kurnia yang banyak kita perolehi semasa di dunia ini bukanlah boleh memuliakan kita. Akhirnya, lot hakiki kita hanyalah berukuran 6 kaki X 3 kaki X 6 kaki.

Jelingan Sepintas Lalu (2): Otak UMNO, Otak PAS

Johor adalah satu kenangan manis bagi saya. Isteri pertama saya adalah warga Johor.

Pun begitu dengan masjid lama Taman Pelangi, Johor Bahru, membawa 101 kenangan. Betapa buat kali pertama saya memaksa diri, membuang rasa malu yang tebal, membawa (arwah) bapa mentua saya masuk ke dua-tiga pejabat korporat di Kuala Lumpur untuk mengutip derma demi membangunkan masjid tersebut.

Dapat duit tidak banyak pun, tetapi apa yang buat saya rasa mempunyai sumbangan kepada dunia ialah bila rekabentuk dinding masjid akhirnya bertukar kepada “cermin nako.” Idea dinding sebegitu tercetus di suatu perbincangan orang tua-tua Taman Pelangi di rumah bapa mentua saya, bagaimana hendak menyiapkan masjid sedangkan dana tidak cukup.

Oleh kerana idea dinding “cermin nako” adalah suatu pekara yang susah hendak dibayangkan ketika itu, maka saya pun dengan penuh rasa gembira telah membawa bapa mentua saya dan seorang sahabatnya ke Damansara Utama untuk melihat sendiri contoh masjid (Masjid Mujahidin) berdindingkan “cermin nako.”

(Cerita bab fitnah dan tuduhan penyelewengan dana setelah masjid itu siap dengan dinding cermin nako yang tidak boleh diterima oleh sebilangan besar anak kariah, itu pun satu cerita yang panjang juga. Mungkin kalau ada masa dan situasi yang sesuai, akan saya ceritakan apa yang berlaku hampir 20+ tahun dulu, versi saya).

Anak sulong saya yang ketika itu berusia dua tahun merasa kali pertama masuk rumah ibadah, di masjid itu, ketika kali pertama solat Adil Fitri diadakan di masjid itu. Dan bertolak dari penglibatan dengan masjid itulah maka timbul satu rasa tidak “puas” dalam diri saya untuk terlibat dengan pembinanan/pembaikian masjid/surau.

Rasa keterpanggilan yang muncul bersama naiknya masjid lama Taman Pelangi telah membawa saya ke kampung-kampung yang tiada tercatit dalam peta di Sumatra Utara (dalam tahun-tahun dunia belum lagi kenal perkataan “tsunami”) dan Pattani di Selatan Thailand. Yang mana hinggalah dua tahun lepas, saya dapat siapkan satu masjid di kampung saya, di mana penglibatan saya ialah dari A sampai Z. Dari menagih “wang ehsan,” kepada paku “side rail,” sampai kepada pasang mangkuk jamban, dan kini secara berkala berus mangkuk jamban. Masih saya rasakan banyak lagi pembinaan masjid/surau yang saya boleh libatkan diri.

Itu kesan Johor ke atas saya.

Sebab itulah di saat Johor dilanda bencana saya rasa terguris bila terbaca berita-berita seumpama ini.

Perlis Hantar Tenaga Penggerak Meskipun Pembangkang Boikot P/raya

KANGAR, 11 Jan (Bernama) -- Umno Perlis tetap menghantar tenaga penggerak ke kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Talam di Pahang meskipun PAS dan Keadilan membuat keputusan memulaukan pilihan raya kecil di situ 28 Jan ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Che Sulaiman Shafie, berkata lebih 400 tenaga penggerak akan berlepas dalam tempoh terdekat ini.


Umno Selangor Hantar Jentera Pilihan Raya Ke Batu Talam

SHAH ALAM, 10 Jan (Bernama) -- Umno Selangor akan menghantar seramai 2,000 hingga 4,000 anggotanya sebagai jentera penggerak menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam, Pahang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata kesemua anggota tersebut akan ke Batu Talam selepas sahaja penamaan calon berlangsung pada 16 Jan ini.


Wanita Umno Bantu Jentera BN Hadapi Pilihan Raya Batu Talam

DUNGUN, 9 Jan (Bernama) -- Pergerakan Wanita Umno bersiap sedia menggerakkan anggotanya di seluruh negara bagi membantu jentera Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Batu Talam pada 28 Jan ini.

Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Wanita Umno dari semua bahagian di seluruh negara secara sukarela ingin ke kawasan Batu Talam untuk memberi perkhidmatan bagi membantu jentera parti.

Perasaan yang bangkit dalam hati saya ialah UMNO nampaknya tidak langsung mempedulikan nasib manusia, nasib sesama Melayu, sesama seagama yang dilanda kesusahan. UMNO sanggup menggerakkan ribuan ahli dan penyokong untuk mempertahankan satu kerusi Dewan Undangan Negeri – tetapi UMNO tidak langsung mempunyai hati perut untuk menggerakkan 10 sukarelawan tujuan membantu mangsa banjir di Johor.

Jelas untuk diri saya, UMNO lagi mementingkan maruah politik yang sekelumit itu dari menzahirkan peri kemanusian. Mementingkan ego politik sendiri dari jiwa manusia lain.

Berbanding pula dengan PAS yang tidak pun mendapat tempat dalam hati orang-orang Johor. Betapa untuk sekian lama ini PAS dihina dan dicemuh di Johor, betapa itulah pula PAS cuba menyumbang bakti.

Bagi saya disinilah letaknya beza otak pemimpin UMNO dengan pemimpin PAS – tamaddun dan hati budi. Dalam-dalam kehangatan ber-retorik dan berpolitik, PAS masih lagi punyai rasa keinsanan dan punyai masa untuk insan lain.